The Alien - Link Select

Isnin, 14 Disember 2009

NOVEL AKU BUKAN HISYAM - EPISOD 1

Satu fenomena ganjil berlaku. Ruang angkasa tiba-tiba dinodai dengan kehadiran sebongkah meteor meluncur laju menuju ke planet Bumi. Dengan kelajuan yang diluar dugaan ia melanggar bulan dan menyebabkan arahnya terpesong sedikit dari landasan asal. Situasi ini sebenarnya telah diramal dan dijangka sejak awal. Namun, tiada siapa yang mampu untuk mengambil langkah yang betul dan tepat bagi menangani situasi itu. Ahli sains dan cendikiawan seluruh dunia bergabung dan bersatu untuk menangani masalah tersebut. Walaupun satu pasukan pemusnah yang terbaik di dunia dan terpilih dari pelbagai bidang dihantar dengan kapal angkasa ke meteorit tersebut.
Namun, usaha itu sia-sia sahaja lantaran kesemua krew kapal terkorban akibat masalah teknikal berlaku di luar jangka semua.
Akhirnya, Meteor itu menembusi atmosfera bumi. Dan, ganjilnya mula berlaku. Meteor itu tiba-tiba berhenti di ruang udara dan mula menyerap tenaga. Satu demi satu kepulan awan gemawan yang terapung bebas di ruang udara diserap. Seperti sebuah vakum yang menyedut debu-debu dan sampah-sarap ia menyedut awan pelbagai bentuk. Fenomena itu menyebabkan suhu bumi meningkat tiba-tiba. Dan keadaan ini berterusan beberapa hari. Tedapat juga usaha beberapa buah negara seperti US dan Britain menggunakan operasi tentera untuk memusnahkan batu meteor yang sebesar padang bola sepak itu.
Namun, usaha mereka sia-sia sahaja. Setiap pesawat tentera yang menghampiri meteor itu musnah dalam satu serangan bunyi yang terhasil dari dari meteor yang hitam keperakkan itu. Para saintis dan pihak-pihak yang berkuasa buntu memikirkan ancaman ini. Sekiranya situasi itu berterusan nescaya medan magnetik bumi akan diserap habis dan ini akan menyebabkan seluruh planet bumi akan menjadi serpihan atau debu-debu angkasa dalam jangka masa yang tidak diketahui.
Malangnya semua pihak yang buntu dengan masalah ini terpaksa melupakan hasrat mereka dan buat sementara mereka menunggu sambil bersedia untuk kemungkinan yang pasti. Bumi akan musnah.
Masalah ini menyebabkan seorang proffesor dari Malaysia terasa perlu berbuat sesuatu. Proffesor Ikmal lulusan Universiti Teknologi Robotik (UTEKROB) memulakan usaha yang penting dan amat bermakna itu dengan pelaksanaan Projek Janus yang dijalankan oleh Suluken Corporation, di bawah seliaannya. Semuanya bermula setelah beberapa maklumat penting diperolehi dari agensi perisik berkenaan meteor tersebut.


BAB 1
2012 Masihi
Makmal V 3000



Proffesor Ikmal meneliti carta dan paparan skrin maya di hadapannya itu. 97 % projek Janus itu hampir siap. Usaha yang dilakukan sejak setahun lebih itu hampir-hampir siap. Dia mungkin memerlukan beberapa jam lagi untuk menguji alat kelengkapan dan objek projek itu sendiri. Dan, detik itu tidak lama dari masa sekarang. Dia yakin.
Cyborgsaver G1 ataupun C1G1 direnungnya tanpa berkedip mata. Dia sedar usaha itu memakan belanja yang tidak sedikit. Hampir 2 Billion matawang US digunakan dalam projek Janus itu. Dan masa serta semangat juga banyak dikorbankan untuk tujuan murni itu. Dia tidak mahu usaha murni itu sia-sia seperti yang sudah-sudah. Merenung tubuh lelaki yang berdiri tegak dalam balang gergasi penuh dengan wayar-wayar dan kiub khas berselirat dia rasa sebak. Kesemua hujung tiub dan wayar tersebut disambungkan ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu dikenali sebagai kolonel Hisyam Razifuddin.
Kolonel Hisyam Razifuddin adalah sahabatnya sejak dari kecil lagi Hisyam seorang yang sangat rapat dengannya. Sejak dari kampung hinggalah mereka bersekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan akhirnya mereka berpisah kerana Hisyam meminati bidang tentera dan menjadi tentera udara yang terbaik ketika itu. Manakala dia sendiri meneruskan minatnya dalam bidang robotik di UTEKROB. Dan setahun yang lalu dia terkorban dalam operasi tentera dalam serangan ke atas meteor itu. Mayatnya di bawah ke hospital kerajaan. Memandangkan dia tidak ada waris lagi selain dia sendiri sebagai sahabatnya. Maka dengan inisiatifnya sendiri dia telah menyimpan mayat sahabatnya itu di makmal khasnya di banglo kediamannya. Di situ ia diawet dan dikekalkan keadaannya dengan menggunakan mesin pelanjut hayat ciptaannya.
Dan kebetulan projek Janus dilancarkan. Projek itu memerlukan mayat seseorang yang segar dan masih berkeadaan baik. Maka dia mengambil keputusan untuk menggunakan mayat sahabatnya itu sebagai bahan utama Projek Janus. Dia sedar dan tahu apa yang dilakukannya walaupun pada mulanya dia tidak mahu menggunakan mayat sahabatnya itu. Namun, mengenang kembali semangat juang Hisyam dalam pengorbanan untuk negara maka dia merelakan tindakannya sebagai penghormatan ke atas sahabat baiknya itu.
Mayat Hisyam diubahsuai. Di bawa ke makmal yang terletak 3000 kaki di bawah permukaan Laut China Selatan. Dia sendiri yang mengubahsuai mayat sahabatnya itu. Dia tidak mahu saintis lain yang menyelia Hisyam. Kini pengubahsuaian itu sudah 100 peratus siap. Cuma pengisian Kad-Tenaga khas yang dibina berdasarkan Termosonuklear. Senjata ini merupakan senjata yang berbentuk peluru jenis gelombang tenaga yang dijana dari kuasa nuklear. Setiap janaan peluru tenaga itu menghasilkan satu bebola tenaga yang memiliki kekuatan 20 megatan. Dengan kemajuan senjata pemusnah yang cukup dashyat itu pasti meteor tersebut akan berkecai. Dia yakin!
Sebelum ini pelbagai jenis senjata dari jenis peluru berpandu, Misil dan Meriam Laser tidak berkesan sama sekali ke atas struktur meteor itu. Oleh itu, dia mencipta sejenis senjata yang hanya dijana oleh tenaga nuklear dan dikuatkan dengan sistem Supersonik ciptaan Dr. Arshenaida Fukada. Dengan menggunakan sel-sel hidup yang disuntik Triple X-Gen berwarna hijau tenaga nuklear yang dijana oleh sistem Supersonik akan mudah dibentuk dengan hujung jari dan berupaya dilancarkan secara fizikal. Dan. kadar momentum tenaga yang terhasil bersamaan dengan 60 Megatan Momentum nuklear.
Sel-sel yang dimilikinya membahagi dengan kadar 60 kali ganda lebih cepat dari normal. Ini bermakna, kemampuan Daya-Pulihnya sembuh dengan cepat. Sekiranya ia dicederakan maka rawatan penyatuan sel-selnya akan bertindak segera dan menyembuhkan luka atau kecederaan tersebut.
“Kenapa kau memilih tentera?” soal Ikmal ketika mereka sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di Metropolis Kuala Lumpur tidak lama dulu. Sebuah restoran tertua di ibu negara itu. Ocean Food-Since 1955.
Hisyam tersengih. Dia terkelu seketika. Sebenarnya dia pun tidak pasti jawapan yang pasti dan tepat untuk soalan itu.
“Entah lah… mungkin sebab dalam jiwa aku ini ada semangat juang yang sentiasa meluap-luap dan tidak sesekali mengalah. Mungkin juga sebab takde pilihan lain… dan mungkin juga…”
“Mungkin juga kerana Syakirah?” potong Ikmal tiba-tiba.
Hisyam terkedu. Tidak menjangka jawapan itu yang lahir dari mulut sahabatnya.
Dia tunduk.
“Kan?!” tukas Ikmal.
Hisyam angkat muka. Wajah Ikmal direnung seketika.
“Dah jodohnya dengan orang lain… “ Gumamnya.
“Tau pun kau… sepatutnya kau kena redha dengan ketentuan. Dah nasib! Takkan sebab dia kau nak lupakan cita-cita kau? Aku yakin kau akan jadi peguam yang terbaik nanti. Kenapa mengalah? Jangan mengalah kerana seorang perempuan yang bukan ditakdir untuk kau!” Ikmal merenung sahabatnya itu, simpati.
“Maafkan aku Ikmal… selepas semua yang berlaku, aku rasa tawar untuk teruskan cita-cita aku. Aku bukan tidak minat tentera. Aku minat….aku memang minat. Kau pun tau.... sejak dari kecil lagi aku bercita-cita untuk jadi peguam. Tetapi itu bukan bermakna aku akanjadi peguam. Takdir dah tentukan aku akan jadi askar. Jadi tentera! Sekurang-kurangnya aku dapat juga berbakti untuk negara kita.”
Ikmal tarik nafas. Ada benarnya ungkapan Hisyam itu. Dia sebenarnya risau keselamatan Hisyam. Dia tidak mahu Hisyam terkorban. Dia tahu, tugas sebagai anggota tentera sangat berisiko tinggi. Kematian setiasa mengintai, maut sentiasa menunggu. Bila-bila masa sahaja Hisyam akan terkorban. Peluru tidak pernah mengenal siapa Hisyam. Hakikat itu semua orang tahu.
Dan hakikat itu menjadi reality kini. Hasilnya apa yang ada di depan matanya sekarang. Mayat Hisyam kini berada dalam balang gergasi itu. Bersemadi tenang menunggu ia dibangkitkan dengan personaliti baru dengan tujuan yang murni, semurni semangatnya dan tujuannya semasa hayatnya dulu. Kali ini dia bukan sahaja akan berbakti kepada negaranya malah seluruh dunia akan terhutang budi kepadanya. Dia akan menjadi penyelamat dunia yang pertama dalam sejarah dunia sebagai hasil teknologi tinggi dalam bidang robotik. Dia juga menjadi manusia pertama dalam sejarah dunia sebagai manusia pertama yang dihidupkan kembali dengan teknologi tinggi itu. Dia akan menjadi Cyborgsaver G1. Hisyam adalah generasi pertama dari model itu, C1G1.
“Prof.?”
Prof. Ikmal tersentak. Lamunannya berkecai seribu. Serta-merta wajah Hisyam dan perbualan mereka terputus diganti oleh wajah Aizad, si pembantu makmal.
“Ya, Aizad?” Prof. Ikmal bertanya dengan nada yang kurang senang.
“Prof… Gen G-flesh sudah sedia untuk disuntik.” Jawabnya.
Prof. Ikmal mengalihkan pandangannya ke arah mesin penyuntik itu. Kelihatan cecair hijau metalik terkandung dalam balang khas.
“Baiklah … mulakan!” arahnya.

IKUTI SAMBUNGAN SETERUSNYA MINGGU HADAPAN... SELASA -22.12.2009

*DAPATKAN NOVEL 'AKU BUKAN HISYAM' DI KARNADYA .COM.MY. DENGAN HARGA RM 14.90 SAHAJA.. ATAU PESAN TERUS DARI SAYA MELALUI E-MAIL- GREENDREAM_001@YAHOO.COM.



Tiada ulasan: