Solat Sunat Istikharah
Solat ini dilakukan untuk mendapatkan
petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik
diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk
memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku
harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat
dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.
Oleh yang demikian, hendaklah
menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil
keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.
Dengan mengharapkan agar ditunjukkan
Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi
fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca
doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal
kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’
lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah
bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.
Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam
keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah
bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan,
besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang,
hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.
Tata Cara Solat Istikharah
Tata cara solat istikharah lebih kurang
sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat
istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat
baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih
khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi
sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan
atau iqamah.
Lafaz niat:-
Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini
Lillahi Ta’aala
Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah
2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala
Rakaat pertama-
Baca surah Al-fatihah dan surah
Al-kafirun
Rakaat kedua-
Baca surah Al-fatihah dan surah
Al-ikhlas
Selepas salam, bacalah doa yang
disarankan dalam istikharah.
Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan
permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah,
jika hal ini….(sebutkan namanya)”
Doa istikharah
Setelah selesai solat, berdoa seperti
yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:
Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika,
wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru
wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal
amra khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii wa
aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu
anna haadzal amra syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii
‘aajili amrii wa aajilihi fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal
khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir
Ertinya:-
“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih
yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu,
aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu
yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha
Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (***) dalam
pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku
sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah
aku berkah daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***)
akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku
baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan
jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik,
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”