Orang ramai sokong langkah kerajaan naikkan harga rokok
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Orang ramai menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga rokok di pasaran sebanyak 70 sen berkuat kuasa hari ini kerana ia dapat mengurangkan jumlah perokok baru.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka juga yakin kenaikan itu akan menyebabkan perokok tegar berfikir untuk mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari.
Mohamad Abdullah, 47, yang bekerja di Kedutaan Venezuela bersetuju dengan kenaikan tersebut kerana ia akan dapat menghalang golongan remaja terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah itu.
''Sekurang-kurangnya kenaikan harga rokok akan menghalang golongan pelajar yang tidak mempunyai duit daripada membeli rokok,'' katanya.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim semalam mengesahkan bahawa kerajaan telah menaikkan harga sekotak rokok yang mengandungi 20 batang daripada RM9.30 kepada RM10 sekotak.
Mohd. Deraman Mat Yunus, 30, pula percaya kenaikan harga rokok akan menyebabkan mereka yang merokok mengurangkan jumlah yang dihisap setiap hari.
Bagi seorang pesara, Nordin Bukhari, 66, kerajaan perlu menaikkan harga rokok lebih tinggi bagi menghalang kewujudan perokok baru terutama dalam kalangan remaja.
Katanya, dia mempunyai anak yang merokok dan tidak dapat membuangnya kerana ia sudah menjadi satu tabiat.
''Walaupun anak saya mempunyai hasrat untuk membuang tabiat itu tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan. Oleh itu, saya cadangkan agar kerajaan menaikkan harga rokok lebih tinggi pada masa akan datang,'' katanya.
Bagaimanapun, bagi golongan perokok mereka meminta agar kenaikan itu dikurangkan kerana ia tidak menjamin mereka untuk berhenti merokok.
Menurut Norsham Abdullah, 31, walaupun dia memahami sebab kerajaan menaikkan harga rokok, namun kenaikan sebanyak 70 sen adalah terlalu tinggi.
''Saya harap kerajaan dapat menimbang semula kenaikan yang terlalu tinggi. Ini kerana walaupun harga rokok dinaikkan orang yang sudah lama merokok seperti saya tidak mungkin dapat membuang tabiat ini,'' katanya.
Mohd. Izwar Mohd. Noor, 22, pula memberitahu, kenaikan yang terlalu tinggi akan menyebabkan orang ramai mencari alternatif lain seperti rokok seludup yang lebih murah.
''Pada dasarnya usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara ini tidak akan tercapai sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian,'' katanya.
Perkara yang sama disuarakan oleh Norazhiam Abdul Rahim, 21, yang berpendapat kenaikan harga rokok itu terlalu tinggi dan tidak munasabah.
''Kalau orang ramai beralih kepada rokok seludup, yang rugi adalah kerajaan dan objektif hendak mengurangkan jumlah perokok di negara ini tidak akan tercapai,'' katanya.
Sementara itu, pegawai pemasaran, Sin Wei Soon, 22, yang merokok sejak lapan tahun lepas menegaskan, dia tidak mungkin dapat membuang tabiat merokok walaupun kerajaan menaikkan harganya.
Sehubungan itu, Wei Soon meminta kerajaan menimbang semula kadar kenaikan itu yang disifatkannya terlalu tinggi.
Katanya, orang ramai termasuk perokok tidak membantah kenaikan tersebut tetapi biarlah berpada-pada.
PENULIS : Tak jual terus laaagi baguS!-SELAMAT AKU DARI PEMBUNUH DIAM INI!---- MEROKOK ADALAH HARAM DI SISI ISLAM.
Isnin, 4 Oktober 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan