Allah mengajar hamba-hamba-Nya. Dia mengajar melalui al-Kitab
yang diturunkan kepada Rasul. Al-Kitab mengandungi petunjuk yang lengkap kepada
jalan lurus. Tiada satu pun dilupakan-Nya, baik besar mahupun kecil, termasuk
amalan salam hormat sesama manusia.
"Salam hormat" dalam bahasa Melayu adalah
"hayya" dalam bahasa al-Qur'an, atau Arab. Kalimat itu disebut
sebanyak sepuluh kali dan didapati pada tujuh ayat Kitab tersebut. Bilangannya
banyak, lantas menunjukkan salam hormat antara sesama manusia adalah penting
dan berfaedah.
Buat permulaan, diturunkan di bawah ini tiga daripada
ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat hayya, atau salam hormat berbunyi,
"Seruan mereka di dalamnya (syurga), 'Engkau disanjung,
ya Allah', dan salam hormat mereka, 'Salam', dan akhir seruan mereka, 'Segala
puji bagi Allah, Pemelihara semua alam'" (10:10).
"bagi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja
baik, dimasukkan ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di
dalamnya tinggal selama-lamanya, dengan izin Pemelihara mereka; salam hormat
mereka di dalamnya, 'Salam!'" (14:23).
"Salam hormat mereka, pada hari mereka temui-Nya, ialah
'Salam!' Dan Dia sediakan bagi mereka upah yang mulia'" (33:44).
Salam, atau salaam dalam lafaz Arab, adalah bunyi salam
hormat di akhirat bagi orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga. Itu juga
salam hormat pada hari orang-orang mukmin menemui Allah. Ia disebut
"Salam" (sin lam mim) bukan "As-Salam" (alif lam sin lam
mim) kerana kalimat yang kedua itu adalah nama Tuhan (59:23).
Salam bermaksud "sejahtera" atau
"kesejahteraan" atau "peace" dalam bahasa Inggeris.
Salam hormat tadi, yang diguna di akhirat, didapati diguna di
dunia ini juga. Ayat-ayat Allah yang menunjukkan kegunaannya adalah:
"Rasul-Rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita
gembira; mereka berkata, 'Salam!' Dia berkata, 'Salam'" (11:69).
"Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang
berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang bodoh
berucap kepada mereka, mereka berkata, 'Salam'" (25:63).
Daripada ayat-ayat tersebut dapat dipelajari bahawa
"Salam" diguna kepada orang-orang yang percaya kepada Allah dan
ayat-ayat-Nya, seperti Nabi Ibrahim, dan juga kepada orang-orang tidak percaya,
atau orang-orang bodoh.
Salam hormat yang dianjur oleh Allah, yang diberkati-Nya dan
baik, harus menjadi pakaian manusia di dunia ini. Itu adalah perintah-Nya.
Perintah tersebut terkandung di dalam ayat berikut:
"Apabila kamu masuk rumah, berilah salam kepada
diri-diri (sesama) kamu dengan salam hormat daripada Allah, yang diberkati dan
baik. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu faham"
(24:61).
Sebaliknya pula, Dia murka terhadap orang-orang yang tidak
menggunakan salam hormat yang telah diajar-Nya. Kemurkaan-Nya tersirat di dalam
ayat berbunyi,
"Kemudian, apabila mereka datang kepada kamu, mereka
beri salam hormat kepada kamu dengan yang tidak menurut salam hormat daripada
Allah kepada kamu" (58:8).
Begitulah beratnya salam hormat ajaran Allah di sisi-Nya.
Selain ucapan "Salam" Dia juga ajar serta menyuruh ucapkan kalimat
Salamun alaikum yang bermaksud Sejahtera ke atas kamu. Suruhan tersemat pada
ayat bererti,
"apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang
kepada kamu (Muhammad), katakanlah, 'Salamun alaikum'" (6:54).
Nabi telah ucapkan Salamun alaikum, atas perintah Allah,
kepada orang-orang yang percayai ayat-ayat al-Qur'an, yang datang kepadanya.
Salam yang diajar kepadanya, dan kepada semua hamba-hamba-Nya di dunia ini,
adalah "diberkati dan baik" (sila rujuk ayat 24:61 yang disebut
tadi).
Seperti itu juga diucap dalam situasi lain, seperti tatkala
menarik diri daripada orang-orang bodoh, iaitu mereka yang tidak percayai
ayat-ayat al-Qur'an, yang bercakap sia-sia mengenai agama. Firman-Nya:
"Apabila mereka dengar percakapan yang sia-sia, mereka
berpaling daripadanya, dan berkata, 'Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu,
amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak inginkan orang-orang
bodoh'" (28:55).
"Kum" pada "salamun alaikum" adalah untuk
jamak. Kepada seorang sahaja disebut "ka", seperti Nabi Ibrahim
menyebut dalam ucapan kepada bapanya berbunyi "Salamun alaika (Sejahtera
ke atas kamu)." Pengajaran didapati pada ayat Allah bermaksud,
"Dia berkata, 'Salaamun alaika!' Aku akan minta ampun
untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku"
(19:47).
Seterusnya, salam yang diajar Tuhan menjadi tanda untuk
mengenali sama ada seseorang berada dalam keadaan baik atau buruk - sama ada
dia masuk syurga atau neraka. Tanda dikenali ketika dia didatangi malaikat
untuk mematikannya. Kepada orang baik, malaikat-malaikat beri salam hormat
menurut ajaran Tuhan. Ayat di bawah menjelaskannya:
"Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan
baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu
buat'" (16:32).
Bagi orang dalam keadaan buruk pula, dia tidak diberi salam,
tetapi hanya kata-kata yang mengancam, sebagaimana digambarkan di dalam dua
ayat berikut:
"Jika kamu dapat lihat ketika orang-orang zalim dalam
sengsara kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka,
'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan
kerana kamu kata yang tidak benar terhadap Allah, dan sombong terhadap
ayat-ayat-Nya'" (6:93).
"Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan
orang-orang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang
mereka, 'Rasalah azab yang membakar,'" (8:50).
Salamun alaikum pun diucap di akhirat, kepada orang-orang
yang dimasukkan ke dalam Taman (syurga). Tiga ayat di bawah membuktikannya:
"Dan di antara keduanya ada tabir, dan di atas Benteng
adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang
memanggil penghuni-penghuni Taman, 'Salamun alaikum!' Mereka belum memasukinya,
dan mereka sangat menginginkannya" (7:46).
"'Salamun alaikum, kerana kamu telah sabar.' Sangat
baiknya tempat kediaman muktamad" (13:24).
"Kemudian orang-orang bertakwa kepada Pemelihara mereka
dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Taman, sehingga apabila mereka datang
kepadanya, dan pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada
mereka, 'Salamun alaikum! Kamu telah maju dengan baik; masuklah untuk tinggal
selama-lamanya'" (39:73).
Salam yang diterima harus dibalas. Ia dibalas dengan salam
yang serupa atau yang lebih baik. Perkara ini bukan remeh kerana Allah buat
hitungan ke atasnya. Demikian itulah maksud firman Allah yang menyusul,
"Dan apabila kamu dihormati dengan salam hormat, maka
berilah salam hormat yang lebih baik daripadanya, atau kembalikan ia;
sesungguhnya Allah buat hitungan atas segala sesuatu" (4:86).
Sebagai contoh, pada ayat 11:69 yang telah disebut terlebih
dahulu, dipelajari bahawa Nabi Ibrahim membalas dengan kata "Salam"
kepada ucapan "Salam" malaikat-malaikat yang datang.
Mungkin sebutan "Salamun alaikum" adalah apa yang
dimaksudkan dengan membalas salam yang lebih baik bagi "Salam" pada
contoh yang baru disebut.
Sekiranya diberi salam dengan "Salamun alaika" atau
"Salamun alaikum" pula, maka ia dibalas dengan yang serupa kerana,
pada hemat penulis, tiada lagi yang lebih baik daripada itu, yang diajar Allah.
Ajaran Allah melalui ayat-ayat al-Qur'an dibuat-Nya jelas
supaya hamba-hamba-Nya faham (ayat 24:61 tadi). Namun, timbul pula ajaran baru
dengan salam yang lebih panjang setelah ditambah beberapa patah perkataan pada
ajaran Allah, berbunyi,
As-salamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam yang pendek pun diajar juga, berbunyi,
As-salamu alaikum.
Ajaran baru terbit dari kitab karangan manusia zaman dahulu,
seperti Bukhari, yang bukan seorang Nabi atau seorang Rasul, mahupun seorang
Arab. Dia orang Parsi, dan tinggal kira-kira dua ratus tahun selepas Nabi
wafat.
Contoh ajaran Bukhari diturunkan di bawah ini setelah di-copy
and paste (maaf, ia dalam bahasa Inggeris) daripada CD terbitan "Islamic
Computing Centre, London (1994)" yang tersurat seperti berikut:
Narrator : AbuHurayrah
Reference : SAHIH
AL-BUKHARI
Hadith no : 8.246
Full_text : The Prophet (peace_be_upon_him) said,
"Allah created Adam in His image, sixty cubits (about 30 meters) in
height. When He created him, He said (to him), 'Go and greet that group of
angels sitting there, and listen to what they will say in reply to you, for
that will be your greeting and the greeting of your offspring.' Adam (went and)
said, 'As-salamu Alaykum (Peace be upon you).' They replied, 'As-salamu Alaykum
wa Rahmatullah (Peace and Allah's Mercy be on you).' So they added 'Wa Rahmatullah.'"
The Prophet (peace_be_upon_him) added, "So, whoever will
enter Paradise, will be of the shape and image of Adam. Since then the creation
of Adam's (offspring) (i.e. stature of human beings) is being diminished
continuously up to the present time."
Penulis tidak ingin memperbanyakkan kata atas kekeliruan yang
hadir pada "Hadis Nabi" tersebut, seperti ketinggian Adam yang
dikatakan 30 meter (yang mungkin setinggi atau lebih tinggi daripada haiwan
dinosaur), atau penggunaan kalimat "As-Salam", atau petunjuk daripada
malaikat, atau ketiadaan kata "wabarakatuh" pada tulisan Bukhari.
Akan tetapi, yang ingin dikatakan seterusnya ialah mengenai
pilihan. Kini umat didatangi dua cara untuk memberi dan membalas salam. Umat
kena pilih satu sahaja sebab Tuhan hanya satu. Pilihan haruslah memikirkan
tentang siapa empunya syurga dan neraka. Dan bahawa umat tidak akan hidup lagi
sesudah mati untuk membetulkan kesilapan dalam buat pilihan itu.