The Alien - Link Select

Isnin, 16 Julai 2012

RAMADHAN DAN PUASA???



Ramadan (b. Arab: رمضان, transliterasi: Ramaḍān, terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak") adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:
Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...
surah Al-Baqarah, ayat 185
Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa


Ramadan berasal dari kata akar رﻣض , yang bererti panas yang menyengat atau kekeringan, khususnya pada tanah. Dari kata akar tersebut kata Ramadan digunakan untuk menunjukkan adanya sensasi panas ketika seseorang itu kehausan. Pendapat lain mengatakan bahwa kata Ramadan digunakan kerana pada bulan itu dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah. Hal ini dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan Ramadan untuk serius mencairkan, memuhasabah diri dan memperbaharui kekuatan jasmani, rohani dan tingkah lakunya, sebagaimana panas mewakili sesuatu yang dapat mencairkan bahan [2] .


Para ulama bersetuju bahawa Al-Quran mula diturunkan pada bulan Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahlu sunnah wal jamaah menerima bahawa al-Qur'an diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan [5] dan oleh itu 17 Ramadan diperingati sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul Quran) buat pertama kalinya (terdapat juga perbezaan pendapat mengenai perlu tidaknya peristiwa ini dirayakan [6]). Pada malam tersebut surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w. sedang berada di Gua Hira. Peringatan peristiwa ini biasanya dilakukan dengan acara ceramah di masjid-masjid.

Puasa Ramadan

Muslim menunggu untuk berbuka puasa beramai-ramai di Kaherah, Mesir
Selama sebulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa setiap hari, dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (maghrib). Selama berpuasa, mereka harus menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sehingga tiba waktu berbuka. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah dan sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan dengan seharian berpuasa.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa [2]. Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.

Solat Tarawih

Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah.

Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini [9]. Nilai zakat fitrah yang harus dikeluarkan per individu adalah satu gantang makanan ruji di daerah bersangkutan. Jumlah ini adalah setara dengan 2.70 kg beras.

 Aidil Fitri

Akhir bulan Ramadan dirayakan dengan sukacita oleh seluruh Muslim di dunia. Pada malam harinya (malam 1 Syawal), yang biasa disebut malam kemenangan, mereka akan mengumandangkan takbir bersama-sama. Esoknya tanggal 1 Syawal, yang dirayakan sebagai Hari Raya Aidil Fitri, semua Muslim baik lelaki mahupun perempuan digalakkan ke masjid untuk melakukan Solat Sunat Hari Raya. Solat dua raka'at ini akan diikuti khutbah mengenai Aidil Fitri.

selamat berpuasa wahai saudara-saudaraku...