The Alien - Link Select

Ahad, 18 November 2012

KEBEBASAN BERAGAMA DI MALAYSIA???

MALAYSIA Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama. Perkara 11 menyatakan, “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apaapa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Perkara 3 dalam Perlembagaan menyatakan bahawa, “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan “Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.” Perkara 160 dalam Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam. Mahkamah sivil biasanya menyerahkan kuasa kepada mahkamah Syariah bagi kes-kes berkaitan keluar daripada agama Islam, dan mahkamah Syariah pula enggan membenarkan sesiapa keluar daripada agama Islam. Undang-undang dan dasar-dasar lain mengenakan beberapa sekatan terhadap kebebasan beragama. Sepanjang tempoh laporan ini, tiada sebarang perubahan dari segi status menghormati kebebasan beragama oleh Kerajaan. Kerajaan mengekalkan senarai rasmi 56 ajaran yang dianggap “sesat” dan mengancam keselamatan negara. Kerajaan boleh menahan orang Islam yang menyimpang daripada ajaran asas Ahli Sunnah Waljamaah dan diwajibkan menjalani “pemulihan” di pusatpusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan-amalan Islam yang dibenarkan pihak kerajaan. Umumnya, orang Islam tidak boleh keluar daripada agama Islam untuk menganut agama lain secara sah tetapi penganut agama lain boleh menganut agama Islam. Pegawaipegawai di peringkat persekutuan dan negeri memantau kegiatan agama Islam, dan mereka kadang-kadang mempengaruhi kandungan khutbah, menggunakan masjid untuk menyampaikan mesej politik, dan menghalang imam-imam tertentu daripada berucap di dalam masjid. Kerajaan mengekalkan dua sistem perundangan, di mana mahkamah Syariah mempunyai kuasa ke atas isu-isu agama dan kekeluargaan yang melibatkan orang Islam, dan mahkamah sekular mempunyai kuasa ke atas isu-isu lain berkaitan penduduk keseluruhan. Dasar-dasar kerajaan menggalakkan Islam mengatasi agama-agama lain. Kumpulan agama minoriti umumnya bebas mengamalkan kepercayaan mereka; tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, ramai telah menyuarakan kebimbangan bahawa sistem mahkamah sivil secara beransur-ansur menyerahkan bidang kuasa kepada mahkamah Syariah, terutama dalam hal-hal berkaitan undang-undang keluarga yang melibatkan pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam. Penganut agama minoriti terus menghadapi sekatan dalam menzahirkan agama mereka dan mendakwa berlaku pencabulan hak-hak harta. Kerajaan mengehadkan pengedaran bahan-bahan agama Kristian berbahasa Melayu di semenanjung Malaysia dan melarang pendakyahan agama lain kepada orang Islam oleh orang bukan Islam.Terdapat sedikit laporan penganiyaan atau diskriminasi masyarakat berdasarkan pertalian, kepercayaan atau amalan agama. Kerajaan A.S. berbincang tentang kebebasan beragama bersama Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada dasarnya menggalakkan hak asasi manusia secara menyeluruh. Wakil-wakil Kedutaan mengekalkan dialog yang aktif dengan para pemimpin dan wakil kumpulan-kumpulan agama, termasuk mereka yang tidak diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia. Bahagian I. Demografi Agama Negara Malaysia mempunyai kawasan 127,000 batu persegi dan penduduk berjumlah 27.7 juta. Menurut bancian tahun 2000, 60 peratus daripada penduduk mengamalkan agama Islam; 19 peratus agama Buddha; 9 peratus agama Kristian; 6 peratus agama Hindu; dan 3 peratus Konfusianisme, Taoisme, dan kepercayaan-kepercayaan tradisi kaum Cina lain. Kumpulan agama minoriti lain termasuk animisme, Sikh dan Baha’i. Orang Melayu beragama Islam merangkumi lebih kurang 55 peratus daripada jumlah penduduk. Tiga daripada lima parti politik utama adalah berlandaskan bangsa dan agama. Majoriti penganut Kristian tinggal di negerinegeri di timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak. Bahagian II. Status Kebebasan Beragama Kerangka Undang-undang/Dasar Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama. Perkara 11 menyatakan “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apaapa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Undangundang membenarkan orang ramai atau pertubuhan menyaman kerajaan bagi pencabulan perlembagaan dalam kebebasan beragama. Tetapi mahkamah persekutuan lazimnya menyebelahi kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Perkara 3 menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan bahawa “Parlimen boleh melalui undangundang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.” Perkara 160 Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam. Mahkamah sivil umumnya menyerahkan bidang kuasa