The Alien - Link Select

Selasa, 15 Jun 2010

Syeikh Prof Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani


Syeikh Prof Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani- Penemu Ubat dan Penawar HIV!
SEMOGA ALLAH MEMBERKATI BELIAU DI DUNIA DAN DIAKHIRAT. kerana usaha beliau itu memberi satu rahmat seluruh alam buat manusia

Pertama kali saya mendengar nama beliau ialah ketika membeli sebuah buku bertajuk, Kitab Tauhid karangan syeikh dari Yaman ini. Buku tersebut saya beli untuk kegunaan usrah saya sekitar tahun 2005. Yang sebenarnya saya kurang gemar menelaah kitab-kitab sedemikian kerana kupasannya yang terlalu mendasar. Tambahan pula ianya umpama mengulang kaji subjek diniah yang telah saya pelajari ketika di sekolah rendah dan menengah dahulu.

Walau bagaimanapun, saya dapati isi kandungan karangan Syeikh Zindani ini dikupas dengan gaya yang agak berbeza. Beliau telah menggandingkan hujjah-hujjah saintifik dan hujjah-hujjah naqli sebagai pembuktian kebenaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Contohnya beliau telah mengaitkan ayat 57 daripada surah Al- A'raaf dengan penjelasan saintifik yang mudah diterima akal.

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang) lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)" - Al-A'raaf:57

Kadar dan kelajuan angin yang Allah hantar adalah amat sesuai untuk membawa awan dan bebannya tanpa meleraikan dan merosakkannya. Jika kelajuan angin mencecah 75 batu sejam, harta benda akan rosak. Dengan kelajuan angin mencecah 200 batu sejam pula, seluruh kehidupan di muka bumi akan hancur.

Angin hanya berada setinggi lima batu sahaja di atas kepala kita. Pada ketinggian melebihi lima batu dari aras laut, terdapat gelombang angin dengan kelajuan 200 batu sejam.

Bagaimana seorang syeikh yang bidang kemahirannya adalah bidang agama boleh mengaitkan ayat Al-Quran dengan hujjah saintifik yang amat terperinci sekali? Ia benar-benar mengagumkan saya. Ini membangkitkan semangat saya untuk mengenali siapa Syeikh Zindani ini. Berikut adalah kisah hidup Syeikh Abdul Majid Aziz Az Zindani yang saya cedok daripada buku bertajuk Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden karangan Ust. Riduan Mohamad Nor dan Ust. Zainudin Hashim.

Beliau dilahirkan di bandar Bad'an dalam wilayah Ibb, Republik Yaman pada tahun 1942. Mendapat pendidikan awal di Al Kuttab, kemudian beralih ke Aden dan meneruskan pengajian secara pondok di situ. Beliau meneruskan perjalanan dalam pendidikan peringkat pengajian tinggi di Fakulti Farmasi di Mesir selama dua tahun.

Kemudian beliau pulang ke San'aa dan dilantik sebagai seorang pendidik di Kementerian Pendidikan. Di sinilah beliau mula berminat untuk menulis kitab akidah berasaskan saintifik bersama sahabat-sahabat beliau yang lain. Hasil tulisan beliau telah dijadikan sukatan di sekolah rendah dan menengah di seluruh Yaman.

Beliau pernah dijemput ke Arab Saudi untuk menjadi tenaga pengajar di sana. Ketika berada di Makkah, beliau telah mengasaskan Badan 'Ijaz Ilmu Sains Al Quran dan Hadis. Beliau juga merupakan pengasas Universiti Iman Yaman, Presiden Majlis Syura Perhimpunan Islah Yaman dan salah seorang pengasas Ikhwanul Muslimin Yaman.

Hasil kajian yang dilakukan terutama dalam bidang sains telah mendapat perhatian dan beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Oum Darman, Sudan. Beliau juga berjaya menemui penawar bagi penyakit AIDS dan telah ditemu ramah oleh Al Jazeera. Kaedah perubatan beliau hanyalah menggunakan herba dan tumbuhan semulajadi. Kajian selama 15 tahun itu mampu mengubati pesakit AIDS dalam tempoh tiga bulan dan boleh merawat 15 pesakit dalam satu-satu masa.

Syeikh Zindani juga pernah turun berjihad di Afghanistan bagi merealisasikan ucapan-ucapan beliau berkenaan jihad dalam majlis-majlis usrah kendalian beliau. Selain cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau juga seorang peniaga dan penternak yang berjaya. Syeikh Zindani sering menjadi sasaran musuh sehinggakan beliau disediakan kereta kalis peluru sebagai pakej keselamatan.

Begitulah sejarah hidup secara ringkas Syeikh Zindani. Salah satu cetusan pemikiran Syeikh Zindani yang mengagumkan saya ialah perumpaan yang beliau beri antara orang yang beriman dan kufur.

Tiada ulasan: