1 Muqaddimah
Semua penganut agama-agama yang terdapat di dunia ini boleh mengemukakan kitab yang dipercayai suci oleh mereka. Walaupun sebenarnya kitab-kitab itu jauh daripada lengkap dan terbukti bukanlah wahyu dari tuhan malah hasil tulisan orang-orang yang datang beberapa abad selepas nabi-nabi tertentu. Namun mereka tentu sekali tidak dapat mengemukakan percakapan, tingkah laku dan latar belakang orang-orang yang dipercayai telah membawa kitab-kitab suci itu dengan lengkap sehingga akan menggambarkan keadaannya disemua aspek kehidupan.
Kitab suci orang-orang Yahudi, Taurat melalui kelima-lima sifirnya hanya menceritakan beberapa fakta sahaja tentang kehidupan Nabi Musa a.s.. Walaupun dikatakan Baginda a.s. hidup sehingga menjangkau umur seratus dua puluh tahun. Tetapi apa yang dapat kita ketahui tentangnya hanyalah berhubung dengan kelahiran dan zaaman mudanya kemudian perpindahannya selain daripada perkahwinan dan perlantikannya sebagai utusan juga peperangan dengan orang-orang musyrikin dan akhir sekali kita dikejutkan dengan kedatangan Baginda a.s. sebagai seorang tua yang terketar-ketar kerana sudah berumur seratus dua puluh tahun.
Nabi Isa a.s. yang dikatakan telah hidup selama tiga puluh tiga tahun itu hanya diketahui keadaan tiga tahun yang terakhir daripada kehidupannya sebagaimana yang ternyata daripada Kitab Injil yang ada pada hari ini. Bagaimankah Nabi Isa telah melalui kehidupannya selama tiga puluh tahun sebelum itu?. Apakah kerja yang dilakukan olehnya untuk mengisi umur sepanjang itu?. Dunia tidak pernah menjelaskan perkara ini dan sampai bilapun tidak akan dapat menjelaskannya. Tiga tahun yang terakhir daripada hayat Baginda a.s. yang dikatakan diketahui itupun Cuma dalam bentuk beberapa tanda dan mukjizat selain daripada sedikit nasihat yang disampaikannya . Kemudian disalib lalu berakhirlah lembaran sejarah hidupnya.
Pengetahuan tentang Zardusyt ( Zoroaster ) Nabi orang-orang Farsi hanya mungkin diperolehi daripada buku Syahnama – firdausi dalam rupa yang tidak menghilangkan kebulur penyelidik dan tidak pula dapat memadamkan api kehausan pengkaji sehingga sarjana-sarjana seperti Kern dan Dermeletes terus sahaja menafikan kewujudannya yang boleh dipertanggungjawabkan dari segi sejarah.
Agama Buddha dianggap agama paling tua dan paling luas wilayah pengaruhnya di zaman silam bahkan hingga ke hari inipun masih lagi bertakhta di hati sekelian ramai manusia di negara-negara seperti Thailand, Burma, Tibet, China, Jepun dan laihn-lain. Akan tetapi adakah barang seorang ahli sejarah yang telah berjaya memepersembahkan riwayat hidup Buddha dalam gambaran selengkap-lengkapnya walaupun dengan mempertaruhkan umurnya demi penyelidikan tentang kehidupannya?.
Bukankah sejarah cukup merasa bertuah kerana hanya ada menyimpan secebis riwayat hidupnya dalam bentuk kisah-kisah dan hikayat-hikayat yang jika ditimbang dengan neraca sejarah yang realistik tentu sekali tidak boleh dijadikan contoh teladan dan panduan yang meyakinkan?.
Nasib Confucious tidak lebih baik daripada nasib Buddha, walapun bilangan pengikut-pengikutnya mencecah angka ratusan juta kerana apa yang diketahui tentangnya adalah lebih sedikit daripada apa yang diketahui tentang Budhha.
Peri kehidupan nabi-nabi atau pemimpim-pemimpin agama-agama terbesar di India pula entah semenjak bila lagi telah ghaib di sebalik tabir tahyul dan dongeng-dongeng yang kemudiannya setelah sekian lama berlau zaman baru muncul dalam bentuk buku-buku seperti Mahabrata dan Ramayana – Balmiki.
Adalah merupakan suatu yang “natural” seseorang mengintai agama dan pembawa agama yang dianutinya. Kerana itulah bila ditanya tentang manusia yang paling agung dan dicintainya segera ia akan menyebutkan nama ikutannya, dan kita akan dapati nama-nam ikutan itu berbeza-beza dan datang dari berbagai-bagai arah.
Tetapi kalau kita bertanya “Siapakah dia ikutan yang telah meninggalkan kitab suci yang diyakini keterpeliharaannya di samping telah mengemukakan contoh praktikal bagi klitab suci yang dibawanya itu sama ada dalam persolan-persoalan besar yang menyentuh aspek-aspek kenegaraan, peperangan, muamalat, perekonomian, permasyarakatan dan lain-lain atau persoaln-persoalan peribadi seperti tutur kata, tingkah laku, rupa paras, kehidupan rumah tangga, makan minum, duduk bangun, senyum ketawa, gaya berjalan, gaya bercakap, minat, budi bahasa dan lain-lain dengan cukup jelas sehingga boleh diketahui segala yang berkaitan dengannya?”.Maka angkasa raya akan bergema dengan jawapan yang sama daripada semua arah iaitu dengan teriakan nama “Muhammad s.a.w.”.
Kenapakah peri kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. itu terpelihara sampai begitu rupa?.Kenapakah restu takdir mencurah-curah tidak berputusan ke atas peribadi Baginda s.a.w?
Jawapannya boleh kita temui di dalam ayat-ayat Al Quran di bawah ini:
Firman Allah s.w.t. bermaksud :“( Meraka kami utuskan ) selaku rasul-rasul pembawa berita genbira dan pemberi peringatan supaya tidak ada alasan lagi bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (An Nisaa’ : 165)
Dan firman Allah s.w.t. bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari tuhanmu ( Muhammad dan mukjizatnya ) dan telah kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang ( Al Quran )”. (An Nisaa’ : 174 )
Kedua-dua ayat ini dengan jelas menyatakan keperluan manusia kepada rasul dalam erti keperluan mereka kepada hadits-haditsnya selain daripada kitab suci yang dibawanya. Ia juga menempatkan rasul pada suatu kedudukan yang sangat istemewa iaitu sebagai hujjah dan bukti dari pihak Allah s.w.t. kepada manusia.
2 DEFINISI AL HADITS
i. Al Hadits dari segi bahasa Arab bermakna cerita, berita, keterangan, penjelasan dan baharu.
ii. Dari segi istilahnya Al Hadits bermakna segala perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat Nabi s.a.w
iii. Sebabnya hadits-hadits Nabi s.a.w. itu dinamakan dengan “Al Hadits” ialah kerana ada persesuaian dengan erti dari segi bahasanya yang memberi makna “baharu” lawan kepada “Al Qadim”. Seolah-olahnya apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. yang dikenali dengan Al Hadits itu adalah sesuatu yang lain daripada Al Quran yang qadim – demikian kata Syeikhul Islam Hafidz Ibnu Hajar.
iv. Sementara Allamah Syabir Ahmad Utsmani pula berpendapat bahawa hadits- hadits Rasulullah s.a.w. itu sebenarnya merupakan pernyataan Nabi s.a.w. akan nikmat Allah s.w.t. yang paling besar iaitu Islam seperti yang terdapat dalam firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Pada hari ini aku sempurnakan untuk kamu agamamu, aku lengkapkan kepadamu nikmatku dan aku redhai Islam sebagai agama untukmu”. (Surah Al Maaidah : 3 )
Pernyataan ini adalah berdasarkan perintah daripada Allah di akhir surah Ad Duha ayat sebelas: Bermaksud: “Dan terhadap nikmat tuhanmu maka hendaklah engkau menceritakannya (dengan penuh keyakinan)”
3 IMEJ AL HADITHS MENURUT AL QURAN
1. Kedudukan dan status Al Hadiths menurut Al-Quran dapat dilihat dalam sekian banyak ayat yang terdapat di dalamnya yang menyatakan kedudukan Rasulullah s.a.w. dan juga apa yang dibawa oleh Baginda s.a.w. selain daripada Al Quran. Diantara yang dapat disebut di sini ialah firman Allah s.w.t. bermaksud: “Katakanlah! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya: Maka jika kamu berpaling, Allah tidak suka kepada orang-orang kafir”. (Ali ‘Imran:32)
Ayat ini menyatakan bahawa berpaling daripada mentaati Rasulullah s.a.w. adalah kekufuran dan membawa kepada kemurkaan tuhan.
i. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Katakanlah! Sekiranya kamu kasih kepada Allah maka ikutlah aku nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah dan ia akan mengampuni dosa-dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Ali ‘Imran:31) Ayat ini menyatakan bahawa mengikut Rasulullah s.a.w. adalah suatu yang mesti kepada orang yang mengakui cintakan Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. hanya mencintai orang-orang yang menyintai RasulNya
ii. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul Nya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” (An Nisa’:13)
iii. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Sesiapa derhaka kepada Allah dan Rasul Nya dan melampaui batasan-batasanNya, Dia akan memasukkannya ke dalam neraka sedang ia kekal di dalamnya dan dia akan mendapat azab yang menghinakan.” (An Nisa’:14)
iv. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Pada hari ini(pada hari qiamat) ingin sekali orang-orang yang telah kafir dan derhaka kepada Rasulullah kalaulah mereka disamakan dengan tanah dan mereka tidak dapat menyembunyikan apa-apa dari Allah. (An Nisa’: 42)
v. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan tidak kami utuskan mana-mana Rasul melainkan supaya Rasul itu ditaati dengan perintah Allah (An Nisa’:64)
vi. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Sesiapa yang taat kepada Rasul itu ( Muhammad) sesungguhnya dia telah taat kepada Allah “. (An Nisa’ :80)
vii. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya sesungguhnya mereka itu akan bersama orang-orang yang Allah telah kurniakan ni’mat kepada mereka” ( An Nisa’:69) Kedua-dua ayat ini menyatakan bahawa taat kepada Rasul s.a.w. itu merupakan taat kepada Allah s.w.t. kerana itu taat kepada Rasul s.a.w. tidak merupakan syirik kepada Allah s.w.t. kerana Rasul s.a.w. tidak mengemukakan sesuatu dari pihaknya, dia hanya menyampaikan hukum ilahi.
viii. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Maka demi Tuhanmu, tidaklah mereka beriman sehinggalah mereka berhakimkan engkau pada pertelingkahan yang berlaku diantara mereka kemudian. Mereka tidak mendapat sebarang kesempitan di dalam hati mereka terhadap keputusan itu dan mereka menerima dengan sepenuh hati.” (An Nisa’:65) Ayat ini menyatakan kedudukan Rasulullah s.a.w yang begitu istimewa. Taat kepadanya merupakan iman. Orang yang mentaati Rasulullah s.a.w. hanya pada lahir sahaja juga tidak dikatakan mukmin kalau tidak menerimanya dengan sepenuh hati. Apa lagi jika seseorang itu tidak mentaati Rasul dengan melakukan apa yang diputuskan olehnya dan menerimanya dengan sepenuh hati.
ix. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu. Aku akan menentukannya untuk orang-orang yang bertakwa, memberikan zakat dan mereka pula beriman kepada ayat-ayat Kami iaitu orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi ummi yang mereka dapat cerita tentangnya ditulis di dalam Taurat, dan Injil yang ada di sisi mereka, Dia menyuruh mereka melakukan perkara ma’ruf dan menegah mereka dari perkara mungkar. Dia menghalal umtuk mereka perkara yang baik-baik dan mengharamkan kepada mereka perkara yang keji. Dia membuangkan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang selama ini ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman dengannya, memulakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang di tentukan kepadanya, itulah dia orang-orang yang berjaya”. (Al A’raf:156-157) Ayat ini menjelaskan keistimewaan mengikuti Rasulullah s.a.w. Di dalamnya juga Allah s.w.t. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai hak untuk menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kepada mereka, bererti apa yg di tentukan oleh Rasulullah s.a.w. adalah agama. Apa yang dibawanya adalah cahaya dan mengikutinya adalah membawa kepada kemenangan.
x. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Dan apa-apa yang dibawakan oleh Rasul kepada kamu maka ambillah ia dan apa-apa yang dia melarang kamu daripadanya maka tinggalkanlah .”(Al Hasyr:17) Ayat ini memerintahkan supaya mengambil apa yang dibawa oleh Rasul dan menahan diri dari apa yang di tegahnya
2. Hadits juga merupakan wahyu yang diturunkan daripada Allah s.w.t. selain daripada Al-Quran. Bezanya ialah Al-Quran dalam istilah ulamak dinamakan “Al Wahyu Al Jali” dan Al Hadits ialah “Al Wahyu Al Khafi” atau Al Quran dinamakan dengan “Al Wahyu Mathlu” dan Al Hadits dinamakan “Al Wahyu Al Ghairu Al Mathli”.Hakikat ini dapat dilihat di dalam ayat-ayat berikut :
i. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Mana-mana pokok kurma yang kamu tebang atau kamu biarkannya berdiri diatas pangkalnya maka semua itu adalah dengan izin Allah”. (Al Hasyr:5) Daripada ayat ini dapat diketahui bahawa pokok-pokok itu ditebang dengan perintah Allah s.w.t. tetapi perintah untuk menebang pokok itu tidak tedapat dalam Al Quran. Oleh itu jelaslah bahawa selain daripada Al Quran, ada juga wahyu yang lain yang melaluinya Allah s.w.t. menurunkan perintahNya.
ii. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Tidak kami tentukan kiblat yang dahulu kamu mengadapnya melainkan supaya kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikut Rasul dan siapa yang membelot” . (Al Baqarah:143) Ketentuan supaya berkiblat kepada Baitulmaqdis tidak terdapat di dalam Al Quran. Jadi tentu sekali ketentuan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w. melalui saluran yang lain dan itulah dia saluran “Wahyu Khafi” atau “Al Hadits”.
iii. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “ Dan ingatlah ketika Nabi menceritakan secara rahsia satu perkara kepada salah seorang isterinya maka rahsia itu diceritakan oleh isterinya (pada orang lain) dan Allah menyatakannya (perbuatan isterinya itu) kepada Nabi lalu Nabi menceritakan sebahagian yang dinyatakan oleh Allah dan tidak menceritakan sebahagian yang lain. Bila dia (Nabi) menceritakan kepadanya (isterinya) tentang perkara itu, dia (isterinya) bertanya: siapa menceritakan kepadamu perkara ini? Dia (Nabi) menjawab : “Tuhan yang maha mengetahui dan maha bijaksana telah menceritakan kepadaku”. (At Tahrim:3) Padahal tidak terdapat dimana-mana pun di dalam Al Quran keterangan bahawa Allah s.w.t. menceritakan kepada Nabinya s.a.w berkenaan dengan isterinya yang mendedahkan rahsia yang disimpannya pada salah seorang isterinya. Jadi bagaimana Allah yang maha mengetahui lagi maha Bijaksana itu menceritakan kepada Nabi s.a.w.? jelas sekali bahawa tuhan menceritakan kepada Nabinya melalui “Wahyu Khafi” atau “Al Hadits”.
iv. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Jagalah sembahyang-sembahyang dan sembahyang wustha dan berdirilah kamu di hadapan Allah dengan penuh khusyuk’. Jika kamu ketakutan maka kerjakanlah sembahyang dalam keadaan berjalan kaki atau berkenderaan tetapi bila sudah aman ingatlah kepada Allah sebagaimana ia telah mengajarkan kamu apa yang sebenarnya tidak kamu ketahui”. (Al Baqarah: 238-239) Daripada ayat ini dapat difahami bahawa sembahyang mempunyai cara-caranya yang tertentu yang dimaafkan pada ketika perang atau ketakutan. Pada keadaan aman sembahyang hendaklah dikerjakan seperti asal. Pengajaran tentang sembahyang yang asal itu telah dihubungkan oleh Allah s.w.t. kepada DiriNya sendiri tetapi yang jelasnya pengajaran tentang cara ini tidak tersebut di dalam Al Quran. Ini bermakna pengajaran itu telah disampaikan oleh Allah s.w.t. melalui saluran yang lain tentulah melalui Al Hadits.
v. Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Maka sekarang (pada malam bulan ramadhan) campurilah mereka (isteri-isteri kamu) dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu.” (Al Baqarah: 187) Daripada ayat ini dapat diketahui bahawa sebelum itu memang dilarang menggauli perempuan pada bulan ramadhan tetapi larangan tentang itu tidak terdapat di mana-mana tempat pun dalam Al Quran. Tentu sekali larangan tentang itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. melalui “Wahyu Khafi” yang juga dinamakan “Al Hadits”.
3. Untuk memahami kedudukan Al Hadits sebagai wahyu selain Al Quran boleh dilihat dalam Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Dan tidak mungkin bagi seseorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutuskan seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinnya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana”. (As Syura: 51
Ayat ini menyatakan hanya ada tiga cara sahaja Allah s.w.t. bercakap dengan manusia iaitu:
i. Wahyu atau Ilqa’ dan ilham.
ii. Dari balik tabir
iii. Dengan menghantarka utusan (malaikat)
Kita sedia maklum bahawa apa yang dikatakan ayat-ayat Al Quran itu merupakan “kalam Allah” yang disampaikan kepada Nabi s.a.w. melalui utusannya (malaikatnya). Ini bererti bahawa cara yang ketiga ini sahaja yang digunakan untuk menyampaikan Al Quran, sementara dua cara lagi tetap ada untuk menghubungi Nabi-nabiNya.
4. Hadits juga diturunkan dari pihak Allah s.w.t. Diantara buktinya ialah firman Allah s.w.t. bermaksud: “Sesungguhnya Dia (Allah) telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Kitab bahawa bila kamu mendengar ayat-ayat Allah dikufuri dan diperolok-olokkan maka janganlah kamu duduk bersama mereka sehinggalah mereka mengharungi perbicaraan yang lain (kerana jika kamu tetap duduk bersama mereka sesungguhnya kamu kalau begitu serupa dengan mereka.” (An Nisa:140
Ayat ini menyatakan dengan jelas bahawa sebelum turunnya ayat ini sudahpun turun perintah, “Bahawa jangan duduk bersama orang-orang yang memperolok-olokkan ayat Allah”, tetapi perintah ini tidak terdapat didalam Al Quran. Ini bermakna perintah itu telah diturunkan melalui “Wahyu Al Khafi” iaitulah wahyu yang di turunkan tidak melaui utusan malaikat Jibrail. Allah s.w.t. juga berfirman bermaksud: “Dan Allah telah menurunkan kepadamu kitab dan hikmah dan dia telah mengajarkan kepadamu apa yang sebelum ini kamu tidak mengetahui dan kurniaan Allah kepadamu sangatlah besar.” (An Nisa’:113)
“Al Kitab” yang tersebut didalam ayat ini jika dipakai dengan makna Al Quran, sudah tentu yang dimaksudkan dengan “Al Hikmah” tidak lain selain daripada Al Hadits. Jika kita pakai “Hikmah” juga dengan makna Al Quran, maka adalah tidak berguna diulangi pula beberapa kali didalam Al Quran ini perkataan “kitab dan hikmah” itu. Ini menunjukkan bahawa “hikmah yang tersebut didalam ayat ini ialah Al Hadits dan ia juga menunjukkan bahawa hadits itu diturunkan dari Allah s.w.t.
5. Pengajaran hikmah (Al Hadits) oleh Nabi s.a.w. merupakan ni’mat yang sangat besar daripada Allah s.w.t. pada orang-orang mukmin. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ni’mat yang besar kepada orang-orang mukmin bilamana Dia menghantarkan kepada mereka seorang Rasul dari mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah walaupun mereka sebelum itu berada dalam kesesatan yang nyata.” (Al Imran:164)
Ayat ini menunjukkan Al Kitab dan Al Hikmah yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w. kepada orang-orang mukmin itu adalah dua perkara yang berlainan.
6. Al Hadits juga dituntut oleh Allah s.w.t dingati sebagaimana diingati Al Quran. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Dan ingatlah apa yang dibaca di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” ( Al Ahzab:34)
Jangan sekali-kali terkeliru di sini bila Allah s.w.t. menyebutkan “ apa yang dibaca” itu sehingga dikhususkan pula kepada Al Kitab (iaitu Al Quran) kerana Rasulullah s.a.w. tidak membaca dengan melihat halaman kitab. Baginda s.a.w. hanya menyampaikannya dengan menyebutkannya sahaja.
Selain daripada itu tilawah dengan makna “membaca Al Quran semata-mata” adalah istilah orang-orang kemudian yang menggunakan istilah “Wahyu Matlu” dan “Ghairu Matlu” untuk membezakan diantara Al Quran dan Al Hadits sedangkan menurut istilah Al Quran dan terpakai dikalangan ulamak mutaqaddimin, tilawah dengan makna “ semata-mata membaca”. Sebabnya kalau kita khususkan perkataan tilawah untuk “bacaan Al Quran” semata-mata, ia akan bercanggah pula dengan firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan (ditilawahkan) oleh syaitan-syaitan pada masa pemerintahan Sulaiman.” ( Al Baqarah:102)
7. Perintah dari hadits yang dikatakan perintah daripada Allah s.w.t. sendiri dan mengikut hadits pula merupakan satu ujian tentang keimanan seseorang. Lihat firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidaklah Kami tentukan kiblat yang dahulu kamu mengadap ke arahnya itu melainkan untuk Kami mengetahui siapakah yang mengikuti Rasul itu.” (Al Baqarah:143)
8. Rasulullah s.a.w.merupakan ikutan yang baik kepada orang-orang Islam. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Sesungguhnya bagimu pada (diri Rasulullah) itu ada contoh teladan yang yang baik .” (Al Ahzab:21)
9. Bukan hanya Nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang mendapat wahyu berupa hadits selain daripada kitab khusus yang diberikan kepadanya iaitu Al Quran, bahkan Nabi-Nabi sebelum Baginda s.a.w. juga mendapat wahyu dalam bentuk hadits daripada Allah s.w.t. selain daripada kitab-kitab ataupun suhuf-suhuf yang diberikan pada mereka .
Di antara contoh di dalam Al Quran adalah seperti berikut:
i. Allah s.wt. berfirman kepada Nabi Adam yang bermaksud: “Wahai Adam! Ceritakan kepada mereka tentang nama benda-benda ini.” (Al Baqarah:33)
Kemudian Allah s.w.t. berfirma bermaksud: “Wahai Adam! Diamlah engkau dan isterimu di dalam syurga ini.” (Al Baqarah:35)
Tetapi kerana digoda oleh syaitan maka mereka telah termakan pohon yang dilarang mereka mendekatinya. Allah s.w.t. berfirman bermaksud: “Dan Adam melanggar perintah Tuhannya, maka tersasullah dia.” (Thaha:121)
Dan Allah s.w.t berfirman bermaksud: “Maka Adam menerima beberapa ucapan dari Tuhannya , maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Baqarah:31-38)
Perhatikanlah pula kepada firma-firman Allah di atas. Di dalamnya kita dapati Adam turun daripada syuga. Baru ketika itu Allah berjanji kepadanya akan mengurniakan kitab yang memberi petunjuk, bermakna sebelum itu belum ada lagi ada apa-apa kitab padanya.
Walaupun begitu Allah s.w.t telahpun bercakap-cakap dengan Adam bahkan telah menagajarkan beberapa ucapan kepda Adam yang membawa kepada Allah s.w.t.menerima taubatnya dan ini dengan jelas menunjukkan bahawa selain daripada wahyu berupa kitab Allah yang datang kepada Adam a.s., ada lagi wayu lain yang datang kepada baginda a.s. dan itulah dia hadits
ii. Percakapan Allah dengan Nabi Musa menerusi seluruh Al Hadits dapat diketahui melalui firman–firman Allah s.w.t. seperti berikut : Allah s.w.t. berfirman bermaksud “Maka ketika ia datang ke tempat api itu ia dipanggil; Hai Musa sesungguhnya aku inilah Tuhanmu maka tanggalkanlah kedua kasutmu. Sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci Thuwa.” (Thaha:11-12)
Allah s.w.t. berfirman bermaksud: “Dan Aku telah memilih kamu maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu).” (Thaha:13)
Kemudian Allah s.w.t. bertanya Musa: “Apakah itu di tangan kananmu, hai Musa?”
Dalam ayat-ayat seterusnya dinyatakan pemberian tongkat dan tangan putih bersinar-sinar sebagai mukjizat lalu Allah s.w.t. berfirman kepadanya: “Pergilah kepada Firaun. Sesungguhnya ia telah melampaui batas.” (Thaha:24)
Di dalam ayat-ayat seterusnya dinyatakan Musa menyampaikan seruannya kepada Firaun, kemudian berhadapan dengan tukang-tukang sihir. Di situ Allah berfirman bermaksud: “Jangan takut. Sesungguhnya engkaulah yang paling unggul (menang).” (Thaha:68)
Kemudan di ceriatkan bahawa Musa berhijrah dari tempat asalnya kemudian Firaun tenggelam. Musa datang ke Tursina, barulah ketika itu dikurniakan kitab kepadanya.
Allah s.w.t menceritakan “Dan telah kami tuliskan untuk Musa pada luh-luh (Taurat) segala sesuatu sebagai pelajaran dan penjelasan bagi segala sesuatu maka (Kami berfirman) berpeganglah kepadanya dengan teguh dan suruhlah kaummu berpegang kepada (perintah-perintahNya) dengan sebaik-baiknya.” (Al A’raf:154)
Tidakkah baru sekarang Musa mendapat kitab daripada Tuhan? Padahal sebelum itu sudah beberapa kali Allah mewahyukan kepadanya, bahkan selepas Allah memerintahkan supaya berpegang teguh dengan kitab itu pun masih lagi diberiakn wahyu kepada Nabi Musa supaya Baginda menbawakan seramai 70 orang daripada kaumnya ke bukit Thur. Kaumnya meminta mahu melihat Tuhan. Di situ mereka disambar halilintar dan mati kesemuanya. Bila Musa berdoa, didapatinya jawapan daripada Allah s.w.t. yang bermaksud: “Siksaku akan Ku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatku meliputi segala sesuatu.” (Al A’raf
Kesimpulannya sebelum mendapat kitab dari tuhan Nabi Musa telah pun menerima wahyu, begitu juga selepas menerima wahyu. Baginda tetap menerima wahyu-wahyu yang yang diterimanya inilah dinamakan hadits atau “Al Wahyu Al Khafi
10. Banyak daripada ayat-ayat Al Quraan tidak dapat difahami maksud dan kandungannya tanpa Al Hadits, begitu juga tidak mungkin dipakai tanpa panduan sunnah atau Al Hadits. Di antara yang dapat dikemukakan sebagai contohnya ialah
i. Firman Allah s.w.t bermaksud “Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi.”(Al Baqarah:197)
Bulan apakah yang dimaksudkan dengan firman Allah ini? Al Quraan tidak menjelaskannya.Nama bulan-bulan yang dimaksudkan itu terdapat di dalam hadits-hadits Rasulullah s.a.w. Ringkasnya tanpa Al Hadits kita tidak dapat mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan bulan-bulan haji itu bahkan haji itu sendiri.Selain dari itu tidak mungkin dipakai tanpa mendapat penjelasan dari Al Hadits
ii. Firman Allah s.w.t bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketentuan Allah pada hari ia menciptakan langit-langit dan bumi. Di antaranya 4 bulan haram ialah (ketetapan) orang yang harus”(At Taubah:36)
Ayat ini jelas menyatakan bahawa bilangan bulan itu adalah 12 bulan dan 4 bulan daripadanya adalah bulan haram. Tetapi Al Quraan sepi daripada menyebutkan 4 bulan haram yang di maksudkan itu. Bulan manakah akan dianggap sebagai bulan haram? Jika kita andaikan bahawa 4 bulan haram yang di maksudkan di dalam ayat ini ialah bulan yang diterima sebagai haram dalam tradisi Arab jahiliah, maka andaian itu tidak tepat kerana orang kafir itu selalu menukar-nukarkan bulan dengan mendahulukan dan mengemudiankannya seperti yang tersebut di dalam Al Quraan sendiri tentang perbuatan mereka.Allah s.a.w. berfirman bermaksud; “Sesungguhnya menukar-nukarkan bulan itu dengan mendahulukannya dan mengemudiankannya adalah menambah kekufuran.” (At Taubah:37
Jadi jika kita menerima bulan-bulan haram itu mengikut tradisi orang-orang kafir Arab bermakna penentuan bulan-bulan haram itu terletak di tangan mereka bukan di tangan Rasulullah s.a.w. Mana-mana bulan yang dianggap haram oleh orang-orang kafir kita akan menerimanya sebagai haram.
Kemudian Allah s.w.t. berfirman bermaksud: “Bulan haram dengan bulan haram dan pada sesuatu yang dihormati berlaku hukum qisas”. (Al Baqarah: 194)
Jika kita menerima ketentuan orang-orang kafir itu bermakna kita mengatakan ayat Al Quran memerlukan orang-orang kafir, seolah-olah amalan yang dilakukan orang-orang kafir itulah yang dikehendaki oleh Al Quran.
iii. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah”. (Al Baqarah: 196)
Daripada ayat ini kita dapat memahami apakah haji dan umrah yang diperintahkan supaya disempurnakan itu dan apakah perbezaan diantara keduanya?
iv. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Dari mana saja kamu keluar, hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram dan di mana saja kamu berada hadapkanlah muka-mukamu ke arahnya’. (Al Baqarah: 150)
Daripada ayat ini semata-mata tanpa keterangan daripada Al Hadits kita akan memahami bahawa Allah s.w.t. memerintahkan supaya sentiasa kita menghadapkan muka ke arah Masjidil Haram. Adakah ini suatu yang mungkin dilakukan? jika begitu perintah ini untuk ketika dan waktu yang bagaimana?. Adakah sesiapa yang boleh menjelaskan bagaimana boleh kita mempraktikkan perintah daripada ayat ini?
v. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli”. (Al Baqarah: 282)
Bolehkah sesiapa menjelaskan bagaimana mungkin setiap penjual dan pembeli mencari saksi untuk setiap penjualan dan pembelian yang dilakukan oleh mereka samada besar atau kecil?. Jika begitu bagaimana perintah Allah s.w.t. ini dapat dipraktikkan?
vi. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu disetiap waktu kamu malakukan sembahyang”. (Al A’raf: 31)
Bagaimana kita mempraktikkan perintah Allah s.w.t. ini?. Temasuk dalam perhiasan itu ialah pakaian dan juga barang-barang kemas. Adakah mengikut ayat ini perempuan-perempuan mesti memakai perhiasan berupa barang-barang kemasnya ketika mengerjakan sembahyang?
4 PERANAN AL HADITS SEBAGAI PENJELAS DAN PENGHURAI MAKSUD AL QURAN.
Sebelum ini telah kita perjelaskan betapa perlunya perincian dan huraian daripada hadits Rasulullah s.a.w. terhadap pengajaran dan apa-apa yang terkandung di dalam Al Quran itu. Ini disebabkan oleh seringkali keterangan Al Quran dikemukakan dalam bentuk umum, ijmal, mutlaq, mubham, musytarak, mutasyabih, muta’aridh, majaz dan lain-lain lagi. Apa yang tersebut itu melibatkan semua aspek ajaran agama baik dari segi ibadatnya seperti sembahyang, zakat, haji, doa, zikrullah atau soal rumah tangga seperti perkahwinan, perceraian, atau soal mua’malat seperti hukum-hakam, jual beli, atau dari segi kemasyarakatan, politik, kehakiman, ekonomi dan lain-lain lagi.
1. Secara ringkas dapat dikemukakan di sini bentuk-bentuk penjelasan dan huraian terhadap maksud Al Quran oleh Hadits:
i. Ayat-ayat Al Quran yang tersebut secara mujmal diterima oleh Hadits.
ii. Ayat-ayat yang mutlaq dimuqayyadkan oleh hadits sesuai dengan tempat dan keadaan yang menghendakinya.
iii. Ayat-ayat yang musykil diterangkan oleh hadits.
iv. Hukum-hukum di dalam Al Quran yang disebut secara umum dengan tidak menyebutkan kaifiat, sebab-sebab, syarat-syarat dan lainnya semuanya diperjelaskan oleh hadits.
v. Hadits menerangkan hukum bagi peristiwa yang berlaku berpandukan Al Quran. Hukum halal dan haram yang tersebut di dalam Al Quran sebagai contohnya digunakan Rasullulah s.a.w. untuk memadankannya dengan perkara-perkara yang masih diragui dan samar-samar menerusi qias.
vi. Hadits menyatakan hukum-hukum, saluran dan saranan bagi sesuatu perkara sesuai dengan masa atau situasi dan kondisi bagi berlakunya perkara-perkara itu berlandaskan prinsip dan objektif Al Quran.
vii. Hadits-hadits menarik kaedah prinsipal daripada keterangan-keterangan Al Quran yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk mengqiaskan persoalan-persoalan yang baru timbul.
viii. Hadits-hadits menceritakan sebab-sebab, hikmat dan maslahat-maslahat di sebalik ketentuan hukum dalam Al Quran yang boleh dijadikan kaedah dan prinsip dalam menentukan hukum-hukum yang tidak tersebut di dalamnya.
ix. Nabi s.a.w. mengambil hikmat ilahi daripada bimbingan, panduan dan misi Al Quran, kemudian menjelaskannya kedalam kehidupan amali manusia
x. Nabi s.a.w. menjalani suatu kehidupan yang benar-benar merupakan tafsiran dan huraian yang lengkap kepada kehendak Al Quran. Bermaksud: Peribadi Ralullah s.a.w. adalah (mencerminkan) Al Quran
2. Para sahabat walaupun secara umumnya mengerti bahasa Al Quran kerana bahasa Al Quran itu adalah bahasa mereka tetapi selalu saja mereka merujuk kepada Rasulullah s.a.w. dalam usaha memahami Al Quran dan persoalan-persoalan hidup yang lain. Jadi kalau sahabat pun memerlukan Al Hadits maka ummat yang kemudian lebih-lebih lagi memerlukannya. Tepat sekali kata Imam Abu Hanifah:
Bermaksud: “Kalau tidak ada As Sunnah (Al Hadits) nescaya tak ada seorang pun daripada kita yang memahami Al Quran.”
3. Banyak daripada ayat-ayat Al Quran tidak dapat difahami tanpa pengetahuan tentang Asbabun Nuzul, bahkan besar sekali kemungkinan seseorang yang membacanya akan tersalah dalam memahami maknanya dengan memakaikannya dengan pengertian-pengertian yang jauh daripada maksudnya yang sebenar tetapi dengan merujuk kepada Al Hadits tentu sekali semua tidak berlaku.Di antara contoh yang akan disebut di sini ialah:
i. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu mengadap di situlah wajah Allah”. (Al Baqarah: 115)
Orang yang tidak mengetahui sebab nuzul bagi ayat ini mungkin menganggap tidak perlu mengadap ke pihak yang tertentu ketika sembahyang kerana timur dan barat adalah kepunyaan Allah. Pada semua pihak ada tuhan, oleh itu ke arah mana pun dia mengadap sembahyangnya akan sah. Sedangkan anggapan dan pemahaman yang seperti itu adalah salah sekali, kerana Al Quran sendiri di tempat yang lain telah memerintahkan supaya mengadap ka’bah.
Dengan megetahui sebab nuzulnya kemusykilan ini akan selesai. Abdullah bin Abbas berkata “Bila qiblat orang-orang islam dialihkan dari Bitulmaqdis ke Ka’bah, maka orang-orang yahudi mengkritik dengan mengatakan: apakah sebab perubahan ini?” kemudian turunlah ayat ini yang mana kesimpulan maksudnya ialah “semua pihak atau arah itu dibuat oleh Allah dan Allah ada dipihak mana sekali pun. Oleh itu jika dia memerintahkan seseorang mengarahkan mengadap kepihak mana sekali pun menjadi wajib kepadanya menurut perintah itu.
ii. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu apabila mereka bertaqwa serta beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh”. (Al Maaidah: 93)
Dengan melihat kepada zahir ayat ini mungkin boleh dikatakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang haram dimakan atau diminum oleh orang Islam asalkan dia beriman, takut kepada tuhan dan mengerjakan amal soleh. Dia boleh memakan apa saja yang dikehendakinya.
Oleh kerana ayat itu disebut selepas pengharaman arak, mungkin ada orang yang menyimpulkan : “Bahawa ayat ini membenarkan orang yang beriman dan beramal soleh meminum arak”.
Apa yang kita sebutkan ini bukan andaian dan kemungkinan semata-mata bahkan ada di kalangan sahabat sendiri yang terkeliru apabila membaca ayat ini. Mereka telah menjadikan ayat ini sebagai dalil apabila mereka mengatakan pendapat bahawa “Peminum arak juga pada masa lalu adalah seorang yang baik, tidaklah dikenakan hukuman had ke atasnya”.
Apabila Ibnu Abbas mengatakan sebab nuzul ayat ini kepada mereka, barulah hilang kekeliruan mereka.
Sebenarnya latar belakang ayat ini ialah; apabila telah turun ayat yang mengharamkan arak dan judi maka sebahagian sahabat bertanya, “Bagaimana keadaan sahabat yang telah meninggal dunia sebelum turunnya hukum haramnya arak dan judi itu sedangkan ia minum arak dan berjudi sepanjang hayatnya?” maka turun ayat ini yang bermaksud: “Mana-mana orang mukmin yang minum arak atau makan harta hasil perjudian sebelum turunnya ayat tentang haram kedua-duanya, tidakkah dia berdosa dan akan disiksan dengan syarat dia adalah seorang mukmin dan patuh dengan hukum Allah s.w.t. pada masa lalu.
4. Banyak pula hadits yang merupakan contoh praktikal bagi Al Quran. Diantara yang boleh disebut ialah:
i. Bentuk dan cara sebutan di dalam hukum hudud jika dilihat kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada mereka itu mencegah kamu (untuk menjalankan) agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat”. (An Nur: 2)
Seolah-olahnya dengan melarang menaruh simpati dan kasihan belas kepada orang yang telah melakukan kesalahan zina itu, Allah menyuruh supaya menyebat mereka sekuat mungkin dan dengan menggunakan apa saja untuk menyebat mereka tetapi dengan melihat kepada Al Hadits, kita dapat melihat maksud firman Allah s.w.t. ini dalam betuk yang sebaik-baiknya iaitu dengan tidak mengangkat tangan sehingga menampakkan ketiak yakni tidak memukul dengan sekuat tenaga, begitu juga tidak boleh menggunakan rotan yang besar, keras atau berbuku-buku. (- Lihat Ahkaamul Quran – Jassas j:3 ms:322 dan Ahkaamul Al Quran- Ibnu Arabi j:2 ms:84)
Jadi apa yang dimaksudkan dengan “jangan belas kasihan mencegah kamu” ialah sehingga kamu tidak melaksanakan hukum itu walupun dalam garis-garis yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
ii. Begitu juga jika Al Quran melarang orang-orang islam daripada berwala’kan Yahudi dan Nasara maka larangan daripada berwala’kan Yahudi dan Nasara itu bukan sekadar bermakna mengikut agama mereka yakni dengan memluk agama mereka atau menjadikan mereka sebagai pemimpin, tetapi juga mengikut budaya, adat resam dan tingkah laku mereka yang menunjukkan persetujuan dan penyanjungan terhadapnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan melarang daripada menyimpan misai yang panjang dan melarang daripada memelihara dan menyimpan anjing dan sebagainya.
5. KEPERIHATINAN UMMAT TERHADAP HADITS SELEPAS AL QURAN.
1. Galakan daripada Rasulullah s.a.w. supaya para sahabatnya dan juga generasi-generasi selepas sahabat dari umatnya supaya menghafal Hadits terdapat dengan banyak sekali di dalam kitab-kitab Hadits. Di antara yang boleh dikemukakan di sini ialah:
Hadits yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Mas’ud, Jabir bin Mut’im dan Abu Darda’ r.a. daripada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Semoga Allah menyerikan kehidupan orang yang mendengar sesuatu hadits daripadaKu lalu dihafalnya sehingga ia menyampaikan hadits itu (kepada orang lain) kerana boleh jadi orang yang membawa sesuatu ilmu yang mendalam (hadits) menyampaikannya kepada orang yang lebih mendalam fahamannya dan boleh jadi ada orang yang membawa ilmu pengetahuan tetapi dia sendiri bukanlah seorang yang mendalam ilmunya”. (Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah, Daarimi dan lain-lain)
Abu Bakrah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir, boleh jadi ia menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti daripadanya”. (Bukhari/Muslim)
Bila rombongan Bani Abdil Qais dan Bahrain datang mengadap Rasulullah s.a.w. kemudian tiba masa mereka akan berpisah, mereka pun mengadu hal dengan mengatakan: “Kami penduduk negeri yang jauh dari sini. Diantara kami dan tuan ada orang-orang kafir yang menghalang. Kami dapat hadir pada bulan-bulan haram sahaja. Oleh itu tuan! berikan kepada kami arahan-arahan dan bimbingan-bimbingan yang dapat kami ceritakan kepada kaum kami bila kami pulang dan dengan itu kami berhak memasuki syurga”. Maka Rasulullah s.a.w. mengajarkan beberapa hukum agama kepada mereka lalu berkata: “Hafalkan hukum-hukum ini dan ceritakannya kepada orang-orang di sana”. (Bukhari dan Muslim)
2. Sebagaimana para sahabat digalakkan menghafal hadits-hadits mereka juga digalakkan menulis dan mencatat hadits-hadits Rasulallah s.a.w. Ini semua dapat dilihat melalui sabda-sabda Nabi s.a.w.
i. Abdullah bin Umar bin ‘As berkata: “Saya menulis segala apa yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w. lalu ada setengah orang menegah saya dari menulis dan berkata: “Baginda adalah seorang manusia, kadang-kadang baginda s.a.w. bercakap dalam keadaan tenang kadang-kadang pula di dalam keadaan marah. Bagaimana pula kamu akan menulis kesemuanya?” maka aku pun membuat keputusan untuk tidak menulis apa-apa sebelum aku bertanya Rasulullah s.a.w. sendiri. Bila aku bertanya Rasulullah s.a.w. maka Baginda s.a.w. mengisyaratkan kepada mulutnya seraya berkata: “Tulislah ! Demi tuhan yang nyawaku berada di tanganNya tidaklah keluar dari mulut ini kecuali kebenaran”. (Abu Daud, Ahmad, Daarimi, Hakim dan Baihaqi)
ii. Abu Hurairah r.a. berkata: “Ada seorang Ansar mengadu halnya kepada Rasulullah s.a.w. katanya: “Banyak saya dengar daripada tuan tetapi saya tidak dapat mengingatinya” maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Gunakanlah tanganmu” sambil Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan supaya menulis.”
3. Kerana galakkan-galakkan dan dorongan-dorongan daripada Rasulullah s.a.w . yang memberangsangkan, para sahabat r.a. mencatat banyak buku yang mengumpulkan hadits-hadits Rasulullah s.a.w. yang telah dikumpulkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri.
Di antara yang dicatatkan di sini ialah:
i. Sebuah buku hadits yang dinamakan “As Sahifah As Sadiqah” yang telah dikumpulkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Abdullah Bin Amr Al’ As. Dikatakan didalamnya terkumpul 1,000 hadits Rasullullah s.a.w. Naskah catatan beliau ini terpelihara dengan baik dalam keluarga sahabat Rasulullah s.a.w. itu generasi demi generasi.
ii. .Sahifah Ali r.a. Berhubung dengan Sahifah Ali r.a ini ada disebutkan oleh Bukhari,Abu Daud dan lain-lain di mana Sayyidina Ali r.a.berkata, “Tidak ada apa yang kami tulis daripada Nabi s.a.w. selain daripada Al Quran atau apa yang tedapat dalam sahifah ini.” Di dalam sahifah ini terdapat hadits-hadits berkenaan dengan zakat, diat, pembebasan orang-orang tawanan, batas-batas tanah haram Madinah, larangan kepada menghubungkan diri kepada bukan ayah dan keturunan sendiri, keburukan mungkir janji dan celaan terhadap menghapuskan tanda-tanda batas hak milik tanah dan lain-lain lagi.
iii. Buku hadits karangan Amar bin Hazam. Amar bin Hazam telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w. sebagai gabenor ke Yaman. Nabi s.a.w. memberikan arahan bertulis kepadanya yang mengandungi hukum-hakam dan panduan-panduan yang lain. Amar bin Hazam bukan sekadar menyimpan sebaik-baiknya surat-surat itu malah beliau telah berusaha mendapatkan 21 arahan bertulis daripada Nabi s.a.w. yang dikirimkan kepada orang-orang Yahudi, Bani ‘Adiya, Bani Uraidh, Tamim Ad Daari, Qabilah Juhainah, Juzam, Thayyi’ dan Tsaqif. Kemudian beliau mengumpulkan semua itu di dalam sebuah kitab yang kemudiannya dianggap sebagai dokumen politik kerajaan Rasulullah s.a.w. yang julung-julung kali dikumpulkan.
iv. Sahifah Jabir bin Abdillah: Di dalam sahih Muslim ada satu riwayat yang menyebutkan bahawa Jaabir bin Abdillah pernah menyusun satu risalah yang mengumpulkan hadits-hadits Rasulullah s.a.w. pada satu musim haji. Dalam “At tarikhu Al Kabir” karangan Imam Bukhari ada menyebutkan , “Bahawa Qatadah – seorang Tabi’i yang terkenal selalu berkata, “Lebih lagi saya ingat Sahifah Jaabir daripada Surah Al Baqarah.”
v. Risalah Samurah bin Jundub: Samurah bin Jundub seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah mengumpulkan banyak hadits dalam satu risalah yang kemudiannya diwarisi oleh anaknya. Sulaiman. Hafidz Ibnu Hajar menulis “Sulaiman telah meriwayatkan hadits dalam satu naskhah yang besar daripada ayahnya,” Ibnu Sirinjuga berkata “Risalah yang ditulis oleh Samurah untuk anak-anaknya mengandungi banyak sekali ilmu.”
vi. Sahifah Saad bin `Ubadah: Di zaman jahiliah Saad bin `Ubadah telah dianggap sebagi pemuda yang sempurna kerana beliau pandai membaca dan pandai menulis. Beliau mempunyai sebuah sahifah yang banyak mengumpulkan hadits-hadits Nabi s.a.w. Hadits-hadits yang terdapat di dalam sahifah ini diriwayatkan oleh anak-anaknya daripadanya.
vii. Majmu’ah Mughirah bin Syu’bah: Dalam Bukhari ada satu riwayat yang menyebutkan bahawa Mughirah telah mendiktatkan beberapa hadits untuk dikirimkan kepada Sayyidina Muawiyah atas permintaannya.
viii. Musnad Abu Hurairah: Selain daripada Ta’lif dan As Sahifah As Sahihah yang di susun oleh beliau. Ketiga-tiga buku ini adalah hasil kumpulan Abu Hurairah, sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal itu.
4. Ketekunan ummat semenjak zaman sahabat dalam mencari dan mempelajari Al Hadits. Sebagai contohnya :
i. Abu Ayyub Al Ansari telah berangkat ke Mesir semata-mata untuk mwendapatkan satu hadits yang pernah didengar oleh seorang sahabat ‘Uqbah bin Aamir yang pernah mendengarnya dari Rasulullah s.a.w. Ketika itu tidak ada lagi orang lain selain ‘Uqbah yang mendengar hadits itu dari Rasulullah s.a.w. Hadits itu ialah berkenaan dengan menutup keaiban seorang mukmin. Selain beliau kita dapati ramai lagi sahabat yang berangkat dari satu negeri menuju ke negeri yang lain semata-mata untuk mendapatkan hadits-hadits Rasulullah s.a.w. (Tadrib Ar Rawi j.2 m/s 160)
ii. Dari kalangan tabi’in pula kita dapati orang-orang seperti Sa’id bin Musayyab, menantu Abu Hurairah, dalam usaha beliau untuk mendapatkan hadits-hadits Rasulullah s.a.w. di negeri-negeri yang jauh, beliau pernah menjual baju yang di pakainya untuk menampung keperluannya dalam perjalanan mencari hadits Rasulullah s.a.w.
iii. Di zaman berikutnya kita dapati orang-orang seperti Imam Bukhari yang lupa kepada diri sendiri dalam usha menyelidik hadits-hadits Rasulullah s.a.w. sampai berdarah kencingnya dan Imam Muslim pula kerana tenggelam di dalam peyelidikan tentang hadits-hadits, tidak sedarkan diri lagi kerana memakan sekampit buah kurma yang diberikan orang kepadanya lantaran terlalu lapar setelah beberapa lama tidak menemui makanan. Ini menyebabkan Imam Muslim menderita sakit yang membawanya menemui ajal.
5. Betapa tinggi kedudukan As Sunnah atau Al Hadits pada pandangan umat islam dapat dilihat pada buku-buku yang memuatkan hadits-hadits Rasulullah s.a.w. telah dihasilkan oleh mereka dalam berbagai-bagai bentuk. Antaranya ialah Jaami’, Sunan, Musnad, Ma’ajim, Masyikhat, Arba’inaat, Ajza’, Rasaail, Mustadrak, Mustakhraj, ‘Ilal, Atraf, Taraajim, Musalsalat, Tsulasiyyat, Takhaarij dan lain-lain lagi.
6. Kesungguhan dan keperihatinan mereka juga dapat dilihat pada buku-buku yang ditulis untuk menghuraikan hadits-hadits Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai syarah.Dengan melihat kepada syarah-syarah bagi kitab sahih Bukhari sahaja yang melebihi seratus judul itu sudah mencukupi untuk membuktikan kebenaran dakwaan kita ini. Ada diantara syarah-syarah itu melebihi tiga puluh jilid, banyak yang telah sempurna dan banyak pula yang tidak sempat disempurnakan oleh penulisnya. Ini belum lagi diambil kira syarah-syarah yang ditulis oleh ulamak islam terhadap kitab-kitab hadits yang lain samada yang tersebar dengan meluas atau tidak di kalangan ummat.
7. Bukan sekadar yang tersebut di atas sahaja, malah umat islam telah mengkaji Asbabul Wurud dan latar belakang bagi setiap hadits yang diterima.
8. Sebenarnya dengan menyedari pengertian-pengertian Al Hadits mereka mahu menghayatinya dan mengamalkannya di dalam segenap bidang kehidupan. Studi terhadap segala tutur kata dan tindak tanduk Nabi s.a.w. di samping rupa paras dan peribadi Baginda s.a.w. menerusi hadits-hadits menjadikan seolah-olah Nabi s.a.w. dan situasi dizaman Baginda s.a.w. berada di hadapan mata mereka sendiri. Pendek kata tidak ada seorang pun selain Rasulullah s.a.w. yang begitu menarik perhatian manusia terutama pengikut-pengikutnya justeru segala pertuturan dan segalam tindak-tanduknya dihafal, dicatat, dikaji dan dicontohi oleh orang-orang kemudian. Itu semua dilakukan bukan kerana paksaan atau diupah oleh sesiapa pun tetapi dilakukan atas dorongan kasih sayang dan perasaan taat setia yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia. Kasih sayang dan ketaatan yang sampai ke peringkat ini tidak mungkin digambarkan kecuali sebagai mukjizat.
6 DI ANTARA PUNCA KEKELIRUAN TENTANG AL HADITS.
1. Anggapan bahawa hadits bukan wahyu, hanya Al Quran saja yang diturunkan dari sisi Allah s.w.t. Huraian: dalam perbincangan yang lalu diharapkan telah menyelesaikan kekeliruan ini.
2. Anggapan bahawa hukum hakam yang pernah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu adalah khusus untuk zaman itu sahaja. Hukum-hukum itu boleh diubah suaikan mengikut kehendak masa, ertinya hadits Rasulullah s.a.w. memang merupakan hujjah tetapi hanya untuk zaman Baginda s.a.w. sahaja, bukan untuk zaman kita.
Bantahan terhadap kekeliruan itu ialah: Kalau kita menganggap pengajaran Rasulullah s.a.w. hanya khusus untu zaman permulaan Islam sahaja, bermakna perlantikan Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi tidak umum sampai kiamat sedangkan ayat-ayat Al Quran yang berikut menolak anggapan seperti ini.
Allah s.w.t. berfirman bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul”.
Sekiranya hukum Allah yang terdapat di dalam Al Quran umum sampai kiamat dan firman Allah s.w.t. ini menjadi hujjah tentangnya, mengapa pula ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. tidak umum sampai hari kiamat?
3. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Katakanlah; wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah Rasulullah (kepada kamu semua). (Al A’raf : 158)
Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Tidak kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam”. (Al Anbia’:107)
Firman Allah s.w.t. lagi bermaksud: “Tidak kami utuskan engkau melainkan kepada semua manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan”. (Saba’:28)
Dari segi logiknya pula, adakah untuk memahami Al Quran kita memerlukan guru atau tidak?. Jika jawabnya tidak maka kenapa diutuskan rasul?. Kenapa hadits Rasulullah s.a.w. mesti diikut di zaman Baginda?. Atau jika jawabnya “ya” maka bagaimana kita tidak akan memerlukan kepada pengajaran-pengajaran Rasulullah s.a.w.? Mana mungkian para sahabat memerlukan kepada guru untuk memahami Al Quran sedangkan kita pula tidak padahal para sahabat r.a. itu mengerti bahasa Al Quran. Mereka juga menyaksikan tempat-tempat turun ayat-ayat Al Quran dan sebab-sebabnya, mereka juga golongan yang mula-mula ditujukan kitab Allah, walaupun begitu mereka memerlukan kepada guru.
4. Ada juga orang menganggap bahawa memanglah tutur kata dan perbuatan Nabi s.a.w. menjadi hujjah tetapi oleh kera ia sampai kepada kita tidak melalui saluran-saluran yang meyakinkan, ia hanya berada di peringkat dzanni yang tidak boleh dijadikan sandaran. Ini adalah berdasarkan larangan daripada Al Quran sendiri yang melarang kita mengikut dzann.
Bantahan:
Hadits-hadits telah sampai kepada kita melalui perawi-perawi yang diketahui sebagai orang-orang yang benar dan kepercayaan. Adakah kita akan teragak-agak untuk menerimanya, padahal sejarah yang langsung tidak mempunyai sanad boleh pula diterima oleh mereka, bahkan mereka memberikan ruangan yang istimewa kepada sejarah itu dengan mengadakan jabatan yang khusus mengenainya.
Sejarah-sejarah yang ada ini walau bagaimana pun tinggi kedudukannya tidak dapat menyamai selemah-lemah hadits kerana sejarah langsung tidak mempunyai sandaran yang hidup sedangkan hadits pula mempunyai sandaran dan saksi yang hidup.
Apa yang dikatakan oleh ulamak tentang Al Hadits sebagai sumber yang dzanni itu bukanlah dengan makna sangkaan semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang bukti dan dalil bahkan apa yang dimaksudkan dengan dzanni oleh mereka itu paling kurang ialah dzan dengan erti berata sangka atau sangkaan yang mempunyai bukti-bukti dan penyaksian-penyaksian, kalaupun tidak memberi “ilmu yaqini badihi” seperti Al Quran.
5. Ada juga kalangan yang tidak mahu menerima Al Hadits sebagai rujukan kedua dalam islam kerana kononnya banyak sekali terdapat di dalam hadits-hadits kenyataan-kenyataan yang menunjukkan keserupaan Allah s.w.t. dengan makhluknya.
Bantahan:
Orang yang berpendapat demikian sebenarnya jahil tentang Al Quran itu sendiri yang didakwa oleh mereka satu-satunya rujukan bagi mereka dalam islam kerana banyak sekali ayat-ayat Al Quran yang pada zahirnya menunjukkan Allah s.w.t. menyerupai makhlukNya seperti Allah mempunyai “tangan”, “muka” dan lain-lain lagi. Jika mereka tidak menolak Al Quran kerana kenyataan-kenyataan ini mengapa pula mereka menolak hadits kerananya?.
6. Anggapan bahawa banyak berlaku pertentangan diantara satu hadits dengan hadits yang lain kerana itulah Al Hadits tidak boleh dijadikan rujukan.
Bantahan:
Hairan! Kalau dengan alasan inilah mereka mempertikaikan dan menolak Al Hadits, maka semestinya mereka mempertikai dan menolak Al Quran juga kerana di dalam Al Quran juga terdapat banyak ayat-ayat yang bertentangan pada zahirnya diantara satu dengan yang lain. Jika begitu bagaimana mereka boleh mendakwa Al Quran sebagai rujukan mereka?.
7. Banyak terdapat hadits-hadits diriwayatkan oleh orang-orang yang ketika peristiwa yang diriwayatkan olehnya belum lagi memeluk islam atau belum lagi lahir tetapi ia menggambarkan seolah-olah ia ikut serta dalam peristiwa itu. Diantara contohnya ialah: kekeliruan tentang hadits Zulyadain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan katanya; “Rasulullah s.a.w. bersembahyang zohor atau asar dengan kita”. Padahal Abu Hurairah memeluk islam selepas syahidnya Zulyadain dalam peperangan Badar.
Bantahan:
Kekeliruan di sini sebenarnya ialah kerana tidak mengerti istilah yang digunakan oleh para sahabat sehingga menyangka apabila Abu Hurairah berkata “Rasulullah bersembahyang bersama dengan kita” bahawa “Abu Hurairah juga turut bersembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. pada ketika itu”. Padahal maksud “dengan kita” yang dikatakan oleh Abu Hurairah itu ialah “dengan orang-orang islam” .
Banyak sekali contoh-contoh penggunaan seperti ini terdapat di dalam kitab-kitab hadits dan ia juga tidak melampaui ketentuan bahasa arab. Jika ucapan seumpama ini membolehkan seseorang mendustakan Abu Hurairah, maka bukan Abu Hurairah saja yang akan didustakan bahkan juga para sahabat dan tabi’in yang lain. (Lihat Ma’arifu As Sunan j:3 ms: 511- 516)
8. Kata-kata Sayyidina Umar: “Hasbuna Kitabullah” – “cukuplah untuk kita kitab Allah”- golongan anti hadits mengatakan bahawa Sayyidina Umar hanya menjadikan Al Quran sebagai hujjah. Beliau langsung tidak menyebutkan Al Hadits.
Bantahan:
Disepanjang hayatnya Sayyidina Umar r.a. sentiasa menganggap Al Hadits sebagai hujjah selain daripada Al Quran. Jadi mengatakan Sayyidina Umar r.a. hanya menganggap Al Quran sahaja sebagai hujjah adalah menyalahi pegangan dan kepercayaan Sayyidina Umar r.a. sendiri.
Selain daripada itu “Kitabullah” digunakan juga untuk hadits Rasulullah s.a.w. dan ini jelas boleh kita dapati dalam hadits di bawah ini yang mana maksudnya: “Ada dua orang datang mengadap Rasulullah s.a.w. untuk menyelesaikan kesnya. Salah seorang daripada mereka berkata: “Hakimilah diantara kami dengan Kitab Allah”. Dan seorang lagi berkata: “ya Rasulullah hukumlah diantara kami dengan kitab Allah”. Setelah mendengar keterangan mereka, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah, demi tuhan yang nyawaku berada di tanganNya, pasti Aku hukum di antara kamu dengan kitab Allah. Kemudian Rasulullah pun menghukum dengan berkata: “Adapun anakmu, maka ia dikenakan seratus sebatan dan dibuang negeri selama setahun, dan engkau, hai ,,,,,,, pergilah kepada perempuan itu, kalau dia mengaku rejamlah dia, perempuan itu mengaku, maka direjamlah dia”. (Bukhari/Muslim)
Hukuman yang disebut di dalam hadits ini dikatakan oleh Nabi s.a.w. adalah hukum menurut kitab Allah. Sedangkan hukuman yang seperti itu tidak terdapat di mana-mana di dalam Al Quran. Ini bermakna kitabullah yang dikata oleh Nabi s.a.w. ialah Al Hadits.
Jadi kata-kata Sayyidina Umar: “Cukuplah untuk kita “kitab Allah” itu boleh merangkumi Al Quran dan As Sunnah kedua-duanya sekali.
7 PENUTUP
Perbincangan yang lalu mudah-mudahan telah memberikan keyakinan yang mendalam kepada kita tentang kenapakah Al Hadits menduduki tempat kedua dalam senarai rujukan Islam.
Kedudukannya sebagai penjelas kepada maksud-maksud Al Quran, memastikan keterpeliharaannya juga dijamin dari pihak Allah s.w.t. seperti Al Quran.
Lihatlah kepada amalan-amalan umat islam berupa wudu’, sembahyang lima waktu, azan yang dikumandangkan oleh mereka, sembahyang berjamaah di masjid-masjid, sembahyang dua hari raya, ibadat-ibadat haji, mengorbankan binatang-binatang korban pada hari raya korban, kadar zakat yang dikeluarkan, tradisi berkhatan, hukum-hukum nikah dan perceraian, begitu juga hukum-hukum pesaka, peraturan halal dan haram juga prinsip-prinsip kebudayaan dan tamaddun islam dan sebagainya. Bagaimana semuanya dilakukan hingga ke hari ini sama seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. buat kali pertamanya di zaman Baginda, bahkan semakin hari semakin ramai orang-orang yang mengamalkannya.
Namun begitu masih ada orang yang mempertikai Al Hadits sebagai salah satu sumber rujukan dalam Islam, semata-mata kerana kejahilan atau kerana mengikut jejak langkah pemusnah-pemusnah agama yang dibawa oleh Rasul-rasul yang lalu dengan penuh kesedaran. Bagaimanapun terlebih dahulu Rasul telah mendedahkan tentang golongan ini melalui sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “ Hampir tiba suatu masa dimana seorang laki-laki bertelekan di atas sapanya lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadits dan pada hadits-haditsKu maka ia berkata: pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah (Al Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al Quran kami halalkan dan apa yang ia haramkan kami haramkan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya apa yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah. (Abu Daud/ Ibnu Majah)
Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita daripada termasuk ke dalam golongan ini dan semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang berdoa kepadanya dengan berkata:
Bermaksud: Oh tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti Rasul. Oleh itu suratkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu) - (Aali Imran:53)
Oleh:
Ustaz Muhammad Asri bin Yusoff.
Kubang Kerian,
Kelantan.
14/6/1995
Tiada ulasan:
Catat Ulasan