The Alien - Link Select

Khamis, 25 Jun 2015

SELAWAT DAN SALAM KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W ???



Kebanyakan orang Islam di seluruh dunia, tiap kali nama Nabi Muhammad disebut, menyebut “Salla’l-Lahu’alaih-i-wasallam” (SAW) yang bermaksud “Allah berselawat dan memberi salam”.

Mengapa?

Apabila nama Nabi Ibrahim atau nabi-nabi lain, disebut, mereka menyebut “’Alai-hi-salam” (AS) saja.  Seolah-olah timbul dan munculnya KASTA di sini.  Sedangkan dalam Qur’an tidak disebut nama-nama nabi dengan diiringi “Alai-hi-Salam” dan  “Salla’l-Lahu’alaih-i-wasallam” untuk Nabi Muhammad S.A.W. dan paling jelas sekali ialah ALLAH tidak membeza-bezakan antara para utusanNya.  Sepatutnya hal ini tidak wujud kerana ia menyalahi kenyataan ALLAH dalam Qur’an.

ALLAH S.W.T
Berfirman :
“Katakanlah : "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim dan Ismail dan Ishak dan Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Musa (Taurat) dan Isa dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; KAMI TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN ANTARA SESEORANG DARI MEREKA; dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
[ Q.S. AL-BAQARAH 2 : 136 ]

Namun secara lojiknya apabila disebut nama-nama mereka itu memang secara lojik dan sebagai tanda kita menghormati mereka maka kita katakan dua kalimat itu sebagai menguatkan iman bahawa mereka di salam dan diberi rahmat, dibantu serta diselawati oleh ALLAH. Namun, apa gunanya lojik saja kalau tiada arahan dan perintah ALLAH  dalam Qur’an untuk berbuat demikian? Siapakah yang berani menambah-nambah hukum ALLAH?

Hal ini melanggar dua perintah Tuhan dalam Qur’an. Perkataan Arab “Salla / yusalli”  ada tiga makna: Solat, Restu atau Bantu, dan tempat Bersolat. Dalam surah Al-Ahzab (33), perkataan ini digunakan dua kali dalam acuan yang sama. Pertama, ayat 43, yang berbunyi:


“Dialah yang bantu kamu dan malaikatNya - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman.”

Perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini merujuk kepada orang yang beriman. Ayat 56, iaitu 12 ayat selepas ayat tadi, ayat yang sama bentuknya berbunyi:

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bantu Nabi; wahai orang-orang yang beriman kamu bantunya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Lihat juga ayat ini :
“.... dan doakanlah(Washalli) untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
[ Q.S 9: 103 ]

Melalui ayat di atas Tuhan memerintahkan Nabi supaya memberi sokongan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya, kerana sokongan dan galakan dari seorang pemimpin kepada pengikut-pengikutnya memang wajar dan perlu.


Apabila kita melihat penggunaan perkataan 'selawat' dalam konteks yang menyeluruh ini, kita akan mendapat pemahaman yang lebih tepat. Keseluruhannya bermakna (a) Tuhan dan malaikat-Nya menolong orang mukmin untuk mengeluarkan mereka dari kemunduran kepada kemajuan, (b) Tuhan dan malaikatnya menolong pemimpin orang mukmin (Nabi pada masa itu ialah pemimpin orang mukmin), dan menyuruh orang mukmin menolong pemimpin mereka, dan (c) Tuhan menyuruh Nabi memberi ransangan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka rela dan sanggup berjuang di jalan Allah. Dengan pemahaman yang menyeluruh ini, tidak timbul soal berselawat kepada Nabi secara khusus dengan kata-kata itu.

Jadi, perkataan ‘selawat’ di sini pertama dituju kepada orang mukmin, dan kemudian baru kepada Nabi. Mengapakah kita berselawat kepada Nabi Muhammad saja dan tidak pula kepada orang yang beriman atau Mukmin? .... Inilah kesilapan yang pertama!

Kesilapan kedua, mengapa kita tidak berselawat kepada nabi-nabi lain?  Tuhan melarang kita membezakan antara nabi-nabi-Nya. (Quran, 2:136). Sedangkan, Nabi Muhammad  diperintahkan oleh ALLAH untuk ikut agama Nabi Ibrahim yang hanif.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.”
[ Q.S. AL-MAIDAH 3 : 95 ]

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.”
[ Q.S. AN-NAHL 16 : 123 ]


Secara lojiknya yang diikuti itu lebih mulia dari yang mengikut.  Secara lojik juga, SAW itu sepatutnya diberi kepada Ibrahim berbanding Muhammad...

Kesilapan ketiga, kita boleh berselawat atau membantu orang yang hidup saja, bukan yang telah mati, secara lojik akalnya.

