The Alien - Link Select

Khamis, 6 Mac 2008

'Filem hasut kebencian al-Quran'

ISLAMABAD: Sebuah filem berunsur anti al-Quran oleh seorang ahli politik Belanda bertujuan menanam kebencian politik dan agama serta tidak wajar sama sekali, kata Pakistan, semalam. Ahli politik Belanda terbabit, Geert Wilders, yang bersikap antiimigran memberi tajuk ‘Fitna’ kepada filem berkenaan. Beliau mendakwa, filem itu adalah pandangannya mengenai al-Quran dan pernah mendesak kerajaan mengharamkannya.
“Filem Wilders yang berunsur anti al-Quran menunjukkan beliau mempunyai pandangan berat sebelah dan perkauman. Ia tidak ada kena mengena dengan soal kebebasan bersuara,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Mohammad Sadiq, dalam taklimatnya, semalam. Wilders berkata, filem itu sudah siap dan sedang berunding dengan stesen televisyen untuk siaran bulan ini atau April. Kerajaan Belanda sudah menyuarakan kebimbangan filem itu akan mencetuskan bantahan seumpama penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad SAW di kalangan orang Islam menyebabkan 50 orang maut termasuk lima orang di Pakistan pada awal 2006.