The Alien - Link Select

Rabu, 1 Februari 2017

SURAH YANG DIJELASKAN / FUSHSHILAT ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

41:1. Ha Mim.

41:2. Satu penurunan daripada Yang Pemurah, Yang Pengasih.

41:3. Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang tahu,

41:4. Pembawa berita gembira, dan pemberi amaran, tetapi kebanyakan mereka berpaling, dan tidak dengar.

41:5. Mereka berkata, "Hati kami ditudung daripada apa kamu seru kami kepadanya, dan di dalam telinga kami ada sumbatan, dan antara kami dan kamu ada tabir (hijab); maka beramallah kamu; kami sedang beramal!"

41:6. Katakanlah, "Aku hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu. Kepadaku diwahyukan bahawa Tuhan kamu Tuhan Yang Satu; maka berlakuluruslah kepada-Nya, dan mintalah ampun kepada-Nya, dan kecelakaanlah bagi orang-orang yang sekutukan,

41:7. Yang tidak beri zakat, dan tidak percaya kepada akhirat.

41:8. Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dapat upah yang tidak putus-putus."

41:9. Katakanlah, "Apa, adakah kamu tidak percaya kepada-Nya yang mencipta bumi dalam dua hari, dan adakah kamu adakan rakan-rakan bagi-Nya? Itu Pemelihara semua alam.

41:10. Dan Dia letak di dalamnya gunung-gunung di atasnya, dan Dia memberkatinya, dan Dia tentukan di dalamnya makanan dan minumannya dalam empat hari, sama bagi orang-orang yang bertanya.

41:11. Kemudian Dia beranjak ke langit sedang ia adalah asap, dan Dia berkata padanya dan kepada bumi, 'Datanglah dengan rela, atau benci!' Mereka berkata, 'Kami datang dengan rela.'

41:12. Maka Dia tentukan mereka sebagai tujuh langit dalam dua hari, dan Dia wahyukan perintahnya di tiap-tiap langit." Dan Kami hiasi langit dunia dengan pelita-pelita, dan untuk menjaganya; itulah ketentuan Yang Perkasa, Yang Mengetahui.

41:13. Tetapi jika mereka berpaling, maka katakanlah, "Aku beri amaran kepada kamu dengan halilintar yang serupa halilintar Ad dan Tsamud."

41:14. Apabila Rasul-Rasul datang kepada mereka dari hadapan mereka dan dari belakang mereka, "Janganlah sembah siapa pun melainkan Allah", mereka berkata, "Sekiranya Pemelihara kami hendak, tentu Dia turunkan malaikat-malaikat; maka kami tidak percaya kepada apa yang kamu diutus dengannya."

41:15. Bagi Ad, mereka menyombong di bumi tanpa patut, dan mereka berkata, "Siapakah yang lebih kuat daripada kami dalam kekuatan?" Apa, tidakkah mereka lihat bahawa Allah, yang mencipta mereka, Dia lebih kuat daripada mereka dalam kekuatan? Dan mereka sangkal ayat-ayat Kami.

41:16. Kemudian Kami utus kepada mereka angin yang sangat bising pada hari-hari yang malang, supaya Kami merasakan kepada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia; dan azab akhirat adalah lebih rendah lagi, dan mereka tidak ditolong.

41:17. Bagi Tsamud, Kami beri mereka petunjuk, tetapi mereka lebih suka kebutaan daripada petunjuk, maka halilintar daripada azab yang menghinakan ambil mereka kerana apa yang mereka usahakan.

41:18. Dan Kami selamatkan orang-orang yang percaya, dan bertakwa.

41:19. Pada hari apabila musuh-musuh Allah dikumpulkan ke Api, berbaris,

41:20. Sehingga apabila mereka datang kepadanya, pendengaran mereka, dan mata mereka, dan kulit-kulit mereka, menyaksikan terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah buat,

41:21. Dan mereka berkata kepada kulit-kulit mereka, "Mengapa kamu saksikan terhadap kami?" Berkata, "Allah beri kami percakapan sebagaimana Dia beri segala sesuatu percakapan. Dia cipta kamu pada kali pertama, dan kepada-Nya kamu dikembalikan."

41:22. Kamu tidak dapat tutup diri kamu, supaya pendengaran kamu, dan mata kamu, dan kulit kamu, tidak menyaksikan terhadap kamu; tetapi kamu sangka Allah tidak tahu kebanyakan daripada apa kamu buat.

41:23. Yang demikian itu adalah sangkaan yang kamu sangka terhadap Pemelihara kamu, yang membinasakan kamu, maka kamu dapati diri kamu jadi di kalangan orang-orang yang rugi.

41:24. Kemudian jika mereka sabar (berterusan), Apilah jadi tempat tinggal bagi mereka; dan jika mereka minta diredakan, mereka tidaklah termasuk orang-orang yang diredai.

41:25. Dan Kami tentukan bagi mereka teman-teman yang dipercayai, dan mereka menampakkan indah bagi mereka apa yang di hadapan mereka, dan yang di belakang mereka. Maka wajarlah ke atas mereka Ucapan yang mengenai umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka, daripada jin dan manusia; sesungguhnya merekalah orang-orang yang rugi.

41:26. Orang-orang tidak percaya berkata, "Jangan dengarkan al-Qur'an ini, dan cakaplah yang sia-sia mengenainya supaya kamu dapat kalahkan."

41:27. Maka Kami akan rasakan kepada orang-orang tidak percaya azab yang keras, dan Kami akan balas mereka dengan yang paling buruk daripada apa mereka telah buat.

41:28. Itu balasan ke atas musuh-musuh Allah - Api, di dalamnya mereka dapati Tempat Tinggal Yang Kekal sebagai balasan, kerana mereka sangkal ayat-ayat Kami.

41:29. Dan orang-orang tidak percaya berkata, "Wahai Pemelihara kami, perlihatkan kepada kami mereka yang sesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan letak mereka di bawah kaki kami supaya mereka jadi antara orang-orang yang lebih rendah."

41:30. Orang-orang yang berkata, "Pemelihara kami Allah", kemudian mereka meluruskan (teguhkan) pendirian, kepada mereka malaikat-malaikat turun, dengan berkata, "Jangan takut, dan jangan sedih; gembiralah dengan Taman yang kamu telah dijanjikan.

41:31. Kamilah wali-wali (sahabat-sahabat) kamu dalam kehidupan dunia, dan di akhirat; di dalamnya kamu dapati semua yang jiwa kamu inginkan, dan apa yang kamu seru,

41:32. Sebagai sajian daripada yang Pengampun, Pengasih."

41:33. Dan siapakah lebih baik ucapannya daripada orang yang berseru kepada Allah, dan buat kerja-kerja baik , dan berkata, "Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang muslim"?

41:34. Tidaklah sama yang baik dengan kejahatan. Tangkislah dengan apa yang lebih baik, dan tiba-tiba, orang yang antara kamu dan dia dalam permusuhan, jadi seakan-akan dia seorang wali (sahabat), sahabat yang setia.

41:35. Namun begitu, tiada yang terimanya, kecuali orang yang sabar; tiada yang terimanya, kecuali orang empunya peruntungan yang besar.

41:36. Jika satu provokasi daripada syaitan memprovokasikan kamu, berlindunglah pada Allah; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.

41:37. Dan daripada ayat-ayat-Nya adalah malam dan siang, dan matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang mencipta mereka, jika Dia kamu sembah.

41:38. Dan jika mereka menyombong, mereka yang di sisi Pemelihara kamu menyanjung-Nya malam dan siang, dan mereka tidak jadi letih.

41:39. Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa kamu lihat bumi tunduk; kemudian, apabila Kami turunkan air kepadanya ia bergetar dan gelembung. Sesungguhnya yang menghidupkannya ialah Yang menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia berkuasa atas segala sesuatu.

41:40. Orang-orang yang mencercai ayat-ayat Kami tidak tersembunyi daripada Kami. Apa, adakah orang yang dilempar ke dalam Api lebih baik, atau orang yang datang pada Hari Kiamat dengan aman? Buatlah apa yang kamu hendaki; sesungguhnya Dia lihat apa kamu buat.

41:41. Orang-orang tidak percaya kepada Peringatan apabila ia datang kepada mereka - dan sesungguhnya ia adalah Kitab yang perkasa.

41:42. Kepalsuan tidak datang kepadanya dari hadapannya, dan tidak juga dari belakangnya; satu penurunan daripada yang Bijaksana, Terpuji.

41:43. Tiada yang dikatakan kepada kamu melainkan apa yang telah dikatakan kepada Rasul-Rasul sebelum kamu. Sesungguhnya Pemelihara kamu mempunyai ampunan, dan mempunyai balasan yang pedih.

41:44. Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, "Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya berbahasa Arab?" Katakanlah, "Bagi orang-orang yang percaya, ia adalah satu petunjuk, dan satu penyembuhan; tetapi orang-orang tidak percayai, di dalam telinga mereka ada sumbatan, dan bagi mereka, ia adalah satu kebutaan; mereka itu, mereka dipanggil dari tempat yang jauh."

41:45. Dan Kami beri Musa Kitab; lalu berlakulah perselisihan mengenainya, dan jika tidak kerana satu Kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, tentu ia diputuskan antara mereka; dan mereka adalah dalam keraguan padanya, kebimbangan.

41:46. Sesiapa buat kerja-kerja baik , ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buat jahat, ia adalah terhadapnya sendiri. Pemelihara kamu tidak buat aniaya terhadap hamba-hamba-Nya.

41:47. Kepada-Nya dikembalikan pengetahuan mengenai Saat. Tiada satu buah-buahan keluar daripada kelopaknya, tiada perempuan yang mengandung dan tiada juga yang melahirkannya, melainkan dengan pengetahuan-Nya. Pada hari Dia panggil mereka, "Di manakah sekutu-sekutu-Ku?" mereka berkata, "Kami nyatakan kepada Engkau bahawa tidak ada seorang saksi di kalangan kami."

41:48. Kemudian apa yang mereka seru sebelumnya sesat (hilang) daripada mereka, dan mereka sangka mereka tidak ada tempat lari.

41:49. Manusia tidak jadi letih menyeru (doa) untuk kebaikan; tetapi apabila kejahatan sentuh dia, maka jemulah dia, berputus asa.

41:50. Dan jika Kami merasakan kepada dia pengasihan daripada Kami, sesudah kesusahan sentuh dia, tentu dia berkata, "Ini kepunyaanku; aku tidak sangka Saat akan datang. Jika aku dikembalikan kepada Pemeliharaku, sesungguhnya yang paling baik di sisi-Nya adalah bagiku." Kemudian Kami akan beritahu orang-orang tidak percaya apa yang mereka telah buat, dan sungguh, Kami akan merasakan kepada mereka azab yang keras.

41:51. Dan apabila Kami rahmati manusia, dia berpaling, dan jauhkan diri ke tepi; tetapi apabila kejahatan sentuh dia, dia mempunyai seruan (doa) yang tidak putus-putus.

41:52. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika ia adalah daripada Allah, kemudian kamu tidak percaya kepadanya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang dalam perpecahan yang jauh?"

41:53. Kami akan lihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di horizon, dan di dalam diri-diri mereka, sehingga jelas bagi mereka bahawa ia adalah yang benar. Tidakkah cukup dengan Pemelihara kamu bahawa Dia saksi atas segala sesuatu?


41:54. Tidakkah mereka dalam keraguan mengenai pertemuan dengan Pemelihara mereka? Tidakkah Dia meliputi segala sesuatu?

Jumaat, 13 Januari 2017

SOLAT MENURUT QUR'AN 2 - 2017 ???

SOLAT MENURUT QUR’AN


Solat umat Islam dikatakan telah diajar oleh Rasul. Maka ia adalah Sunnah Rasul. Para ulama tidak pernah mengakui bahawa solat adalah “Sunnah” Allah, iaitu suatu amalan yang diajar Allah melalui Kitab-Nya, al-Qur’an. Sebaliknya mereka selalu berkata "Manakah ada cara bersolat di dalam al-Qur’an!"

Kertas ini menjawab soalan tersebut. Di dalam jawapan ini, segala keterangan dirujuk kepada al-Qur’an sahaja, dan keterangan yang akan dikemukakan akan menyinggung perasaan kerana bercanggah dengan amalan solat biasa umat Islam. Segala hujah yang dikemuka bukanlah untuk buktikan umat telah tersilap, tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an mengenai solat, di samping menjawab cabaran ulama tadi.


NAMA DAN WAKTU SOLAT

Penjelasan dimulakan dengan memperihalkan nama bagi tiap-tiap solat. Terdapat hanya tiga nama solat di dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini menunjukkan waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi:

"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114)

Solat yang pada waktu tepi siang pertama ialah solat fajar, sementara solat wusta, atau solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada awal malam itu ialah solat isyak dalam zon Malam di mana kita berbuka puasa.

SOLAT FAJAR  bermula pada waktu Fajar.  Waktu Fajar digambar dalam ayat ini :

“….Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada FAJAR...” (2:187)---Pada waktu inilah solat Fajar didirikan.

SOLAT WUSTA - Perkataan "WUSTA" ingin dijelaskan lagi di sini. Ia bermakna "di tengah", dan menurut pendapat saya, maksudnya adalah waktu yang di tengah di antara dua solat iaitu Waktu Solat Fajar dan Waktu Solat isyak.  Waktu yang pendek ini dikenali umum sebelum Maghrib atau Akhir Asar(Petang).  Lantas, waktu solat Wusta adalah sebelum terbenam matahari, iaitu di tepi siang yang kedua.

SOLAT ISYAK bermula pada waktu fizikal matahari terbenam sepenuhnya. Yang kita kenali sebagai waktu maghrib atau Senja. Ketika matahari terbenam inilah waktu berada dalam zon malam.  Waktu berbuka puasa(2:187) dan waktu solat Isyak(17:78)

 “….Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada Fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai MALAM,...” (2:187)

"Lakukan solat dari terbenam matahari hingga kegelapan MALAM" (17:78).


NAMA SOLAT YANG TIADA KAITAN DENGAN AJARAN ALLAH

Walaupun nama-nama lain yang lazim digunakan untuk solat, seperti Solat Zuhur, Solat Asar, Solat Maghrib dan Solat Subuh, tercatat di dalam al-Qur’an, namun mereka tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat.

Umpamanya nama "MAGHRIB", ia bukan sahaja bukan nama solat, tetapi juga bukan nama waktu. Ia sebenarnya adalah suatu arah, iaitu barat, seperti yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi :

"Kepunyaan Allah Timur(Masyrik) dan Barat(Maghrib)" (2:115)

Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu miliki, dan mereka di antara kamu yang belum cukup umur, minta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat fajar, dan apabila kamu tanggalkan pakaian kamu pada WAKTU ZUHUR, dan selepas solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58)

Sementara "ASAR" di dalam al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" dan tiada kaitan dengan solat seperti yang terdapat pada ayat yang berbunyi "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2)

Bukan sahaja tidak disebut nama solat maghrib, atau solat zuhur, atau solat asar di dalam al-Qur’an, tetapi juga, turut tidak disebut adalah nama "solat subuh". Subuh dan fajar, seperti nama dan sebutan bunyinya yang berlainan, adalah dua masa atau waktu yang berlainan. Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam. Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan didapati tiada kaitan dengan solat langsung.

Manakala, 'SOLAT JUMAAT' yang biasa dinamakan sebagai solat pengganti Solat Zohor setiap hari Jumaat di kalangan umat Sunni adalah tidak tercatat dalam mana-mana ayat Qur'an. dan ini sudah jelas bukan ajaran ALLAH.


DITENTUKAN

Solat hendaklah dilakukan pada waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi:

"Sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103)

Tiada terdapat pula satu ayat pun di dalam al-Qur’an yang membolehkan solat itu dilakukan pada waktu yang bukan waktunya, seperti mengqadarkannya atau menjamakkannya. Walau dalam keadaan apapun solat hendaklah dikerjakan. Ayat yang berikut jelaskannya:

"Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239)

Seperkara lagi, daripada ayat tersebut, umat diingatkan supaya lakukan solat seperti yang diajar oleh Tuhan - segala ajaran Tuhan terkandung di dalam al-Qur’an.


RAKAAT

Rakaat solat tidak disebut dalam Qur’an.  Tetapi dapat dijelaskan dalam ayat ini.  Solat yang  didirikan bermula dengan berdiri, rukuk dan Sujud dilaksanakan oleh dua golongan sepertiyang dinyatakan.  Kamu itu merujuk kepada ‘Nabi’ yang berperanan sebagai Imam kepada Jemaah dua golongan.  Imam tidak menghentikan solat sebaliknya melakukan solat dua kali secara terus untuk memimpin dua golongan tersebut. Golongan pertama yang bersolat ini tamat solatnya apabila tamat sujudnya dan kemudian keluar dari tempat solat untuk memberikan peluang kepada golongan kedua yang belum solat untuk melaksanakan solat bersama nabi.  Renungkan ayat ini :

 “Apabila kamu di kalangan mereka, dan lakukan SOLAT bagi mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka BERDIRI bersama kamu, dan hendaklah mereka ambil senjata-senjata mereka. Apabila mereka SUJUD, hendaklah mereka berada di belakang kamu, dan hendaklah SEGOLONGAN lain yang belum SOLAT datang, dan SOLAT bersama kamu, dengan mengambil kewaspadaan mereka dan senjata-senjata mereka…” [4:102]


WUDUK

Mengenai wuduk pula (perkataan "wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini dijelaskan dengan ayat yang berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6)

Ayat ini telah juga disebut oleh Rasul, dan baginda tidak mungkin menambah bahagian-bahagian anggota yang lain dalam wuduk kerana jika baginda buat demikian maka Allah akan membunuhnya. Firman-Nya

"Sekiranya dia (Muhammad) mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46)


KIBLAT

Kiblat menurut al-Qur’an ialah Masjidil Haram, yang di tengahnya terletak Kaaba. Rasul sendiri telah mencari-carinya dahulu lalu Allah tunjukkan kepadanya melalui ayat yang berikut:

"Kami lihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat yang kamu puas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. orang-orang diberi al-Kitab tahu bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka kerjakan." (2:144)


PAKAIAN

Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh ambil perhiasan di setiap masjid, yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya,

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31).


BERHUBUNG/ BERKOMUNIKASI

Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan bahagian-bahagian anggota badan yang tertentu. Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya:

"Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45)

Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya di dalam al-Qur’an.

Solat bukan sahaja masa untuk memohon pertolongan tetapi juga suatu masa untuk mengingati-Nya. Ini dijelaskan dengan sebuah ayat lain berbunyi

"Dan lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)


BAHASA

Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan," (4:43)

Setelah dilarang kerjakan solat apabila segala yang diucap tidak difahami dan seseorang itu terus bersolat juga, maka apakah hukumnya? Ingin diingatkan di sini bahawa Iblis telah jadi kafir setelah mengingkari hanya satu (sahaja) perintah Allah!

Oleh itu sekiranya anda seorang melayu, maka guna saja Bahasa melayu.  Begitu juga kepada bangsa lain. Bahasa mengikut Bahasa yang ibunda atau yag difahami oleh mereka.  Namun, sekiranya dia ingin menggunakan Bahasa Arab pun tiada masalah.  Yang penting difahami.


SUARA

Nada suara dalam solat tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah untuk semua solat. Firman-Nya:

"Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110)

*Sederhanakan nada suara.


SERU

Solat dimulakan dengan menyeru Nama-Nya, seperti Allah, atau Ar-Rahman (Yang Pemurah) atau mana-mana nama-Nya yang indah yang diajar di dalam al-Qur’an (nama Allahu Akbar tiada di dalamnya). Firman Allah:

"Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik.’ (17:110)

Ayat yang menyusulinya menetapkan apa yang harus diucap selepas seruan itu, iaitu:

"Dan katakan, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak ambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.’" (17:111)


BACAAN

Bacaan di dalam Solat boleh dipetik daripada mana-mana ayat yang sesuai yang berjumlah dengan banyak di dalam al-Qur’an. Pilihan adalah berdasarkan keperluan dan selera sendiri kerana solat adalah suatu alat perhubungan yang amat peribadi antara hamba dan Pemeliharanya.

Sebagai contoh, ayat yang lazim diucapkan umat Islam pada permulaan solat mereka berbunyi "Inna solati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillaahi rabbil aalamiin" yang bermakna, "Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, untuk Allah, Pemelihara semesta alam". Ini sebenarnya adalah ayat 6:162 di dalam al-Qur’an.

Akan tetapi, di dalam al-Qur’an ayat tersebut bermula dengan kata "qul" atau "katakanlah", iaitu "Qul inna solati wanusuki..." atau "Katakanlah, ‘Sesungguhnya solatku, dan ibadahku ...."

tinggalkan kata "qul" atau "katakanlah" pada ayat ini di dalam solat adalah wajar kerana ketika itu umat bercakap dengan-Nya. Mahukah kita menyuruh Dia dengan "Katakanlah ..."?

Justeru itu, pada ayat-ayat lain seperti "Qul a’udzu birabbin naas ...." (Surah 114) yang bermaksud "Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Pemelihara manusia ....’", atau "Qul huwal laahu ahad ..." (Surah 112) yang bermakna "Katakanlah, ‘Dialah Allah yang satu ...", haruslah ditinggalkan qulnya juga kerana meninggalkannya adalah amat munasabah.



AKULAH ALLAH

Sesetengah pihak mendakwa bahawa solat adalah masa untuk membaca al-Qur’an. Ini tidak benar, kerana amalan kerjakan solat dan membaca al-Qur’an adalah dua perintah Tuhan yang berlainan, seperti yang disebut di dalam ayat 73:20. Seterusnya ada juga orang yang mendakwa bahawa mana-mana ayat al-Qur’an boleh dibaca dalam solat. Ini juga tidak benar. Sebagai contoh, bolehkah dibaca ayat al-Qur’an yang berikut di dalam solat:

"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)

Mahukah diucap kata-kata tersebut kepada Allah, walaupun ia ayat al-Qur’an?


HANYA ALLAH

Solat adalah hanya untuk Allah. Lalu hanya nama-Nya harus diseru. Firman-Nya,

"Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik." (17:110)

"lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)

"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18)


LAKU / PERBUATAN SOLAT- BERDIRI, RUKUK DAN SUJUD

Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud disebut berulang kali di dalam al-Qur’an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. Mungkin boleh dipersoalkan bagaimana orang-orang yang berikut, iaitu orang-orang yang telah dijanjikan Allah dengan janji yang baik, lakukan solat mereka? Firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)

Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun semasa tunduk:

“Dan Daud sangka Kami mengujinya; lalu dia minta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia berkesesalan” (38:24).

Atau semasa sujud, ambillah pengajaran daripada ayat-ayat di bawah ini:

2:58. Dan apabila Kami berkata, "Masuklah bandaraya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana sahaja kamu hendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan katakan, 'Tidak membebankan'; Kami akan ampunkan kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan tambahkan kepada orang-orang buat baik."

22:26. Dan apabila Kami menempatkan untuk Ibrahim tempat Rumah, "Janganlah kamu sekutukan Aku dengan sesuatu. Dan kamu bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud.

17:107-108. Katakanlah, "Percayalah kepadanya, atau tidak percayai; orang-orang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan.'

25:64-65. Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri,

32:15. Orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diingatkan dengannya jatuh bersujud, dan mereka sanjung dengan memuji Pemelihara mereka,

50:40. Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan pada hujung-hujung sujud.

*Oleh itu kelakuan solat ritual adalah Bermula dengan Berdiri dengan Khusyuk, Rukuk dan akhirnya Sujud. 

BERDIRI DENGAN KHUSYUK (2:238, 22:26)
Postur berdiri adalah sepertimana askar berdiri.  Ini merupakan cara berdiri yang efektif dan efesyen sama ada dalam menyampaikan maklumat, laporan atau berkomunikasi dengan ketua dan menerima arahan.  Ini merupakan Bahasa badan yang terbaik dalam komunikasi.  Bacalah surah Al-Fatihah dan ayat-ayat yang sesuai untuk berkomunikasi dengan Tuhan. Seperti doa-doa dan puji-pujian kepada Tuhan.

RUKUK (22:77)
Rukuk ialah membongkok ke depan dan meletakkan genggaman tangan ke lutut. Adalah postur tubuh yang bagus dalam simbolik sembah hormat.  Dalam posisi ini, komunikasi antara dua pihak lebih kepada menyanjungi lawan bicara.  Ia sangat efektif dalam postur penghormatan dan sanjungan dalam sudut 90 darjah. Bacalah ayat Puji-pujian dan sanjungan.
* --- “Subhanaka wal hamduka- ya ‘Aliiyu, Ya Adziim”

[Engkau disanjung dan segala puji bagiMu(2:32, 1:2), Yang Tinggi(87:1), Yang Agung." (2:255)]”

SUJUD (22:77, 32:15)
Postur tubuh ini sangat efektif dalam penyembahan dan penyerahan total kepada yang disembah.  Komunikasi lebih kuat dirasakan oleh penyembah.  Tangan ditekan pada permukaan lantai padaa aras telinga.  Sepertimana sujud umat Islam yang biasa kita lihat hari ini.  Kaki dibengkokkan dalam sudut 90 darjah. Ini merupakan akhir kelakuan ritual solat.   Bangun dari sujud bermakna telah tamat solat ritual. Bacalah ayat puji-pujian dan sanjungan dan mohon ampun dalam Doa khusus.
* --- “Subhanaka wal hamduka- ya ‘Aliiyu, Ya Adziim”
[Engkau disanjung dan segala puji bagiMu(2:32, 1:2), Yang Tinggi(87:1), Yang Agung." (2:255)]”


BACAAN AKHIR SOLAT

Seperti mana-mana seruan kepada-Nya, solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi:

"Dan akhir seruan mereka, ‘Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10)

Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70)


SOLAT BERJEMAAH / BERJUMUAHT/ BERKUMPUL
Solat berjemaah atau berkumpul dilakukan dalam 3 waktu solat yang dinyatakan dalam Qur'an. 

Renungkan ayat-ayat ini :

2:43. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk.

62:9. Wahai orang-orang yang percaya, apabila dipanggil untuk solat pada hari berkumpul(Jumuaht),…


4:102. Apabila kamu di kalangan mereka, dan lakukan solat bagi mereka,…


PENUTUP
Banyak telah diperkatakan mengenai solat menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an di sini. Tentulah ia didapati bertentangan dengan ajaran para ulama yang menyatakan solat mereka datang dari Rasul atau sunnahnya. Walhal, di dalam kelima-lima kitab hadis terbesar di dunia mereka, tidak terdapat keperincian dalam lakukan solat seperti yang diajar kepada umat. Yang terdapat hanyalah beberapa hadis Nabi mengenai solat yang tidak diamalkan oleh mereka yang juga tidak diajar kepada umat Islam yang menuruti mereka dengan taat.