The Alien - Link Select

Isnin, 30 November 2015

KALIMAH IMAN???


SEKUTU ALLAH MENURUT QUR'AN ???

Amalan sekutukan Allah lazimnya dikaitkan dengan menyembah patung atau berhala. Akan tetapi, penjelasan daripada kitab al-Qur'an adalah lebih luas. Ia mengaitkan dengan apa saja, selain daripada Allah, yang dianggap berkuasa seperti Tuhan serta disembah atau ditaati. Oleh itu seseorang boleh terjerumus ke dalam lembah sekutukan Allah tanpa disedar.
Untuk mengenali siapa atau apa yang diterangkan sebagai sekutu Allah, maka semua ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat-kalimat bersabit dengannya seperti sekutu, sembah, seru, patung, berhala, tuhan, pemelihara, jin, syafaat dan kotor telah dikaji.
Hasil daripada kajian tersebut ialah senarai di bawah yang mengandungi enam belas jenis sekutu Allah. Mereka adalah seperti berikut:

1. Patung atau Berhala:
Contoh ialah patung yang disembah oleh bapa Nabi Ibrahim dan yang diukir oleh pengikut Nabi Musa. Ayat-ayat-Nya adalah:
"Dan apabila Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar, 'Adakah kamu ambil patung-patung untuk tuhan-tuhan?'" (6:74).
"Kemudian dia keluarkan bagi mereka Anak Lembu yang hanya berjasad, berbunyi seperti lembu; dan mereka berkata, 'Inilah tuhan kamu, dan tuhan Musa, yang dia lupa'" (20:88).
Berhala juga terdapat semasa kerjakan ibadah Haji (22:30) dan ia pun boleh jadi seorang insan yang dianggap tempat untuk dapat rezeki (29:17).

2. Jin:
Maksud firman Allah:
"... mereka adakan bagi Allah, sebagai sekutu-sekutu, jin, padahal Dia yang cipta mereka" (6:100).
Jin dibagaikan sekutu Allah untuk memperolehi kesenangan (6:128) dan perlindungan (72:6).

3. Nabi:
Maksud firman Allah:
"Dia tidak akan suruh kamu ambil malaikat-malaikat dan Nabi-Nabi sebagai Pemelihara-Pemelihara; adakah Dia suruh kamu supaya tidak percaya setelah kamu muslim?" (3:80).
Nabi diangkat seperti Pemelihara (atau rab dalam bahasa al-Qur'an), atau Tuhan, dengan menganggapnya berkuasa menetapkan hukum agama, buat orang dapat petunjuk, mempunyai kuasa syafaat, dan sebagainya.
Mengenai malaikat pula, kemungkinan ia dijadikan seperti Tuhan kerana disangka dapat memberi perlindungan, pertolongan, dll.

4. Ambil kitab selain daripada al-Qur'an sebagai petunjuk:
Maksud firman Allah:
"Katakanlah, 'Perkara apakah paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. Adakah kamu benar-benar saksikan bahawa ada tuhan-tuhan lain selain Allah?' Katakanlah, 'Aku tidak saksikan.' Katakanlah, 'Dia hanyalah Tuhan Yang Satu, dan aku berlepas diri daripada apa kamu sekutukan'" (6:19).
Di sini Allah disekutukan dengan mengambil kitab yang selain daripada Kitab-Nya, al-Qur'an. Atau, ikut petunjuk selain daripada petunjuk-Nya. Tiga ayat yang berikut jelaskannya lagi. Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah selitan daripada penulis untuk menjelaskan maksud:
"Itu petunjuk Allah; Dia beri petunjuk dengannya kepada siapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang sekutukan (yang mengambil selain daripada petunjuk Allah iaitu al-Qur'an), nescaya sia-sialah bagi mereka apa yang mereka telah buat" (6:88).
"Ikutlah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Pemelihara kamu; tidak ada tuhan melainkan Dia, dan berpalinglah kamu daripada orang-orang yang sekutukan (yang ikut selain daripada al-Qur'an)" (6:106).
"Ia (al-Qur'an) beri petunjuk pada yang benar. Kami percaya kepadanya, dan kami tidak akan sekutukan (tidak ambil selain daripada al-Qur'an) Pemelihara kami dengan sesiapa" (72:2).

5. Pengantara, atau Syafaat:
Maksud firman Allah:
"Sesungguhnya kamu datang kepada Kami bersendirian, seperti Kami cipta kamu pada kali pertama, dan kamu tinggalkan apa yang Kami kurniakan kepada kamu di belakang punggung kamu. Kami tidak lihat bersama kamu pengantara-pengantara kamu, orang-orang yang kamu dakwa untuk jadi sekutu-sekutuantara kamu. Pertalian antara kamu diputuskan, dan apa yang kamu dakwakan telah hilang daripada kamu" (6:94).
Pengantara diwujudkan untuk menjadi penghubung di antara orang yang mewujudkannya dengan Tuhan. Lazimnya penghubung atau orang tengah itu adalah orang alim. Orang tengah seperti itu diharamkan dalam agama Allah, kerana yang mengantara hanyalah Allah sendiri. Firman-Nya:
"Dan berilah amaran dengannya kepada orang-orang yang takut bahawa mereka akan dikumpulkan kepada Pemelihara mereka; tidak ada bagi mereka, selain daripada Allah, seorang wali (pelindung) dan tiada juga seorang pengantara, supaya mereka bertakwa" (6:51).

6. Pelindung (wali) selain Allah:
Maksud firman Allah:
"Katakanlah, 'Siapakah Pemelihara langit dan bumi?' Katakanlah, 'Allah.' Katakanlah, 'Adakah kamu ambil untuk kamu yang lain selain daripada Dia sebagaiwali (pelindung) kamu yang tidak berkuasa untuk manfaatkan atau mudaratkan diri-diri mereka sendiri?' Katakanlah, 'Adakah orang yang buta dengan orang yang boleh lihat sama, atau adakah gelap dengan cahaya sama?' Atau, adakah mereka adakan bagi Allah sekutu-sekutu yang cipta seperti ciptaan-Nya supaya ciptaan itu serupa kepada mereka?' Katakanlah, 'Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia Yang Satu, Yang Menakluki'" (13:16).
Tujuan adakan wali (pelindung) ialah untuk mendekatkan diri dengan Allah, seperti dijelaskan oleh sebuah firman Allah bermaksud:
"Tidakkah kepunyaan Allah agama yang tulus? Dan orang-orang yang mengambil wali-wali (pelindung-pelindung) selain daripada Dia - 'Kami hanya sembah mereka supaya mereka dekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' - sesungguhnya Allah akan hakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka selisihkan. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan" (39:3).
Perhatikan kegunaan perkataan "menyembah mereka" walaupun orang-orang itu mengaku adanya Allah dan tentu sekali menyembah-Nya. Ramai manusia telah dijadikan wali oleh sesetengah orang Islam supaya dapat mendekatkan diri dengan Tuhan.

7. Penolong selain Allah:
Maksud firman Allah:
"Namun begitu, mereka ambil selain daripada Allah tuhan-tuhan supaya mereka ditolong" (36:74).
Perkataan "tuhan" di situ diguna sebagai sindiran oleh Allah. Kerana : "pertolongan hanyalah daripada Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana" (3:126).

8. Menyeru selain Allah:
Maksud firman Allah:
"Dan apabila orang-orang yang sekutukan melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mereka inilah sekutu-sekutu kami, yang kami seru selain daripada Engkau.' Mereka lemparkan kembali kepada mereka ucapan, 'Sesungguhnya kamu sebenarnya pendusta-pendusta'" (16:86).
Yang diseru hanyalah manusia yang serupa dengan penyeru. Mereka tidak mengaku disekutukan dengan Allah pada hari kemudian. Mungkin yang diseru itu adalah orang alim juga, yang kononnya keramat, dan sudah meninggal dunia. Ayat-ayat berikut jelaskannya:
"Orang-orang yang kepada mereka kamu seru, selain daripada Allah, ialah hamba-hamba yang serupa dengan kamu; serulah mereka dan hendaklah mereka sahut kamu, jika kamu berkata benar" (7:194).
"Dan orang-orang yang mereka seru, selain daripada Allah, tidak cipta sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan, sudah mati, tidak hidup, dan tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan" (16:20-21).

9. Orang alim:
Maksud firman Allah:
"Katakanlah, 'Perlihatkan kepadaku orang-orang yang kamu hubungkan dengan-Nya sebagai sekutu-sekutu! Tidak sekali-kali; bahkan Dia Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana'" (34:27).
Orang-orang yang difikirkan ada hubungan dengan Allah selalunya mereka yang tinggi darjatnya seperti nabi, Rasul, para sahabat mereka, syeikh-syeikh dan sebagainya. Mereka disekutukan walaupun mereka sendiri hendakkan petunjuk daripada Allah! Firman-Nya:
"Katakanlah, 'Adakah daripada sekutu-sekutu kamu orang yang beri petunjuk pada yang benar?' Katakanlah, 'Allah, Dia beri petunjuk pada yang benar; dan yang manakah lebih wajar untuk diikuti - orang yang beri petunjuk pada yang benar, atau orang yang tidak beri petunjuk kecuali dia dapat petunjuk? Mengapakah kamu, bagaimanakah kamu hakimkan?'" (10:35).
Di akhirat nanti, orang-orang yang disekutukan dengan Allah tidak sedar bahawa mereka telah disekutukan. Firman Allah:
"Dan pada hari Kami kumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang sekutukan, 'Pergilah ke tempat kamu, kamu dansekutu-sekutu kamu!' Kemudian Kami pisahkan mereka, dan sekutu-sekutu mereka berkata, 'Bukanlah kami yang kamu sembah,'" (10:28)

10. Habr atau ulama agama:
Maksud firman Allah:
"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan" (42:21).
Orang-orang yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama adalah hanya para habr atau ulama agama. Mereka memakai gelaran seperti "Imam" atau "Maulana" atau "Syeikhul" dan sebagainya. Mereka juga diangkat sebagai pemelihara atau tuhan oleh pengikut-pengikut mereka, menurut ayat yang berikut:
"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan" (9:31).
Oleh kerana ajaran manis mereka, atas nama Islam sebenar, serta kelalaian pengikut-pengikutnya, maka apabila diseru kepada Allah satu-satunya, pengikut-pengikutnya tidak percaya, tetapi jika mereka disekutukan dengan-Nya, mereka percaya pula.
Kerana ajaran mereka juga pengikut-pengikut melawan Allah dengan cara menolak ajaran-Nya. Sila renungkan dua ayat yang berikut:
"Itu adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai. Putusan adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar" (40:12).
"Kemudian pada Hari Kiamat, Dia aibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?'" (16:27).

11. Memecahkan agama kepada golongan atau mazhab:
Orang-orang yang memecahkan agama dan jadi bergolongan atau mazhab adalah yang sekutukan Allah, menurut ayat Allah di bawah ini:
"Berkesesalanlah kepada-Nya. Dan kamu takutilah Dia, dan lakukan solat, dan janganlah jadi daripada orang-orang yang sekutukan, Daripada orang-orang yang memecahkan agama mereka, dan jadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa yang di sisi mereka" (30:31-32).
Boleh jadi kerana kebanggaan tersebut, mereka yang sekutukan benci kepada seruan agar jangan berpecah belah dalam agama, seperti bunyi firman Allah yang berikut:
"Dia syariatkan bagi kamu sebagai agama apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.' Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru mereka" (42:13).

12. Mengharamkan apa yang Allah tidak haramkan:
Maksud dua firman Allah:
"Orang-orang yang sekutukan akan berkata, 'Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak jadi orang-orang yang sekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami haramkan sesuatu'" (6:148)
"Orang-orang yang sekutukan berkata, 'Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak sembah, selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami haramkan, selain daripada Dia, sesuatu.' Begitulah orang-orang sebelum mereka telah buat; tiadalah atas Rasul-Rasul, melainkan untuk sampaikan yang jelas" (16:35).
Ini sering berlaku kerana Rasul dikatakan mengharamkan sesuatu juga. Rasul tidak mengharamkan selain daripada apa yang Allah haramkan. Tugas Rasul hanyalah sampaikan mesej Allah. (Sila rujuk ayat 5:92 dan 24:54 juga). Kenyataan ini sukar diterima oleh ulama-ulama palsu dan pengikut-pengikutnya. Antara mereka, ada pula yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah tersebut.

13. Keinginan sendiri atau ego:
Maksud firman Allah:
"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya (atau egonya) menjadi tuhannya? Adakah kamu jadi wakil kepada mereka?" (25:43).
Ego dijadikan tuhan dengan menurutinya sambil kehendak Allah tidak dipedulikan. Ada pula orang yang egonya didorong oleh sesuatu ilmu yang ada padanya. Firman Allah:
"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah sesatkan dia atas satu pengetahuan, dan letak satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan letak satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan beri petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23).

14. Anak yang salih:
Maksud firman Allah:
"Tetapi apabila Dia beri mereka anak yang salih, mereka adakan bagi-Nya sekutu-sekutu, pada apa yang Dia telah beri mereka. Tingginya Allah daripada apa yang mereka sekutukan!" (7:190)
Bukankah ulama palsu ajar bahawa anak yang salih (baik) itu dapat menolong ibu bapanya di alam barzakh dan di akhirat? Atau, bagaimana anak yang salih itu disekutukan dengan Allah?

15. Kebun atau harta kekayaan:
Terdapat orang yang sekutukan Allah setelah dikurniakan-Nya kebun yang mendatangkan hasil lumayan, atau setelah dikurniakan harta kekayaan yang banyak.
Ayat-ayat berikut ceritakan bagaimana pemilik kebun sekutukan Allah:
"Dan buatlah bagi mereka satu persamaan: dua lelaki - bagi seorang daripada mereka, kami beri dua kebun anggur, dan kelilingkan keduanya dengan pohon-pohon palma, dan di antara keduanya, Kami adakan sebuah ladang yang sudah disemai.
"Masing-masing daripada dua kebun itu mendatangkan hasilnya, dan tidak menzalimkan daripadanya sedikit pun; dan Kami pancarkan di celah-celahnya sebuah sungai. Maka dia mempunyai buah-buahan; dan dia berkata kepada temannya, sedang dia berbual-bual dengannya, 'Aku mempunyai lebih banyak harta daripada kamu, dan kumpulan yang lebih gagah.'
"Dan dia masuk kebunnya, dengan menzalimi dirinya sendiri; dia berkata, 'Aku tidak sangka ini akan binasa selama-lamanya ........ dan jika aku benar-benar dikembalikan kepada Pemeliharaku, aku pasti akan dapati tempat balik yang lebih baik daripada ini.'
"Berkata temannya sedang dia berbual-bual dengannya ...... "Kenapa, apabila kamu masukkebun kamu, kamu tidak mengatakan, 'Seperti yang Allah hendaki; tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah'? Jika kamu melihat aku lebih sedikit daripada kamu dalam harta dan anak-anak" ......
"Dan buah-buahannya diliputi semuanya, dan pada waktu pagi dia memulas-mulas tangan-tangannya, kerana apa yang dia nafkahkan (belanjakan) padanya, dan ia roboh di atas junjung-junjungnya, dan dia berkata, 'Aduhai, sekiranya aku tidak sekutukan Pemeliharaku dengan sesiapa jua!'" (18:32-42).
Kerana sombong dan angkuh, dan melupakan kuasa Tuhan maka kebunnya dibinasakan.

16. Setelah diselamatkan daripada kecemasan atau mudarat:
Ayat-ayat Allah yang berkaitan berbunyi:
"Katakanlah, 'Allah selamatkan kamu daripadanya, dan daripada segala kecemasan; kemudian kamu sekutukan'" (6:64).
"Kemudian, apabila Dia hilangkan mudarat daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu sekutukan Pemelihara mereka," (16:54.
"Apabila mereka naik ke kapal, mereka seru Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya; tetapi apabila Dia selamatkan mereka ke darat, tiba-tiba mereka sekutukan," (29:65).
"Apabila mudarat sentuh manusia, mereka seru Pemelihara mereka dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia rasakan kepada mereka pengasihan daripada-Nya, tiba-tiba segolongan daripada mereka sekutukan Pemelihara mereka," (30:33).
Bagaimana pula Allah disekutukan setelah Dia selamatkan daripada kecemasan atau mudarat? Adakah dengan mengadakan majlis-majlis kesyukuran yang mengingati orang-orang mati serta sedekahkan amalan dan bacaan kepada mereka, atau menyanjung Nabi, atau kedua-duanya sekali? Mungkinkah juga kerana ego yang menyatakan mereka terselamat kerana kebijaksanaannya?

Senarai sekutu Allah yang dikumpul daripada ajaran al-Qur'an berakhir dengan contoh keenam belas di atas. Namun, perbincangan mengenainya dipanjangkan sedikit lagi, untuk menyebut, antaranya, mengenai dosa sekutukan Allah. Itu lebih baik dijelaskan dengan ayat Allah sendiri berbunyi,
"Allah tidak ampun apa-apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia ampun yang selain itu kepada siapa Dia hendaki. Sesiapa sekutukan Allah, sungguh dia ada-adakan dosa besar" (4:48).
Dosa orang-orang yang sekutukan Allah tidak diampun mungkin kerana mereka adalah najisa atau najis dalam bahasa Melayu. Kalimat itu muncul hanya sekali di dalam al-Qur'an dan ia ditujukan kepada orang-orang yang sekutukan Allah. Bagi mereka tidak patut diminta ampun atas dosa mereka, oleh sesiapa saja, termasuk Nabi sendiri. Dua ayat yang berikut jelaskannya:
"... orang-orang yang sekutukan adalah najis" (9:28).
"Tidak patut bagi Nabi dan orang-orang yang percaya minta ampun bagi orang-orang yang sekutukan, walaupun mereka sanak saudara yang dekat, setelah jadi jelas bagi mereka bahawa mereka itu akan jadi penghuni-penghuni Jahim" (9:113).
Bisikan untuk sekutukan Allah adalah halus, sehingga kebanyakan daripada orang-orang yang mengaku percaya, atau beriman, pun terperangkap dengannya. Renungkanlah ayat berikut:
"Dan kebanyakan mereka tidak percayai Allah, melainkan mereka sekutukan-Nya" (12:106).
Barangkali mereka inilah yang tidak mengaku menyekutukan Allah di akhirat kelak tatkala ditanya oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan pada hari Kami kumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang sekutukan, 'Di manakah sekutu-sekutu kamu yang kamu dakwakan?' Kemudian tiadalah pertikaian mereka, melainkan mereka berkata, "Demi Allah, Pemelihara kami, bukanlah kami orang-orang yang sekutukan'" (6:22-32).
Sumpah bohong mereka boleh jadi dilakukan di dunia ini juga. Mereka tidak mengaku bahawa mereka sedang sekutukan Allah. Allah disanjung di atas apa-apa yang mereka menyekutukan!

Penulis Bacaan
31 Julai 2002