Amalan
sekutukan Allah lazimnya dikaitkan dengan menyembah patung atau berhala. Akan
tetapi, penjelasan daripada kitab al-Qur'an adalah lebih luas. Ia mengaitkan
dengan apa saja, selain daripada Allah, yang dianggap berkuasa seperti Tuhan
serta disembah atau ditaati. Oleh itu seseorang boleh terjerumus ke dalam
lembah sekutukan Allah tanpa disedar.
Untuk
mengenali siapa atau apa yang diterangkan sebagai sekutu Allah, maka semua ayat
al-Qur'an yang mengandungi kalimat-kalimat bersabit dengannya seperti sekutu,
sembah, seru, patung, berhala, tuhan, pemelihara, jin, syafaat dan kotor telah
dikaji.
Hasil daripada
kajian tersebut ialah senarai di bawah yang mengandungi enam belas jenis sekutu
Allah. Mereka adalah seperti berikut:
1. Patung atau
Berhala:
Contoh ialah
patung yang disembah oleh bapa Nabi Ibrahim dan yang diukir oleh pengikut Nabi
Musa. Ayat-ayat-Nya adalah:
"Dan
apabila Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar, 'Adakah kamu ambil patung-patung
untuk tuhan-tuhan?'" (6:74).
"Kemudian
dia keluarkan bagi mereka Anak Lembu yang hanya berjasad, berbunyi seperti
lembu; dan mereka berkata, 'Inilah tuhan kamu, dan tuhan Musa, yang dia
lupa'" (20:88).
Berhala juga
terdapat semasa kerjakan ibadah Haji (22:30) dan ia pun boleh jadi seorang
insan yang dianggap tempat untuk dapat rezeki (29:17).
2. Jin:
Maksud firman
Allah:
"...
mereka adakan bagi Allah, sebagai sekutu-sekutu, jin, padahal Dia yang cipta
mereka" (6:100).
Jin dibagaikan
sekutu Allah untuk memperolehi kesenangan (6:128) dan perlindungan (72:6).
3. Nabi:
Maksud firman
Allah:
"Dia
tidak akan suruh kamu ambil malaikat-malaikat dan Nabi-Nabi sebagai
Pemelihara-Pemelihara; adakah Dia suruh kamu supaya tidak percaya setelah kamu
muslim?" (3:80).
Nabi diangkat
seperti Pemelihara (atau rab dalam bahasa al-Qur'an), atau Tuhan, dengan
menganggapnya berkuasa menetapkan hukum agama, buat orang dapat petunjuk,
mempunyai kuasa syafaat, dan sebagainya.
Mengenai
malaikat pula, kemungkinan ia dijadikan seperti Tuhan kerana disangka dapat
memberi perlindungan, pertolongan, dll.
4. Ambil kitab
selain daripada al-Qur'an sebagai petunjuk:
Maksud firman
Allah:
"Katakanlah,
'Perkara apakah paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi
antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran
kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. Adakah kamu benar-benar saksikan
bahawa ada tuhan-tuhan lain selain Allah?' Katakanlah, 'Aku tidak saksikan.'
Katakanlah, 'Dia hanyalah Tuhan Yang Satu, dan aku berlepas diri daripada apa
kamu sekutukan'" (6:19).
Di sini Allah
disekutukan dengan mengambil kitab yang selain daripada Kitab-Nya, al-Qur'an.
Atau, ikut petunjuk selain daripada petunjuk-Nya. Tiga ayat yang berikut
jelaskannya lagi. Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah selitan daripada
penulis untuk menjelaskan maksud:
"Itu
petunjuk Allah; Dia beri petunjuk dengannya kepada siapa Dia hendaki daripada
hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang sekutukan (yang mengambil
selain daripada petunjuk Allah iaitu al-Qur'an), nescaya sia-sialah bagi mereka
apa yang mereka telah buat" (6:88).
"Ikutlah
apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Pemelihara kamu; tidak ada tuhan
melainkan Dia, dan berpalinglah kamu daripada orang-orang yang sekutukan (yang
ikut selain daripada al-Qur'an)" (6:106).
"Ia
(al-Qur'an) beri petunjuk pada yang benar. Kami percaya kepadanya, dan kami
tidak akan sekutukan (tidak ambil selain daripada al-Qur'an) Pemelihara kami
dengan sesiapa" (72:2).
5. Pengantara,
atau Syafaat:
Maksud firman
Allah:
"Sesungguhnya
kamu datang kepada Kami bersendirian, seperti Kami cipta kamu pada kali
pertama, dan kamu tinggalkan apa yang Kami kurniakan kepada kamu di belakang
punggung kamu. Kami tidak lihat bersama kamu pengantara-pengantara kamu,
orang-orang yang kamu dakwa untuk jadi sekutu-sekutuantara kamu. Pertalian
antara kamu diputuskan, dan apa yang kamu dakwakan telah hilang daripada
kamu" (6:94).
Pengantara
diwujudkan untuk menjadi penghubung di antara orang yang mewujudkannya dengan
Tuhan. Lazimnya penghubung atau orang tengah itu adalah orang alim. Orang
tengah seperti itu diharamkan dalam agama Allah, kerana yang mengantara
hanyalah Allah sendiri. Firman-Nya:
"Dan
berilah amaran dengannya kepada orang-orang yang takut bahawa mereka akan
dikumpulkan kepada Pemelihara mereka; tidak ada bagi mereka, selain daripada
Allah, seorang wali (pelindung) dan tiada juga seorang pengantara, supaya
mereka bertakwa" (6:51).
6. Pelindung
(wali) selain Allah:
Maksud firman
Allah:
"Katakanlah,
'Siapakah Pemelihara langit dan bumi?' Katakanlah, 'Allah.' Katakanlah, 'Adakah
kamu ambil untuk kamu yang lain selain daripada Dia sebagaiwali (pelindung)
kamu yang tidak berkuasa untuk manfaatkan atau mudaratkan diri-diri mereka
sendiri?' Katakanlah, 'Adakah orang yang buta dengan orang yang boleh lihat
sama, atau adakah gelap dengan cahaya sama?' Atau, adakah mereka adakan bagi
Allah sekutu-sekutu yang cipta seperti ciptaan-Nya supaya ciptaan itu serupa
kepada mereka?' Katakanlah, 'Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia Yang Satu,
Yang Menakluki'" (13:16).
Tujuan adakan
wali (pelindung) ialah untuk mendekatkan diri dengan Allah, seperti dijelaskan
oleh sebuah firman Allah bermaksud:
"Tidakkah
kepunyaan Allah agama yang tulus? Dan orang-orang yang mengambil wali-wali
(pelindung-pelindung) selain daripada Dia - 'Kami hanya sembah mereka supaya
mereka dekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' - sesungguhnya Allah akan
hakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka selisihkan.
Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam
ketidakpercayaan" (39:3).
Perhatikan
kegunaan perkataan "menyembah mereka" walaupun orang-orang itu
mengaku adanya Allah dan tentu sekali menyembah-Nya. Ramai manusia telah
dijadikan wali oleh sesetengah orang Islam supaya dapat mendekatkan diri dengan
Tuhan.
7. Penolong
selain Allah:
Maksud firman
Allah:
"Namun
begitu, mereka ambil selain daripada Allah tuhan-tuhan supaya mereka
ditolong" (36:74).
Perkataan
"tuhan" di situ diguna sebagai sindiran oleh Allah. Kerana : "pertolongan hanyalah daripada Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana"
(3:126).
8. Menyeru
selain Allah:
Maksud firman
Allah:
"Dan
apabila orang-orang yang sekutukan melihat sekutu-sekutu mereka, mereka
berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mereka inilah sekutu-sekutu kami, yang kami
seru selain daripada Engkau.' Mereka lemparkan kembali kepada mereka ucapan,
'Sesungguhnya kamu sebenarnya pendusta-pendusta'" (16:86).
Yang diseru
hanyalah manusia yang serupa dengan penyeru. Mereka tidak mengaku disekutukan
dengan Allah pada hari kemudian. Mungkin yang diseru itu adalah orang alim
juga, yang kononnya keramat, dan sudah meninggal dunia. Ayat-ayat berikut
jelaskannya:
"Orang-orang
yang kepada mereka kamu seru, selain daripada Allah, ialah hamba-hamba yang
serupa dengan kamu; serulah mereka dan hendaklah mereka sahut kamu, jika kamu
berkata benar" (7:194).
"Dan
orang-orang yang mereka seru, selain daripada Allah, tidak cipta sesuatu sedang
mereka sendiri diciptakan, sudah mati, tidak hidup, dan tidak sedar bila mereka
akan dibangkitkan" (16:20-21).
9. Orang alim:
Maksud firman
Allah:
"Katakanlah,
'Perlihatkan kepadaku orang-orang yang kamu hubungkan dengan-Nya sebagai
sekutu-sekutu! Tidak sekali-kali; bahkan Dia Allah, Yang Perkasa, Yang
Bijaksana'" (34:27).
Orang-orang
yang difikirkan ada hubungan dengan Allah selalunya mereka yang tinggi
darjatnya seperti nabi, Rasul, para sahabat mereka, syeikh-syeikh dan
sebagainya. Mereka disekutukan walaupun mereka sendiri hendakkan petunjuk
daripada Allah! Firman-Nya:
"Katakanlah,
'Adakah daripada sekutu-sekutu kamu orang yang beri petunjuk pada yang benar?'
Katakanlah, 'Allah, Dia beri petunjuk pada yang benar; dan yang manakah lebih
wajar untuk diikuti - orang yang beri petunjuk pada yang benar, atau orang yang
tidak beri petunjuk kecuali dia dapat petunjuk? Mengapakah kamu, bagaimanakah
kamu hakimkan?'" (10:35).
Di akhirat
nanti, orang-orang yang disekutukan dengan Allah tidak sedar bahawa mereka
telah disekutukan. Firman Allah:
"Dan pada
hari Kami kumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang
yang sekutukan, 'Pergilah ke tempat kamu, kamu dansekutu-sekutu kamu!' Kemudian
Kami pisahkan mereka, dan sekutu-sekutu mereka berkata, 'Bukanlah kami yang
kamu sembah,'" (10:28)
10. Habr atau
ulama agama:
Maksud firman
Allah:
"Atau,
adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai
agama, yang dengannya Allah tidak izinkan" (42:21).
Orang-orang
yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama adalah hanya para habr atau
ulama agama. Mereka memakai gelaran seperti "Imam" atau
"Maulana" atau "Syeikhul" dan sebagainya. Mereka juga
diangkat sebagai pemelihara atau tuhan oleh pengikut-pengikut mereka, menurut
ayat yang berikut:
"Mereka
ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai
pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... tidak ada tuhan melainkan
Dia; Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan" (9:31).
Oleh kerana
ajaran manis mereka, atas nama Islam sebenar, serta kelalaian
pengikut-pengikutnya, maka apabila diseru kepada Allah satu-satunya,
pengikut-pengikutnya tidak percaya, tetapi jika mereka disekutukan dengan-Nya,
mereka percaya pula.
Kerana ajaran
mereka juga pengikut-pengikut melawan Allah dengan cara menolak ajaran-Nya.
Sila renungkan dua ayat yang berikut:
"Itu
adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya;
tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai. Putusan
adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar" (40:12).
"Kemudian
pada Hari Kiamat, Dia aibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah
sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?'" (16:27).
11. Memecahkan
agama kepada golongan atau mazhab:
Orang-orang
yang memecahkan agama dan jadi bergolongan atau mazhab adalah yang sekutukan
Allah, menurut ayat Allah di bawah ini:
"Berkesesalanlah
kepada-Nya. Dan kamu takutilah Dia, dan lakukan solat, dan janganlah jadi
daripada orang-orang yang sekutukan, Daripada orang-orang yang memecahkan agama
mereka, dan jadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa
yang di sisi mereka" (30:31-32).
Boleh jadi
kerana kebanggaan tersebut, mereka yang sekutukan benci kepada seruan agar
jangan berpecah belah dalam agama, seperti bunyi firman Allah yang berikut:
"Dia
syariatkan bagi kamu sebagai agama apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan
apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan
Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.'
Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru
mereka" (42:13).
12.
Mengharamkan apa yang Allah tidak haramkan:
Maksud dua
firman Allah:
"Orang-orang
yang sekutukan akan berkata, 'Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak jadi
orang-orang yang sekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami
haramkan sesuatu'" (6:148)
"Orang-orang
yang sekutukan berkata, 'Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak sembah,
selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak
juga kami haramkan, selain daripada Dia, sesuatu.' Begitulah orang-orang
sebelum mereka telah buat; tiadalah atas Rasul-Rasul, melainkan untuk sampaikan
yang jelas" (16:35).
Ini sering
berlaku kerana Rasul dikatakan mengharamkan sesuatu juga. Rasul tidak
mengharamkan selain daripada apa yang Allah haramkan. Tugas Rasul hanyalah
sampaikan mesej Allah. (Sila rujuk ayat 5:92 dan 24:54 juga). Kenyataan ini
sukar diterima oleh ulama-ulama palsu dan pengikut-pengikutnya. Antara mereka,
ada pula yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah tersebut.
13. Keinginan
sendiri atau ego:
Maksud firman
Allah:
"Sudahkah
kamu lihat orang yang mengambil keinginannya (atau egonya) menjadi tuhannya?
Adakah kamu jadi wakil kepada mereka?" (25:43).
Ego dijadikan
tuhan dengan menurutinya sambil kehendak Allah tidak dipedulikan. Ada pula
orang yang egonya didorong oleh sesuatu ilmu yang ada padanya. Firman Allah:
"Sudahkah
kamu lihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah
sesatkan dia atas satu pengetahuan, dan letak satu penutup pada pendengarannya,
dan hatinya, dan letak satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan
beri petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?"
(45:23).
14. Anak yang
salih:
Maksud firman
Allah:
"Tetapi
apabila Dia beri mereka anak yang salih, mereka adakan bagi-Nya sekutu-sekutu,
pada apa yang Dia telah beri mereka. Tingginya Allah daripada apa yang mereka
sekutukan!" (7:190)
Bukankah ulama
palsu ajar bahawa anak yang salih (baik) itu dapat menolong ibu bapanya di alam
barzakh dan di akhirat? Atau, bagaimana anak yang salih itu disekutukan dengan
Allah?
15. Kebun atau
harta kekayaan:
Terdapat orang
yang sekutukan Allah setelah dikurniakan-Nya kebun yang mendatangkan hasil
lumayan, atau setelah dikurniakan harta kekayaan yang banyak.
Ayat-ayat
berikut ceritakan bagaimana pemilik kebun sekutukan Allah:
"Dan
buatlah bagi mereka satu persamaan: dua lelaki - bagi seorang daripada mereka,
kami beri dua kebun anggur, dan kelilingkan keduanya dengan pohon-pohon palma,
dan di antara keduanya, Kami adakan sebuah ladang yang sudah disemai.
"Masing-masing
daripada dua kebun itu mendatangkan hasilnya, dan tidak menzalimkan daripadanya
sedikit pun; dan Kami pancarkan di celah-celahnya sebuah sungai. Maka dia
mempunyai buah-buahan; dan dia berkata kepada temannya, sedang dia berbual-bual
dengannya, 'Aku mempunyai lebih banyak harta daripada kamu, dan kumpulan yang
lebih gagah.'
"Dan dia
masuk kebunnya, dengan menzalimi dirinya sendiri; dia berkata, 'Aku tidak
sangka ini akan binasa selama-lamanya ........ dan jika aku benar-benar
dikembalikan kepada Pemeliharaku, aku pasti akan dapati tempat balik yang lebih
baik daripada ini.'
"Berkata
temannya sedang dia berbual-bual dengannya ...... "Kenapa, apabila kamu
masukkebun kamu, kamu tidak mengatakan, 'Seperti yang Allah hendaki; tidak ada
kekuatan melainkan dengan Allah'? Jika kamu melihat aku lebih sedikit daripada
kamu dalam harta dan anak-anak" ......
"Dan
buah-buahannya diliputi semuanya, dan pada waktu pagi dia memulas-mulas
tangan-tangannya, kerana apa yang dia nafkahkan (belanjakan) padanya, dan ia
roboh di atas junjung-junjungnya, dan dia berkata, 'Aduhai, sekiranya aku tidak
sekutukan Pemeliharaku dengan sesiapa jua!'" (18:32-42).
Kerana sombong
dan angkuh, dan melupakan kuasa Tuhan maka kebunnya dibinasakan.
16. Setelah
diselamatkan daripada kecemasan atau mudarat:
Ayat-ayat
Allah yang berkaitan berbunyi:
"Katakanlah,
'Allah selamatkan kamu daripadanya, dan daripada segala kecemasan; kemudian
kamu sekutukan'" (6:64).
"Kemudian,
apabila Dia hilangkan mudarat daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu
sekutukan Pemelihara mereka," (16:54.
"Apabila
mereka naik ke kapal, mereka seru Allah, dengan menuluskan agama mereka
untuk-Nya; tetapi apabila Dia selamatkan mereka ke darat, tiba-tiba mereka
sekutukan," (29:65).
"Apabila
mudarat sentuh manusia, mereka seru Pemelihara mereka dengan berkesesalan
kepada-Nya; kemudian, apabila Dia rasakan kepada mereka pengasihan
daripada-Nya, tiba-tiba segolongan daripada mereka sekutukan Pemelihara
mereka," (30:33).
Bagaimana pula
Allah disekutukan setelah Dia selamatkan daripada kecemasan atau mudarat?
Adakah dengan mengadakan majlis-majlis kesyukuran yang mengingati orang-orang
mati serta sedekahkan amalan dan bacaan kepada mereka, atau menyanjung Nabi,
atau kedua-duanya sekali? Mungkinkah juga kerana ego yang menyatakan mereka
terselamat kerana kebijaksanaannya?
Senarai sekutu
Allah yang dikumpul daripada ajaran al-Qur'an berakhir dengan contoh keenam
belas di atas. Namun, perbincangan mengenainya dipanjangkan sedikit lagi, untuk
menyebut, antaranya, mengenai dosa sekutukan Allah. Itu lebih baik dijelaskan
dengan ayat Allah sendiri berbunyi,
"Allah
tidak ampun apa-apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia ampun yang selain itu
kepada siapa Dia hendaki. Sesiapa sekutukan Allah, sungguh dia ada-adakan dosa
besar" (4:48).
Dosa
orang-orang yang sekutukan Allah tidak diampun mungkin kerana mereka adalah
najisa atau najis dalam bahasa Melayu. Kalimat itu muncul hanya sekali di dalam
al-Qur'an dan ia ditujukan kepada orang-orang yang sekutukan Allah. Bagi mereka
tidak patut diminta ampun atas dosa mereka, oleh sesiapa saja, termasuk Nabi
sendiri. Dua ayat yang berikut jelaskannya:
"...
orang-orang yang sekutukan adalah najis" (9:28).
"Tidak
patut bagi Nabi dan orang-orang yang percaya minta ampun bagi orang-orang yang
sekutukan, walaupun mereka sanak saudara yang dekat, setelah jadi jelas bagi
mereka bahawa mereka itu akan jadi penghuni-penghuni Jahim" (9:113).
Bisikan untuk
sekutukan Allah adalah halus, sehingga kebanyakan daripada orang-orang yang
mengaku percaya, atau beriman, pun terperangkap dengannya. Renungkanlah ayat
berikut:
"Dan
kebanyakan mereka tidak percayai Allah, melainkan mereka sekutukan-Nya"
(12:106).
Barangkali
mereka inilah yang tidak mengaku menyekutukan Allah di akhirat kelak tatkala
ditanya oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan pada
hari Kami kumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang
yang sekutukan, 'Di manakah sekutu-sekutu kamu yang kamu dakwakan?' Kemudian
tiadalah pertikaian mereka, melainkan mereka berkata, "Demi Allah,
Pemelihara kami, bukanlah kami orang-orang yang sekutukan'" (6:22-32).
Sumpah bohong
mereka boleh jadi dilakukan di dunia ini juga. Mereka tidak mengaku bahawa
mereka sedang sekutukan Allah. Allah disanjung di atas apa-apa yang mereka
menyekutukan!
Penulis Bacaan
31 Julai 2002
Tiada ulasan:
Catat Ulasan