SOLAT atau sembahyang 5 waktu yang
menjadi amalan umat Islam hari ini dikatakan mula diajar oleh Nabi kepada para
sahabat sejak menerima perintah mengenainya dalam satu peristiwa popular, Israk
Mikraj. Hari ini umat Islam menyifatkan solat sebagai amalan tunggak. Segala
amalan baik tidak bermakna apa-apa jika seseorang tidak solat.
Dulu, Nabi dan para sahabat dikatakan
tidak lekang dari menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Hanya kadang-kala
sahaja Nabi dikatakan solat bersendirian. Menurut cerita, para sahabat dan
generasi mereka yang seterusnya tidak pernah sedikit pun mengabaikan amalan
solat walaupun selepas kewafatan Nabi.
Kalau begitu keadaannya, bagaimana
mungkin kita berdepan dengan polemik berkaitan dengan bilangan rakaat
solat? Bagaimana satu amalan yang
dilakukan 5 kali sehari tanpa gagal sejak Nabi sendiri dikatakan mengajarnya,
sentiasa berjemaah bersama-sama dan amalannya berterusan dari generasi ke
generasi tiba-tiba boleh menjadi kabur pada bahagian yang paling asas seperti
bilangan rakaat?
Saya fikir ini satu persoalan yang wajar
kita cari jawapannya. Mengapa bilangan rakaat solat yang ada pada hari ini
terpaksa disandarkan kepada riwayat-riwayat hadis? Sepatutnya jika benar ritual
solat diamalkan sejak zaman Nabi oleh umat Islam, sekerap 5 kali sehari,
tentulah soal bilangan rakaat untuk setiap solat sudah menjadi suatu yang jelas
muktamadnya. Polemik mengenai bilangan rakaat solat tidak sepatutnya timbul.
Tetapi
itulah yang berlaku. Ulama terpaksa berpolemik untuk menetapkan bilangan
rakaat solat. Sehingga hari ini, polemik ini masih tidak dapat dikekang
sepenuhnya. Para ulama terpaksa korek dan tampal hadis di sana-sini untuk
meyakinkan umat tentang bilangan rakaat solat mereka.
Jika apa yang disampaikan kepada kita
betul, solat sepatutnya menjadi amalan rutin yang lahir lebih dulu dari kitab
hadis. Hadis hanya mula dikumpul dan direkodkan di sekitar 200 tahun selepas
kewafatan Nabi. Jadi, adakah dalam tempoh 200 tahun selepas ketiadaan Nabi itu
umat Islam sudah lupa tentang solat sehingga terpaksa menunggu dam merujuk
kitab hadis untuk mengingatkan semula perihal bilangan rakaat setiap solat yang
Nabi buat?
Jelas sekali. Ada yang tidak berapa kena
di sini!
Hakikatnya, Solat umat Islam dikatakan
telah diajar oleh Rasul. Maka ia adalah Sunnah Rasul. Para ulama tidak pernah
mengakui bahawa solat adalah “Sunnah” Allah, iaitu suatu amalan yang diajar
Allah melalui Kitab-Nya, al-Qur’an. Sebaliknya mereka selalu berkata
"Manakah ada cara bersolat di dalam al-Qur’an!"
Kertas ini menjawab soalan tersebut. Di
dalam jawapan ini, segala keterangan dirujuk kepada al-Qur’an sahaja, dan
keterangan yang akan dikemukakan akan menyinggung perasaan kerana bercanggah
dengan amalan solat biasa umat Islam. Segala hujah yang dikemuka bukanlah untuk
buktikan umat telah tersilap, tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang
terkandung di dalam al-Qur’an mengenai solat, di samping menjawab cabaran ulama
tadi.
NAMA DAN WAKTU SOLAT
Penjelasan dimulakan dengan
memperihalkan nama bagi tiap-tiap solat. Terdapat hanya tiga nama solat di
dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat
Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini menunjukkan
waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi:
"Dan lakukan
solat pada dua tepi siang, dan awal malam ( Wazulafan minal-Laili)."
(11:114)
*Ayat ini juga
memusnahkan hujah dan dalil tentang solat-solat Siang (DHUHA, ZUHUR dan
ASAR) yang diamalkan oleh Sunni dan
Syiah.
*Solat yang pada waktu tepi siang
pertama ialah solat Fajar. Apakah dan bagaimanakah waktu solat Fajar itu? Solat Fajar diambil sempena waktu FAJAR
(MATAHARI AKAN MULAI TERBIT). Berikut diterangkan
keadaan FAJAR.
“Demi Fajar.”
( Al-Fajr
[89] : 1)
“.... Dan makan dan
minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam,
pada FAJAR....”
( 2:187 )
Hal ini juga memberikan
penjelasan untuk Tepi Siang kedua. Iaitu
mesti simetri atau selari dengan waktu FAJAR.
Iaitu apabila benang putih dan Hitam masih dapat dilihat setelah
matahari terbenam. Bermakna apabila
matahari terbenam itulah permulaan bagi tepi siang kedua. Sehingga Syafaq merah
menghilang dari Horizon atau kaki langit.
Inilah waktu MAGHRIB, ketika matahari berada dan terbenam di arah
Barat. solat WUSTA ( DITENGAH ), atau
solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada
awal malam itu ialah solat ISYAK (MALAM)
*Perkataan "Wusta" ingin
dijelaskan lagi di sini. Ia bermakna "di tengah", dan menurut
pendapat saya, maksudnya adalah waktu yang di tengah di antara siang dan malam,
atau cahaya dan gelap. KEDUDUKAN solat yang berada di tengah antara Solat Fajar
dan Solat Isyak. Waktu yang pendek ini
dikenali umum sebagai waktu Maghrib. Oleh kerana al-Qur’an menjelaskan sendiri,
maka waktu solat Wusta selanjutnya dijelaskan dengan sebuah ayat berbunyi:
"Lakukan solat
dari terbenam matahari hingga kegelapan malam (Khasaaqi-Laili)"
(17:78).
Lantas, waktu solat wusta adalah
dari terbenam matahari hingga kegelapan malam, iaitu di tepi siang yang kedua.
Manakala Solat Isyak pula
didirikan pada waktu MALAM (LAIL). Malam
bermaksud apabila Syafaq merah hilang di kaki langit Barat dan kelihatan
bintang-bintang di dada langit dengan jelas. Ia satu keadaan yang menutupi
siang. Malam adalah waktu setelah matahari terbenam hingga matahari terbit[1]-Menurut
kamus. Iaitu apabila benang putih dan
Hitam tidak dapat dilihat atau tidak dapat dibezakan warnanya.
Ini dijelaskan keadaan ini dalam
ayat ini :
“Demi MALAM(LAIL)
menutupi”
( 92:1 )
"Lakukan solat
dari terbenam matahari hingga kegelapan MALAM (KHASAAQIL-LAILI)"
(17:78).
*semua ayat itu menggunakan
perkataan LAIL yang sama. Inilah waktu
di mana solat Isyak didirikan.
TIADA KAITAN
Walaupun nama-nama lain yang lazim
digunakan untuk solat, seperti Zuhur, Asar, Maghrib dan Subuh, tercatat di
dalam al-Qur’an, namun mereka tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat.
Umpamanya nama "maghrib", ia bukan sahaja bukan nama solat, tetapi
juga bukan nama waktu. Ia sebenarnya adalah suatu arah, iaitu barat, seperti
yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi "Kepunyaan Allah Timur dan
Barat" (2:115)
Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah
waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya,
hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu miliki, dan mereka di antara
kamu yang belum cukup umur, minta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat
fajar, dan apabila kamu tanggalkan pakaian kamu pada waktu zuhur, dan selepas
solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58)
Sementara "asar" di dalam
al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" dan tiada kaitan
dengan solat seperti yang terdapat pada ayat yang berbunyi "Demi masa!
Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2)
Bukan sahaja tidak disebut nama solat
maghrib, atau solat zuhur, atau solat asar di dalam al-Qur’an, tetapi juga,
turut tidak disebut adalah nama "solat subuh". Subuh dan fajar,
seperti nama dan sebutan bunyinya yang berlainan, adalah dua masa atau waktu
yang berlainan. Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam.
Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan
didapati tiada kaitan dengan solat langsung.
SOLAT DITENTUKAN
Solat hendaklah dilakukan pada
waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya waktu solat adalah
dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103)
Tiada terdapat pula satu ayat pun di
dalam al-Qur’an yang membolehkan solat itu dilakukan pada waktu yang bukan
waktunya, seperti mengqadarkannya atau menjamakkannya. Walau dalam keadaan
apapun solat hendaklah dikerjakan. Ayat yang berikut jelaskannya:
"Jika kamu dalam ketakutan, maka
sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan
Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239)
Seperkara lagi, daripada ayat tersebut,
umat diingatkan supaya lakukan solat seperti yang diajar oleh Tuhan - segala
ajaran Tuhan terkandung di dalam al-Qur’an.
RAKAAT
Cara solat di dalam al-Qur’an adalah
senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya
bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali di dalam al-Qur’an, dan dengan
ini ia beri peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam lakukan
solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya. Nmaun , dalam
Surah An-Nisa’ ayat 102 menjelaskan bahawa
rakaat solat adalah dua sahaja.
"Apabila kamu di kalangan mereka,
dan lakukan solat bagi mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka
berdiri bersama kamu, dan hendaklah mereka ambil senjata-senjata mereka.
Apabila mereka sujud, hendaklah mereka berada di belakang kamu, dan hendaklah
segolongan lain yang belum sembah datang, dan sembah bersama kamu, dengan mengambil
kewaspadaan mereka dan senjata-senjata mereka."
4:102.
WUDUK
Mengenai wuduk pula (perkataan
"wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian
anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini
dijelaskan dengan ayat yang berikut:
"Wahai orang-orang yang percaya,
apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga
siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu
dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam
perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu
sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah dengan debu tanah
yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak
buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya
Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih."
(5:6)
Ayat ini telah juga disebut oleh Rasul,
dan baginda tidak mungkin menambah bahagian-bahagian anggota yang lain dalam
wuduk kerana jika baginda buat demikian maka Allah akan membunuhnya. Firman-Nya
"Sekiranya dia (Muhammad)
mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami ambilnya dengan tangan
kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46)
KIBLAT
Kiblat menurut al-Qur’an ialah Masjidil
Haram, yang di tengahnya terletak Kaaba. Rasul sendiri telah mencari-carinya
dahulu lalu Allah tunjukkan kepadanya melalui ayat yang berikut:
"Kami lihat kamu membalik-balikkan
wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat
yang kamu puas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di
mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. orang-orang diberi
al-Kitab tahu bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah
tidak lalai daripada apa yang mereka kerjakan." (2:144)
PAKAIAN
Pakaian untuk solat adalah yang baik
atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan
Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh ambil perhiasan di setiap masjid,
yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya,
"Wahai Bani Adam, ambillah
perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31).
KOMUNIKASI
Solat adalah suatu cara istimewa dalam
interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan
bahagian-bahagian anggota badan yang tertentu. Satu daripada tujuan umat
berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya:
"Kamu mohonlah pertolongan dalam
kesabaran dan solat...." (2:45)
Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik
permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya di dalam al-Qur’an.
Solat bukan sahaja masa untuk memohon
pertolongan tetapi juga suatu masa untuk mengingati-Nya. Ini dijelaskan dengan
sebuah ayat lain berbunyi
"Dan lakukan solat untuk mengingati
Aku." (20:14)
BAHASA
Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah
Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar
dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa
yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya:
"Wahai orang-orang yang percaya,
janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang
kamu ucapkan," (4:43)
Setelah dilarang kerjakan solat apabila
segala yang diucap tidak difahami dan seseorang itu terus bersolat juga, maka
apakah hukumnya? Ingin diingatkan di sini bahawa Iblis telah jadi kafir setelah
mengingkari hanya satu (sahaja) perintah Allah!
SUARA
Nada suara dalam solat tidaklah terlalu
tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah
untuk semua solat. Firman-Nya:
"Dan jangan kamu lantangkan dalam
solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di
antara yang demikian itu." (17:110)
SERU
Solat dimulakan dengan menyeru Nama-Nya,
seperti Allah, atau Ar-Rahman (Yang Pemurah) atau mana-mana nama-Nya yang indah
yang diajar di dalam al-Qur’an (nama Allahu Akbar tiada di dalamnya). Firman
Allah:
"Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau
serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling
baik.’ Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga
mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian
itu." (17:110)
Ayat yang menyusulinya menetapkan apa
yang harus diucap selepas seruan itu, iaitu:
"Dan katakan, ‘Segala puji bagi
Allah yang tidak ambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam
kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan
diri.’" (17:111)
BACAAN
Bacaan di dalam Solat boleh dipetik
daripada mana-mana ayat yang sesuai yang berjumlah dengan banyak di dalam al-Qur’an.
Pilihan adalah berdasarkan keperluan dan selera sendiri kerana solat adalah
suatu alat perhubungan yang amat peribadi antara hamba dan Pemeliharanya.
Sebagai contoh, ayat yang lazim
diucapkan umat Islam pada permulaan solat mereka berbunyi "Inna solati
wanusuki wamahyaaya wamamaati lillaahi rabbil aalamiin" yang bermakna,
"Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, untuk Allah,
Pemelihara semesta alam". Ini sebenarnya adalah ayat 6:162 di dalam
al-Qur’an.
Akan tetapi, di dalam al-Qur’an ayat
tersebut bermula dengan kata "qul" atau "katakanlah", iaitu
"Qul inna solati wanusuki..." atau "Katakanlah, ‘Sesungguhnya
solatku, dan ibadahku ...."
tinggalkan kata "qul" atau
"katakanlah" pada ayat ini di dalam solat adalah wajar kerana ketika
itu umat bercakap dengan-Nya. Mahukah kita menyuruh Dia dengan "Katakanlah
..."?
Justeru itu, pada ayat-ayat lain seperti
"Qul a’udzu birabbin naas ...." (Surah 114) yang bermaksud
"Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Pemelihara manusia ....’", atau
"Qul huwal laahu ahad ..." (Surah 112) yang bermakna
"Katakanlah, ‘Dialah Allah yang satu ...", haruslah ditinggalkan
qulnya juga kerana meninggalkannya adalah amat munasabah.
AKULAH ALLAH
Sesetengah pihak mendakwa bahawa solat
adalah masa untuk membaca al-Qur’an. Ini tidak benar, kerana amalan kerjakan
solat dan membaca al-Qur’an adalah dua perintah Tuhan yang berlainan, seperti
yang disebut di dalam ayat 73:20. Seterusnya ada juga orang yang mendakwa
bahawa mana-mana ayat al-Qur’an boleh dibaca dalam solat. Ini juga tidak benar.
Sebagai contoh, bolehkah dibaca ayat al-Qur’an yang berikut di dalam solat:
"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak
ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati
Aku." (20:14)
Mahukah diucap kata-kata tersebut kepada
Allah, walaupun ia ayat al-Qur’an?
HANYA ALLAH
Solat adalah hanya untuk Allah. Lalu
hanya nama-Nya harus diseru. Firman-Nya,
"Serulah Allah, atau serulah Yang
Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik."
(17:110)
"lakukan solat untuk mengingati
Aku." (20:14)
"Masjid-masjid adalah kepunyaan
Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18)
LAKU SOLAT
Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud
disebut berulang kali di dalam al-Qur’an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan
diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga
dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih
ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. Mungkin boleh dipersoalkan
bagaimana orang-orang yang berikut, iaitu orang-orang yang telah dijanjikan
Allah dengan janji yang baik, lakukan solat mereka? Firman-Nya:
"Sesungguhnya orang-orang yang
percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya
kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka
adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan
tidaklah mereka bersedih." (2:62)
Apa yang ingin dibaca semasa tunduk
(rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun
semasa tunduk:
“Dan Daud sangka Kami mengujinya; lalu
dia minta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia
berkesesalan” (38:24).
Atau semasa sujud, ambillah pengajaran
daripada ayat-ayat di bawah ini:
2:58. Dan apabila Kami berkata,
"Masuklah bandaraya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana
sahaja kamu hendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan
katakan, 'Tidak membebankan'; Kami akan ampunkan kamu atas
pelanggaran-pelanggaran kamu, dan tambahkan kepada orang-orang buat baik."
7:120-121. Dan ahli-ahli sihir lemparkan
diri, bersujud. Mereka berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara semua
alam,
17:107-108. Katakanlah, "Percayalah
kepadanya, atau tidak percayai; orang-orang diberi pengetahuan sebelumnya,
apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan
bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami
dilakukan.'
25:64-65. Yang melalui malam dengan
bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai
Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya
azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri,
32:15. Orang-orang yang percayai
ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diingatkan dengannya jatuh
bersujud, dan mereka sanjung dengan memuji Pemelihara mereka,
50:40. Lafazlah sanjungan-Nya pada malam
hari, dan pada hujung-hujung sujud.
AKHIR SOLAT
Seperti mana-mana seruan kepada-Nya,
solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil
lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua
alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi:
Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah;
tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir,
dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70)
"Dan akhir seruan mereka, ‘Segala
puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10)
PENUTUP
Banyak telah diperkatakan mengenai solat
menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an di sini. Tentulah ia didapati
bertentangan dengan ajaran para ulama yang menyatakan solat mereka datang dari
Rasul atau sunnahnya. Walhal, di dalam kelima-lima kitab hadis terbesar di
dunia mereka, tidak terdapat keperincian dalam lakukan solat seperti yang
diajar kepada umat. Yang terdapat hanyalah beberapa hadis Nabi mengenai solat
yang tidak diamalkan oleh mereka yang juga tidak diajar kepada umat Islam yang
menuruti mereka dengan taat.
OTHMAN ALI 1992 : 2002
(UBAHSUAI : MJK 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan