The Alien - Link Select

Ahad, 22 November 2015

AL-QUR'AN ITU RASUL ???



Telah terbit satu persoalan mengenai Rasul, yang mengakibatkan sesetengah pihak disangka jadi Rasul pada hari ini. Sangkaan lahir daripada fahaman bahawa Rasul terdiri daripada golongan manusia dan malaikat sahaja. Dan bahawa Rasul, menurut al-Qur'an, didapati berada di kalangan masyrakat dewasa ini. Firman Allah,
"Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya sedang kepada kamu ayat-ayat Allah dibacakan, dan Rasul-Nya berada di kalangan kamu? Sesiapa berpegang teguh kepada Allah, dia diberi petunjuk pada jalan lurus." (3:101)
Kerana Rasul dikatakan hadir pada hari ini maka dia disangka hanya terdiri daripada orang-orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah, yang bilangannya didapati begitu ramai.


Sedia maklum bahawa ayat-ayat Allah yang diturunkan, antara lain, beri petunjuk kepada manusia pada jalan lurus. Tugas itu, apabila direnungkan tidak hanya mampu dilaksana oleh Rasul jenis manusia kerana sebuah Kitab pun mampu buat demikian. Lalu Kitab itu boleh juga dianggap sebagai Rasul, seperti ditunjukkan dalam kandungan Peringatan berbunyi,
"Wahai ahli Kitab, sungguh telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan kepada kamu banyak perkara yang kamu sembunyikan daripada Kitab, dan banyak yang dimaafkan. Telah datang kepada kamu daripada Allah satu cahaya, dan sebuah Kitab yang jelas.
Allah beri petunjuk kepada siapa ikut kepuasan hati-Nya pada jalan-jalan kesejahteraan, dan keluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dengan izin-Nya; dan Dia beri petunjuk kepada mereka pada jalan lurus." (5:15-16)


Rasul dikatakan telah datang dan apa yang dikatakan telah datang di situ dijelaskan lagi dengan frasa sebuah Kitab yang jelas. Justeru, ayat tersebut dengan jelas membawa mesej iaitu Rasul adalah Kitab.


Penurunan Kitab ambil masa yang lama, di antara sebuah Kitab dengan Kitab yang lain (contoh, Injil dan al-Qur'an yang memakan masa kira-kira 600 tahun, atau al-Qur'an hingga ke hari ini selama lebih 1400 tahun). Kerana begitu lama mungkin terdapat orang-orang di kalangan ahli Kitab menyatakan tidak ada sebarang pemberi berita gembira mahu pun pemberi amaran datang kepada mereka. Namun Allah sangkal mereka dengan ayat berikut:
"Wahai ahli Kitab, sungguh telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan kepada kamu pada satu masa jeda antara Rasul-Rasul, supaya kamu tidak kata, 'Telah tidak datang kepada kami sebarang pembawa berita gembira, dan tidak juga sebarang pemberi amaran.' Sungguh, telah datang kepada kamu pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; Allah berkuasa atas segala sesuatu." (5:19)
Dia menyatakan bahawa Rasul merupakan pemberi berita gembira dan pemberi amaran. Pembawa dan pemberi tersebut boleh berbentuk sebuah Kitab. Seperti Kitab al-Qur'an, yang tidak dinafikan berfungsi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran menurut firman berbunyi,

"Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang tahu, pemberi berita gembira, dan pemberi amaran, tetapi kebanyakan mereka berpaling, dan tidak mendengar. (4 1:3-4)
Serupa mana-mana Rasul jenis manusia, al-Qur'an juga dikatakan memberi berita gembira dan beri amaran, dan kerana mesejnya masih terpelihara hingga hari ini maka mana-mana manusia tidak perlu lagi menganggap diri mereka sebagai Rasul.

Kerana Rasul boleh berbentuk sebuah Kitab, seperti al-Qur'an, sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, maka Rasul kita pada hari ini ialah Kitab al-Qur'an.


Allah disanjung!

*Penulis BACAAN

9 OKT. 2011

SURAH AL-IMRAN (KELUARGA IMRAN) ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
3:1. Alif Lam Mim.
3:2. Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup, Yang Kekal.
3:3. Dia turunkan kepada kamu al-Kitab dengan yang benar, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan Dia turunkan Taurat dan Injil,
3:4. Sebelumnya, sebagai petunjuk bagi manusia, dan Dia turunkan Pembeza. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, bagi mereka azab yang keras; dan Allah Perkasa, Pendendam.
3:5. Sesungguhnya ke atas Allah, tiada sesuatu yang tersembunyi di bumi dan tidak juga di langit.
3:6. Dia yang bentuk kamu di dalam rahim seperti yang Dia hendaki. Tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
3:7. Dia yang turunkan kepada kamu al-Kitab, di dalamnya ayat-ayat muhkamat (yang menentukan). Itu ibu al-Kitab, dan yang lain mutasyabihat (yang serupa). Bagi orang-orang di dalam hati mereka menyimpang, mereka ikut yang mutasyabihat daripadanya untuk inginkan pertikaian, dan inginkan interpretasinya. Tiada yang tahu interpretasinya kecuali Allah. Dan orang-orang yang dalam dalam pengetahuan berkata, "Kami percaya kepadanya; semuanya daripada Pemelihara kami"; dan tiada yang ingat, kecuali orang-orang empunya minda.
3:8. "Wahai Pemelihara kami, janganlah simpangkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berikan kami pengasihan daripada sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi.
3:9. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkau yang kumpulkan manusia untuk satu hari yang padanya tiada keraguan; sesungguhnya Allah tidak mungkiri janji temu."
3:10. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya, harta benda mereka tidak berguna bagi mereka, dan tidak juga anak-anak mereka sedikit pun terhadap Allah, dan mereka itu, mereka menjadi bahan bakar untuk Api.
3:11. Seperti keadaan keluarga Firaun, dan orang-orang sebelum mereka, yang dustakan ayat-ayat Kami; Allah ambil mereka disebabkan kesalahan-kesalahan mereka; Allah keras dalam balasan-Nya.
3:12. Katakanlah kepada orang-orang tidak percaya, "Kamu akan dikalahkan, dan dikumpulkan ke dalam Jahanam - sebuah buaian yang buruk!"
3:13. Telah pun ada satu ayat bagi kamu pada dua golongan yang bertemu. Segolongan berperang di jalan Allah, dan satu lagi tidak percaya. Mereka melihat mereka dua kali sebanyak mereka, seperti mata melihat, tetapi Allah kukuhkan dengan pertolongan-Nya siapa Dia hendaki. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah pelajaran bagi orang-orang empunya penglihatan.
3:14. Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itu kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik.
3:15. Katakanlah, "Bolehkah aku beritahu kamu yang lebih baik daripada itu? Bagi orang-orang bertakwa, di sisi Pemelihara mereka taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan pasangan-pasangan yang dibersihkan, dan kepuasan hati Allah. Dan Allah lihat hamba-hamba-Nya."
3:16. Orang-orang yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya kami percaya; ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lindungilah kami daripada azab Api."
3:17. Orang-orang yang sabar, dan orang-orang yang benar, dan orang-orang yang patuh, dan orang-orang yang nafkahkan, dan orang-orang yang minta ampun pada waktu sebelum dinihari.
3:18. Allah saksikan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, dan para malaikat, dan orang-orang yang berpengetahuan, yang tegakkan keadilan; tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
3:19. Agama yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh), dan orang-orang diberi al-Kitab tidak berselisih melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana angkuh antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan.
3:20. Maka jika mereka debat kamu, katakanlah, "Aku tundukkan wajahku (mukaku/kehendakku) kepada Allah, dan sesiapa yang ikut aku." dan katakan kepada orang-orang diberi al-Kitab , dan orang-orang ummiy (yang tidak diberi Kitab), "Sudahkah kamu tunduk patuh?" Jika mereka tunduk patuh, mereka dapat petunjuk yang benar, dan jika mereka berpaling, maka bagi kamu hanyalah untuk sampaikan; dan Allah lihat hamba-hamba-Nya.
3:21. Orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut, dan mereka membunuh manusia yang menyuruh pada keadilan, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih.
3:22. Mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; mereka tidak ada penolong.
3:23. Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya ia hakimkan antara mereka, kemudian segolongan antara mereka berpaling, dan mereka palingkan.
3:24. Itu kerana mereka kata, "Api tidak akan sentuh kami kecuali untuk beberapa hari yang terhitung." Apa yang mereka ada-adakan menipu mereka dalam agama mereka.
3:25. Tetapi bagaimanakah nanti apabila Kami kumpulkan mereka untuk satu hari yang padanya tiada keraguan, dan tiap-tiap jiwa dibayar sepenuhnya apa yang ia usahakan dan mereka tidak dizalimi?
3:26. Katakanlah, "Ya Allah, yang merajai kerajaan, Engkau beri kerajaan kepada siapa yang Engkau hendaki, dan lucutkan kerajaan daripada siapa Engkau hendaki, dan Engkau muliakan siapa yang Engkau hendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau hendaki. Di tangan Engkau yang baik; sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.
3:27. Engkau jadikan malam masuk ke dalam siang, dan Engkau jadikan siang masuk ke dalam malam, dan Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau beri rezeki kepada sesiapa Engkau hendaki tanpa hitungan."
3:28. Janganlah orang-orang mukmin ambil orang-orang tidak percaya sebagai wali selain daripada orang-orang mukmin, kerana sesiapa buat demikian, tiadalah kepunyaan Allah sesuatu, melainkan kamu ada yang ditakuti daripada mereka, Allah mengingatkan kamu supaya berhati-hati terhadap diri-Nya, dan kepada Allah kepulangan.
3:29. Katakanlah, "Sama ada kamu sembunyikan apa yang di dalam dada kamu, atau kamu nampakkannya, Allah mengetahuinya, dan Dia tahu apa yang di langit dan apa yang di bumi; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu."
3:30. Pada hari tiap-tiap jiwa dapati apa yang ia telah buat daripada kebaikan dihadapkan, dan apa yang ia buat daripada kejahatan; ia akan menginginkan sekiranya antara ia dan hari itu ada ruang yang jauh. Allah mengingatkan kamu supaya berhati-hati terhadap diri-Nya; dan Allah Lembut kepada hamba-hamba-Nya.
3:31. Katakanlah, "Jika kamu cintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan cintai kamu, dan ampunkan kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih."
3:32. Katakanlah, "Taatlah kepada Allah, dan Rasul." Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang tidak percaya.
3:33. Allah telah pilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas semua alam.
3:34. Keturunan satu sama lain; Allah Mendengar, Mengetahui.
3:35. Apabila isteri Imran berkata, "Pemeliharaku, aku bernazar kepada Engkau, untuk kebaikan, apa yang di dalam perutku. Terimalah Engkau yang ini daripadaku; sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui."
3:36. Dan apabila dia melahirkannya, dia berkata, "Pemeliharaku, aku telah melahirkannya, seorang perempuan." Allah sangat-sangat tahu apa yang dia lahirkan, dan bukanlah anak lelaki seperti perempuan, "Dan aku namakan dia Mariam, dan melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang direjam."
3:37. Pemeliharanya terima anaknya dengan penerimaan yang baik, dan dengan kebaikan-Nya, dia membesar dengan menarik hati, dan Zakaria menjaganya. Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di mihrabnya (bilik ibadat), dia dapati rezekinya. Dia berkata, "Wahai Mariam, dari manakah ini kepada kamu?" Dia berkata, "Daripada Allah." Sesungguhnya Allah beri rezeki kepada sesiapa Dia hendaki tanpa hitungan.
3:38. Di sana Zakaria seru Pemeliharanya, dengan berkata, "Pemeliharaku, berilah aku daripada sisi Engkau satu keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau dengar seruan."
3:39. Dan malaikat-malaikat memanggilnya, sedang dia berdiri untuk menyembah di mihrab, "Allah beri kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih."
3:40. Dia berkata, "Pemeliharaku, bagaimanakah aku boleh mempunyai seorang anak lelaki memandangkan aku seorang yang tua dan isteriku mandul?" Allah berkata, "Begitulah, Allah buat apa Dia hendaki."
3:41. Dia berkata, "Pemeliharaku, buatkan untukku satu ayat (tanda)." Dia berkata, "Ayat kamu ialah bahawa kamu tidak berkata-kata, kecuali dengan isyarat, kepada manusia selama tiga hari, dan ingatlah Pemelihara kamu dengan banyak, dan sanjunglah pada waktu petang dan awal pagi hari."
3:42. Dan ketika malaikat-malaikat berkata, "Wahai Mariam, Allah pilih kamu, dan bersihkan kamu, dan Dia pilih kamu di atas semua perempuan di semua alam.
3:43. Wahai Mariam, patuhlah kepada Pemelihara kamu, sujudlah, dan tunduklah, bersama orang-orang yang tunduk."
3:44. Itu adalah daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kamu; kerana kamu tidak berada dengan mereka, ketika mereka lemparkan pena-pena mereka, siapa antara mereka yang akan jaga Mariam; kamu tidak berada di sisi mereka ketika mereka bertengkar.
3:45. Ketika malaikat-malaikat berkata, "Wahai Mariam, Allah beri kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan.
3:46. Dia akan berkata-kata kepada manusia dalam buaian, dan setelah dewasa, dan akan jadi seorang yang salih."
3:47. Dia berkata, "Pemeliharaku, bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki memandangkan tiada manusia telah sentuh aku?" Berkatalah Dia, "Begitulah, Allah cipta apa yang Dia hendaki. Apabila Dia tentukan sesuatu perkara, Dia hanya berkata padanya, 'Jadilah', maka jadilah ia.
3:48. Dan Dia mengajarnya al-Kitab, dan Kebijaksanaan, dan Taurat, dan Injil,
3:49. Untuk menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, 'Aku datang kepada kamu dengan satu ayat (mukjizat) daripada Pemelihara kamu. Aku ciptakan untuk kamu daripada tanah liat yang seperti bentuk burung, kemudian aku hembus ke dalamnya, dan ia jadi seekor burung, dengan izin Allah, dan aku sembuhkan orang buta dan penyakit kusta, dan aku juga hidupkan orang yang mati, dengan izin Allah, dan aku beritahu kamu benda-benda yang kamu makan, dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin.
3:50. Dan mengesahkan Taurat yang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang diharamkan kepada kamu. Aku datang kepada kamu dengan satu ayat daripada Pemelihara kamu; maka kamu takutilah Allah, dan kamu taatlah kepadaku.
3:51. Sesungguhnya Allah Pemeliharaku, dan Pemelihara kamu; maka sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.'"
3:52. Dan apabila Isa sedari ketidakpercayaan mereka, dia berkata, "Siapakah yang akan jadi penolong-penolongku untuk Allah?" Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, "Kami akan jadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.
3:53. Wahai Pemelihara kami, kami percaya kepada apa yang Engkau turunkan, dan kami ikut Rasul, maka tuliskanlah kami bersama orang-orang yang saksikan."
3:54. Dan mereka buat tipu daya, dan Allah buat tipu daya, dan Allah adalah yang terbaik daripada pembuat-pembuat tipu daya.
3:55. Apabila Allah berkata, "Wahai Isa, Aku akan matikan kamu, dan naikkan kamu kepada-Ku, dan Aku bersihkan kamu daripada orang-orang tidak percaya. Aku akan buatkan orang-orang yang ikut kamu di atas orang-orang tidak percaya hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada-Ku kamu akan kembali, dan Aku akan hakimkan antara kamu mengenai apa yang padanya kamu selisihkan.
3:56. Bagi orang-orang tidak percaya, Aku akan azab mereka dengan azab yang keras di dunia dan di akhirat; mereka tidak ada penolong-penolong.
3:57. Bagi orang-orang yang percaya yang buat kerja-kerja baik , Dia akan bayar sepenuhnya upah mereka; dan Allah tidak suka orang-orang zalim."
3:58. Itu yang Kami bacakan kamu adalah daripada ayat-ayat, dan Peringatan yang bijaksana.
3:59. Sesungguhnya persamaan Isa di sisi Allah seperti persamaan Adam. Dia ciptanya daripada tanah, kemudian Dia berkata padanya, "Jadilah", maka jadilah dia.
3:60. Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu, maka jangan kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.
3:61. Dan sesiapa debat kamu mengenainya, setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka katakanlah, "Marilah, hendaklah kita seru anak-anak kami dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian hendaklah kita mohon dengan rendah hati dan letakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta."
3:62. Ini cerita benar. Tidak ada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Allah, Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
3:63. Dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tahu orang-orang yang buat kerosakan.
3:64. Katakanlah, "Wahai ahli Kitab, marilah kepada satu kata yang sama, antara kami dan kamu, bahawa kita tidak sembah melainkan Allah, dan bahawa kita tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya, dan janganlah sebahagian kita ambil sebahagian yang lain sebagai pemelihara-pemelihara, selain daripada Allah." Dan jika mereka berpaling, katakanlah, "Saksilah bahawa kami adalah muslim."
3:65. Wahai ahli Kitab, mengapa kamu berdebat mengenai Ibrahim? Taurat tidak diturunkan dan tidak juga Injil melainkan selepas dia. Apa, tidakkah kamu faham?
3:66. Inilah kamu, kamu berdebat mengenai pengetahuan yang ada pada kamu; mengapa pula kamu berdebat mengenai apa yang kamu tiada pengetahuan padanya? Allah tahu, dan kamu tidak tahu.
3:67. Tidak, Ibrahim sebenarnya bukanlah seorang Yahudi, dan bukan juga seorang Kristian, tetapi dia seorang Muslim, dan seorang yang lurus, dan dia bukan daripada orang-orang yang sekutukan.
3:68. Sesungguhnya manusia yang paling dekat dengan Ibrahim ialah mereka yang mengikutinya, dan Nabi ini, dan orang-orang yang percaya; dan Allah Wali (Pelindung) orang-orang mukmin.
3:69. Ada segolongan daripada ahli Kitab menginginkan untuk menyesatkan kamu, tetapi tiada yang mereka sesatkan melainkan diri-diri mereka sendiri, dan mereka tidak sedar.
3:70. Wahai ahli Kitab, mengapa kamu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah yang kamu sendiri saksikan ?
3:71. Wahai ahli Kitab, mengapa kamu campuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan kamu sembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya?
3:72. Ada segolongan daripada ahli Kitab berkata, "Percayalah kepada apa diturunkan kepada orang-orang yang percaya pada permulaan siang, dan janganlah percaya pada akhirnya, supaya mereka kemudian kembali,
3:73. Dan jangan percayai sesiapa kecuali orang yang ikut agama kamu." Katakanlah, "Petunjuk yang benar ialah petunjuk Allah, diberikan kepada sesiapa yang serupa dengan apa yang kamu diberi", atau debat kamu di sisi Pemelihara kamu, katakanlah, "Sesungguhnya pemberian adalah di tangan Allah; Dia berikannya kepada sesiapa Dia hendaki, dan Allah Merangkumi, Mengetahui.
3:74. Dia pilih untuk pengasihan-Nya siapa Dia hendaki, dan Allah mempunyai pemberian yang besar."
3:75. Dan daripada ahli Kitab ada yang, jika kamu percayakan dengan satu timbunan, dia akan kembalikan kepada kamu; dan antara mereka ada yang, jika kamu percayakan dengan satu dinar, dia tidak akan kembalikan kepada kamu, kecuali kamu selalu berdiri di atas (menagih) dia. Itu kerana mereka berkata, "Tidak ada jalan atas kami terhadap orang-orang ummiy (yang tidak diberi Kitab, iaitu Arab)." Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya.
3:76. Tidak, tetapi sesiapa yang tepati perjanjiannya, dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa.
3:77. Sesungguhnya orang-orang yang menjual perjanjian Allah dan sumpah-sumpah mereka untuk harga yang sedikit, mereka itu tidak dapat bahagian mereka di akhirat; Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka, dan tidak pandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak juga menyucikan mereka; dan bagi mereka, azab yang pedih.
3:78. Dan antara mereka, ada segolongan yang putarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu sangka ia daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukan daripada al-Kitab; dan mereka berkata, "Ia daripada Allah", tetapi ia bukan daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya.
3:79. Tiadalah bagi seseorang manusia bahawa Allah berikannya al-Kitab, dan Putusan, dan Kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, "Jadilah kamu hamba-hamba kepadaku selain daripada Allah." Tetapi, "Jadilah kamu orang-orang rabani (yang menguasai) dengan sebab kamu tahu al-Kitab, dan dengan sebab kamu pelajarinya."
3:80. Dia tidak akan suruh kamu ambil malaikat-malaikat dan Nabi-Nabi sebagai Pemelihara-Pemelihara; adakah Dia suruh kamu supaya tidak percaya setelah kamu muslim?
3:81. Dan apabila Allah ambil perjanjian Nabi-Nabi, "Bahawa Aku beri kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang Rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan percayainya, dan kamu menolongnya. Adakah kamu setuju?" Dia berkata, "Dan, adakah kamu ambil beban-Ku kepada kamu dengan syarat itu?" Mereka berkata, "Kami setuju." Dia berkata, "Maka saksilah, dan Aku bersama kamu antara para saksi."
3:82. Kemudian, sesiapa berpaling sesudah itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).
3:83. Apa, adakah selain daripada agama Allah yang mereka cari, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa di langit dan di bumi, dengan rela atau benci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan?
3:84. Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan kepada apa diberi kepada Musa dan Isa, dan Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim."
3:85. Sesiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi.
3:86. Bagaimanakah Allah akan beri petunjuk kepada kaum tidak percaya sesudah keimanan mereka, dan saksikan bahawa Rasul itu benar, dan bukti-bukti yang jelas telah datang kepada mereka? Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim.
3:87. Mereka itu, balasan mereka ialah bahawa ke atas mereka laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia, kesemuanya.
3:88. Di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya; azab tidak akan diringankan untuk mereka; tiada tangguh akan diberi kepada mereka.
3:89. Tetapi orang-orang yang bertaubat sesudah itu, dan membetulkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
3:90. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya sesudah keimanan mereka, dan kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan (kekafiran), maka taubat mereka tidak akan diterima; mereka itulah orang-orang yang sesat.
3:91. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya, dan mati dengan tidak percaya, maka tidak akan diterima daripada seseorang pun antara mereka emas sepenuh bumi, jika dia tebus dirinya dengannya; bagi mereka azab yang pedih, dan mereka tidak ada penolong-penolong.
3:92. Kamu tidak akan capai ketaatan sehingga kamu nafkahkan daripada apa kamu cintakan, dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
3:93. Semua makanan halal bagi Bani Israil, kecuali apa yang Israil haramkan dirinya sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah, "Datangkanlah Taurat itu, dan bacalah ia, jika kamu orang yang benar."
3:94. Sesiapa yang ada-adakan dusta terhadap Allah setelah itu, mereka itulah orang-orang zalim.
3:95. Katakanlah, "Allah berkata benar, maka ikutlah anutan Ibrahim, seorang yang lurus, dan bukanlah dia orang yang sekutukan."
3:96. Rumah yang pertama diletakkan bagi manusia ialah yang di Bakkah, yang diberkati, dan jadi petunjuk bagi semua alam.
3:97. Padanya bukti-bukti yang jelas - medan Ibrahim, dan sesiapa masukinya dia berasa aman. Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh buat jalannya ke sana. Dan orang tidak percaya - maka sesungguhnya Allah Kaya daripada semua alam.
3:98. Katakanlah, "Wahai ahli Kitab, mengapa kamu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah? Allah saksi atas apa kamu buat."
3:99. Katakanlah, "Wahai ahli Kitab, mengapa kamu halangi jalan Allah orang yang percaya, dan inginkannya jadi bengkok, dan kamu sendiri saksi-saksi? Allah tidak lalai daripada apa kamu buat."
3:100. Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu taati segolongan daripada orang-orang diberi al-Kitab , mereka akan kembalikan kamu, sesudah keimanan kamu, kepada orang-orang tidak percaya.
3:101. Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya sedang kepada kamu ayat-ayat Allah dibacakan, dan Rasul-Nya berada di kalangan kamu? Sesiapa berpegang teguh kepada Allah, dia diberi petunjuk pada jalan lurus.
3:102. Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah sebagaimana Dia patut ditakuti, dan janganlah kamu mati melainkan dalam kemusliman.
3:103. Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia satukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu jadi bersaudara. Kamu di pinggir lubang Api, dan Dia selamatkan kamu daripadanya. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu dapat petunjuk.
3:104. Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang beruntung.
3:105. Janganlah jadi seperti orang-orang yang berpecah belah, dan berselisih setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka; mereka itu, bagi mereka, azab yang besar,
3:106. Pada hari apabila beberapa muka jadi hitam, dan beberapa muka jadi putih. Bagi orang-orang yang muka-muka mereka jadi hitam, "Kenapa kamu tidak percaya (kafir) sesudah keimanan kamu? Maka rasalah azab kerana kamu tidak percaya."
3:107. Tetapi bagi orang-orang yang muka-muka mereka jadi putih, mereka berada dalam pengasihan Allah, di dalamnya tinggal selama-lamanya.
3:108. Ini adalah ayat-ayat Allah Kami bacakan kamu dengan benar, dan Allah tidak hendak sebarang kezaliman bagi semua alam.
3:109. Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi, dan kepada Allah semua perkara dikembalikan.
3:110. Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq.
3:111. Mereka tidak akan mudaratkan kamu, melainkan dengan sedikit gangguan; dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan palingkan kepada kamu belakang mereka, kemudian mereka tidak akan ditolong.
3:112. Kehinaan akan ditimpakan kepada mereka, di mana sahaja mereka dijumpai, kecuali dengan tali daripada Allah, dan tali daripada manusia, dan mereka dipenuhi beban kemurkaan Allah, dan kemiskinan ditimpakan kepada mereka; itu kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut. Demikianlah itu kerana mereka lakukan keingkaran, dan mereka mencabuli.
3:113. Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang baca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan sujud.
3:114. Mereka percayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih.
3:115. Dan apa sahaja kebaikan kamu buat, tidaklah kamu akan dinafikan; dan Allah tahu orang-orang bertakwa.
3:116. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya, harta benda mereka tidak akan berguna bagi mereka, dan tidak juga anak-anak mereka sedikit pun terhadap Allah; mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya.
3:117. Persamaan apa yang mereka nafkahkan dalam kehidupan dunia ini seperti persamaan angin yang sangat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menzalimi diri-diri mereka sendiri, lalu ia musnahkannya; Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan.
3:118. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil sebagai sahabat karib kamu daripada selain kamu. Mereka tidak berhenti-henti hendak hancurkan kamu; mereka ingin untuk deritakan kamu. Kebencian telah nyata daripada mulut mereka, dan apa yang dada mereka sembunyikan adalah lebih besar. Maka Kami jelaskan kepada kamu ayat-ayat, jika kamu faham.
3:119. Beginilah kamu ini; kamu suka mereka, dan mereka tidak suka kamu; kamu percayai Kitab, semuanya, dan apabila mereka berjumpa dengan kamu, mereka berkata, "Kami percaya", tetapi apabila mereka menyendiri, mereka gigit jari-jari mereka kerana marah pada kamu. Katakanlah, "Matilah dalam kemarahan kamu; sesungguhnya Allah tahu apa yang di dalam dada."
3:120. Jika kamu disentuh yang baik, ia sakitkan hati mereka, tetapi jika kamu ditimpa yang buruk, mereka gembira dengannya. Namun begitu, jika kamu sabar, dan bertakwa, muslihat mereka tidak akan mudaratkan kamu sedikit pun; sesungguhnya Allah meliputi apa mereka buat.
3:121. Apabila kamu berangkat pada pagi hari daripada keluarga kamu untuk menempatkan orang-orang mukmin di tempat-tempat untuk berperang - Allah Mendengar, Mengetahui.
3:122. Apabila dua golongan daripada kamu bermaksud untuk berkecut hati walaupun Allah Wali mereka - dan kepada Allah hendaklah orang-orang mukmin tawakal (mempercayakan).
3:123. Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu di Badar, tatkala kamu hina. Maka takutilah Allah, dan supaya kamu bersyukur (berterima kasih).
3:124. Ketika kamu kata kepada orang-orang mukmin, "Adakah tidak mencukupi bagi kamu bahawa Pemelihara kamu membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan kepada kamu?
3:125. Ia, jika kamu sabar, dan bertakwa, dan jika mereka datang kepada kamu dengan segera, Pemelihara kamu akan membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang menyerang dengan pantas."
3:126. Allah tidak buatkan ini melainkan sebagai berita gembira bagi kamu, dan supaya hati kamu tenteram dengannya, dan pertolongan hanyalah daripada Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
3:127. Supaya Dia potong sebahagian orang-orang tidak percaya, atau kecewakan mereka supaya mereka balik dengan kecewa.
3:128. Tidak ada daripada urusan itu bagi kamu, sama ada Dia terima taubat mereka, atau azab mereka; kerana mereka adalah orang-orang zalim.
3:129. Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; Dia ampun siapa Dia hendaki, dan azab siapa Dia hendaki; Allah Pengampun, Pengasih.
3:130. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah makan riba dua kali ganda dan berganda-ganda, dan takutilah Allah agar kamu beruntung.
3:131. Dan takutilah Api yang disediakan untuk orang-orang tidak percaya.
3:132. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul supaya kamu dikasihani.
3:133. Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Pemelihara kamu, dan kepada sebuah taman yang luasnya seperti langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa,
3:134. Yang nafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan tahan kemarahan mereka, dan maafkan manusia; dan Allah suka orang-orang buat baik,
3:135. Yang, apabila mereka lakukan satu kesumbangan, atau menzalimi diri-diri mereka sendiri, mengingati Allah dan minta ampun atas kesalahan-kesalahan mereka, dan siapakah yang akan ampunkan kesalahan-kesalahan melainkan Allah? Dan mereka tidak berterusan dalam apa yang mereka lakukan sedang mereka mengetahuinya.
3:136. Mereka itu, balasan mereka ialah ampunan daripada Pemelihara mereka, dan taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; dan alangkah sangat baiknya upah bagi orang-orang yang beramal!
3:137. Berbagai-bagai sunnah (resam) telah berlalu sebelum kamu, maka mengembaralah di bumi, dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dustakan.
3:138. Ini adalah penjelasan bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa.
3:139. Jangan lemah, dan jangan sedih; kamu akan jadi yang lebih tinggi, jika kamu orang-orang mukmin.
3:140. Jika luka sentuh kamu, maka luka yang serupa telah pun sentuh kaum itu, dan harinya itu Kami gilirkan antara manusia, dan supaya Allah tahu orang-orang yang percaya, dan Dia ambil saksi-saksi daripada kalangan kamu; dan Allah tidak suka orang-orang zalim.
3:141. Dan supaya Allah buktikan orang-orang yang percaya, dan hapuskan orang-orang tidak percaya.
3:142. Atau, adakah kamu sangka kamu patut masuk Taman tanpa Allah tahu orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tanpa Dia tahu orang-orang yang sabar?
3:143. Kamu inginkan kematian sebelum kamu temuinya; sungguh kamu telah melihatnya dan kamu perhatikan.
3:144. Muhammad tiadalah melainkan seorang Rasul; Rasul-Rasul telah berlalu sebelum dia. Apakah, jika dia mati atau dibunuh, kamu akan balik di atas tumit-tumit kamu? Jika seseorang balik di atas tumit-tumitnya, dia tidak akan mudaratkan Allah sedikit pun; dan Allah akan balas orang-orang berterima kasih.
3:145. Tiada sesuatu jiwa akan mati, kecuali dengan izin Allah, pada waktu yang telah dikitabkan (ditetapkan). Sesiapa yang hendak ganjaran dunia, Kami berikannya daripadanya, dan sesiapa yang hendak ganjaran akhirat, Kami berikannya daripadanya; dan Kami akan balas orang-orang berterima kasih.
3:146. Dan berapa ramainya Nabi yang bersamanya ramai telah berperang, dan mereka yang ber-Pemelihara tidak jadi lemah kerana apa yang timpa mereka di jalan Allah, dan tidak lemah, dan tidak juga tunduk; dan Allah suka orang-orang yang sabar.
3:147. Tiada lain yang mereka kata kecuali ucapan mereka, "Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya."
3:148. Dan Allah beri mereka ganjaran dunia, dan sebaik-baik ganjaran akhirat, dan Allah suka orang-orang buat baik.
3:149. Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu taati orang-orang tidak percaya, mereka akan kembalikan kamu di atas tumit-tumit kamu, dan kamu balik sebagai orang-orang yang rugi.
3:150. Tidak, tetapi Allah Pelindung kamu, dan Dia yang terbaik daripada penolong-penolong.
3:151. Kami akan lempar ke dalam hati orang-orang tidak percaya ketakutan yang amat sangat, sebab mereka sekutukan Allah dengan apa yang Dia tidak turunkan kuasa; tempat menginap mereka ialah Api; buruknya tempat tinggal orang-orang zalim!
3:152. Allah telah benar dalam janji-Nya kepada kamu, ketika kamu hancurkan mereka dengan izin-Nya; sehingga kamu berkecut hati, dan berbalah dalam urusan, dan mengingkari, setelah Dia perlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai. Antara kamu ada yang hendak dunia, dan antara kamu ada yang hendak akhirat. Kemudian Dia palingkan kamu daripada mereka, supaya Dia uji kamu; dan sesungguhnya Dia maafkan kamu; dan Allah mempunyai pemberian kepada orang-orang mukmin (yang percayai).
3:153. Ketika kamu naik ke atas dengan tidak menoleh-noleh kepada seseorang, dan Rasul menyeru kamu dari belakang kamu, lalu Dia ganjari kamu dengan kesedihan atas kesedihan, supaya kamu tidak sedih kerana apa yang terlepas daripada kamu, dan tidak juga kerana apa yang menimpa kamu; dan Allah sedar apa kamu buat.
3:154. Kemudian Dia turunkan kepada kamu, sesudah kesedihan, ketenteraman. Tidur nyenyak meliputi segolongan daripada kamu, dan segolongan, diri-diri mereka membimbangkan mereka dengan menyangka terhadap Allah yang tidak benar seperti orang-orang jahiliah sangka, dengan berkata, "Adakah bagi kami sesuatu dalam urusan ini?" Katakanlah, "Urusan adalah kepunyaan Allah seluruhnya." Mereka sembunyikan di dalam diri-diri mereka apa yang mereka tidak nampakkan kepada kamu, dengan berkata, "Sekiranya ada sesuatu bagi kami dalam urusan ini, tidaklah kami akan dibunuh di sini." Katakanlah, "Sekiranya kamu berada di dalam rumah-rumah kamu, orang-orang yang kepadanya pembunuhan telah dituliskan, akan pergi juga sampai di tempat tidur mereka yang terakhir"; dan supaya Allah uji apa yang di dalam dada kamu, dan supaya Dia buktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah tahu apa yang di dalam dada.
3:155. Orang-orang antara kamu yang berpaling pada hari dua kumpulan bertemu, syaitan gelincirkan mereka kerana sebahagian apa yang mereka usahakan, tetapi Allah maafkan mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Penyantun.
3:156. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah jadi seperti orang-orang tidak percaya, yang berkata kepada saudara-saudara mereka apabila mereka adakan perjalanan di bumi, atau mereka dalam ekspedisi perang, "Sekiranya mereka bersama kita, tentu mereka tidak mati, dan tidak dibunuh," - supaya Allah buatkan yang demikian itu suatu penyesalan di dalam hati mereka. Dan Allah menghidupkan dan Dia mematikan; dan Allah lihat apa kamu buat.
3:157. Jika kamu terbunuh, atau mati di jalan Allah, ampunan dan pengasihan daripada Allah adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.
3:158. Sesungguhnya jika kamu mati, atau terbunuh, kepada Allah kamu dikumpulkan.
3:159. Adalah dengan pengasihan Allah kamu berlaku lemah lembut kepada mereka, dan sekiranya kamu berkasar dan berkeras hati, tentu mereka menyuraikan diri dari sekeliling kamu. Maka maafkanlah mereka, dan mintalah ampun untuk mereka, dan berundinglah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu sudah putuskan, tawakallah kepada Allah; sesungguhnya Allah suka orang-orang yang tawakal.
3:160. Jika Allah tolong kamu, tiada yang dapat kalahkan kamu, dan jika Dia abaikan kamu, maka siapakah pula yang dapat tolong kamu sesudah-Nya? Maka kepada Allah hendaklah orang-orang mukmin tawakal (mempercayakan).
3:161. Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia usahakan, dan mereka tidak dizalimi.
3:162. Apa, adakah orang yang ikut kepuasan hati Allah itu sama seperti orang yang dipenuhi beban kemurkaan Allah, yang tempat menginapnya Jahanam? Satu kepulangan yang buruk!
3:163. Mereka adalah berdarjat-darjat di sisi Allah, dan Allah lihat apa mereka buat.
3:164. Sesungguhnya Allah berbudi baik kepada orang-orang mukmin apabila Dia bangkitkan antara mereka seorang Rasul daripada mereka sendiri, untuk bacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan ucikan mereka, dan ajar mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, sedang sebelum itu, mereka adalah dalam kesesatan yang nyata.
3:165. Mengapa, apabila penderitaan menimpa kamu, dan kamu telah menimpakan dua kali yang serupa dengannya, kamu berkata, "Bagaimanakah ini?" Katakanlah, "Ini adalah daripada diri kamu sendiri; sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu."
3:166. Dan apa yang menimpa kamu pada hari dua kumpulan bertemu adalah dengan izin Allah, dan supaya Dia tahu orang-orang mukmin.
3:167. Dan supaya Dia tahu orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah berperang di jalan Allah, atau tangkislah." Mereka berkata, "Sekiranya kami tahu bagaimana hendak berperang, tentu kami ikut kamu." Mereka pada hari itu adalah lebih dekat dengan ketidakpercayaan (kekafiran) daripada keimanan mereka, dengan mengatakan dengan mulut mereka apa yang tidak ada di dalam hati mereka; dan Allah sangat-sangat tahu apa yang mereka sembunyikan.
3:168. Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka dan mereka sendiri duduk, "Sekiranya mereka taati kita, tentu mereka tidak terbunuh." Katakanlah, "Maka tolaklah kematian itu daripada diri-diri kamu jika kamu berkata benar."
3:169. Janganlah sangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah sebagai sudah mati, tetapi hidup di sisi Pemelihara mereka, diberi rezeki oleh-Nya.
3:170. Mereka gembira dengan pemberian yang Allah beri mereka, dan gembira dengan orang-orang yang tinggal di belakang yang belum turut bersama mereka, dan tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.
3:171. Mereka gembira dengan rahmat dan pemberian daripada Allah, dan sesungguhnya Allah tidak sia-siakan upah orang-orang mukmin.
3:172. Dan orang-orang yang sahut Allah dan Rasul-Nya setelah luka timpa mereka - bagi orang-orang antara mereka yang buat baik dan bertakwa adalah upah yang besar.
3:173. Orang-orang yang kepada mereka manusia berkata, "Manusia telah berkumpul terhadap kamu, kerana itu takutilah mereka"; tetapi ia tambahkan mereka dalam keimanan, dan mereka berkata, "Cukuplah Allah bagi kami. Wakil yang sangat baik!"
3:174. Maka mereka balik dengan rahmat dan pemberian daripada Allah, tidak disentuh keburukan; mereka ikut kepuasan hati Allah; dan Allah mempunyai pemberian yang besar.
3:175. Itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan wali-walinya (sahabat-sahabatnya), maka jangan takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, jika kamu orang-orang mukmin.
3:176. Jangan mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan; mereka tidak mudaratkan Allah sedikit pun. Allah tidak hendak adakan bagi mereka satu bahagian di akhirat, dan bagi mereka, azab yang besar.
3:177. Orang-orang yang beli ketidakpercayaan dengan keimanan, mereka tidak mudaratkan Allah sedikit pun, dan bagi mereka, azab yang pedih.
3:178. Dan janganlah orang-orang tidak percaya sangka pertangguhan yang kami beri mereka itu lebih baik bagi diri mereka; Kami beri mereka tangguh hanya supaya mereka bertambah dalam dosa, dan bagi mereka, azab yang hina.
3:179. Allah tidak tinggalkan orang-orang mukmin dalam keadaan yang kamu sedang berada, sehingga Dia pisahkan yang buruk daripada yang baik, dan Allah tidak akan beritahu kamu yang ghaib; tetapi Allah pilih daripada Rasul-Rasul-Nya siapa Dia hendaki. Maka percayalah kamu kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, dan jika kamu percayai dan bertakwa, maka bagi kamu upah yang besar.
3:180. Tetapi orang-orang yang kikir dengan pemberian yang Allah telah beri mereka, janganlah mereka sangka itu lebih baik bagi mereka; tidak, ia adalah lebih buruk bagi mereka. Apa yang mereka kikir dengannya akan digantung pada leher-leher mereka pada Hari Kiamat; dan kepunyaan Allah warisan langit dan bumi; dan Allah sedar apa kamu buat.
3:181. Sesungguhnya Allah dengar ucapan orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya Allah fakir (memerlukan), dan kami kaya." Kami akan tulis apa mereka kata, dan pembunuhan mereka pada Nabi-Nabi tanpa patut, dan Kami berkata, "Rasalah azab yang membakar."
3:182. Itu adalah kerana apa yang tangan-tangan kamu dahulukan, dan bahawa Allah bukanlah penganiaya hamba-hamba-Nya.
3:183. Orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya Allah telah buat perjanjian dengan kami supaya kami tidak percayai mana-mana Rasul sehingga dia datangkan kepada kami satu qurban yang dimakan api." Katakanlah, "Rasul-Rasul telah datang kepada kamu sebelumku dengan bukti-bukti yang jelas, dan dengan yang kamu kata. Mengapa pula kamu bunuh mereka jika kamu berkata benar?"
3:184. Tetapi jika mereka dustakan kamu, maka telah didustakan Rasul-Rasul sebelum kamu, yang datang dengan bukti-bukti yang jelas, dan Zabur, dan Kitab yang memberi cahaya.
3:185. Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan dapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.
3:186. Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan dengar daripada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang sekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu sabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan.
3:187. Dan apabila Allah ambil perjanjian orang-orang diberi Kitab, "Hendaklah kamu jelaskannya kepada manusia, dan janganlah sembunyikannya." Tetapi mereka melemparnya ke belakang punggung mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit - alangkah buruknya apa yang mereka jual!
3:188. Janganlah sangka orang-orang yang gembira dengan apa yang mereka datangkan, dan suka dipuji atas apa yang mereka tidak buat; janganlah kamu sangka mereka aman daripada azab; dan bagi mereka, azab yang pedih.
3:189. Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan Allah berkuasa atas segala sesuatu.
3:190. Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang empunya minda,
3:191. Yang mengingat Allah berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan mereka, dan yang memikirkan mengenai ciptaan langit dan bumi, "Wahai Pemelihara kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Engkau disanjung! Lindungilah kami daripada azab Api.
3:192. Wahai Pemelihara kami, sesiapa Engkau masukkan ke Api, maka sesungguhnya Engkau aibkannya; dan orang-orang zalim tidak ada penolong-penolong.
3:193. Wahai Pemelihara kami, kami dengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat.
3:194. Wahai Pemelihara kami, berikan kami apa yang Engkau telah janjikan kami pada Rasul-Rasul Engkau, dan janganlah Engkau aibkan kami pada Hari Kiamat; sesungguhnya Engkau tidak mungkiri janji temu."
3:195. Dan Pemelihara mereka sahut mereka, "Aku tidak sia-siakan amalan sesiapa yang beramal antara kamu, lelaki atau perempuan, sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang hijrah, dan diusir daripada tempat tinggal mereka, dan mereka yang disakiti di jalan-Ku, dan berperang, dan dibunuh, merekalah yang Aku pasti akan lepaskan daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan Aku akan masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai"; satu ganjaran daripada Allah, dan Allah, di sisi-Nya sebaik-baik ganjaran.
3:196. Janganlah ia menipu kamu, bahawa orang-orang tidak percaya berulang-alik di dalam negeri,
3:197. Sedikit kesenangan, kemudian tempat menginap mereka ialah Jahanam; sebuah buaian yang buruk!
3:198. Tetapi orang-orang bertakwa kepada Pemelihara mereka, bagi mereka taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya sebagai satu sajian daripada Allah; dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang taat.
3:199. Dan daripada ahli Kitab ada yang percayai Allah, dan apa diturunkan kepada kamu, dan apa diturunkan kepada mereka; mereka rendah hati kepada Allah, tidak jual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit. Mereka itu, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka; sesungguhnya Allah cepat buat hitungan.
3:200. Wahai orang-orang yang percaya, bersabarlah dan berlumba-lumbalah kamu dalam kesabaran, dan berteguhlah, dan takutilah Allah agar kamu beruntung.