The Alien - Link Select

Isnin, 4 Ogos 2008

WONG ENTERPRISE


Tiba-tiba satu kekecohan berlaku di kaunter hadapan.
Encik Wong segera bertindak pantas dengan bergegas cepat ke kaunter. Seorang lelaki melayu sedang bertekak dengan pekerjanya. Lelaki itu berumur dalam lingkungan 30-an dan berpakaian kemas.
Haidar mengalih perhatian ke arah kaunter. Siva dan Kai juga berbuat demikian.
”Kai...”
”Ya?”
”Ini latihan untuk kamu sebagai penyiasat ketiga. Saya mahu kamu menganalisa lelaki itu dan beritahu saya nanti. Setiap aktiviti orang perseorangan hendaklah kita siasat dengan teliti. Tidak ketinggalan juga individu yang muncul selepas satu-satu kejadian berlaku. Saya ingin melihat ke belakang kedai ini. Kamu, Siva. Teruskan dalam kedai ini.” Haidar kermudiannya bergerak ke arah pintu hadapan kedai dan melepasi lelaki yang sedang bertekak dengan Encik Wong itu.
Seimbas dipandangnya lelaki itu. Kemudian dia keluar melalui pintu cermin yang tertulis di permukaannya dengan perkataan ’Sila Masuk’. Tanpa menghiraukan situasi yang berlaku itu dia bergerak ke bahagian belakang kedai.
Siva turut bergerak dan meneliti kesan-kesan yang mungkin ditinggalkan oleh penceroboh itu. Manakala Kai pula menghampiri kaunter dan berdiri di belakang encik Wong. Lelaki berkulit cerah itu diperhatikan.
“Aku tak peduli!”
“Tak boleh, encik.” Pekerja encik Wong bersuara sedikit tertekan dengan kerenah lelaki itu.
Lelaki itu kelihatan agak tertekan dengan keinginannya sendiri.
“Ya encik? Apa yang boleh saya tolong?” Encik Wong bersuara. Lelaki berpakaian kemas itu menoleh pada encik Wong dengan wajah yang sedikit lega.
“Aaah... Mujurlah encik ada. Encik ni siapa?”
“Saya pengurus Wong Enterprise. Apa yang boleh saya bantu, encik?”
Kai merenung lelaki itu dari atas ke bawah. Ada sesuatu yang menarik perhatian Kai pada lelaki itu.
”Saya mahu beli kesemua stok sabun yang ada dalam kedai ini.” kata lelaki itu.
Encik Wong kerut kening tapi masih mampu senyum nipis pada lelaki itu. Sekilas dia menoleh ke belakang kedai, melihat Siva sedang mundar-mandir di situ dan kemudian mengarahkan pandangannya kepada lelaki itu.
”Maafkan saya, encik...?”
”Jarud. Panggil saya Jarud sahaja. Bagaimana encik? Boleh saya beli kesemua stok sabun encik?” Soal lelaki itu tidak sabar-sabar.
”Maafkan saya Encik Jarud. Kami menghadapi sedikit masalah dengan stok-stok sabun yang ada. Mungkin encik boleh dapatkan sabun-sabun yang encik mahu di kedai sebelah. Rinie Shopmall pasti ada stok sabun yang encik inginkan.”
”Saya hanya mahukan sabun jenama Mezzest. Saya sudah pun ke kedai itu tadi. Mereka sudah kehabisan stok jenama itu.”
Encik Wong diam seketika. Dan kemudian dia bersuara. ”Maaflah encik Jarud. Kami memang tidak dapat menjualnya pada encik buat masa ini. Esok atau lusa encik boleh datang semual. Kami akan dapatkan stok-stok baru untuk jenama sabun itu.”
”Tidak!” tiba-tiba lelaki itu meninggikan suara. ”Saya mahukan sabun-sabun itu hari ini juga. Katakan berapa sahaja harga yang encik tawarkan.”
Encik Wong kerut kening. Persoalan muncul dibenaknya.. kerenah lelaki itu agak ganjil. Kai juga merasakan sesuatu yang pelik dengan pelanggan itu. Untuk apa lelaki itu mahukan kesemua stok sabun yang ada? Dan siapa lelaki itu? Persoalan itu muncul dalam kotak fikiran Kai.
Kai bergerak kedepan pintu masuk dan mencari-cari sesuatu di situ. Kemudian dia masuk semula dan mencapai dua plastik teopung gandum cap ‘Wau’. Gelagat Kai ini tidak disedari langsung oleh encik Wong atau pelanggannya yang sedang tertekan itu. Tiba-tiba Kai tersadung sesuatu ketika menghampiri pintu. Tepung cap Wau pecah dan bertaburan di pintu masuk.
Encik Wong menoleh ke arah Kai. Tetapi kembali menoleh ke wajah lelaki itu.
”Maafkan saya, encik Jarud. Encik datang esok sahaja.”
Lelaki itu tidak menyahut. Tetapi berlalu setelah menarik nafas dalam keadaan marah dan tertekan. Tanpa mempedulikan Kai yang terbongkok-bongkok mencapai plastik tepung yang pecah itu dia melangkah dan memijak serbuk tepung itu.
Setelah lelaki itu hilang di balik bangunan encik Wong mendapatkan Kai. ”Kenapa ni?”
”Maafkan saya encik Wong.” Kai memohon maaf. ”Saya perlu dapatkan sesuatu di sini.”
”Encik Wong kerut kening. ” Apa dia?”
Kai tidak menyahut dan kemudian membongkok dan meneliti tapak kaki yang ditinggalkan oleh lelaki itu tadi. Kai mengukur tapak kaki yang terhasil dari serbuk tepung yang memutih di atas lantai marmar dengan menggunakan pita pengukur. Encik Wong sekadar memerhatikan perbuatan Kai dengan penuh tanda tanya.