Jadi, selawat kepada Nabi Muhammad itu salah dari tiga sudut. Kita hanya boleh menyebut “Sallahu-alaihi-wassalam” apabila namanya disebut sebagai tanda penghormatan.  Tetapi kalau berselawat seperti “Allahumma Salli ala Muhammad.”  Ia menjadi satu hal yang tidak lojik, kerana kita seolah-olah memerintahkan atau meminta ALLAH membantu Nabi sedangkan nabi sudah lama ketika masih hidup dibantu oleh ALLAH dalam misi menyampaikan Qur’an kepada seluruh manusia dan jin.  Dan tidak lojik pula kita minta ALLAH bantu Nabi ketika nabi sudah lama wafat.  Kalau sekadar menyebut “Sallahu-alaihi-wassalam” itu, ya lojik kerana untuk mengingatkan kita bahawa Nabi telah dibantu oleh ALLAH dalam misi baginda S.A.W.  Dalam Hal memberi SALAM kepada baginda SAW...  ini hanya lojik dan diterima akal kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup. Masalahnya Nabi Muhammad SAW sudah lama wafat, tidak lojik kalau kita memberi salam ketika Nabi SAW sudah Wafat.  Oleh itu perintah ALLAH tentang Salam kepada Baginda SAW itu hanya berlaku ketika Nabi SAW masih hidup.  Begitu juga selawat-selawat nabi yang telah sekian lama wujud dan dicipta oleh ramai orang yang ahli ibadah. Meltakkan nama pelbagai gelaran seperti Sayyidina dan sebagainya juga dilarang oleh Rasulullah SAW sendiri,  Tidak lojik kita berselawat dan memberi salam kepada nabi dalam solat kerana ALLAH telah melarang keras hal ini!

‘Katakanlah, "Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik." Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu.”’
[ Q.S. AL-ISRA 17:110 ]


Kalau anda ingin dan mahu sangat, salam kepada Nabi dan selawat kepada nabi boleh sahaja anda lakukan di mana saja (walaupun ini menyalahi Qur’an) dan bila-bila masa KECUALI dalam solat...  kerana ini dilarang oleh ALLAH.   ALLAH hanya suruh untuk menyeru namaNya sahaja dalam solat (17 : 110) dan Mengingati ALLAH sahaja :

"Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.
[ Q.S. THAHA : 14 ]

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
[ Q.S. 18 : 110 ]


Kita berkomunikasi dengan ALLAH secara terus tetapi  Pada masa yang sama kita menyeru  Nabi dan memberi salam pula kepada nabi pada tahiyyat awal dan akhir...
di dalam ‘bacaan Tahiyat’ meraka berkata begini: "Assalamu alaika aiyuhan nabi…" yang bermaksud "Sejahtera ke atas kamu wahai nabi…". Amat jelas di sini pada masa mereka sedang berkata-kata atau berkomunikasi dengan Allah, mereka ambil kesempatan ini untuk berkomunikasi dan menyeru pula kepada nabi di dalam solat mereka. Ini melanggar titah perintah Allah di dalam ayat 72:18 tadi. Dengan lain erti kata, mereka telah jadikan kedudukan Muhammad sebagai rakan kongsi Allah dan mereka amat gembira dengan perbuatan itu".

"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau WAHAI Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad."


bukankah ini sangat BIADAB?!

Nabi sendiri tidak pernah membaca Salam dan Selawat kepada diri sendiri dalam solat baginda SAW... apa relevennya kita wajib buat? Jadi hadis-hadis yang berkaitan dengan selawat dan salam kepada nabi majoritinya tidak selari dengan Al-Qur’an. Apatah lagi menyanyikan “Ya Hanana” yang pernah menjadi viral baru-baru ini.  Ini juga menjadi satu bentuk pemujaan dan mendewa-dewakan nabi.   Apakah kita mahu kembali ke zaman nabi para yahudi yang dipuja-puja oleh umat mereka malah Nabi Uzair dan Nabi Isa akhirnya bukan sahaja dianggap Anak Allah, malah menjadi Tuhan.  Anda lihat apa yang berlaku kepada Yahudi dan Nasrani?

....Apakah ini yang diingini oleh Allah dan RasulNya?
....Apakah ini yang kita inginkan?

mengapakah kebanyakan orang Islam melakukannya? Mengapakah guru-guru agama kita tidak melarangnya? Ini menunjukkan kegagalan kita menggunakan akal, sedangkan iman dan akal itu harus selaras.

“Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah; dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu menggunakan akalnya untuk memahami.”
[ Q.S. YUNUS 10 : 100 ]

Jadi kita wajib menggunakan Iman dan Akal.  Kalau kita tidak guna Iman dan Akal.... Apa bezanya kita dengan orang gila?

Ini satu lagi contoh fahaman taqlid dan Islam baka, bukti kita telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad: lihat di kebanyakan masjid dan rumah orang Islam, nama ALLAH dan MUHAMMAD ditulis separas dan sama besar. Sepatutnya, nama Muhammad ditulis di bawah. Lebih baik, jangan ditulis langsung. Semua nabi membawa ajaran monoteisme;

Nabi Muhammad S.A.W adalah penutup dan penyudah segala nabi dan melengkap dan menyempurnakan agama monoteisme atau agama tauhid itu.






Tiada ulasan: