The Alien - Link Select

Selasa, 19 Januari 2016

SURAH THA HA ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

20:1. Tha Ha.

20:2. Kami tidak turunkan al-Qur'an kepada kamu supaya kamu jadi sengsara,

20:3. Tetapi hanya sebagai peringatan bagi orang yang takut.

20:4. Satu penurunan daripada-Nya yang mencipta bumi dan langit yang tinggi.

20:5. Yang Pemurah, duduk di atas Arasy,

20:6. Kepunyaan-Nya apa yang di dalam langit, dan apa yang di dalam bumi, dan semua yang di antara keduanya, dan semua yang di bawah tanah.

20:7. Kamu lantangkanlah ucapan kamu; namun demikian, sesungguhnya Dia tahu rahsia, dan apa yang lebih tersembunyi.

20:8. Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia. Kepunyaan-Nya nama-nama paling baik.

20:9. Sudahkah datang kepada kamu hadis (cerita) Musa?

20:10. Apabila dia melihat api, dan berkata kepada keluarganya, "Tetaplah kamu di sini; aku lihat api. Mudah-mudahan aku datangkan kepada kamu sepotong kayu yang bernyala, atau aku dapati di api, petunjuk."

20:11. Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil, "Wahai Musa,

20:12. Sesungguhnya Akulah Pemelihara kamu; tanggalkan kasut kamu; kamu adalah di lembah suci, Thuwa.

20:13. Aku Sendiri telah pilih kamu; maka dengarlah apa yang diwahyukan.

20:14. Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku.

20:15. Saat pasti datang; Aku hampir-hampir rahsiakannya, supaya tiap-tiap jiwa dibalas dengan apa ia usahakan.

20:16. Janganlah sesiapa halangi kamu daripadanya, yang tidak percayainya dan ikut keinginannya, atau kamu akan binasa.

20:17. Apakah itu yang di tangan kanan kamu, wahai Musa?"

20:18. Berkata, "Ia tongkatku; aku bersandar padanya, dan dengannya aku memukul pokok untuk daun-daun kambingku, dan keperluan lain juga aku dapati padanya."

20:19. Berkatalah Dia, "Lemparlah ia, wahai Musa!"

20:20. Maka dia melemparnya, dan tiba-tiba ia jadi ular yang merayap.

20:21. Berkata, "Ambillah ia, dan janganlah takut; Kami akan kembalikan kepada keadaannya yang pertama.

20:22. Dan kepitkan tangan kamu pada sayap (ketiak) kamu; ia akan keluar putih, tanpa keburukan. Itu adalah ayat yang kedua,

20:23. Untuk Kami lihatkan kepada kamu sebahagian daripada ayat-ayat Kami yang terbesar.

20:24. Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya dia melampaui batas."

20:25. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, lapangkanlah dadaku,

20:26. Dan mudahkanlah untukku urusanku.

20:27. Dan lepaskanlah ikatan pada lisanku (lidahku),

20:28. Supaya mereka faham ucapanku.

20:29. Lantikkanlah untukku, daripada keluargaku, seorang wazir,

20:30. Harun, saudaraku.

20:31. Dengan dia, teguhkanlah kekuatanku,

20:32. Dan sekutukanlah dia dengan aku dalam urusanku,

20:33. Supaya kami sanjung Engkau dengan banyak,

20:34. Dan mengingat Engkau dengan banyak.

20:35. Sesungguhnya Engkaulah yang melihat pada kami."

20:36. Berkatalah Dia, "Kamu diberi, wahai Musa, rayuan kamu.

20:37. Pada kali yang lain, Kami telah pun berbudi baik kepada kamu,

20:38. Apabila Kami wahyukan apa yang diwahyukan kepada ibumu,

20:39. 'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku lemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku).

20:40. Apabila saudara perempuan kamu pergi berjalan, dan berkata, 'Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu orang yang akan menjaganya?' Maka Kami kembalikan kamu kepada ibumu, supaya dia gembira, dan tidak sedih. Kemudian kamu bunuh satu jiwa, dan Kami selamatkan kamu daripada kesedihan, dan Kami uji kamu dengan banyak ujian. Kamu telah tinggal beberapa tahun di kalangan penduduk Madyan, kemudian kamu datang, wahai Musa, menurut satu ketetapan.

20:41. Aku telah pilih kamu untuk diri-Ku,

20:42. Pergilah kamu dan saudara kamu dengan ayat-ayat-Ku, dan janganlah lalai untuk mengingati-Ku.

20:43. Pergilah kamu berdua kepada Firaun; sesungguhnya dia melampaui batas.

20:44. Namun begitu, ucapkanlah dengan lemah lembut kepadanya; mudah-mudahan dia mengingati, atau dia takut."

20:45. Keduanya berkata, "Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya kami takut bahawa dia bersegera menyeksa kami, atau melampaui batas."

20:46. Berkatalah Dia, "Jangan takut. Sesungguhnya Aku berserta kamu, mendengar dan melihat.

20:47. Maka pergilah kamu berdua kepadanya, dan katakan, 'Kami adalah Rasul-Rasul Pemelihara kamu, maka utuskanlah bersama kami Bani Israil dan janganlah azab mereka; kami datang kepada kamu dengan ayat daripada Pemelihara kamu; dan sejahtera ke atas orang yang ikut petunjuk!

20:48. Telah diwahyukan kepada kami bahawa azab adalah kepada orang yang dustakan dan berpaling.'"

20:49. Berkata, "Siapakah Pemelihara kamu, wahai Musa?"

20:50. Berkata, "Pemelihara kami ialah Dia yang beri segala sesuatu ciptaannya, kemudian berikannya petunjuk."

20:51. Berkata, "Dan bagaimanakah dengan generasi-generasi dahulu?"

20:52. Berkata, "Pengetahuan mengenai mereka adalah di sisi Pemeliharaku di dalam Kitab; Pemeliharaku tidak sesat, dan tidak juga lupa.

20:53. Dia yang buatkan bumi untuk menjadi buaian bagi kamu, dan di dalamnya menyelitkan jalan-jalan untuk kamu dengan beberapa jalan, dan turunkan air dari langit, dan dengannya Kami keluarkan bermacam-macam jenis tumbuhan.

20:54. Makanlah kamu, dan biarkanlah binatang ternak kamu makan! Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi orang-orang empunya pengertian.

20:55. Daripadanya Kami cipta kamu, dan kepadanya Kami kembalikan kamu, dan keluarkan kamu darinya pada kali yang kedua."

20:56. Maka Kami lihatkan kepadanya semua ayat-ayat Kami, tetapi dia dustakan, dan dia tolak.

20:57. Berkata, "Adakah kamu datang kepada kami untuk mengusir kami daripada bumi kami dengan sihir kamu, wahai Musa?

20:58. Sungguh, kami akan datangkan kepada kamu sihir yang serupa dengannya; maka buatlah satu janji temu antara kami dan kamu di suatu tempat yang disetujui bersama, dan kami tidak mungkirinya, dan tidak juga kamu."

20:59. Berkata, "Janji temu kamu ialah Hari Perhiasan. Hendaklah manusia dikumpulkan pada waktu duha (pagi)."

20:60. Firaun berpaling, dan kumpulkan muslihatnya. Kemudian dia datang.

20:61. Musa berkata kepada mereka, "Celakalah! Janganlah ada-adakan dusta terhadap Allah supaya Dia tidak binasakan kamu dengan azab. Kecewalah orang yang mengada-adakan."

20:62. Dan mereka berbalahan dalam urusan mereka antara mereka, dan berbicara secara rahsia.

20:63. Mereka berkata, "Dua orang ini adalah ahli-ahli sihir, dan mereka hendak usir kamu daripada bumi kamu dengan sihir mereka, dan untuk hilangkan tarekat (jalan) kamu yang terutama.

20:64. Maka kumpulkan muslihat kamu, kemudian datanglah dalam barisan-barisan. Sesiapa pada hari ini yang di atas, sungguh beruntung."

20:65. Mereka berkata, "Wahai Musa, adakah kamu yang akan lempar, atau kamikah yang pertama melemparkan?"

20:66. Berkata, "Tidak, kamu lemparlah!" Dan tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap,

20:67. Dan Musa berasa takut di dalam dirinya.

20:68. Kami berkata, "Jangan takut; sesungguhnya kamulah yang tinggi,

20:69. Lemparlah apa yang di tangan kanan kamu, dan ia akan telan apa mereka buat; mereka hanya buat tipu muslihat ahli sihir, dan ahli sihir tidak beruntung di mana sahaja dia datang."

20:70. Dan ahli-ahli sihir lemparkan diri-diri mereka, bersujud. Mereka berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara Harun dan Musa."

20:71. Berkata, "Kamu percaya kepadanya sebelum aku izinkan kamu! Sesungguhnya dia pembesar kamu yang mengajar kamu sihir; sungguh, aku akan potong berselang-seli tangan-tangan kamu dan kaki-kaki kamu, dan kemudian aku akan salib kamu pada batang pohon-pohon palma; kamu pasti akan tahu siapa antara kita yang lebih keras dalam azab, dan lebih kekal."

20:72. Mereka berkata, "Kami tidak akan lebih suka kamu daripada bukti-bukti yang jelas yang datang kepada kami, dan tidak juga daripada Dia yang memulakan kami. Maka putuskanlah apa yang kamu akan putuskan; kamu hanya boleh memutuskan mengenai kehidupan dunia ini.

20:73. Kami percaya kepada Pemelihara kami supaya Dia ampunkan kami atas pelanggaran-pelanggaran kami dan sihir yang kamu paksa kami lakukan; Allah adalah lebih baik, dan lebih kekal."

20:74. Sesiapa yang datang kepada Pemeliharanya sebagai seorang yang berdosa, baginya Jahanam; di dalamnya dia tidak mati, dan tidak juga hidup.

20:75. Dan sesiapa yang datang kepada-Nya sebagai seorang mukmin, setelah buat kerja-kerja baik , maka mereka itu, bagi mereka darjat yang tertinggi.

20:76. Taman-Taman Adn, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; itulah balasan ke atas orang yang menyucikan diri.

20:77. Kami wahyukan Musa, "Berjalanlah dengan hamba-hamba-Ku pada waktu malam; buatkan untuk mereka jalan yang kering di dalam laut, tanpa takut akan dipintas, dan tidak juga ketakut-takutan."

20:78. Firaun ikut mereka dengan tenteranya, tetapi mereka ditutupi oleh laut, mereka ditutup.

20:79. Dan Firaun telah sesatkan kaumnya, dan tidak beri petunjuk.

20:80. Wahai Bani Israil, Kami telah selamatkan kamu daripada musuh kamu, dan Kami menemujanji dengan kamu di sebelah kanan gunung, dan turunkan kepada kamu manna dan salwa.

20:81. "Makanlah benda-benda yang baik yang Kami rezekikan kamu, tetapi janganlah melampaui batas padanya, atau kemurkaan-Ku akan turun kepada kamu; dan sesiapa diturunkan kepadanya kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.

20:82. Sesungguhnya Aku, Yang Pengampun kepada orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan akhirnya dapat petunjuk."

20:83. "Mengapakah kamu bercepat-cepat daripada kaum kamu, wahai Musa?"

20:84. Berkata, "Mereka adalah di atas jejakku; aku bercepat-cepat, wahai Pemeliharaku, hanya supaya aku memuaskan hati Engkau."

20:85. Berkatalah Dia, "Sungguh, Kami uji kaum kamu sepeninggalan kamu, dan Samiri sesatkan mereka."

20:86. Kemudian Musa kembali, marah dan dukacita, kepada kaumnya. Dia berkata, "Wahai kaumku, tidakkah Pemelihara kamu janjikan satu janji yang baik kepada kamu? Adakah masa perjanjian terasa terlalu panjang kepada kamu, atau adakah kamu hendak kemurkaan diturunkan kepada kamu daripada Pemeliharamu, supaya kamu mungkiri janji temu kamu denganku?"

20:87. Mereka berkata, "Kami tidak mungkiri janji temu kami dengan kamu daripada kemahuan kami; tetapi kami dibebankan oleh beban-beban, yang juga adalah perhiasan-perhiasan kaum, dan kami lemparkan mereka, seperti demikian Samiri lemparkan mereka, ke dalam api."

20:88. Kemudian dia keluarkan bagi mereka Anak Lembu yang hanya berjasad, berbunyi seperti lembu; dan mereka berkata, "Inilah tuhan kamu, dan tuhan Musa, yang dia lupa."

20:89. Apa, tidakkah mereka lihat bahawa ia tidak kembalikan ucapan kepada mereka, dan tidak juga ada sebarang kuasa untuk mudaratkan atau manfaatkan mereka?

20:90. Namun begitu, Harun sebelumnya telah berkata kepada mereka, "Wahai kaumku, kamu hanyalah diuji dengannya; sesungguhnya Pemelihara kamu ialah Yang Pemurah; maka ikutlah aku, dan taatlah kepada perintahku."

20:91. Mereka berkata, "Kami akan tetap bertekun padanya sehingga Musa kembali kepada kami."

20:92. Berkata, "Apakah yang halangi kamu, wahai Harun, apabila kamu lihat mereka sesat,

20:93. Supaya kamu tidak ikut aku? Adakah kamu ingkar akan perintahku?"

20:94. Berkata, "Wahai anak ibuku, janganlah ambil aku dengan janggut, atau kepalaku! Aku takut kamu akan berkata, 'Kamu telah pecahkan Bani Israil, dan kamu tidak endahkan ucapanku.'"

20:95. Berkata, "Dan kamu, Samiri, apakah urusan kamu?"

20:96. Berkata, "Aku lihat apa yang mereka tidak lihat, dan aku ambil segenggam debu daripada jejak Rasul, dan melemparnya ke dalam benda itu. Demikian jiwaku menghasutku."

20:97. Berkata, "Pergilah! Bagi kamu dalam seluruh kehidupan dunia ini adalah untuk berkata, 'Jangan sentuh aku!', dan selepas itu ada janji temu bagi kamu yang kamu tidak mungkir. Lihatlah pada tuhan kamu, yang kamu tetap bertekun padanya! Sungguh, kami akan membakarnya dan taburkan abunya ke dalam laut, bertaburan.

20:98. Tuhan kamu hanyalah Allah; tidak ada tuhan, melainkan Dia sahaja, yang dalam pengetahuan-Nya merangkumi segala sesuatu."

20:99. Demikianlah Kami ceritakan kepada kamu berita-berita daripada apa yang telah berlalu, dan kami beri kamu peringatan daripada sisi Kami.

20:100. Sesiapa yang berpaling daripadanya, pada Hari Kiamat, dia akan memikul beban,

20:101. Di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya; betapa buruknya pada Hari Kiamat beban itu untuk mereka!

20:102. Pada hari trompet ditiup; dan Kami kumpulkan orang-orang yang berdosa, pada hari itu, dengan mata-mata merenung dengan tepat,

20:103. Mereka berbisik-bisik kepada satu sama lain, "Kamu tinggal hanya sepuluh."

20:104. Kami sangat-sangat tahu apa mereka kata, apabila yang terutama daripada mereka pada tarekat (jalan) berkata, "Kamu tinggal hanya sehari."

20:105. Mereka tanya kamu mengenai gunung-gunung. Katakanlah, "Pemelihara aku akan taburkan mereka, bertaburan,

20:106. Kemudian Dia tinggalkan mereka menjadi lubang yang rata,

20:107. Di mana kamu lihat tiada yang bengkok, dan tiada juga sebarang yang lengkok."

20:108. Pada hari itu, mereka ikut penyeru yang padanya tiada kebengkokan, dan suara-suara direndahkan kepada Yang Pemurah supaya kamu dengar tiada, kecuali bisikan.

20:109. Pada hari itu, syafaat (pengantaraan) tidak bermanfaat kecuali orang yang kepadanya Yang Pemurah izinkan, dan ucapannya Dia sangat puas hati.

20:110. Dia tahu apa yang di hadapan mereka, dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahuinya dalam pengetahuan.

20:111. Dan muka-muka tunduk kepada Yang Hidup, Yang Kekal; dan kecewalah orang yang membawa kezaliman.

20:112. Tetapi sesiapa yang buat kerja-kerja baik , sedang dia seorang mukmin, dia tidak takut akan kezaliman, dan tidak juga ketidakadilan.

20:113. Begitulah Kami turunkannya sebagai sebuah al-Qur'an bahasa Arab, dan Kami mengulang-ulangi di dalamnya sesuatu daripada ancaman, supaya mereka bertakwa, atau ia menimbulkan peringatan bagi mereka.

20:114. Maka, tingginya Allah, Raja yang benar! Dan janganlah bercepat-cepat dengan al-Qur'an, sebelum wahyunya disempurnakan kepada kamu, dan katakan, "Wahai Pemeliharaku, tambahkanlah aku dalam pengetahuan."

20:115. Dan Kami telah buat perjanjian dengan Adam sebelumnya, tetapi dia lupa, dan Kami dapati padanya tiada tekad yang kuat.

20:116. Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia enggan.

20:117. Kemudian Kami berkata, "Wahai Adam, sesungguhnya ini musuh bagi kamu, dan isteri kamu. Maka janganlah ia keluarkan kamu berdua dari Taman supaya kamu jadi sengsara.

20:118. Sesungguhnya bagi kamu, tidaklah kamu kelaparan di dalamnya, dan tidak juga kamu bertelanjang,

20:119. Dan tidak juga kamu berasa dahaga di dalamnya, dan tidak juga kepanasan."

20:120. Kemudian syaitan bisik kepadanya, dengan berkata, "Wahai Adam, bolehkah aku tunjukkan kepada kamu Pokok Yang Kekal, dan sebuah kerajaan yang tidak binasa?"

20:121. Maka kedua mereka makan daripadanya, dan bahagian-bahagian aib mereka jadi nyata bagi mereka, dan mereka mulai menjahit pada mereka daun-daun Taman. Dan Adam mengingkari Pemeliharanya, lalu bersalahlah dia.

20:122. Setelah itu Pemeliharanya memilihnya, dan terima taubatnya, dan Dia memberinya petunjuk.

20:123. Berkata, "Turunlah kamu, kedua-dua kamu bersama-sama, keluar darinya, sebahagian kamu jadi musuh bagi sebahagian yang lain; tetapi jika datang kepada kamu daripada-Ku petunjuk, maka sesiapa yang ikut petunjuk-Ku, tidak akan sesat, dan tidak juga dia jadi sengsara.

20:124. Tetapi, sesiapa yang berpaling daripada Peringatan-Ku, baginya penghidupan yang sempit, dan pada Hari Kiamat, Kami bangkitkan dia buta."

20:125. Dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, mengapakah Engkau bangkitkan aku buta, padahal aku seorang yang boleh melihat?"

20:126. Berkata, "Demikianlah; ayat-ayat Kami telah datang kepada kamu, dan kamu lupakannya; dan demikianlah, pada hari ini kamu dilupakan."

20:127. Begitulah Kami balas orang yang membazir (berlebihan), dan yang tidak percayai ayat-ayat Pemeliharanya; dan azab akhirat lebih keras, dan lebih kekal.

20:128. Tidakkah ia satu petunjuk bagi mereka bahawa berapa banyaknya generasi yang Kami telah musnahkan sebelum mereka, yang di tempat-tempat tinggal mereka, mereka berjalan? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi orang-orang empunya pengertian.

20:129. Dan sekiranya tidak kerana satu kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, dan satu tempoh yang dinyatakan, tentu ia telah mengikat.

20:130. Maka sabarlah kamu atas apa mereka kata, dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu, sebelum terbit matahari, dan sebelum terbenamnya, dan lafazlah sanjungan Pemelihara kamu pada bahagian-bahagian malam, dan pada tepi-tepi siang, supaya kamu sangat puas hati.

20:131. Janganlah kamu panjangkan mata-mata kamu kepada apa yang kami beri kesenangan pasangan-pasangan antara mereka, dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami uji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal.

20:132. Dan suruhlah keluarga kamu bersolat, dan sabarlah kamu padanya; Kami tidak minta daripada kamu rezeki, tetapi Kamilah yang beri rezeki kepada kamu. Dan kesudahan adalah bagi orang takwa.

20:133. Mereka berkata, "Mengapa dia tidak datangkan kepada kami satu ayat daripada Pemeliharanya?" Tidakkah telah datang kepada mereka bukti yang jelas daripada apa yang di dalam naskhah-naskhah gulungan yang pertama (dahulu)?

20:134. Sekiranya Kami binasakan mereka dengan satu azab sebelumnya, tentu mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mengapa Engkau tidak utus kepada kami seorang Rasul supaya kami ikut ayat-ayat Engkau, sebelum itu kami dihina dan direndahkan?"

20:135. Katakanlah, "Masing-masing sedang menunggu; maka tunggulah, dan sesungguhnya kamu akan tahu siapakah pengembara yang di atas jalan yang datar, dan siapa yang dapat petunjuk."



Khamis, 14 Januari 2016

SURAH MARIAM ???

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku." 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.


19:1. Kaf Ha Ya Ain Sad.

19:2. Ingatkanlah pengasihan Pemelihara kamu kepada hamba-Nya, Zakaria.

19:3. Apabila dia panggil Pemeliharanya dengan panggilan yang berahsia.

19:4. Dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya tulang-tulang di dalamku telah jadi lemah dan kepalaku bernyala-nyala dengan uban. Dan dalam seruan (doa) kepadaEngkau, wahai Pemeliharaku, aku tidak pernah sengsara.

19:5. Dan aku takut akan keluargaku setelah peninggalanku; dan isteriku mandul. Maka berilah aku, daripada sisi Engkau, seorang wali (waris),

19:6. Yang akan jadi warisku, dan yang jadi waris keluarga Yaakub; dan buatlah dia, wahai Pemeliharaku, sangat memuaskan hati."

19:7. "Wahai Zakaria, kami beri kamu berita gembira dengan seorang anak lelaki, namanya Yahya. Tiada yang Kami buatkan nama seperti ini sebelumnya."

19:8. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, bagaimanakah aku akan mempunyai seorang anak lelaki sedangkan isteriku mandul, dan aku telah sampai umur yang sangat tua?"

19:9. Berkatalah Dia, "Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku, memandangkan Aku telah cipta kamu sebelum itu, sedang kamu sama sekali tiada.'"

19:10. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, buatkan untukku satu ayat (tanda)." Berkatalah Dia, "Ayat kamu ialah bahawa kamu tidak berkata-kata kepada manusia dalam keadaan tanpa cacat, selama tiga malam."

19:11. Maka dia keluar kepada kaumnya dari mihrab (bilik ibadat), lalu dia wahyukan mereka, "Kamu sanjunglah pada waktu awal pagi dan petang."

19:12. "Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan"; dan Kami beri Putusan semasa kanak-kanak lagi,

19:13. Dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan zakat (kesucian), dan dia bertakwa,

19:14. Dan seorang yang taat kepada ibu bapanya, dan dia tidak sombong, ingkar.

19:15. sejahtera ke atas dia, pada hari dia diberanakkan, dan hari dia mati, dan hari dia dibangkitkan hidup.

19:16. Dan ingatlah di dalam Kitab, Mariam, apabila dia berundur daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur.

19:17. Dan dia ambil satu hijab (tabir), menjauhkan daripada mereka; kemudian Kami utus kepadanya Roh Kami yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat.

19:18. Berkata, "Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa!"

19:19. Dia berkata, "Aku hanyalah seorang Rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk beri kamu seorang anak lelaki yang suci."

19:20. Berkata, "Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun sentuh aku, dan bukan juga aku perempuan jalang?"

19:21. Dia berkata, "Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami buat dia satu ayat bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang sudah ditentukan.'"

19:22. Lalu dia membawanya (mengandungnya), dan berundur dengannya ke suatu tempat yang jauh.

19:23. Dan rasa sakit beranak mendatanginya di batang pohon palma. Dia berkata, "Aduhai, sekiranya aku sudah mati sebelum ini, dan jadi sesuatu yang dilupakan!"

19:24. Tetapi apa yang di bawahnya memanggilnya, "Tidak, jangan kamu sedih; sesungguhnya Pemelihara kamu adakan di bawah kamu sebuah anak sungai.

19:25. Goyangkanlah kepada kamu batang palma; ia akan menjatuhkan kepada kamu kurma yang segar dan masak.

19:26. Maka makan dan minumlah, dan gembiralah (berdingin mata); dan jika kamu lihat seseorang manusia, katakanlah, 'Aku telah bernazar kepada Yang Pemurah untuk berpuasa, dan pada hari ini, aku tidak akan berkata-kata kepada seseorang manusia pun.'"

19:27. Kemudian dia datangkan kepada kaumnya dengan membawanya; dan mereka berkata, "Wahai Mariam, sesungguhnya kamu datangkan sesuatu yang aneh!

19:28. Wahai saudara perempuan Harun, bapa kamu bukanlah seorang lelaki yang jahat, dan bukan juga ibu kamu perempuan jalang."

19:29. Maka dia menunjuk kepadanya; tetapi mereka berkata, "Bagaimanakah kami berkata-kata kepada orang yang masih dalam buaian, seorang anak kecil?"

19:30. Berkata, "Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia beri aku al-Kitab, dan jadikan aku seorang Nabi.

19:31. Dia buat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia wasiatkan aku supaya bersolat, dan zakat, selama aku hidup,

19:32. Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak buat aku sombong, sengsara.

19:33. sejahtera ke atasku, pada hari aku diberanakkan, dan hari aku mati, dan hari aku dibangkitkan hidup."

19:34. Itu Isa putera Mariam, dengan ucapan yang benar, yang mengenainya mereka ragu-ragu.

19:35. Tiadalah bagi Allah untuk mengambil kepada-Nya seorang anak. Dia disanjung! Apabila Dia tentukan sesuatu perkara, Dia hanya berkata padanya, "Jadilah", maka jadilah ia.

19:36. Sesungguhnya Allah, Pemeliharaku dan Pemeliharamu; maka sembahlah Dia. Ini jalan lurus.

19:37. Tetapi golongan-golongan berselisih sesama mereka, kemudian kecelakaanlah bagi orang-orang tidak percaya kerana senario hari yang besar.

19:38. Alangkah terangnya mereka dengar dan lihat pada hari mereka datang kepada Kami! Tetapi orang-orang zalim hingga hari ini adalah dalam kesesatan yang nyata.

19:39. Berilah mereka amaran dengan Hari Penyesalan apabila perkara diputuskan, sedang mereka dalam kelalaian, dan tidak percayai.

19:40. Sesungguhnya Kami akan mewarisi bumi, dan semua yang di atasnya, dan kepada Kami mereka akan dikembalikan.

19:41. Dan ingatlah di dalam Kitab, Ibrahim; sesungguhnya dia seorang yang benar, seorang Nabi.

19:42. Apabila dia berkata kepada bapanya, "Ayah, mengapa kamu sembah apa yang tidak mendengar dan tidak melihat, dan tidak juga berguna kepada kamu sedikit pun?

19:43. Ayah, telah datang kepadaku pengetahuan yang tidak datang kepadamu; maka ikutlah aku, dan aku akan beri petunjuk kepadamu pada jalan yang datar.

19:44. Ayah, jangan sembah syaitan; sesungguhnya syaitan adalah penentang Yang Pemurah.

19:45. Ayah, aku takut bahawa sebahagian azab daripada Yang Pemurah akan sentuh kamu supaya kamu jadi wali (sahabat) syaitan."

19:46. Berkatalah dia, "Apa, adakah kamu undurkan diri daripada tuhanku, wahai Ibrahim? Sungguh, jika kamu tidak berhenti, aku akan rejam kamu; maka tinggalkanlah aku untuk beberapa waktu."

19:47. Dia berkata, "Sejahtera ke atas kamu! Aku akan minta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.

19:48. Dan aku akan jauhkan diri daripada kamu, dan apa kamu seru, selain daripada Allah; aku seru Pemeliharaku, mudah-mudahan aku tidak menjadi, dalam seruanku (doaku) kepada Pemeliharaku, sengsara."

19:49. Maka, apabila dia jauhkan diri daripada mereka, dan apa yang mereka sembah, selain daripada Allah, Kami beri dia Ishak dan Yaakub, dan masing-masing Kami jadikan Nabi.

19:50. Dan Kami beri mereka daripada pengasihan Kami, dan Kami buat mereka lisan (lidah) yang benar, amat tinggi.

19:51. Dan ingatlah di dalam Kitab, Musa; dia tulus, dan dia seorang Rasul, seorang Nabi.

19:52. Kami memanggilnya dari sebelah kanan gunung, dan Kami dekatkannya dalam perhubungan.

19:53. Dan kami beri dia, saudaranya Harun, daripada pengasihan Kami, seorang Nabi.

19:54. Dan ingatlah di dalam Kitab, Ismail; dia benar dengan janjinya, dan dia seorang Rasul, seorang Nabi.

19:55. Dia menyuruh keluarganya supaya bersolat dan zakat, dan dia memuaskan hati Pemeliharanya.

19:56. Dan ingatlah di dalam Kitab, Idris; sesungguhnya dia seorang yang benar, seorang Nabi.

19:57. Kami naikkan dia ke tempat yang tinggi.

19:58. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah rahmati ke atas mereka - para Nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang-orang yang Kami bawa bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-orang yang Kami beri petunjuk dan Kami pilih. Apabila ayat-ayat Yang Pemurah dibacakan kepada mereka, mereka jatuh bersujud, dan menangis.

19:59. Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang sia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan temui kesalahan,

19:60. Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik ; mereka itu, mereka akan masuk Taman (Jannah), dan mereka tidak akan dizalimi sedikit pun,

19:61. Taman-Taman Adn, apa Yang Pemurah janjikan hamba-hamba-Nya dengan yang ghaib; janji-Nya pasti datang.

19:62.  Di dalamnya, mereka tidak dengar percakapan yang sia-sia, tetapi hanya, "Salam", dan di dalamnya, mereka dapat rezeki mereka pada awal pagi dan petang.

19:63. Itu Taman yang Kami akan mewariskan kepada hamba-hamba Kami yang bertakwa.

19:64. Kami tidak turun kecuali dengan perintah Pemelihara kamu. Kepunyaan-Nya apa yang di hadapan kami, dan apa yang di belakang kami, dan apa yang di antara demikian itu. Dan Pemelihara kamu bukanlah pelupa.

19:65. Pemelihara langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya. Maka sembahlah Dia, dan sabarlah kamu dalam penyembahan kepada-Nya; adakah kamu tahu sesiapa yang boleh dinamakan dengan nama-Nya?

19:66. Manusia berkata, "Apa, apabila aku sudah mati, adakah aku akan dikeluarkan hidup?"

19:67. Tidakkah manusia ingat bahawa Kami telah menciptanya dari dahulu sedang dia sama sekali tiada?

19:68. Demi Pemelihara kamu, sungguh Kami akan kumpulkan mereka, dan syaitan-syaitan, kemudian Kami arakkan mereka di sekeliling Jahanam dengan melutut.

19:69. Kemudian Kami tarik keluar daripada tiap-tiap golongan sesiapa antara mereka yang sangat keras dalam memandang rendah kepada Yang Pemurah.

19:70. Kemudian Kami sangat-sangat tahu orang-orang yang paling patut dipanggang di dalamnya.

19:71. Tiada seorang pun daripada kamu, melainkan dia akan turun kepadanya; itu, bagi Pemelihara kamu, adalah sesuatu yang sudah ditentukan, diputuskan.

19:72. Kemudian Kami selamatkan orang-orang bertakwa; dan orang-orang zalim, Kami tinggalkan di dalamnya, sambil melutut.

19:73. Apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, "Yang manakah antara dua golongan yang lebih baik medannya, dan lebih baik dalam majlisnya?"

19:74. Dan berapa banyaknya generasi yang Kami telah musnahkan sebelum mereka yang lebih baik peralatan rumah dan pengunjukan luarnya!

19:75. Katakanlah, "Sesiapa yang dalam kesesatan, Yang Pemurah panjangkan tempoh kepadanya, dengan panjang, sehingga apabila mereka lihat apa yang mereka telah dijanjikan, sama ada azab atau Saat, mereka pasti akan tahu siapa yang lebih buruk tempatnya, dan yang lebih lemah tenteranya."

19:76. Dan Allah akan menambahkan kepada orang-orang yang dapat petunjuk dalam petunjuk; dan yang kekal, kerja-kerja baik , adalah lebih baik di sisi Pemelihara kamu dalam ganjaran, dan lebih baik pengembaliannya.

19:77. Adakah kamu lihat orang tidak percaya kepada ayat-ayat Kami, dan berkata, "Sungguh, aku akan diberi harta dan anak-anak"?

19:78. Apa, adakah dia melihat yang ghaib, atau adakah dia telah ambil perjanjian dengan Yang Pemurah?

19:79. Tidak sekali-kali! Kami akan tulis apa mereka kata, dan Kami akan panjangkan baginya azab, dengan panjang.

19:80. Dan Kami mewarisi daripada dia apa yang dia kata, dan dia datang kepada Kami bersendirian.

19:81. Dan mereka ambil untuk mereka tuhan-tuhan lain, selain daripada Allah, supaya mereka dapatkan bagi mereka kekuatan.

19:82. Tidak sekali-kali! Kelak mereka akan tidak mempercayakan penyembahan mereka, dan mereka akan jadi musuh mereka yang berlawanan.

19:83. Tidakkah kamu lihat bagaimana Kami utus syaitan-syaitan terhadap orang-orang tidak percaya untuk menyucuk mereka, dengan cucukan?

19:84. Maka jangan kamu tergesa-gesa terhadap mereka; Kami hanya hitung untuk mereka, dengan satu hitungan.

19:85. Pada hari Kami kumpulkan orang-orang bertakwa kepada Yang Pemurah dengan kedatangan (sambutan) kebesaran,

19:86. Dan menghalau orang-orang yang berdosa ke Jahanam, dalam keadaan dahaga,

19:87. Dengan tanpa kuasa syafaat (pengantaraan), kecuali orang-orang yang telah ambil dengan Yang Pemurah perjanjian.

19:88. Dan mereka berkata, "Yang Pemurah ambil kepada-Nya seorang anak."

19:89. Sesungguhnya kamu sudah datangkan sesuatu yang sangat buruk!

19:90. Hampir-hampir langit pecah kerananya, dan bumi terpecah belah, dan gunung-gunung jatuh kehancuran,

19:91. Bahawa mereka dakwakan bagi Yang Pemurah seorang anak,

19:92. Dan tidak patut bagi Yang Pemurah ambil kepada-Nya seorang anak.

19:93. Tiada sesuatu yang di langit dan di bumi melainkan ia datang kepada Yang Pemurah sebagai hamba.

19:94. Sesungguhnya Dia jumlahkan mereka, dan Dia hitung mereka dengan hitungan.

19:95. Setiap seorang daripada mereka datang kepada-Nya pada Hari Kiamat bersendirian.

19:96. Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , kepada mereka Yang Pemurah akan letak rasa kasih sayang.

19:97. Sesungguhnya Kami mudahkannya dengan lisan kamu supaya kamu beri berita gembira dengannya kepada orang-orang bertakwa, dan beri amaran kepada kaum paling degil.


19:98. Dan berapa banyaknya generasi yang Kami telah musnahkan sebelum mereka! Adakah kamu lihat sebanyak seorang pun daripada mereka, atau dengar daripada mereka satu bisikan?