HAIDAR memerhati sekeliling. Lorong belakang itu adalah sama seperti lorong-lorong belakang kedai yang pernah dilihatnya. Penuh dengan sampah-sarap yang memenuhi tong sampah yang sudah tepu dengan kotoran. Belakang kedai encik Wong kelihatan bersih dan tiada sebarang kenderaan yang kelihatan.
Ada sebuah pintu dengan pemegang tombol bulat yang dihadang gril besi hitam di belakang kedai itu. Tiada langsung tanda-tanda yang mencurigakan.
Haidar memeriksa dengan teliti beberapa kali. Dan kemudian dia bergegas ke depan kedai. Sebelah kedai Wong Enterprise adalah kedai runcit Azli Shopping. Haidar masuk dan bercakap dengan seorang petugas di kaunter dan kemudian keluar dari perut kedai mendapartkan Kai di hadapan kedai.
”Kai?”
Kai yang ketika itu sedang mengukur kesan tapak kaki mendongak dan senyum. ”Dah dapat!” katanya.
Haidar mengangguk dan bergerak ke belakang kedai. Siva ketika itu sedang meneliti sesuatu pada beberapa bahagian dinding stor.
”Siva?”
”Beres!”
”Kai?”
”Lelaki tadi bernama Jarud, bukan seorang yang bekerja di jabatan kerajaan. Bekerja di sebuah syarikat swasta di sekyen 16. Kilang Sabun Mezzest. Dia mungkin orang yang kita cari.” ulas Kai sambil menoleh ke arah Haidar dan Siva.
Encik Wong ternganga mendengar kata-kata Kai. Kerut di keningnya kelihatan lebih jelas kini.
”Siva?”
”Sabun-sabun yang ada ini menunjukkan penceroboh ini cuai dalam menjalankan kerja-kerjanya. Dia bukan sahaja meninggalkan kesan dirinya malah telah mendedahkan siapa dirinya yang sebenarnya. Saya telah mengukur kesan tapak kaki yang tertinggal di sudut barat stor ini. Ada kesan minyak yang berbentuk tapak kasut di sana.”
”Kesan tapak kasut?”
”Ya, dan ia adalah saiz tujuh, jenis tapak bergerigi tajam dan bunga bulat.”
”Hmmm... sama dengan lelaki tadi. Saiz tujuh.”
”Lelaki tadi?”
”Ya... lelaki yang bertekak dengan encik Wong tadi.”
Mereka bertiga menoleh ke arah lelaki cina itu.
”kamu pastikah lelaki tadi adalah orangnya?” soal encik Wong.
Haidar menggeleng. ”Mungkin... kita akan pastikan malam ini.”
”Malam ini?”
”Ya... malam ini. Saya yakin penceroboh itu akan kembali lagi. Siapa pun dia, tugasnya belum selesai.” Gumam Haidar.
”Tapi mana kamu tahu lelaki tadi...?”
”Mudah saja encik Wong.” Haidar mengorak senyum. Ditatapnya wajah encik Wong yang berkerut kehairanan itu. ”Jarud itu bukanlah penjawat awam walaupun dia seorang yang berdisiplin dan berpakaian kemas. Hari ini adalah hari Khamis. Dan penjawat awam diwajibkan memakainya pada hari khamis. Dan hari itu adalah hari ini, Encik Wong.”
”Mana kamu tahu dia bekerja di kilang sabun Mezzest?”
”Baju yang dia pakai ada nama yang terukir pada kolar bajunya. Walaupun agak kecil perkataan itu. Namun, ia jelas dilihat. Mezzest!”

”Kita perlu bersedia... malam ini dia akan kembali lagi.”
”Dia akan kembali lagi?”
Haidar mengangguk. Siva dan Kai sekadar memerhati wajah encik yang terlopng dengan ungkapan ketua penyiasat itu.
“Mana kamu tahu dia akan kembali lagi?”
”Tugasnya masih belum selesai. Objek yang dicari belum dijumpai. Kedai sebelah juga digeledah dua hari lepas.”
”Hah? Kedai sebelah pun diceroboh juga?” Encik Wong sekali lagi bersuara dengan nada yang terkejut. ”Tapi, encik Azli tak beritahu pun tentang kedainya yang diceroboh.”
“Ya, betul... kalau kita tidak bersedia malam ini. Tentu orang ini akan dapat apa yang dicarinya. Kita mesti tangkap dia dan apapun yang ingin dicarinya. Tadi saya telah berjumpa dengan seorang pekerja di kedai sebelah.”
”Encik Wong ada stok lain, kah?”
“Ada… saya ada sebuah kotak sabun jenama itu lagi.”









2 PAGI

HAIDAR melabuhkan punggungnya setelah penat mencangkung dia atas lantai kedai yang semakin sejuk itu. Siva dan Kai berada tidak jauh darinya. Kedua-dua sahabatnya itu juga sepertinya. Manunggu dan memerhati ketibaan penceroboh itu. Dia ingin melihat sendiri penceroboh itu.
“Kau yakin penceroboh itu akan datang malam ni?”
Haidar angguk. Segala ceruk kedai itu diperhati dengan teliti. Suasana suram menguasai ruang kedai itu. Dia tahu ada kamera litar tertutup yang baru saja dipasang petang tadi di sudut utara ruang kedai. Dari sudut itulah segala objek yang bakal muncul di pintu masuk itu akan kelihatan. Namun, dia bukanlah bodoh untuk menunggu di sana. Penceroboh biasanya tidak akan melalui pintu yang ternganga.
SEDUTAN DARI NOVEL TIGA PENYIASAT- Karya baru SILZACK KHAIROL.