*ANTARA BAHAN-bahan bacaan aku yang tidak lekang dek panas. sentiasa evergreen. Selain karya-karya Bercakap dengan Jin-Tamar Jalis, ini merupakan karya Abdul Muluk Bin Daud@Tok Awang Ngah, antara karya yang paling berharga dan bernilai bagiku. INI MERUPAKAN SIMPANAN PERIBADI DAN BACAAN PERIBADI. BUKAN UNTUK TUJUAN TERBITAN DAN JUALAN.
Siri Berkelahi Dengan Syaitan
1. Ular
Dalam Kubur wanita
LAMA juga orang-orang kampung bercerita mengenai kematian Latip
Pekak semasa memandikan mayat isterinya Mak Yot Bidan yang kononnya balik ke
rumah semula. Judin Bauk yang menjadi
saksi peristiwa itu bersama adik arwah Mak Yot Bidan iatu Usin Macuk. Tetapi
kata orang-orang tua yang balik semula ke rumah itu bukannya Mak Yot Bidan
tetapi jelmaan 'hantu bungkusan'.
Semasa
orang-orang mengkebumikan jenazah Latip Pekak, didapati kubur Mak Yot Bidan
berlubang kira-kira sebesar lilitan betis. Apabila dijolok oleh Lebai Piut ke
dalam, kayu penyolok itu sampai ke bawah. Berbunyi papan liang lahadnya apabila
diketuk-ketuk.
Selepas
kematian Latip Pekak tidaklah didengar lagi suara jeritan dari kubur Mak Yot
Bidan. Apakah rahsia di sebalik kejadian itu tidak pula diketahui oleh
orang-orang kampung. Ketika saya sampai ke kampung ini dapatlah saya mendengar
serba sedikit ceritanya dari Judin Bauk.
"Tak
tau aku apakah ilmu yang dipakai oleh arwah tu" jelas Judin Bauk apabila
saya tanyakan kepadanya. "Yang aku tau dia seorang bidan di kampung ni
dulu. Agaknya ilmu membidankan orang tentulah ada padanya" ujarnya
bagaikan tergambar lagi kepadanya peristiwa yang berlaku.
"Sudah
selesai semuanya, tak payahlah kita sebut-sebut lagi" Lebai Piut mencelah.
"Perkara dah berlalu, biarlah orang-orang masih hidup jadikan teladan
tentang petunjuk-petunjuk sedemikian dari Allah..." katanya perlahan.
"Benar
kata Aki tu.." saya tersengih-sengih memerhatikan dia. "Tapi, baik
juga kita mengetahui latar belakang mengapa kejadian itu berlaku. Dari sini
bolehlah kita jadikan ia teladan kepada masyarakat kita. Sebab petunjuk dari
Allah itu supaya kita semua insaf." keinginan saya masih membara ingin mengetahui
latar belakang kejadian yang menimpa diri arwah Mak Yot Bidan itu.
"Kadangkala....."
Lebai Piut mengangguk-ngangguk lemah. "Kita melihat zahir saja, sedangkan
yang zahir itu pun tidak semuanya kita tahu, hanya Allah saja Maha Mengetahui."
dia memberitahu. Saya memahami maksud
Lebai Piut itu. Dia tidak mahu cerita mengenai kubur berasap itu dipanjang-panjangkan.
Tidaklah menghairankan kepada saya
mengenai diri Lebai Piut itu. Dia memang bekas murid arwah Tok Aki saya. Oleh
itu, saya cam betul akan tabiatnya seakan-akan mirip dengan arwah Tok Aki saya.
Sebenarnya
saya datang ke kampung tersebut semata-mata mahu menziarahi Lebai Piut. Tetapi
secara kebetulan cerita mengenai kubur berasap itu masih menjadi buah mulut
orang-orang kampung itu, sengajalah saya tanyakan kepada Judin Bauk.
Ketika
saya ke Merlimau di Melaka pun ada juga cerita mengenai kisah-kisah yang serupa
dengan kejadian di kubur Mak Yot Bidan ini. Kawan saya Ali Burn yang ceritakan
kepada saya. Tetapi saya tidak ambil peduli sangat cerita Ali Burn ini fasal kadangkala
ceritanya bercampur temberang sedikit.
Kira-kira
dalam bulan Jun 1982 Ali Burn telah mengajak saya berjumpa dengan seorang
lelaki tua di Felda dekat Johor. Lelaki ini tinggal bersama anak perempuannya
di situ. Tetapi dia bukanlah berasal dari Merlimau iaitu kampung asal Ali Burn.
Bagaimanapun menantu Pak Uduh ini memang berasal dari Merlimau.
Pak
Uduh sudah berumur lebih 80 tahun. Dia kelihatan sudah uzur kerana penyakit. Matanya pun sudah rabun dan suaranya pun tidak
berapa jelas bila bercakap. Tetapi bila Ali Burn datang, dia terlalu gembira.
Memang Ali Burn selalu datang ke situ menemui Rahman menantu Pak Uduh.
"Lama kau tak datang sini?" tanya Pak Uduh semasa Ali Burn
memperkenalkan saya kepadanya. "Kalau aku selalu datang nanti Pak Uduh bosan."
Ali Burn bergurau dengannya. "Lagi pun Pak Uduh nak simpan-simpan sangat,
kalau ada apa-apa tu bagilah pada orang muda." tambahnya sambil duduk
rapat dengan orang tua itu. "Apa yang kau hendakkan pada aku, orang tua
tak berguna" sahut Pak Uduh tersengih-sengih. "Orang tua tak
bergunalah selalunya ada isi...." kata Ali Burn memaut bahu orang tua itu.
"Kemenyan sebesar lutut kalau tak dibakar tak berbau Pak Uduh." dia
menepuk-nepuk bahu Pak Uduh.
Orang
tua itu tersenyum. Dia tahu Ali Burn hanya begurau. Kedatangan Ali Burn menemui
dia juga memang mempunyai tujuan. Saya juga tahu Ali Burn datang menemui Pak
Uduh kerana mahu mencungkil-cungkil rahsia ilmu kebatinan orang tua itu. Memang
menjadi kelaziman orang tua-tua seperti Pak Uduh itu tidak akan menurunkan
ilmunya kepada orang yang tidak boleh diharap.
Maksud
orang tidak boleh diharap ialah mereka yang tidak bersungguh, melainkan sekadar
mahu menguji-nguji atau tidak dengan sepenuh hati. Sebab itulah Pak Uduh sering
mengelak-ngelak bila Ali Burn cuba mendapatkan sesuatu ilmu kebatinan darinya.
Selepas itu Ali Burn pun memperkenalkan saya kepada Pak Uduh. Memang saya
sendiri berhajat mahu bertemu dengannya setelah Ali Burn menceritakan serba
sedikit mengenai diri orang tua itu kepada saya.
"Jabat
tangan tadi pun aku tau dah, jabat tangan orang berisi..." kata Pak Uduh
tersengih-sengih merenung saya. Mungkin kerana matanya yang rabun dia terpaksa
merenung saya tepat-tepat. "Adalah isiya Pak Uduh" sahut Ali Burn
pantas. "Kalau tak ada isi kosonglah semuanya, baru jadi hantu penanggal
semua tali perut habis terkeluar ditarik kepala..." katanya ketawa
terkekeh-kekeh.
Pak
Uduh juga ketawa. Saya juga ikut sama ketawa. Geli juga dengan kata-kata Ali
Burn itu. Fasal itulah kawan-kawan kami gelarkan dia Ali Burn temberang, kerana
ada saja ceritanya mahu memanaskan suasana dengan gelak ketawa. "Iyalah,
tahi pun isi juga namanya" balas Pak Uduh dihujung ketawanya. "Tetapi
berisi dengan tahi, tak sama berisi dengan ilmu..." ujarnya macam
menyindir.
Dari
Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya
berasap seperti yang diceritakan oleh Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh
memang di Melaka, tetapi bukanlah dari Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda
muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antaranya yang jatuh hati pada Naesah
Lawa ialah Pak Uduh sendiri.
Akhirnya
Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak.
Ketika berkahwin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai
orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan
ibadat, di samping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.
Naesah
Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula.
Perhubungannya dengan anak muda, satu hari telah terserempak dengan emak Pak
Uduh. Apa lagi perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh
tidak terus terburu-buru. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum
melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu. Sejak itu emak Pak
Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa
sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikuti
perintahnya.
Sebenarnya
Pak Uduh bukanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang
taat kepada perintah agama. Sebab itulah
dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya sendiri terhadap
kecurangan isterinya itu. Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh.
Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah darah. Ada bomoh
yang mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital pihak
hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyorkan
supaya dihantar mendapat rawatan lanjut di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun
emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap
penyakit batuk darah. Sama ada dakwaan bomoh yang mengubatnya itu benar atau
tidak, Pak Uduh juga tidak mahu mempercayai sangat. Tetapi Pak Uduh sendiri
sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya dengan membacakan ayat-ayat Qur’an
seperti yang dipelajarinya.
Setiap
kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya
muntah-muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberapa helai rambut.
Malangnya, Pak Uduh sudah terlambat mahu mengubati emaknya. Orang tua itu
meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya lebih mendalam.
Disebabkan
terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau
itu, Pak Uduh telah mengerjakan solat sunat tahajud 44 malam agar orang yang
menganiaya emaknya bertaubat. Dia tidak
berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya
berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya
memohon doa agar orang yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah. Tidak sampai
44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahajudnya, tiba-tiba Naesah Lawa
isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam.
Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya
dengan seorang pemuda.
Disebabkan
tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian
isterinya mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong
kepada gurunya To' Kiyai Parjo dari Johor. "Mengapa tak diubat
sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.
"Hati
saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan
dalam perasaan bimbang. "Kalau begitu kau tak tahan diuji." sahut To'
Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau
cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu
kau." ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.
Tetapi
Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia
mesti selamatkan isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri,
setelah kehilangan emaknya. "Sekarang,
aku mahu kau sendiri mengubatnya." tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat.
Pak
Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk
melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat
mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.
Ketika
ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya.
Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh
melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan
seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluar dari
lubang-lubang sebesar guli itu.
"Apa
yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari
jauh. "Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar." Pak
Uduh memberitahu apa yang dilihatnya. "Bacakan ayat ini dan hembuskan ke
situ." perintah To' Kiyai Parjo. Dia membacakan tiga kali ayat yang
diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa.
Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini
Pak Uduh merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga
hampir-hampir diterbangkan.
"Mengapa?"
soal To' Kiyai Parjo. "Ribut kencang..." jelasnya cemas.
"Bacakan doa ini." kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.
Sebaik
dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah
Lawa, tetapi kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga
putih sampai ke pusat. Dia memberitahu
apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo. Tetapi apabila dia membacakan ayat
yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum
lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To'
Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing. Pak Uduh
menyahut salam lelaki berjubah itu.
"Kenapa
kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya.
"Mati
hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras.
"Kau
orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak
mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu
mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.
Pak
Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan.
Kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia
tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi
berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.
"Sekarang,
baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan
tempat itu.
"Tidak......aku
mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.
"Isteri
seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah"
suara orang tua berjubah putih itu keras. "Apakah kau mau seorang isteri
yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi.
"Kau
setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula
membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya,
tetapi sia-sia belaka.
Astaghafarullah-alazzim......"
keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang
hak itu batil, dan yang batil itu hak." katanya mengingatkan.
"Jadi
kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.
"Orang
berilmu mesti banyak bersabar." orang tua berjubah putih itu menasihati
dia. "Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau
telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak
Uduh.
"Iya....."
angguk Pak Uduh.
"Kau
sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi.
Pak
Uduh angguk.
"Sekarang
itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru
pada To' Kiyai Parjo, dan aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke
mari..." dia menghulurkan tangannya.
Cepat-cepat
Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum
pernah diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis.
"Maafkan
saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak.
"Sudahlah
Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh.
"Naesah
yang memberi emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan
curangnya terhadap kau. Sekarang baliklah kau." katanya meninggalkan Pak
Uduh.
Barulah
Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh
meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka
mata, dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit.
"Saya
fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai..." bisik Pak
Uduh.
To'
Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh.
Malah pertemuan Pak Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To'
Kiyai Parjo.
"Kalau
kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.
Tiga
hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi
busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui
makrifatnya jelas telah berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung
Naesah Lawa pun meninggal dunia.
Pada
senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan
nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang
kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu
adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah perkuburan.
Jeritan
itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak
Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur
Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa
begitu jelas dan menusuk perasaan. Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik.
Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur
isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun
kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya
dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa. Ketika
mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan
menusuk perasaan.
Dari
kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air
mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya.
Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya
bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa
meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa.
"Mat...."
kata Pak Uduh sayu. "Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai
Parjo. Biar abang tunggu di sini buat apa yang patut." bisiknya tersedu
sedan.
Kesedihan
yang menusuk di jiwanya bukanlah kerana kematian isterinya, tetapi penderitaan
yang ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah
benar Naesah Lawa membuat perhubungan dengan lelaki lain dia boleh melupakan
saja segalanya. Dia sedia mengampunkan dosa Naesah Lawa terhadapnya. Tetapi
perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya makan racun santau itu, hanya
emaknya sajalah yang boleh mengampunkan.
"Baliklah
Mat, minta bantuan dari orang kampung" katanya lagi menahan kesedihan.
"Baiklah
bang" sahut Selamat perlahan. "Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak
buat dah nasib dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh.
Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul
untuk mengadakan kenduri arwah. To' Kiyai Parjo juga ada menunggu di rumah Pak
Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di kubur kakaknya diberitahu oleh Selamat
kepada mereka yang ada di situ.
"Abang
Uduh minta To' Kiyai ke sana." jelas Selamat.
Beberapa
orang yang ada di atas rumah turun ke bawah. Mereka bersama-sama To' Kiyai
Parjo mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur
mereka dapati Pak Uduh sedang membacakan Surah Yassin dengan tenang. Bunyi
jeritan juga mula mengendur. Kepulan asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi
keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari kubur semakin menebal
dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekali-sekala keluar api dari
celah-celah kepulan asap itu.
Semakin
kuat bacaan Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak
ketahuan.
"Begini
Uduh...." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh. "Kalau kau izinkan
kita galikan semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin"
ujarnya menahan kesedihan yang menusuk-nusuk. Pak Uduh hanya mengangguk.
Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi. "Kalau begitu kau Selamat,
bawalah kawan-kawan" To' Kiyai Parjo berpaling pada Selamat. "Bawa
cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk" perintahnya.
Selamat
tidak menyahut. Dia terus mengajak beberapa orang pemuda balik semula mengambil
barang-barang yang dipesan oleh To' Kiyai Parjo. Sementara bahang panas dari
kubur Naesah Lawa sudah dirasakan oleh Pak Uduh. Bagaimanapun dia tidak undur
dari menahan panas yang semakin membahang itu. To' Kiyai Parjo membacakan
sesuatu doa sambil menghembuskan ke kubur Naesah Lawa. Lama To' Kiyai Parjo
berdoa barulah terasa bahang panas itu terasa berkurangan. Pak Uduh juga ikut
sama berdoa seperti yang pernah diajarkan oleh To' Kiyai Parjo kepadanya.
Tidak
lama kemudian Selamat bersama dua tiga orang pemuda tadi datang membawa cangkul
dan lampu gaslin. Air sejuk di dalam jag diberikannya kepada To' Kiyai Parjo.
Setelah diperintahkan gali oleh To' Kiyai Parjo mereka pun sama-sama menggali
semula kubur tersebut. To' Kiyai Parjo mahu memandikan saja jenazah yang sudah
dikebumikan itu dengan air yang sudah dibacakan Surah Yassin. Ketika
menggalinya Selamat merungut-rungut juga kerana terasa panas. Tetapi To' Kiyai
Parjo menasihatkan supaya tidak disebut-sebutkan perkara bahang panas itu.
Setelah
digali semula Selamat cuba membuka papan yang menutup liang lahad, tiba-tiba
dia terkejut dan cepat-cepat melompat ke atas. Mukanya jadi pucat ketakutan.
"Kenapa Mat...?" tanya Pak Uduh. Selamat tidak menjawab. Dia terkaku
tidak boleh bercakap apa-apa. Untuk mempastikan keadaan sebenarnya mereka
mendekatkan lampu gaslin ke tebing kubur. Pak Uduh sendiri membukakan papan
dinding liang lahad tersebut. Sebaik saja papan dinding itu ditarik ke atas
mereka dapat melihat ular-ular bisa berkumpul di dalam liang tersebut membelit
jenazah Naesah Lawa yang baru saja dikebumikan siang tadinya.
Dari
mana datangnya ular-ular tersebut? "Hanya Allah Yang Maha Mengetahui"
kata To' Kiyai Parjo bila melihat kejadian tersebut. Tentulah mustahil terdapat
ular di dalam kubur yang baru saja dikorek dan baru saja dikambus semula.
Mustahil jua ada sarang ular di situ. Kalau mahu dikira ular bersarang di situ,
bagaimana pula dengan api dan asap yang kelihatan di atas kubur tersebut.
Anehnya apabila sudah digali tidak ada langsung kesan asap atau api di situ.
"Jangan
difikirkan sangat" To' Kiyai Parjo menasihatkan mereka yang terpegun
melihat kejadian tersebut. "Pengetahuan Allah meliputi tujuh petala bumi
tujuh petala langit. Kita yang hidup ini insaflah........" jelasnya dengan
linangan air mata, bukan kerana kesedihan tetapi gementarnya kepada Allah.
Kemudian dia menyiramkan air sejuk di dalam jag yang sudah dibacakan Yassin ke
tubuh Naesah yang dibelit ular-ular bisa itu. Setelah disiram air tersebut
ular-ular berkenaan lari menyusup di dalam lubang liang lahad dan hilang entah
ke mana. To' Kiyai Parjo turun ke dalam kubur lalu mengepal tanah tiga kepal.
Dia berdoa sambil menghembuskan kepada kepalan tanah itu.
Dengan
tidak menghiraukan sesiapa dia terus meletakkan tanah yang dikepal tadi ke
kepala mayat. Setelah semuanya selesai To' Kiyai Parjo memerintahkan supaya
dikambus semula. Hari berikutnya tidak ada lagi kedengaran jeritan dari kubur
Naesah Lawa. Sementara di rumahnya Pak Uduh membaca Yassin setiap malam seperti
yang diingatkan oleh To' Kiyai Parjo.
Jadi,
bila teringatkan pertemuan saya dengan Pak Uduh bersama Ali Burn, saya
merasakan ada sesuatu yang mesti telah berlaku menyebabkan kubur Mat Yot Bidan
itu jadi demikian. Tetapi disebabkan Lebai Piut tidak mahu diungkit-ungkit lagi
maka saya pun tidaklah mahu bertanyakan lagi pada Judin Bauk. Bagaimanapun
setelah Judin Bauk balik ke rumah barulah Lebai Piut mahu menerangkan kepada
saya kisah sebenarnya mengapa kubur Mak Yot Bidan boleh jadi begitu.
"Bukan
kerana ilmu sesat yang dituntut" kata Lebai Piut serba salah mahu
menceritakan kepada saya. “Tetapi dosa kepada sesama makhluk, inilah yang berat
hendak kita tanggung." jelasnya mengeluh pendek.
"Tak
ada dia menuntut ilmu sesat?" tanya saya.
"Wallahhu'alam..."
dia tersengih-sengih bagaikan soalan itu mencuit hatinya.
"Tetapi
Yot tu berkehendakkan Latip Pekak semasa dalam tangan suaminya lagi, iaitu arwah
abang haji." katanya lagi.
"Ohhh,
begitu..." saya terangguk-angguk mendengarkannya. Arwah abang haji yang
disebutkan oleh Lebai Piut itu ialah abangnya sendiri Haji Suri. Saya juga
mendengar berita kematian arwah Haji Suri akibat termakan racun. Hairan juga
saya ketika itu, kerana orang seperti dia masih ada juga orang sakit hati
hingga tergamak memberi racun. Setahu saya arwah Haji Suri itu memang warak.
Dia tidak pernah ambil tahu masalah peribadi orang lain. Malah dia akan
bercakap kalau ada perkara-perkara yang ditanyakan kepadanya saja. Bagaimana
orang seperti dia masih ada orang yang sakit hati terhadapnya. Kalau setakat
hati pun tak apa juga, tetapi tergamak pula memberikan racun.
"Yot
yang memberinya racun....." tiba-tiba isteri Lebai Piut mencelah.
"Hisss,
awak tu diam!" Lebai Piut berpaling kepada isterinya yang baru saja sampai
menatang dulang air ke depan kami. "Mana awak tahu Yot yang racun, awak
nampak?" katanya perlahan, tetapi jelas dia tidak senang dengan sikap
isterinya membuat tuduhan itu.
"Ramai
orang cakap...." jelas Mak Ton tegas.
"Cakap
orang cuma syak wasangka saja. Allah saja Yang Maha Mengetahui." ujar
Lebai Piut kesal dengan keterlanjuran isterinya itu.
Memang
Lebai Piut tidak mahu menerangkan lebih lanjut perkara sebenarnya. Tetapi
esoknya apabila saya tanyakan kepada Judin Bauk mengenai cerita kematian arwah
Haji Suri itu, memang dia juga pernah mendengar khabar angin kononnya kematian arwah
Haji Suri itu akibat diracun oleh Mak Yot Bidan. Habis saja edah selepas
kematian arwah Haji Suri itu, Mak Yot Bidan pun terus berkahwin dengan Latip
Pekak. Bagaimanapun orang-orang kampung tidak dapat ceritanya yang sahih,
selain dari khabar-khabar angin. Kalau ada pun mereka yang tahu tidak ada siapa
pula yang berani bercakap terus terang. Maklum sajalah Mak Yot Bidan itu
merupakan bidan di dalam kampung. Masing-masing memerlukan pertolongan Mak Yot
Bidan bila tiba waktunya.
TAMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan