The Alien - Link Select

Rabu, 12 Oktober 2016

KEMATIAN DAN ALAM BARZAKH???

ALLAH S.W.T
Berfirman :
“Sengsara MAUT datang dengan BENAR; itulah apa yang kamu jauhkan diri daripadanya!”
[Q.S. QAF 50:19]

"Sehingga, apabila kematian datang kepada seorang daripada mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, kembalikanlah aku, supaya aku buat kerja-kerja baik yang aku telah tinggalkan.' Tidak, ia hanyalah satu kata yang diaucapkan; dan di belakang mereka ada BARZAKH (tembok) hingga hari mereka dibangkitkan."
[Q.S. AL-MUKMINUN / ORANG-ORANG MUKMIN 23:99-100]

"Kamu tidak dapat jadikan orang yang mati mendengar, dan tidak juga kamu dapat jadikan orang yang pekak mendengar seruan apabila mereka berpaling, berundur."
[Q.S. AN-NAML / SEMUT 27:80]

"Tidaklah sama yang hidup dengan yang mati. Allah jadikan mendengar sesiapa Dia hendaki; kamu tidak dapat jadikan orang-orang yang di dalam kubur untuk mendengar."
[Q.S. FATHIR / PEMULA 35:22]

"Dan trompet ditiup; kemudian tiba-tiba, mereka melongsor dari makam-makam mereka kepada Pemelihara mereka. Mereka berkata, 'Celakalah kami! Siapakah yang bangkitkan kami daripada tempat TIDUR kami? Inilah apa Yang Pemurah janjikan, dan para utusan berkata benar.'"
[Q.S. YA SIN 36:51-52]


“Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan dapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.”

[ Q.S. AL-IMRAN 3:185]






:: MITOS DARI ALAM BARZAKH ::

Lain agama lainlah kepercayaan tentang hidup sesudah mati. Namun begitu, tujuan karangan ini bukan untuk menghuraikan tiap-tiap kepercayaan tersebut tetapi hanya sampaikan apa yang terkandung di dalam al-Qur'an mengenainya.

Tiga kata kunci dipilih dalam hal kematian, iaitu mati atau maut, barzakh, dan ketiga, roh.


:: MATI / MAUT ::


“Sengsara MAUT datang dengan BENAR; itulah apa yang kamu jauhkan diri daripadanya!”
[Q.S. QAF 50:19]

Menurut al-Qur'an, mati adalah seperti tidur. Perkataan "mati", menurut Kamus Dewan, bermakna "tidak bernyawa lagi, tidak hidup lagi" sementara "tidur" adalah "dalam keadaan tidak sedar dengan mata terpejam."

Dalam kematian, nafs atau jiwa, dalam bahasa Melayu, adalah yang sebenarnya dimatikan. Jiwa dimatikan dalam kematian, dan juga semasa tidur. Firman Allah yang menjelaskannya berbunyi,

"Allah mematikan JIWA ketika kematian mereka, dan yang belum mati, dalam tidurnya; Dia menahan yang kepadanya Dia telah tentukan kematian, tetapi Dia utuskan yang lain hingga satu tempoh yang dinyatakan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (39:42)



:: TIDUR ::

Orang yang mati pun menganggap kematiannya seperti tidur. Sila lihat ayat-ayat berikut:

"Dan trompet ditiup; kemudian tiba-tiba, mereka melongsor dari makam-makam mereka kepada Pemelihara mereka. Mereka berkata, 'Celakalah kami! Siapakah yang bangkitkan kami daripada tempat TIDUR kami? Inilah apa Yang Pemurah janjikan, dan para utusan berkata benar.'" (36:51-52)

Kejutan itu berlaku ketika orang yang telah mati itu dibangunkan semula pada Hari Kebangkitan atau Hari Akhirat.

Sebelum kematian datang haruslah buat wasiat. Wasiat adalah:

1.  kepada anak-anak, iaitu menyuruh mereka supaya tunduk patuh kepada Allah, seperti wasiat Nabi Ibrahim dan Yaakub kepada anak-anaknya - 2:132 dan 2:133.

2.  dalam pembahagian harta yang ditinggalkan, untuk ibu bapa dan sanak saudara - 2:180, dan

3.  untuk isteri atau isteri-isteri, dalam mana mereka ditinggalkan peruntukan selama setahun (sekurang-kurangnya) dengan tidak keluarkan mereka daripada tempat kediaman - 2:240.

Mematikan adalah tugas malaikat:

“Dia Yang Menakluki hamba-hamba-Nya. Dia utus pencatat-pencatat kepada kamu sehingga, apabila salah seorang antara kamu didatangi kematian, Rasul-Rasul Kami matikannya, dan mereka tidak lalai.” (6:61)

“Katakanlah, "Malaikat maut yang diamanahkan untuk kamu akan mematikan kamu, kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu dikembalikan." (32:11)

Bagi orang jahat seperti yang berdusta terhadap Allah, menyombong terhadap ayat-ayat Allah, mendustakan ayat-ayat Allah, menyeru selain daripada Allah, tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan orang murtad, kematian mereka adalah suatu kesengsaraan. Sila renungkan ayat-ayat berikut:

"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dia berkata, Kepada aku ia diwahyukan'; padahal tiada yang diwahyukan kepadanya, atau orang yang berkata, 'Aku akan turunkan yang serupa dengan apa yang Allah turunkan'? Jika kamu dapat lihat ketika orang-orang zalim dalam sengsara kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka, 'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan kerana kamu kata yang tidak benar terhadap Allah, dan sombong terhadap ayat-ayat-Nya'" (6:93)

"Siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dustakan ayat-ayat-Nya? Mereka itu, bahagian mereka daripada Kitab akan sampai kepada mereka sehingga, apabila Rasul-Rasul Kami datang kepada mereka untuk matikan mereka, mereka berkata, 'Di manakah apa yang kamu seru selain daripada Allah?' Mereka berkata, 'Mereka sudah sesat (hilang) daripada kami', dan mereka saksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang tidak percaya" (7:37).

"Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan orang-orang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, 'Rasalah azab yang membakar.'" (8:50)

"Maka bagimanakah ia, apabila malaikat-malaikat mematikan mereka (orang murtad), memukul muka mereka dan belakang mereka?" (47:27)

Kepada orang baik pula, malaikat maut beri salam sebelum matikan jiwanya. Firman Allah:

"Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu buat'" (16:32).

Setelah seseorang meninggal dunia dia tidak dapat mendengar. Dia berada dalam keadaan tidak sedar.  Tidak mendengar, tidak melihat, tidak merasa apa-apa.  Kerana tidak sama orang hidup dan orang mati. 

Firman-Nya:

"Kamu tidak dapat jadikan orang yang mati mendengar, dan tidak juga kamu dapat jadikan orang yang pekak mendengar seruan apabila mereka berpaling, berundur" (27:80).

"Tidaklah sama yang hidup dengan yang mati. Allah jadikan mendengar sesiapa Dia hendaki; kamu tidak dapat jadikan orang-orang yang di dalam kubur untuk mendengar." (35:22).

Bukan sahaja mereka tidak dapat mendengar ketika diajar sejurus selepas dikebumikan, malah apa saja yang "dihadiahkan" atau "dikirim" kepada mereka supaya kehidupan mereka di alam barzakh jadi tenteram, luas, atau terang, tidak akan sampai kepada mereka.


:: BARZAKH ::

Ini kerana suatu TEMBOK atau BARZAKH didirikan apabila mereka meninggal dunia. Tembok itu memisahkan mereka daripada segala sesuatu.  Ia adalah daripada Allah, dan tentu sekali tidak mampu ditembusi oleh apa jua. Tembok tersebut dipanggil "barzakh" dalam bahasa al-Qur'an. Ayat yang menyebutnya berbunyi:

"Sehingga, apabila kematian datang kepada seorang daripada mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, kembalikanlah aku, supaya aku buat kerja-kerja baik yang aku telah tinggalkan.' Tidak, ia hanyalah satu kata yang diaucapkan; dan di belakang mereka ada BARZAKH(Tembok) hingga hari mereka dibangkitkan." (23:99-100)

Terdapat dua lagi ayat yang mengandungi perkataan BARZAKH di dalam al-Qur'an. Kedua-dua ayat ini  menunjukkan fungsi Barzakh sebagai pemisah antara dua zona tau ruang atau antara dua sifat dan  bahawa Barzakh itu sedang berada di laut sebagai satu dalil perumpamaan kepada fungsi Barzakh.

“Dan Dia yang membiarkan dua laut, yang ini bersih dan enak, rasanya menggembirakan, dan yang ini masin dan pahit, dan Dia letak di antara mereka satu BARZAKH (tembok), dan satu larangan yang terlarang.” (Q.S. 25:53)

“Dia membiarkan dua laut yang bertemu bersama, Antara keduanya ada satu barzakh (tembok) yang keduanya tidak melintasi.” (55:19-20)


Justeru itu, apa yang dikatakan alam barzakh yang diajar kepada umat sebenarnya tidak wujud. Segala cerita mengenainya termasuk cerita seksa kubur adalah hanya dongengan orang-orang agama zaman dahulu. Dan segala amalan mengenainya adalah hanya mimpi mereka yang tidak benar. Kerana Allah tidak mengajarnya di dalam al-Qur'an.



:: ROH ORANG MATI ::

Seperkara lagi ialah ungkapan yang lazim disebut iaitu "roh orang mati". Semua amalan yang dilakukan oleh orang yang hidup untuk mereka yang berada dalam alam barzakh, kononnya, adalah untuk roh orang mati supaya mereka bahagia berada di dalam alam tersebut.

Sekali lagi, kalimat Allah dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu. Dalam penggunaan kalimat "roh" di dalam al-Qur'an tiada satu pun yang boleh diertikan sebagai "roh orang mati". Sila lihat pada penggunaan kata itu di dalam al-Qur'an.  

“Mereka tanya kamu mengenai Roh. Katakanlah, "Roh adalah daripada perintah Pemeliharaku. Kamu tidak diberi pengetahuannya melainkan sedikit." (17:85)

“Apabila Aku sudah membentuknya (Adam), dan hembus Roh-Ku ke dalamnya, jatuhlah kamu bersujud kepadanya.” (15:29)

“Kemudian Dia membentuknya, dan hembus Roh-Nya ke dalamnya. Dan Dia buatkan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati; sedikit terima kasih kamu tunjukkan.” (32:9)


(*Rujuk selanjutnya = 2:87, 2:253, 4:171, 5:110, 16:2, 16:102, 19:17, 21:91, 26:192, 38:72, 40:15, 42:52, 58:22, 66:12, 70:4, 78:38 dan 97:4)


Penulis sedari perasan sesetengah pembaca terganggu dengan penjelasan ini. Yang benar memang pahit, namun ditelan juga.


:: KEPERCAYAAN SIA-SIA ::

Oleh itu, kepercayaan yang umum amalan umat Islam hari ini yang kita tahu ialah :


Siksa kubur, soalan kubur, Munkar dan Nakir.

Roh hidup dalam kubur dan menunggu doa anak-anak mereka di dunia yang solah dan solehah
Mendoakan dan menghadiahkan pahala bacaan surah-surah tertentu dalam kitab Qur’an kepada ahli kubur.

Segala perbuatan jahat anak-anak yang dibawah tanggungannya di dunia akan dibalas dosa dengan siksaan ke atas roh si mati dalam kubur.

Mengadakan Majlis kenduri Tahlil 100 hari pemergian si mati.

Kepercayaan Non-Muslim tentang kematian dan alam akhirat.



Semua kepercayaan itu bertentangan dengan Qur’an yang merupakan wahyu ALLAH yang benar.  Kesemua itu diajar oleh Habr-Habr agama yang taksub dengan hadis-hadis lahwa riwayat Imam-imam hadis yang mahsyur di kalangan Sunni atau ASWAJA.   Adalah satu pekerjaan yang sia-sia meyakini ajaran yang bukan datang dari ALLAH.

SEBENARNYA, setiap orang adalah bertanggungjawab ke atas diri masing-masing.  Diri sendirilah yang menanggung dosa diri sendiri.  Orang lain tidak akan menanggung dosa kita.  Apa saja amalan yang kita lakukan di dunia akan berakhir dan terputus tatkala kita MATI.  Sebaik sahaja mati.  Kita akan dimasukkan ke dalam ruang atau alam yang berbeza. Yang dikeliling oleh TEMBOK atau BARZAKH yang tidak dapat ditembusi oleh apa pun.   Orang yang sudah mati akan berada dalam situasi TIDUR, bermula dari roh dikeluarkan dari jasad oleh Malakal maut. Roh atau Jiwa yang dimatikan jasadnya adalah dalam keadaan tidur sehinggalah ia dibangkitkan pada hari yang besar, ketika usai Trompet ditiup, iaitu pada hari AKHIRAT.  Semua akan bergerak menuju ke Padang mahsyar utnuk diadili, ditanya segala perbuatannya di dunia dan ditentukan destinasinya berdasarkan amalan-amalannya selama menjalani ujian ALLAH di waktu masih hidup di dunia.   

Yang beriman kepada ALLAH dan melakukan kerja-kerja yang baik akan mendapat upah yang besar yang sudah pastinya adalah ganjaran syurga. Dan mereka yag kafir kepada ALLAH dan melakukan kerja-kerja yang zalim pasti menghuni Api yang menyiksakan.

“Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan dapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.”  [ Q.S. AL-IMRAN 3:185]



:: PENGURUSAN KEMATIAN DAN JENAZAH ::

"Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian; dan Kami uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu dikembalikan." (21:35)

"Orang-orang yang, apabila mereka ditimpa penderitaan, berkata, "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kami kembali." (2:156) 

KEMATIAN adalah Ujian dan penderitaan kepada manusia. Kerana ia berlawanan dengan kehidupan.  Bukan sahaja apabila kita ditimpa musibah perlu mengucapkan kata-kata dalam di atas. Malah, apabila kita kematian anggota keluarga dan saudara.

Jenazah diuruskan atas dasar kasih sayang dan hormat. Maka ia haruslah, umpamanya berbau wangi atau berwajah dan berpakaian kemas, supaya orang-orang yang menziarahi dapat menghormati dan tidak menghinanya. Satu cara untuk menghormati orang yang meninggal dunia telah diajar Tuhan di dalam al-Qur'an (9:84), iaitu dengan berdiri di kuburnya. Bukan duduk.

"Dan jangan kamu rahmati selama-lamanya ke atas sesiapa antara mereka apabila dia mati, dan jangan juga berdiri di kuburnya; mereka tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mati sedang mereka orang-orang fasiq." (9:84)


:: SEMBUNYIKAN / TANAM / KUBUR::

Mayat atau jenazah mestilah DITANAM/ DIKUBURKAN menurut ayat ini :

"Kemudian Allah kirim seekor burung gagak, dengan mencakar-cakar di atas bumi, untuk perlihatkan kepada dia bagaimana dia akan sembunyikan mayat saudaranya yang aib. Dia berkata, "Celakalah aku! Tidakkah aku mampu untuk menjadi seperti burung gagak ini, untuk aku sembunyikan mayat saudaraku yang aib?" Dan dia jadi antara orang-orang yang menyesal." (5:31) 


Tujuan menanam mayat adalah untuk menyembunyikan 2 perkara :

---    Bau yang dihasilkan dari mayat
--- Kesusahan yang bakal datang apabila mayat dibiarkan.


:: AMALAN UMUM ::

Cara pengurusan jenazah yang dikenali adalah tidak dilarang dan tidak disuruh.  Sebaiknya, biarlah jenazah itu diuruskan mengikut budaya dan adat sesuatu bangsa itu sendiri, selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran ALLAH dalam Qur’an.  

Oleh itu, buatlah macam mana caranya sekalipun, selagi tidak termasuk ke dalam ketegori Pembaziran kerana membazir itu saudara Syaitan :

"Orang-orang yang boros adalah Saudara Syaitan, dan syaitan tidak berterima kasih (kafir) kepada Pemeliharanya." (17:27)

Tidak menzalimi mayat seperti mengubah kejadiannya, membakar, memusnahkan dengan cara yang bertentangan dengan adab dan sensitiviti manusia dan tidak menzalimi keluarganya dari segi kos dan sokongan moral, dan bukan juga perkara yang akhirnya menjadi ketetapan agama atau sesuatu yang kontradik dengan ajaran ALLAH dalam Qur'an (42:21)



(*rujuk ayat-ayat dalam ketegori menzalimi :  6:157, 4:10, 49:11 )

Secara asasnya, pengurusan jenazah adalah dengan MENANAM / MENGUBUR mayat agar proses pereputannya tidak menganggu orang lain dan diletakkan pada tempat yang sewajarnya iaitu dalam Tanah.  


Solat Jenazah bukanlah Syariat ALLAH.  ALLAH tak pernah menyebut kewujudan solat Jenazah dalam mana-mana ayat dalam Qur’an.  Dilakukan solat jenazah atau tidak, ia tidak membantu arwah di alam Barzakh.  Doa dan bacaan serta kiriman pahala tidak akan sampai kepada arwah kerana adanya Barzakh yang menghalang.  Matinya seorang anak adam itu akan memutuskan semua perkara kehidupan dunia ke atasnya.  Dia akan menanggung dosa dan pahalanya sendiri-sendiri, begitu juga kita semua. 


:: DOA ::

Untuk mengakhiri huraian di sini, dipohonkan maaf serta diturunkan dua buah doa yang diajar oleh Tuhan di dalam Kitab-Nya, berbunyi:

“Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih." (12:101)

“Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah aku dan ibu bapaku, dan orang-orang mukmin, pada hari apabila hitungan didirikan." (14:41)



:: PESANAN ::
Sebagai pesanan kepada semua…

“Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Kitab(Al-Qur’an), dan lakukan solat; solat melarang kesumbangan dan mungkar. Peringatan Allah adalah lebih besar; dan Allah tahu apa yang kamu kerjakan.” (29:45)




“ Semoga bermanfaat, Salamun alaikum…”
- PENULIS 2016

Sabtu, 8 Oktober 2016

HUJAH PERTAMA ???


Hafiz Firdaus Abdulllah :
Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’anul Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang telah mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat.[1] Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya. Demikian juga, apabila dikatakan bahawa kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti bahawa al-Qur’an tidak leka atau lengah dari menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.
JAWAPAN
: Al-Qur’an BUKAN-lah Kitab Induk seperti yang didakwa oleh penulis artikel ini.  Tiada satu ayat pun yang menyatakan demikian.  Tanpa dalil dari Qur’an.  Beliau hanya berkata-kata menurut pendapat Habr-habr agama golongan Sunni, Yusuf Qardhawi.  Dakwaan seperti ini memang tidak dapat diterima tanpa penjelasan wahyu dari ALLAH.  Bagaimana pun, Qur’an menurut ALLAH :


“Ha Mim.  Demi Kitab yang jelas, Sesungguhnya, Kami membuatnya sebuah Qur'an bahasa Arab supaya kamu faham.  Dan sesungguhnya ia adalah di dalam IBU KITAB, di sisi Kami; sungguh tinggi, bijaksana.”
(Q.S. 43:1-4)

*Qur’an jelas di sini adalah berasal dalam IBU KITAB yang ada di sisi ALLAH.  Boleh saja ia digelar sebagai KITAB INDUK di sisi ALLAH.  Qur’an bukanlah Kitab Induk di sisi ALLAH seperti yang didakwa oleh penulis ini.  Tetapi ia hanya menjadi KITAB UTAMA untuk rujukan bagi Nabi Muhammad dan seluruh umatnya. Kerana tidak ada kitab selain Qur’an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad.


“…dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. ……” (6:19)

Hafiz Firdaus Abdulllah :
Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]

JAWAPAN
:  Tiada ada dalam mana-mana ayat Qur’an yang menyatakan demikian.  Malah tiada satu pun ayat yang menyebut perkataan SUNNAH NABI atau HADIS NABI  dalam mana-mana surah atau ayat dalam Qur’an.  Penulis artikel ini hanya mendakwa tanpa alasan dan dalil yang jelas dari Qur’an.  Beliau hanya bersandarkan kata-kata Habr agama -  Ibnu Qayyim.
Qur’an itu Jelas dan lengkap, terperinci dan tiada satu pun yang tertinggal melaionkan semua hal yang berkaitan dengan apa yang diwahyukanNya itu disebut dengan jelas.

“Tha Sin. Inilah ayat-ayat al-Qur'an, dan sebuah Kitab yang jelas.” (27:1)

“Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab; kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka akan dikumpulkan.” (6:38)

“Sesungguhnya Kami buatkan untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan…”(30:58)
“Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan tetapi kebanyakan manusia menolak semua, kecuali ketidakpercayaan.” (17:89)

“Apa, adakah aku akan cari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang turunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas...” (6:114)

“Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.” (6:115)

“Dan Kami telah datangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami jelaskan, berdasarkan pengetahuan, menjadi satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi kaum yang percayai.” (7:52)

“Alif Lam Ra. Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya menentukan, dan kemudian dijelaskan, daripada yang Bijaksana, Menyedari.”  (11:1)

Tetapi Qur’an itu sendiri adalah HADIS dari ALLAH yang menjadi Ucapan Rasul yang mulia. Renungkan ayat-ayat ini :

"Allah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab" (39:23).

Kitab yang dimaksudkan adalah al-Qur'an, yang diturunkan kepada Nabi Allah yang terakhir, Muhammad. Kitab tersebut diturunkan kepada baginda untuk dipanjangkan kepada seluruh manusia. Maka baginda, dengan cara lisan terutamanya, sampaikan kandungan Kitab kepada orang-orang di sekelilingnya. Justeru, seluruh kandungan kitab Hadis Allah yang diterima merupakan Hadisnya juga. Seperti maksud firman Allah berbunyi,

"Sesungguhnya ia adalah ucapan Rasul yang mulia" (69:40)

Maka tidak ada perintah dari ALLAH untuk mengikuti HADIS NABI atau SUNNAH nabi yang diriwayatkan oleh habr-Habr hadis seperti 6 imam hadis yang terkenal dalam golongan sunni.  Melainkan disuruh untuk mentaatiNya melalui Qur’an dan mentaati RasulNya melalui ajaran ALLAH dalam Qur’an yang berbentuk AL-HIKMAH yang sendirinya ada dalam Kitab Qur’an itu sendiri(17:39).
Adapun percakapan, perlakuan nabi sebagai manusia. Bukanlah termasuk dalam ajaran ALLAH dan ia tidak perlu diikuti kerana ia adalah satu fitrah kehidupan manusia. Makan minum, berak, berjimak dan bergaul sesama manusia lain boleh sahaja dipelajari secara semulajadi tanpa kitab ALLAH.  Sebelum Qur’an turun kepada nabi Muhammad, semua orang ARAB tahu makan dan minum, tahu berjimak dan bergaul serta bersyair, memerintah dan mentadbir Mekah.  Mereka berjubah, serban, berjanggut dan lain-lain budaya Arab. Abu jahal misalnya, berjanggut dna berserban, berjubah macam nabi Muhammad.   Itu hanya budaya bukan berkaitan dengan agama.
 Kalau ia adalah agama.  Maka semua manusia tak kira bangsa adalah wajib memakai serban, berjanggut dan berjubah tanpa mengira iklim dan tempat sesebuah tempat di bumi ini.

Hafiz Firdaus Abdulllah :
Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?
JAWAPAN
: Pendapat penulis ini adalah terlebih jahil. Mungkin beliau mengatakan bahawa Qur’an tidak cukup sempurna sehingga beliau memerlukan kitab lain yang dikarang oleh habr-habr agama golongannya utnuk melengkapkan Qur’an.  Tindakan beliau adalah lebih menghina kesempurnaan dan kebijaksanaan yang diabadikan oleh ALLAH dalam Qur’an.

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21)

Sekutu-sekutu dalam ayat ini adalah Habr-habr agama yang berani mengada-adakan sesuatu yang tidak diajar oleh ALLAH dalam wahyuNya kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan mengandalkan pendapat-pendapat Habr-habr agama seperti Yusuf Qardhawi dan Ibnu Qayyim, jelas beliau menghina kemuliaan Qur’an.  Seolah-olah Qur’an itu memang tidak cukup atau ALLAH terlupa nak sebut perkara-perkara yang diajarkan oleh habr-habr agama golongan mereka.  Ini bukan sahaja merendah-rendahkan Qur’an malah menghina ALLAH dan rasulNya.
Mengaitkan dengan dalil ‘Mee Goreng’, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya.  Hal-hal seperti ini adalah perkara yang anda boleh pelajari di luar kitab ALLAH dan sudah pasti ia adalah ilmu ALLAH jua.  Apa yang digariskan oleh ALLAH dalam Qur’an adalah jelas, yang haram dan halal adalah jelas. Terpulang kepada kita bagaimana mengaplikasikannya dalam kehidupan kita hari ini.


Hafiz Firdaus Abdulllah :
Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah 5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.

JAWAPAN
: Ayat yang disebutkan itu adalah jelas hukum dalam Qur’an.  Anda tidak perlukan hukum selain apa yang ditetapkan oleh ALLAH dalam wahyuNya ini, cukup dengan ayat-ayat ALLAH ini, anda tidak perlukan yang lain. Mungkin anda boleh menerima pakai panduan dalam Quraish Sihab, tetapi pastikan ia tidak bercanggah dengan Qur’an.  Pastikan ia selari dengan Qur’an.  Namun, ingatlah dalam firman ALLAH yang berikut :

“Itu ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?” (45:6)

Kepada penulis
saudara Hafiz Firdaus Abdulllah
Mengambil habr-Habr agama sebagai panduan selain dari Qur’an adalah kontradik dengan Qur’an (45 :6).  Tidak salah sekiranya apa yang dikatakan oleh mereka itu selari dengan Qur’an.  Itu bukan masalah.  Masalahnya apabila mereka mengajar sesuatu yang bukan dari ajaran ALLAH. Mereka menulis kitab-kitab mereka sendiri sebagai kononnya satu penjelasan kepada Qur’an tanpa menyedari mereka ini mengajar sesuatu yang berbeza dengan mesejNya dan tidak sedar berada dalam golongan yang disebutkan oleh ALLAH dalam Qur’an.
Maksud firman Allah:

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan" (42:21).

Orang-orang yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama adalah hanya para habr atau ulama agama. Mereka memakai gelaran seperti "Imam" atau "Maulana" atau "Syeikhul" dan sebagainya.  Mereka juga diangkat sebagai pemelihara atau tuhan oleh pengikut-pengikut mereka, menurut ayat yang berikut:

"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan" (9:31)

Oleh kerana ajaran manis mereka, atas nama Islam sebenar, serta kelalaian pengikut-pengikutnya, maka apabila diseru kepada Allah satu-satunya, pengikut-pengikutnya tidak percaya, tetapi jika mereka disekutukan dengan-Nya, mereka percaya pula. Tanpa sedar hari ini umat islam mengagung-agungkan ulama atau habr ini dalam menyelesaikan masalah kehidupan mereka tanpa melihat dna merujuk kepada firman ALLAH terlebih dahulu. Kata-kata  Habr adalah muktamad bagi mereka.  Namun, Alhamdulillah. Masih ada hamba ALLAH yang merenung firman ALLAH setelah bertanya kepada Habr-habr agama ini.  Dengan Qur’an sahajalah kita akan tahu sama ada ajaran habr-habr agama ini betul atau salah menurut firman ALLAH. Tanpa mereka sedari, Habr-habr ini bukan sahaja menghalang mesejNya untuk sampai kepada kita malah mereka menjadi sebab utama perlawanan umat manusia kepada ALLAH. Kerana ajaran mereka juga pengikut-pengikut melawan Allah dengan cara menolak ajaran-Nya. Sila renungkan dua ayat yang berikut:

"Itu adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai. Putusan adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar" (40:12)

"Kemudian pada Hari Kiamat, Dia aibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?'" (16:27)


ALLAH DISANJUNG

SEGALA PUJI BAGI ALLAH, PEMELIHARA SELURUH ALAM