The Alien - Link Select

Rabu, 17 Mac 2010

KOMEN TENTANG NOVEL PAHLAWAN ADAMUS


Aku cukup teruja dengan komen saudara Kaizar dalam blog beliau.... satu komen yang memang aku tunggu2 sejak sekian lama. Nusuari buat anda.... mari kita baca sama2 komen beliau...


"Akhirnya pada 11/03, tamat juga Kaizar membaca buku Pahlawan Adamus oleh Silsoh Khairol yang dibeli pada 23/01. Mengapa Kaizar mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan bacaan? Telah diterangkan dalam entri sebelumnya. Sebelum meneruskan bacaan, cukup untuk Kaizar katakan di sini bahawa, "I'm not someone who can easily be impressed". Ulasan terakhir Kaizar adalah seperti berikut, tulus ikhlas lahir dari hati tanpa ada prejudis, pilih kasih atau berat sebelah.
Ada beberapa bab yang menggunakan teknik, cerita dahulu apa yang berlaku dan kemudian terangkan bagaimana ianya boleh berlaku. Mungkin teknik ini adalah cara penulisan tersendiri penulis, tetapi sebenarnya mengelirukan pembaca untuk menentukan antara adegan yang sepatutnya terdahulu dan terkemudian kerana tidak ada pembahagi yang jelas. Mungkin juga teknik ini belum dikuasai sepenuhnya justeru menambahkan kecelaruan pembaca. Lagipun buku Pahlawan Adamus ini lebih kepada jalan cerita berbentuk pengembaraan, maka pengembaraan sepatutnya dibaca dalam satu arah tanpa memerlukan "backtracking" yang membebankan. Klimaks-klimaks yang ditimbulkan oleh penulis juga kebanyakannya di"potong stim" ketika keghairahan membaca baru sahaja naik.
Selain itu, kebanyakan babak dalam buku ini sebenarnya tidak membantu untuk mengukuhkan jalan cerita melainkan sebagai aksesori tambahan dan rempah-ratus yang sekadar ditabur-tabur sebagai penyedap cerita. Adalah lebih cantik sekiranya sesuatu elemen dalam penceritaan itu benar-benar mempunyai kaitan yang kuat dalam membentuk jalan cerita. Atau mungkin sahaja buku Pahlawan Adamus ini hanyalah sebagai buku pengenalan yang menggembar-gemburkan segala apa sahaja benda yang ada di alam Fiara. Ada pelbagai jenis senjata, tumbuh-tumbuhan, haiwan, kaum-kaum, makhluk-makhluk hibrid manusia binatang dan sebagainya di alam Fiara yang hanya timbul dalam satu babak dan kemudiannya hilang tanpa penggunaan yang perlu sepenuhnya. Bagaimana pula dengan Ogron? Watak helang Korla juga sekejap ada, sekejap tiada, seolah-olah hanya dimuatkan apabila penulis teringat tentang kewujudan burung helang itu. Salah satu contoh lagi yang tidak dilihat dalam keseluruhan buku adalah penggunaan bahasa Urkon yang cuma diaplikasikan di bab-bab awal.
Malahan pembacaan dirasakan kurang beremosi, memang ada adegan percintaan, kematian dan sebagainya, tapi tidak sehingga menyentuh perasaan. Ianya hanya diceritakan sebagai satu bentuk peristiwa tanpa jiwa yang dimasukkan untuk memastikan cerita terus berjalan, itu sahaja. Misalnya tentang babak kematian salah satu watak utama dalam cerita (tidak diberikan nama kerana akan menjejaskan spoiler), watak tersebut seolah-olah seperti tiada alternatif "OK, Kitab tu kata aku kena mati, jadi aku bunuh diri dulu, bye", dan sememangnya kebanyakan kematian dalam buku ini dipandang ringan dan sambil lewa. Percintaan watak utama juga sebenarnya tidak jelas. Watak Nur Farihah sekadar disebut sekali dua di awal dan akhir buku tanpa kaitan yang jelas dengan keseluruhan jalan cerita. Pendekata, watak utama agak meng"gedik" dalam perihal percintaan.

(Adamus aka Faizal dan Pedang Unikorn serta Her-Una. "Pedang"... sangat simbolik)Bukan itu sahaja, pada awal cerita pula watak utama agak menjengkelkan. Terlalu berkira-kira, "Akukah Pahlawan Adamus? Tapi nama aku Faizal?" berulang kali hingga terasa rimas sebentar membaca tentang dirinya. Dan di sepanjang cerita pun watak utama seolah-olah kurang menjana idea sendiri untuk memastikan misinya berjaya. Di kebanyakan tempat, dia cuma mengikut telunjuk samada Tok Kiril atau Gimbaro untuk menentukan destinasi seterusnya yang akan dilalui dan perkara yang perlu dilakukan. Ya, memang Adamus masih baru di alam Fiara, tapi itu bukan alasan untuk dia mengambil sikap sambil lewa dengan misinya.
Malahan sewaktu Perang Unikorn yang cuma satu bab itu pun, Adamus kurang berperanan untuk mengatur strategi peperangan. Sepanjang pembacaan, Kaizar sebenarnya berkira-kira samada watak Faizal itu benar-benar pahlawan yang boleh diharap atau hanya berbekalkan nama dan status sebagai keturunan Dewa Meus semata. Seorang hero biasanya mempunyai daya kepimpinan yang jauh lebih tinggi dari yang dimiliki Adamus aka Aksaman aka Arnaman. (Wah! Secara tiba-tiba Kaizar emosi seolah-olah menjadi salah seorang puak Usiari yang membangkang kewujudan Adamus! Dari satu perspektif yang berbeza, ini sebenarnya satu petanda yang bagus buat Silsoh kerana berjaya menjadikan alam Fiara suatu yang diyakini wujud dalam daya imaginasi pembaca)
Dari segi jalan cerita, ada banyak saduran dari pelbagai cerita. Misalnya penyerapan pedang-pedang sakti yang mengingatkan Kaizar dengan drama bersiri Inggeris yang popular suatu masa dahulu iaitu "Highlander". Juga beberapa unsur "Lord of the Rings" karya JRR Tolkien, karya fantasi terhebat Inggeris seperti Cincin Orsilis, kewujudan dua ahli sihir yang berbeza pegangan. Pengaruh "Dragonball" juga dapat dilihat menerusi penggunaan elemen-elemen alam menjadi bebola-bebola serangan. 12 Pahlawan Orakel pula diambil dari cerita "Arthur and the Round Table Warriors". Hibrid manusia binatang seperti kalajengking Akrabbim, ular Pasirud pula mempunyai pengaruh filem "The Scorpion King" lakonan The Rock aka Dwayne Johnson dan filem "The Mummy". Juga file "Pirates of the Caribbean" dapat dilihat dalam penciptaan Kapal Narok dan pemiliknya Tuan Jakrung.
Tidak dinafikan karya Ahmad Patria Abdullah "Saga Artakusiad" menjadi pengaruh yang sangat besar kepada jalan cerita "Pahlawan Adamus", tentang seorang manusia biasa zaman ini yang dibawa masuk ke dalam alam lain dan menjadi penyelamat. Bahagian yang paling menarik Kaizar dalam buku Pahlawan Adamus ini semestinya bab ketika Adamus mengecil dan masuk ke alam pari-pari kenit (Alice in Wonderland?) Nama-nama watak pari-pari bukan sahaja unik malahan mempunyai watak tersendiri dan dunianya pun "believable".
Ada beberapa asal-usul nama yang ketara dan menarik, tidak kurang juga menggeletek hati, misalnya Hajidahk (Khadijah), Hallidba (Abdillah), Hoslis (Silsoh), Lembah Danumia (Danum), Pasirud (Pasir), Payakod (Paya), Zeusena (Zeus), Oriomus (Orion), Saiklops (Cyclops), Likasian (Likas), Upacara Sakros (sacrifice), juga pengaruh-pengaruh nama-nama Jepun, mungkin sekali pengaruh manga "Naruto" seperti Ulgaikendo, Samushin, Shinra, Qigon dan Qihea.
Terakhir sekali, mengenai glosari yang diselitkan di hujung buku. Sesetengah pembaca biasanya suka untuk menyemak glosari sambil membaca kandungan buku tersebut dan glosari itu sebenarnya mengandungi banyak unsur-unsur yang menjadi "spoiler" utama dalam cerita. Misalnya tentang asal-usul Dewa Meus, Adamus, Maharaja Kiril dan Tok Kiril.
Walau bagaimanapun, Kaizar tetap tidak sabar-sabar menanti buku kedua sambungan novel Pahlawan Adamus. Kalau menurut bab-bab terakhir dalam buku ini, Padawa Naldo akan membantu Pahlawan Terakhir Adamus untuk menyelamatkan permaisurinya, Ratu Rauna Her-Una Fiona sekaligus menentang makhluk jahat Iblisus. Manakala mengikut blog penulis pula, penulis akan mula menulis Saga Adamus yang mengandungi lima buah novel, dengan setiap satunya setebal 300 muka surat. Saga Adamus akan mengungkap sejarah alam Fiara dan beberapa pertarungan dahsyat di antara ahli sihir jahat dan baik, kemunculan Padawa Naldo dan rahsia hidupnya, kemunculan Pakatan Tiga Segi Syaitan yang menjadi dalang utama kisah Saga Adamus.
Mungkin sekali Kaizar terlalu menaruh harapan yang tinggi kepada buku Pahlawan Adamus untuk menjadi salah satu daripada kisah-kisah epik yang setanding dengan karya-karya omputeh menjadikan Kaizar sangat kritikal dalam memberikan kritikan. Setakat ini belum ada buku Melayu yang dapat memenuhi keinginan itu. Penantian bersambung...
PRO: Percubaan untuk mencipta alam fantasi yang baru bernama Fiara, lengkap dengan penciptaan bahasa yang baru iaitu Urkon, nama-nama yang pelik, mempunyai empat musim, pelbagai kaum, tumbuh-tumbuhan, binatang, hibrid manusia binatang.
CONS: Sesetengah perkara diperincikan secara berlebihan sehingga nampak tidak semulajadi misalnya watak berdialog panjang menerangkan sesuatu perkara bagaikan wikipedia bergerak (misalnya penerangan Ulgaikendo, tentang dunia alam Fiara dsb), manakala sesetengah perkara pula sekadar tempelan sementara dan tidak mempunyai peranan dalam menggerakkan jalan cerita. Spoiler twist cerita dalam glosari. Watak utama yang tampak tidak bersungguh-sungguh :)
Next: Bacaan siri "Takluk Jagat" diteruskan. Dan karya pertama Silsoh Khairol "Aku Bukan Hisham" boleh didapati di Gramedia Bookstore, The Mines, the only bookstore yang aku rasa punya katalog buku-buku Melayu paling banyak dan susunan menarik! Cumanya "Aku Bukan Hisham" diterbitkan kurang berkualiti berbanding penerbitan PTS. Just my two cents..."



SK : Memang cukup berharga komen2 di atas. membuatkan aku bersemangat semula. Terasa semangat Pahlawan Adamus kembali menguasai diriku... He he he... bersedia untuk sambungannya... Insyallah, semuanya dalam proses.... cuma komen aku pula..ialah... itu merupakan novel yang belum cukup matang dari segi pengalaman. Mungkin novel seterusnya akan lebih 'DEWASA'... hehehehe... -maklumlah.. penulis masih belajar...


3 ulasan:

Andy Kaizar berkata...

Assalammualaikum,
Terima kasih kerana sudi singgah di blog Kaizar. Rasa sangat terharu. Maaf kalau ada komen yang kurang menyenangkan kerana hanya meluahkan apa yang dirasa tetapi memang menaruh harapan yang tinggi untuk novel yang kedua! Semoga berjaya untuk karya seterusnya! Amin

IMAM MUHAMMAD JIBRIL AL-KHAIR berkata...

Komen yang bagus Saudara Kaizar... diharap boleh menjadi pengkomen yang terbaik untk novel2 saya yang seterusnya...

Tanpa Nama berkata...

Baru selesai membaca Pedang Adamus. Saya setuju dengan komen Kaizar. Ada satu perkara yang sering terlintas di pemikiran saya ketika membaca: Selamba jer mamat ni makan daging dari haiwan yang tak disembelih! :).

All the best!
Zaryl Amzari (Kelab Jejaka Tampan)