Peristiwa-peristiwa besar yang berkisar di sekitar Petunjuk
Allah, dari Adam hingga ke Nabi terakhir, tentu banyak yang telah berlaku.
Namun tidak semua diceritakan di dalam al-Qur'an, atau tidak diceritakan dengan
panjang lebar. Maka apa yang diceritakan adalah apa yang manusia harus tahu
sahaja.
Peristiwa penurunan al-Qur'an adalah suatu yang besar juga,
yang tidak ditinggalkan sebutannya di dalam al-Kitab. Ia disebut berulang kali.
Justeru ayat-ayatnya didapati agak banyak tetapi terselit di sana sini di
beberapa buah halaman al-Qur'an yang mulia. Lalu ayat-ayat tersebut disusun di
sini mengikut kronologinya.
Ayat pertama dapat dibaca dalam surah al-Baqarah. Ia
mengisahkan al-Qur'an diturunkan pada bulan Ramadhan. Sempena penurunan itu manusia diwajibkan
berpuasa pada bulan berkenaan.
ALLAH S.W.T berfirman :
"Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk
menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas dari
Petunjuk itu, dan Pembeza. Maka hendaklah orang-orang antara kamu yang
menyaksikan (hadir) pada bulan itu, berpuasa;" [Q.S.2:185]
Al-Qur'an diturunkan pada suatu malam bulan Ramadhan. Pada
malam itu hamba-Nya(Nabi Muhammad SAW) yang dipilih untuk menerima Kitab
tersebut telah diperjalankan dari sebuah masjid, iaitu, MASJIDIL HARAM(Tempat
Sujud yang Suci), ke sebuah MASJIDIL AQSA (tempat sujud lain yang lebih jauh)
yang terletak di Gua Hira', jauh daripada tempat baginda tinggal. Tujuan
baginda diperjalankan ke destinasinya adalah untuk diperlihatkan sebahagian
daripada ayat-ayat Tuhannya.
ALLAH S.W.T berfirman :
"Dia disanjung, yang menjalankan hamba-Nya pada waktu
malam hari dari Masjidil Haram(Tempat Sujud yang Suci) ke MASJIDIL AQSA (Tempat
Sujud yang lebih jauh) di mana sekitarannya Kami berkati, supaya Kami lihatkan
kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang
Mendengar, Yang Melihat." [Q.S.17:1]
*Masjidil Aqsa atau Tempat Sujud yang lebih jauh bukan di
Palestin, tetapi di Gua Hira' yang terletak di kawasan pergunungan, yang jauh
dari Masjidil Haram.
Hal ini berlaku sepertimana juga kepada Nabi Musa yang telah
diperjalankan supaya pergi ke gunung untuk menerima kitab Taurat.
Malam tersebut terus disebut di dalam al-Qur'an. Kali ini ia
dipanggil malam yang diberkati. Dan frasa ayat-ayat Kami yang disebut di dalam
ayat di atas diganti dengan kalimat Kitab pula.
ALLAH S.W.T berfirman:
"Demi Kitab yang jelas. Kami turunkannya pada satu
malam yang diberkati; Kami selamanya beri amaran, Di dalamnya segala urusan
yang bijaksana ditentukan, Sebagai satu urusan daripada Kami; Kami selamanya
utus, Sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu; sesungguhnya Dialah
Yang Mendengar, Yang Mengetahui,"
[Q.S. 44:2-6]
Al-Qur'an yang diturunkan pada malam yang diberkati itu
adalah jelas dan mengandungi segala urusan yang bijaksana, yang sudah
ditentukan. Di dalamnya juga terkandung amaran daripada Tuhan.
Kitab tersebut adalah wahyu yang diwahyukan, yang dibawa
oleh dia yang sangat kuat. Dia tegak mengambang di horizon yang tinggi,
kemudian turun mendekati Nabi, lalu wahyukan apa yang dia wahyukan. Mungkin di
situlah tempat MASJIDIL AQSA @ masjid yang lebih jauh yang disebut tadi.
ALLAH S.W.T, Berfirman:
"Ini tidak lain
hanya satu wahyu yang diwahyukan, Yang mengajar dia, yang sangat dalam
kekuatan, Sangat kuat ; dia tegak mengambang, Di horizon yang tinggi, Kemudian
mendekati dan turun, Jarak dua ibu panah, atau lebih dekat, Kemudian mewahyukan
hamba-Nya, apa yang dia wahyukan."
[Q.S.53:4-10]
Dia yang wahyukan Nabi itu adalah bukan Tuhan. Ayat-ayat
bakal dipetik di sini akan jelaskannya.
Berhenti sejenak untuk mengisahkan pertemuan Nabi dengannya
buat kali kedua. Ceritanya begini (sambungan petikan di atas):
ALLAH S.W.T, Berfirman:
"Sesungguhnya dia telah melihatnya sekali lagi, Di sisi
pohon bidara berbatasan (sidratil muntaha), Di sisinya taman (jannah) untuk
menginap, Ketika sesuatu yang menutupi, menutupi pohon bidara, Penglihatannya
tidak menyimpang, dan tidak juga melampaui batas. Sesungguhnya dia telah
melihat satu daripada ayat-ayat Pemeliharanya yang paling besar."
[Q.S.53:13-18]
Mungkin yang dilihatnya sebagai satu daripada tanda-tanda
Tuhan yang paling besar ialah kitab TULEN al-Qur'an berupa papan yang dijaga.
Firman mengenainya berbunyi,
"Tidak, tetapi ia sebuah al-Qur'an yang cemerlang, Pada
papan yang dijaga."
[Q.S. 85:21-22]
Atau, baginda melihat malaikat Jbril yang membawa turun
Papan al-Qur'an yang indah.
Kembali kepada perbincangan mengenai tajuk. Wahyu yang
disampaikan berupa ucapan. Lantas, diandaikan iaitu Nabi telah menulis untuk
menyalinnya. Ini padan dengan sebuah ayat mengandungi dakwaan orang-orang di
sekeliling baginda bahawa Kitab yang dibawanya telah diimlakkan kepadanya,
berbunyi:
"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang
dia tulis, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang."
[Q.S.25:5]
Wahyu yang diucapkan itu adalah ucapan Rasul yang mulia. Dia
mempunyai kekuatan (disebut lagi) dan berkedudukan kukuh di sisi Allah, selain
ditaati dan dipercayai. Firman-Nya,
"Sesungguhnya ia adalah ucapan Rasul yang mulia,
Mempunyai kekuatan, dengan Yang mempunyai Arasy kukuh, Ditaati, dan lagi,
dipercayai. Teman kamu bukanlah orang yang dirasuk. Sesungguhnya dia melihatnya
di horizon yang terang. Dia tidaklah lokek dengan yang ghaib."
[Q.S.81:19-24]
Nabi telah melihat Rasul(Malaikat Jibril) tersebut di
horizon (disebut lagi) yang terang. Rasul menurut al-Qur'an adalah juga daripada
golongan malaikat, bukan manusia sahaja.
Dalam ayat yang lain, Allah menyatakan bahawa al-Qur'an
dibawa turun oleh Roh Amin -
"Sesungguhnya ia
adalah satu penurunan Pemelihara semua alam, Dibawa turun oleh Roh Amin,"
[Q.S. 26:192-193]
Sementara di awal al-Qur'an, nama Jibril disebut sebagai
yang turunkan al-Qur'an ke dalam hati Nabi terutamanya:
".... Jibril, maka dialah yang turunkannya ke dalam
hati kamu, dengan izin Allah, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan petunjuk,
dan berita gembira bagi orang-orang mukmin."
[Q.S.2:97]
Oleh itu, mungkin tidak salah menyimpulkan bahawa dia yang
sangat kuat, Rasul yang mulia dan Roh Amin adalah sebenarnya MALAIKAT JIBRIL.
Sebutan mengenai malam al-Qur'an diturunkan diakhiri dengan
ayat-ayat berikut:
"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam yang
berkuasa. Dan tahukah kamu apakah ia
malam yang berkuasa? Malam yang berkuasa
adalah lebih baik daripada seribu bulan, Padanya malaikat-malaikat dan Roh
turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah, Sejahteralah ia, hingga terbit fajar." [Q.S. 97:1-5]
Malam al-Qur'an diturunkan adalah pada waktu LAILATUL QADAR
atau malam yang berkuasa, dan diberkati seperti yang telah dinyatakan. Pada
malam itu malaikat-malaikat dan Roh turun dengan segala perintah Tuhan.
Perkataan Roh di dalam al-Qur'an membawa beberapa erti. Satu
daripadanya ialah ayat-ayat Tuhan atau al-Qur'an seperti yang dijelaskan dalam
ayat berbunyi :
"Begitulah Kami wahyukan kamu ROH daripada PERINTAH
Kami. Kamu tidak tahu apakah al-Kitab itu, dan tidak juga keimanan; tetapi Kami
membuatnya satu cahaya, yang dengannya Kami beri petunjuk kepada siapa yang
Kami hendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan kamu, sesungguhnya kamu beri
petunjuk pada jalan lurus,"
[Q.S 42:52]
Lantaran itu, frasa daripada ayat-ayat 97:1-5 di atas yang
berbunyi "malaikat-malaikat dan Roh turun ..... dengan segala
perintah," boleh diertikan kepada malaikat-malaikat dan ayat-ayat
al-Qur'an turun ..... dengan segala perintah.
Suatu malam pada bulan Ramadan, lebih 1400 tahun yang lalu,
ditentukan Allah jadi diberkati, berkuasa dan amat baik, lebih baik daripada
seribu bulan. Pada malam tersebut, ayat-ayat-Nya, atau al-Qur'an, diturunkan.
Pada Malam itu penuh kesejahteraan.
Namun, kesejahteraannya berakhir apabila terbit waktu fajar
pada hari itu. Akan tetapi, AL-QUR'AN atau ROH yang ditinggalkan terus jadi
CAHAYA PETUNJUK bagi hamba-hamba Allah yang dihendaki-Nya ke JALAN LURUS,
sampai Hari Kiamat.
MALAM BERKUASA @ LAILATUL QADAR???
Banyak hadis yang mengatakan bahawa Nabi atau sahabat pernah
terjumpa Lailatul Qadar itu, banyak catatan sejarah dari hadis yang
membuktikannya. Nabi merupakan orang pertama yang melalui Malam tersebut dan
pada malam itu juga nabi menerima Qur'an, yang diwahyukan oleh ALLAH melalui
malaikat Jibril ke dalam hati Nabi.
Keterangan Qur'an dalam Surah Al-Qadr - tentang Lailatul
Qadar atau Malam yang berkuasa adalah amat jelas:
"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam yang
berkuasa. Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa? Malam yang berkuasa
adalah lebih baik daripada seribu bulan, Padanya malaikat-malaikat dan ROH
turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah. Sejahteralah ia, hingga terbit Fajar."
(97:1-5)
Ayat 97:1 menjelaskan bahawa LAILATULQADR @ MALAM YANG BERKUASA(97:1-5)
dan SATU MALAM YANG DIBERKATI(44:3) itu HANYA BERLAKU pada bulan RAMADHAN
ketika Qur'an diturunkan(2:185).
MALAM YANG BERKUASA itulah yang dikatakan lebih baik
daripada seribu bulan dimana Malaikat dan Roh juga turun dan kesejahteraan
hingga terbit Fajar. WALAUPUN, Qur'an telah diturunkan dan kini telah
diamalkan. namun, MALAM QADR masih dan
tetap ada pada setiap bulan Ramadhan.
Qur'an itu diturunkan kepada Nabi sekaligus pada malam bulan
Ramadhan dengan satu penurunan yang beransur-ansur(76:23)pada satu malam yang
berkuasa dan diberkati. Maka peristiwa penurunan Qur'an itu hanya sekali sahaja
manakala Lailatul Qadar itu, wujud SEKALI setahun iaitu pada Bulan Ramadhan
sahaja.
*LAILATULQADAR adalah
KATA NAMA KHAS bagi malam tersebut. Maka Malam tersebut adalah wujud walaupun
tanpa penurunan Qur'an kepada nabi Muhammad. Dan, malam itu digunakan sebagai
Malam platform untuk ALLAH turunkan Qur'an ke dalam hati Nabi Muhammad SAW
melalui Malaikat Jibril.
Oleh itu,
menunggu-nunggu kedatangan LAILATUL QADAR nyatalah amalan
yang baik dan pernah diamalkan oleh Nabi dan para sahabat nabi dan sehingga
kini Umat islam masih melakukannya secara tetap pada setiap bulan Ramadhan setiap tahun tanpa meragunya dan tanpa
mengabaikannya.- MALAM KE 27 LAILATUL QADR 2017