kepada mahkamah Syariah dalam kes-kes yang berkaitan dengan keluar daripada agama Islam, dan mahkamah Syariah pula enggan membenarkan sesiapa keluar daripada agama Islam. Perlembagaan mengenalpasti raja-raja sebagai “Ketua Agama Islam” di negeri mereka masing-masing. Undang-undang dan dasardasar lain meletakkan beberapa sekatan dalam kebebasan beragama. Masjid-masjid ditadbir di peringkat negeri, dan bukan oleh Kerajaan Persekutuan. Pihak berkuasa agama negeri melantik imam masjid dan memberikan garis panduan bagi kandungan khutbah. Kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan di antara pasangan Islam dan bukan Islam. Pihak berkuasa negeri mentadbir undang-undang Syariah melalui mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa ke atas semua orang Islam. Undang-undang Syariah dan sejauh mana penguatkuasaannya berlainan di antara negeri. Kerajaan negeri mengenakan undang-undang Islam ke atas orang Islam dalam beberapa hal-hal budaya dan sosial tetapi lazimnya tidak mencampuri amalan keagamaan masyarakat bukan Islam; tetapi perdebatan berterusan tentang memasukkan unsur-unsur undang-undang Syariah seperti khalwat (berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim), ke dalam undang-undang sivil. Pegawai penguatkuasa agama mempunyai kuasa untuk menyerbu premis-premis persendirian serta tempat-tempat awam. Kerajaan tidak menyediakan maklumat jumlah serbuan yang dibuat oleh pegawai penguatkuasa agama. Mahkamah Syariah tidak memberikan pertimbangan sama rata terhadap testimoni wanita. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang memajukan hak-hak wanita mengadu bahawa golongan wanita tidak menerima layanan adil mahkamah Syariah dalam halhal berkaitan perceraian dan hak penjagaan anak. Pindaan Kanun Jenayah adalah prerogatif eksklusif Kerajaan Persekutuan. Walaupun bertentangan dengan undang-undang persekutuan, kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu menjadikan murtad, iaitu keluar daripada agama Islam untuk menganut agama lain, satu kesalahan yang membawa kepada hukum bunuh. Tiada siapa telah disabitkan atau dihukum di bawah undang-undang ini, kerana undang-undang ini tidak boleh dikuatkuasakan. Di peringkat nasional, orang Islam yang mahu menukar agama hendaklah terlebih dahulu meminta kebenaran daripada mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan mereka “murtad.” Ini secara langsung melarang penukaran agama bagi orang Islam kerana mahkamah Syariah jarang membenarkan permintaan tersebut dan boleh mengenakan hukuman ke atas si murtad. Pada bulan April 2009, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan beliau mahu melaksanakan undang-undang Islam yang satu bagi menggantikan undang-undang Islam yang berbeza-beza di antara negeri.Kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada institusi keagamaan Islam tetapi bantuan kewangan yang lebih terbatas kepada masyarakat bukan Islam. Pada bulan Januari 2009, kerajaan negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, memperuntukkan RM6 juta (US$1.7 juta) bagi tempat ibadat orang bukan Islam. Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM428 (US$125.9) juta bagi membina tempat ibadat orang Islam, dan RM8.1 juta (US$2.4 juta) bagi membina tempat ibadat orang Kristian, Buddha, Hindu dan kumpulan agama minoriti lain di antara tahun 2005 dan 2008. Kerajaan meraikan Hari Raya Puasa, Hari Raya Qurban, Maulud Nabi, Awal Muharram, Hari Wesak, Deepavali, Thaipusam, dan Krismas sebagai hari kelepasan am. Good Friday diraikan secara rasmi di Malaysia Timur. Semasa laporan ini dibuat, kerajaan negeri di Kelantan, yang dipimpin oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengekalkan larangan ke atas teater tarian Melayu asli, larangan ke atas iklan wanita yang tidak menutup aurat, dan penguatkuasaan pemakaian tudung ke atas wanita, dan denda ke atas mereka yang melanggar peraturan-peraturan ini. Kod pakaian di Kelantan menghendaki wanita Islam memakai pakaian yang hanya mendedahkan muka dan tangan mereka. Peraturan ini juga menghendaki wanita bukan Islam mengelak daripada memakai pakaian yang “seksi atau tidak sopan.” Mereka yang melanggar kod pakaian ini boleh didenda sehingga RM500 (US$146). Para pemimpin hak asasi wanita dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkritik peraturan tersebut yang terlalu menekan. Pihak berkuasa juga menghendaki lelaki dan wanita membuat barisan berasingan di pasar raya dan mengenakan denda ke atas pasangan yang duduk terlalu dekat di kawasan awam seperti di bangku taman. Pada akhir bulan Jun 2008, di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, pihak berkuasa bandar mengeluarkan risalah dan kenyataan am yang menggalakkan wanita Islam tidak memakai kasut tumit tinggi, gincu berwarna terang, atau tudung yang jarang, bagi “menjaga maruah mereka dan mengelakkan daripada dirogol.” Pendaftar Pertubuhan, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, menentukan sama ada sesebuah pertubuhan agama itu boleh didaftarkan untuk layak menerima bantuan kewangan dan faedah-faedah lain daripada Kerajaan. Pihak Pendaftar tidak mempunyai dasar yang konsisten untuk mengenalpasti pelbagai pertubuhan agama ataupun kriteria yang digunakan untuk membuat penentuan tersebut. Pihak Kerajaan enggan mengiktiraf pelbagai pertubuhan agama, dan untuk memastikan supaya pertubuhan ini dapat bergiat secara sah, kumpulan-kumpulan tersebut telah mendaftarkan pertubuhan mereka bawah Akta Syarikat. Antara contoh termasuk Jehovah’s Witnesses dan Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Mormon). Pendaftaran di bawah Akta Syarikat memberikan perlindungan dari segi kebebasan beragama seperti yang dinikmati oleh kumpulan-kumpulan lain di negara ini tetapi tidak layak mendapat bantuan kewangan Kerajaan. Kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas pembinaan tempat ibadat bukan Islam dan peruntukan tanah perkuburan bukan Islam. Kedua-dua Kerajaan di peringkat pusat dan negeri sering melengah-lengahkan kebenaran untuk membina atau mengubahsuai tempat ibadat bukan Islam sementara agak cepat membenarkan pembinaan masjid, menurut pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tempatan. Kerajaan terus menghendaki semua kakitangan kerajaan Islam menghadiri kelas agama yang dibenarkan, dan beberapa agensi kerajaan memberi tekanan kepada wanita bukan Islam supaya memakai skarf kepala semasa menghadiri majlis rasmi. Sekolah kerajaan umumnya menawarkan pendidikan agama Islam yang wajib bagi semua kanakkanak Islam; pelajar-pelajar bukan Islam pula diwajibkan mengambil kelas moral dan etika. Di sekolah rendah dan menengah, perhimpunan pelajar selalunya bermula dengan bacaan doa oleh guru atau ketua pelajar. Sekolah persendirian bebas untuk menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan kepada orang bukan Islam. Tiada sekatan bagi pembelajaran di rumah. Kerajaan menawarkan geran hanya kepada sekolah persendirian Islam yang setuju membenarkan kawalselia Kerajaan dan menerima pakai kurikulum yang diluluskan oleh Kerajaan. Kad pengenalan negara memberi identiti orang Islam dengan cetakan jelas di atas permukaan kad, tetapi bagi penganut agama lain yang dikenalpasti, agama mereka dikodkan ke dalam cip pintar kad pengenalan mereka dan tidak dicetak dengan jelas. Orang Islam juga hendaklah membawa kad pengenalan diri bergambar bersama pasangan mereka sebagai bukti perkahwinan. Kerajaan menggunakan kad ini untuk menentukan warga mana yang tertakluk kepada peraturan Syariah, terutamanya khalwat. Khalwat adalah kesalahan jenayah di bawah Syariah dan boleh dihukum dua tahun penjara, denda RM3,000 (US$940) atau kedua-duanya sekali. Pihak penguatkuasa agama boleh melakukan serbuan ke atas hotel dan bar untuk menangkap orang Islam yang berpakaian kurang sopan, meminum arak, atau berdua-duaan di antara lelaki dan wanita bukan muhrim dan mendakwa mereka di bawah undang-undang Syariah.Pada bulan Ogos 2008, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan 100 saman kepada pengunjung dan pekerja Islam kerana meminum arak apabila ia menyerbu sebuah pub di sebuah hotel di Selangor. Pesalah diarahkan datang ke pejabat JAIS untuk program kaunseling. Pihak yang terlibat di dalam industri pelancongan mengkritik serbuan ini kerana mendatangkan ketakutan. Sekatan ke atas Kebebasan Beragama Kerajaan menguatkuasakan sekatan perundangan yang ada ke atas kebebasan beragama secara pilih kasih. Kerajaan mengharamkan 56 ajaran yang dianggap sebagai “sesat” di dalam Islam, dengan berpendapat ajaran “sesat” ini membahayakan keselamatan negara dan boleh memecah belahkan masyarakat Islam. Kumpulan yang diharamkan termasuk Ahmadiyyah, Ismailiah, Syiah, dan Baha’i. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membuat garis panduan persekutuan tentang apa yang dikatakan kelakuan atau kepercayaan yang “sesat.” Pihak berkuasa negeri lazimnya menurut garis panduan ini dalam memutuskan hal-hal yang berkaitan dengan perkara tersebut. Dengan kebenaran mahkamah Syariah, Kerajaan boleh menangkap dan menahan anggota kumpulan “sesat” bagi “pemulihan” ke “jalan sebenar Islam.” Pada bulan November 2008, Kerajaan mengumumkan ia mengawasi kumpulan Qadiani, satu cabang gerakan Ahmadiyah yang sudah aktif sejak empat tahun lepas. JAIS mengisytiharkan kumpulan itu sesat kerana mempunyai doktrin Islam yang berbeza dengan tafsiran rasmi. Di antara perbezaannya, Qadiani percaya pengikutnya hendaklah mengerjakan Haji di India. Kerajaan memberi amaran kepada pengikut kumpulan tersebut yang ia akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka; bagaimanapun tiada tindakan diambil sepanjang masa laporan dibuat. Menurut kumpulan agama dan NGO tempatan, proses kebenaran bagi permit membina tempat ibadat kadang-kadang mengambil masa yang lama. Kumpulan agama minoriti juga melaporkan kerajaan negeri kadang-kadang menggunakan sekatan zon dan peraturan pembinaan bagi menghalang pembinaan atau pengubahsuaian tempat ibadat orang bukan Islam.Pihak berkuasa tempatan kadang-kadang merobohkan tempat ibadat bukan Islam, di antaranya ada yang berusia lebih 100 tahun, terletak di tanah kerajaan atau tanah ladang yang ditukar bagi pembangunan. Bagaimanapun, dalam beberapa kes kerajaan negeri memperuntukkan tanah di tempat lain dan menampung kos pembinaan tempat ibadat baru. Sekumpulan tujuh orang asli yang memeluk agama Kristian menyaman kerajaan Kelantan selepas pihak berkuasa negeri merobohkan sebuah gereja yang terletak di tanah yang dihuni oleh orang asli pada bulan Januari 2008. Kes ini masih tertunggak pada akhir laporan ini. Menurut Majlis Perunding bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MPBKHSTM), kerajaan mengehadkan visa bagi ahli agama Islam dan bukan Islam di bawah umur 40 tahun untuk mengelakkan daripada “ahli agama militan” memasuki negara. Walaupun wakil kumpulan bukan Islam tidak duduk di dalam jawatan kuasa imigrasi yang meluluskan permintaan visa, cadangan MPBKHSTM diambil kira dalam kebanyakan kes. Mahkamah Syariah tidak pernah mengiktiraf penukaran agama orang Melayu daripada Islam kepada agama lain. Satu-satunya penukaran yang diiktiraf semasa laporan dibuat adalah bagi wanita yang dulunya memeluk Islam kerana berkahwin tetapi mahu kembali kepada agama asal selepas perkahwinan mereka dibubarkan. Pada 19 Mac 2009, Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang yang membenarkan Tan Ean Huang untuk kembali kepada agama Buddha, walaupun ditentang oleh majlis agama Islam negeri. Tan memohon menukar agama pada tahun 2006 selepas ditinggalkan oleh suami berbangsa Iran yang beragama Islam. Tiada perbincangan tentang melindungi individu yang mahu keluar daripada agama Islam. Anggota keluarga bukan Islam, termasuk pasangan dan kanak-kanak, kehilangan semua hak-hak ke atas pewarisan dalam kes terbabit. Penilaian semula mahkamah berdasarkan kes bagi status agama kanak-kanak di bawah umur di mana salah seorang ibu bapa atau penjaga masuk Islam dan seorang lagi tidak, cenderung memihak kepada penjaga beragama Islam. Kerajaan mengharamkan dan merampas bahan-bahan agama yang didapati menyeleweng atau menghina. Semasa laporan dibuat, Kerajaan telah mengharamkan 57 buah buku bertemakan agama, termasuk Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism (Wanita Islam dan Cabaran Ektremisme Islam), oleh Norani Othman, pengasas bersama Sisters In Islam (SIS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang memperjuangkan hak asasi wanita. Pihak berkuasa kastam merampas enam judul buku kanak-kanak Kristian yang mengandungi perkataan yang dianggap eksklusif untuk agama Islam. Penggunaan perkataan “Allah” (Tuhan), “Baitullah” (Rumah Tuhan), dan “Solat” (sembahyang) dihadkan penggunaannya bagi orang Islam oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mendakwa perkataan-perkataan ini di bawah bidang kuasa masyarakat Islam. Pada bulan November 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan arahan mengharamkan orang Islam daripada mengamalkan Yoga, dengan mendakwa unsur-unsur Hindu dalam Yoga boleh merosakkan minda dan kepercayaan orang Islam. Pada bulan Oktober 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan “tomboi,” atau perempuan yang berlagak dan berpakaian seperti lelaki, kerana melanggar hukum Islam dan menggalakkan homoseksualiti. Di bawah fatwa ini, perempuan tidak boleh berambut pendek atau berpakaian, berjalan, dan berlagak seperti lelaki. Fatwa ini sah di sisi undangundang, walau bagaimanapun penguatkuasaannya bergantung kepada pihak berkuasa Islam di setiap negeri. Walaupun amalannya berbeza di antara negeri ke negeri, kedua-dua pihak Kerajaan dan pembangkang PAS cuba menggunakan masjid di negeri yang mereka perintah untuk menyampaikan mesej berbaur politik. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, beberapa negeri yang dikawal oleh parti Barisan Nasional (BN) mengharamkan imam yang mempunyai pertalian dengan pembangkang daripada bercakap di masjid, dan menguatkuasakan sekatan sedia ada ke atas kandungan khutbah, menggantikan pemimpin dan jawatankuasa pentadbir masjid yang dianggapkan bersimpati kepada pembangkang, dan mengancam untuk merobohkan masjid haram yang mempunyai pertalian dengan pembangkang. Seperti Kerajaan BN, Kerajaan negeri yang dikawal pembangkang di Kelantan juga dilaporkan menyekat imam yang mempunyai pertalian dengan parti BN daripada bercakap di masjid sepanjang tempoh laporan ini. Hanya orang Melayu, yang semuanya dianggap orang Islam oleh undang-undang, dan orang bukan Islam tertentu di Sabah boleh menjadi ahli pertubuhan United Malays National Organization (UMNO) yang menjadi tunggak parti pemerintah. Kerajaan terus memantau kegiatan-kegiatan minoriti kecil golongan Syiah.Kerajaan mengehadkan pengedaran terjemahan Kitab Bible berbahasa Melayu dan bahan bercetak lain di semenanjung Malaysia, serta pita Kristian. Sejak tahun 2005, satu dasar yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri menghendaki Kitab Bible berbahasa Melayu dicetak dengan perkataan “Bukan untuk Orang Islam” di kulit hadapan dan hanya boleh diedarkan di gereja dan kedai buku Kristian. Pengedaran bahan-bahan Kristian berbahasa Melayu tidak menghadapi banyak kesulitan di Malaysia Timur. Pada bulan April 2009, JAIS membuat laporan polis ke atas video Youtube yang didakwa menghina Islam. Kandungan video menunjukkan seorang lelaki sujud menyembah sekeping ayat Quran, dan mempersendakan panggilan azan. Pada bulan Mac 2009, Kerajaan mengeluarkan kembali larangan ke atas penggunaan perkataan “Allah” di dalam Kitab Bible dan penerbitan Kristian yang lain. Sebagai tindak balas kepada pertikaian perundangan di antara Kerajaan dan Gereja Katolik, sepuluh buah negeri mengeluarkan fatwa mengharamkan perkataan “Allah” bagi penggunaan selain untuk agama Islam. Pada bulan Disember 2009, Kementerian Dalam Negeri memperbaharui permit percetakan tahunan bagi Catholic Herald, sebuah akhbar mingguan Gereja Katolik Malaysia, dengan tiga syarat: berhenti menerbitkan bahagian bahasa Melayu (bahasa kebangsaan), mengehadkan jualan di tempat kepunyaan Gereja Katolik, dan mencetak penafian di muka hadapan yang menyatakan akhbar ini dikhususkan untuk orang Kristian. Kerajaan kemudian membatalkan lesen akhbar tersebut berikutan kritikan daripada Majlis Agama Islam negara kerana membenarkan Gereja Katolik terus menggunakan perkataan “Allah.” Herald terus menggunakan perkataan Allah untuk Tuhan, sepertimana yang digunakan oleh Gereja Katolik di negara ini lebih 400 tahun. Gereja Katolik pertama kali memfail saman terhadap Kerajaan pada bulan Februari 2008, selepas Menteri Keselamatan Dalam Negeri cuba melarang Gereja Katolik daripada menggunakan perkataan Allah. Kerajaan mendakwa rujukan kepada Allah oleh orang Kristian dan di dalam penulisan agama Kristian boleh mengelirukan masyarakat Islam dan menarik mereka kepada agama Kristian. Prosiding mahkamah diteruskan pada akhir laporan ini.Penyalahgunaan Kebebasan Beragama Pada bulan Oktober 2008, Kerajaan mengharamkan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (HINDRAF), sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang memayungi pelbagai badan bukan kerajaan bagi kepentingan kaum India. Walaupun bukan organisasi keagamaan, HINDRAF berjuang untuk menangani tanggapan peminggiran kaum India oleh pihak Kerajaan, termasuk perobohan beberapa kuil Hindu. Waytha Moorthy, pengarah HINDRAF, berada di luar negeri kerana takut ditahan apabila dia kembali ke negara. Kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan lima orang pemimpin HINDRAF pada bulan Disember 2007, dengan mendakwa penglibatan mereka dalam menganjurkan bantahan bulan sebelumnya memporak perandakan kesejahteraan di antara kaum dan mengancam keselamatan negara. Kerajaan membebaskan dua orang lelaki pada bulan April 2009 dengan syarat ketat, termasuk tidak mengambil bahagian dalam sidang akhbar, tidak meninggalkan kawasan kediaman mereka tanpa kebenaran polis, dan sentiasa melaporkan diri kepada pihak polis. Tiga lagi banduan HINDRAF yang menolak menerima syarat-syarat ini kekal ditahan di bawah ISA tetapi akhirnya dilepaskan pada bulan Mei 2009. Pada bulan April 2009, Kerajaan mengumumkan rancangan untuk memindahkan 29 kuil Hindu di dalam dan di sekitar Kuala Lumpur ke lokasi pilihan. Kerajaan mengeluarkan notis 30 hari kepada penjaga kuil untuk berpindah ke lokasi baru sebelum kuil sedia ada dirobohkan. Kebanyakan struktur ini sudah dibina di atas ladang persendirian sebelum kemerdekaan. Mahkamah Syariah di peringkat negeri boleh mengarahkan individu yang mahu keluar daripada agama Islam atau mereka yang menganut kepercayaan ajaran “sesat” untuk dimasukkan ke pusat pemulihan agama. Kerajaan menafikan individu kebebasan untuk keluar dari pusat terbabit sehingga mereka menghabiskan program pemulihan. Kerajaan tidak mengeluarkan statistik jumlah mereka yang dimasukkan ke pusat pemulihan agama semasa laporan ini dibuat. Pada akhir laporan dibuat, pihak berkuasa agama terus mencari Ayah Pin dan seorang daripada isterinya, anggota utama Kerajaan Langit, sebuah kumpulan agama bukan keganasan yang diharamkan di Terengganu. Pada bulan Disember 2008, laporan media menyebut Ayah Pin sudah kembali ke Malaysia tetapi Kerajaan tidak bersetuju dan menyatakan dia masih berada di Thailand. Pada bulan Jun 2008, JAIS menahan seorang lelaki yang mendakwa sebagai “utusan dari langit” dan sudah hidup “lebih dari 3,000 tahun.” Lelaki ini menggunakan rumahnya sebagai tempat berhimpun pengikut-pengikutnya.Tiada laporan tentang tahanan atau banduan yang ditahan kerana agama di dalam negara. Penukaran Agama Secara Paksa Terdapat laporan kanak-kanak di bawah umur yang masuk Islam dalam kes di mana salah seorang ibu bapa secara rela masuk agama Islam dan menukar agama anak tanpa kebenaran seorang lagi ibu bapa bukan Islam. Mahkamah Syariah selalunya mengekalkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur walaupun mendapat bantahan salah seorang ibu bapa. Kerajaan selalunya tidak bertindak untuk menghalang penukaran agama tersebut. Pada bulan April 2009, M. Indira Ghandi melaporkan suaminya yang telah berpisah, K. Patmanathan, menukarkan agama tiga anak mereka yang berumur satu hingga 12 tahun secara paksa kepada Islam tanpa pengetahuannya pada bulan Mac dengan membawa surat beranak mereka ke jabatan agama negeri di Ipoh, Perak. Ghandi hanya menyedari penukaran agama itu selepas mahkamah Syariah di Ipoh memberitahunya keputusan mahkamah membenarkan penukaran agama dan memberikan hak penjagaan anak-anak kepada suaminya. Dia merayu keputusan mahkamah di mahkamah sivil. Berikutan bantahan awam, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pada bulan April 2009 bahawa jika seorang pasangan masuk Islam, anak-anak akan mengikut kepercayaan yang kedua-dua ibu bapa telah bersetuju pada masa perkahwinan. Kerajaan juga menyatakan mahkamah sivil adalah tempat yang sepatutnya untuk membubarkan perkahwinan apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Pejabat Peguam Negara diarahkan mengkaji semula dan mencadangkan perubahan kepada undang-undang sedia ada untuk mengelakkan kerumitan masa depan apabila seorang pasangan masuk Islam. Persatuan Peguampeguam Mahkamah Syariah Malaysia dan kumpulan Islam lain mengkritik tindakan Kerajaan, menyifatkannya sebagai “campur tangan dalam bidang perundangan” yang “mengancam kebebasan mahkamah.” Pada bulan Jun 2008, Persidangan Raja-Raja, satu badan perlembagaan kanan, memutuskan untuk mendapatkan pandangan daripada majlis agama negeri sebelum membuat keputusan ke atas cadangan pindaan undang-undang pertukaran agama. Tiada laporan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur warga Amerika secara paksa yang diculik atau diambil secara tidak sah dari Amerika Syarikat, atau keengganan membenarkan warga tersebut kembali ke Amerika Syarikat.Bahagian III. Status Penghormatan Masyarakat kepada Kebebasan Beragama Terdapat sedikit laporan penganiayaan atau diskriminasi masyarakat berdasarkan pertalian, kepercayaan, atau amalan agama. Pemeluk baru agama, terutamanya mereka yang keluar daripada Islam, mungkin menghadapi stigma yang teruk. Dalam banyak kes, pemeluk baru agama menyorokkan kepercayaan dan amalan yang baru dianut daripada penganut agama dahulu mereka, termasuk rakan taulan dan saudara mara. Teks anti-semitik, termasuk buku The Protocol of the Elders Zion (Protokol Pendeta Yahudi), mudah didapati di kedai-kedai jalanan dan kedai buku di seluruh negara. Kerajaan kadang-kadang menyekat perbincangan awam tentang isu agama kontroversi seperti kebebasan beragama, penukaran agama kanak-kanak di bawah umur, dan dialog di antara agama. Bahagian IV. Dasar Kerajaan A.S. Kerajaan A.S. membincangkan kebebasan beragama dengan Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada dasarnya untuk menggalakkan hak asasi manusia menyeluruh. Wakil kedutaan mengekalkan dialog yang aktif dengan para pemimpin dan wakil pelbagai kumpulan agama, termasuk mereka yang tidak secara rasmi diiktiraf oleh Kerajaan. Progam kedutaan termasuk lawatan ke Amerika Syarikat bagi pendidik Islam dan lawatan untuk member syarahan ke Malaysia oleh pemimpin masyarakat Islam Amerika. Kerajaan A.S. juga membiayai geran masyarakat sivil dan geran program pertukaran bagi wakil pertubuhan bukan kerajaan yang berkhidmat untuk menggalakkan tolak ansur agama, menghormati kepelbagaian, hak asasi manusia, dan keterbukaan di dalam negara.

Khamis, 25 Oktober 2012

SOLAT DALAM QUR'AN???

Solat menurut al-Qur’an Solat umat Islam dikatakan telah diajar oleh Rasul. Maka ia adalah Sunnah Rasul. Para ulama tidak pernah mengakui bahawa solat adalah “Sunnah” Allah, iaitu suatu amalan yang diajar Allah melalui Kitab-Nya, al-Qur’an. Sebaliknya mereka selalu berkata "Manakah ada cara bersolat di dalam al-Qur’an!" Kertas ini menjawab soalan tersebut. Di dalam jawapan ini, segala keterangan dirujuk kepada al-Qur’an sahaja, dan keterangan yang akan dikemukakan akan menyinggung perasaan kerana bercanggah dengan amalan solat biasa umat Islam. Segala hujah yang dikemuka bukanlah untuk buktikan umat telah tersilap, tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an mengenai solat, di samping menjawab cabaran ulama tadi. Nama dan Waktu Penjelasan dimulakan dengan memperihalkan nama bagi tiap-tiap solat. Terdapat hanya tiga nama solat di dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini tunjukkan waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi: "Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114) Solat yang pada waktu tepi siang pertama ialah solat fajar, sementara solat wusta, atau solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada awal malam itu ialah solat isyak. Perkataan "wusta" ingin diperjelaskan lagi di sini. Ia bermakna "di tengah", dan menurut pendapat saya, maksudnya adalah waktu yang di tengah di antara siang dan malam, atau cahaya dan gelap. Waktu yang pendek ini dikenali umum sebagai waktu maghrib. Oleh kerana al-Qur’an menjelaskan sendiri, maka waktu solat wusta selanjutnya dijelaskan dengan sebuah ayat berbunyi: "Lakukanlah solat dari terbenam matahari hingga kegelapan malam" (17:78). Lantas, waktu solat wusta adalah dari terbenam matahari hingga kegelapan malam, iaitu di tepi siang yang kedua. Tiada kaitan Walaupun nama-nama lain yang lazim digunakan untuk solat, seperti Zuhur, Asar, Maghrib dan Subuh, tercatat di dalam al-Qur’an, namun mereka tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat. Umpamanya nama "maghrib", ia bukan sahaja bukan nama solat, tetapi juga bukan nama waktu. Ia sebenarnya adalah suatu arah, iaitu barat, seperti yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi "Kepunyaan Allah Timur dan Barat" (2:115) Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya, "Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu miliki, dan mereka di antara kamu yang belum cukup umur, meminta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat fajar, dan apabila kamu menanggalkan pakaian kamu pada waktu zuhur, dan selepas solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58) Sementara "asar" di dalam al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" dan tiada kaitan dengan solat seperti yang terdapat pada ayat yang berbunyi "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2) Bukan sahaja tidak disebut nama solat maghrib, atau solat zuhur, atau solat asar di dalam al-Qur’an, tetapi juga, turut tidak disebut adalah nama "solat subuh". Subuh dan fajar, seperti nama dan sebutan bunyinya yang berlainan, adalah dua masa atau waktu yang berlainan. Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam. Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan didapati tiada kaitan dengan solat langsung. Ditentukan Solat hendaklah dilakukan pada waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi: "Sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103) Tiada terdapat pula satu ayat pun di dalam al-Qur’an yang membolehkan solat itu dilakukan pada waktu yang bukan waktunya, seperti mengqadarkannya atau menjamakkannya. Walau dalam keadaan apapun solat hendaklah dikerjakan. Ayat yang berikut menjelaskannya: "Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah mengajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239) Seperkara lagi, daripada ayat tersebut, umat diingatkan supaya lakukan solat seperti yang diajar oleh Tuhan - segala ajaran Tuhan terkandung di dalam al-Qur’an. Rakaat Cara solat di dalam al-Qur’an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali di dalam al-Qur’an, dan dengan ini ia beri peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam lakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya. Wuduk Mengenai wuduk pula (perkataan "wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini dijelaskan dengan ayat yang berikut: "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka bertayamumlah dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendaki untuk buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6) Ayat ini telah juga disebut oleh Rasul, dan baginda tidak mungkin menambah bahagian-bahagian anggota yang lain dalam wuduk kerana jika baginda buat demikian maka Allah akan membunuhnya. Firman-Nya "Sekiranya dia (Muhammad) ada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46) Kiblat Kiblat menurut al-Qur’an ialah Masjidil Haram, yang di tengahnya terletak Kaaba. Rasul sendiri telah mencari-carinya dahulu lalu Allah tunjukkan kepadanya melalui ayat yang berikut: "Kami lihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka mengerjakan." (2:144) Pakaian Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh ambil perhiasan di setiap masjid, yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya, "Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31). Berkomunikasi Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan bahagian-bahagian anggota badan yang tertentu. Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya: "Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45) Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya di dalam al-Qur’an. Solat bukan sahaja masa untuk memohon pertolongan tetapi juga suatu masa untuk mengingati-Nya. Ini dijelaskan dengan sebuah ayat lain berbunyi "Dan lakukanlah solat untuk mengingati aku." (20:14) Bahasa Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu ucapkan," (4:43) Setelah dilarang mengerjakan solat apabila segala yang diucap tidak difahami dan seseorang itu terus bersolat juga, maka apakah hukumnya? Ingin diingatkan di sini bahawa Iblis telah jadi kafir setelah mengingkari hanya satu (sahaja) perintah Allah! Suara Nada suara dalam solat tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah untuk semua solat. Firman-Nya: "Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110) Seru Solat dimulakan dengan menyeru Nama-Nya, seperti Allah, atau Ar-Rahman (Yang Pemurah) atau mana-mana nama-Nya yang indah yang diajar di dalam al-Qur’an (nama Allahu Akbar tiada di dalamnya). Firman Allah: "Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama yang paling baik.’ Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110) Ayat yang menyusulinya menetapkan apa yang harus diucap selepas seruan itu, iaitu: "Dan katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak ambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.’" (17:111) Bacaan Bacaan di dalam Solat boleh dipetik daripada mana-mana ayat yang sesuai yang berjumlah dengan banyak di dalam al-Qur’an. Pilihan adalah berdasarkan keperluan dan selera sendiri kerana solat adalah suatu alat perhubungan yang amat peribadi antara hamba dan Pemeliharanya. Sebagai contoh, ayat yang lazim diucapkan umat Islam pada permulaan solat mereka berbunyi "Inna solati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillaahi rabbil aalamiin" yang bermakna, "Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, untuk Allah, Pemelihara semesta alam". Ini sebenarnya adalah ayat 6:162 di dalam al-Qur’an. Akan tetapi, di dalam al-Qur’an ayat tersebut bermula dengan kata "qul" atau "katakanlah", iaitu "Qul inna solati wanusuki..." atau "Katakanlah, ‘Sesungguhnya solatku, dan ibadahku ...." tinggalkan kata "qul" atau "katakanlah" pada ayat ini di dalam solat adalah wajar kerana ketika itu umat bercakap dengan-Nya. Mahukah kita menyuruh Dia dengan "Katakanlah ..."? Justeru itu, pada ayat-ayat lain seperti "Qul a’udzu birabbin naas ...." (Surah 114) yang bermaksud "Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Pemelihara manusia ....’", atau "Qul huwal laahu ahad ..." (Surah 112) yang bermakna "Katakanlah, ‘Dialah Allah yang satu ...", haruslah ditinggalkan qulnya juga kerana meninggalkannya adalah amat munasabah. Akulah Allah Sesetengah pihak mendakwa bahawa solat adalah masa untuk membaca al-Qur’an. Ini tidak benar, kerana amalan mengerjakan solat dan membaca al-Qur’an adalah dua perintah Tuhan yang berlainan, seperti yang disebut di dalam ayat 73:20. Seterusnya ada juga orang yang mendakwa bahawa mana-mana ayat al-Qur’an boleh dibaca dalam solat. Ini juga tidak benar. Sebagai contoh, bolehkah dibaca ayat al-Qur’an yang berikut di dalam solat: "Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukanlah solat untuk mengingati aku." (20:14) Mahukah diucap kata-kata tersebut kepada Allah, walaupun ia ayat al-Qur’an? Laku Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud disebut berulang kali di dalam al-Qur’an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. Mungkin boleh dipersoalkan bagaimana orang-orang yang berikut, iaitu orang-orang yang telah dijanjikan Allah dengan janji yang baik, lakukan solat mereka? Firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja kebaikan, maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62) Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun semasa tunduk: “Dan Daud sangka bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia berkesesalan” (38:24). Atau semasa sujud, ambillah pengajaran daripada ayat-ayat di bawah ini: 2:58. Dan apabila Kami berkata, "Masuklah bandaraya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana sahaja kamu kehendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan katakanlah, 'Tidak membebankan'; Kami akan mengampuni kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan menambahkan kepada orang-orang yang buat baik." 7:120-121. Dan ahli-ahli sihir lemparkan diri, bersujud. Mereka berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara semua alam, 17:107-108. Katakanlah, "Percayalah kepadanya, atau tidak percayai; orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan.' 25:64-65. Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri, 32:15. Orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diperingatkan dengannya jatuh bersujud, dan mereka menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, 50:40. Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan pada hujung-hujung sujud. Akhir Seperti mana-mana seruan kepada-Nya, solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi: "Dan akhir seruan mereka, ‘Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10) Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70) Larangan Satu lagi larangan yang ketara dalam solat (selain ucapan yang tidak difahami) yang termaktub di dalam al-Qur’an ialah menyeru, atau menyebut, mana-mana nama yang selain daripada Nama-Nya. Hanya Nama Allah disebut di dalam solat. Ini difahamkan daripada ayat yang berikut berbunyi: "Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18) Penutup Banyak telah diperkatakan mengenai solat menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an di sini. Tentulah ia didapati bertentangan dengan ajaran para ulama yang menyatakan solat mereka datang dari Rasul atau sunnahnya. Walhal, di dalam kelima-lima kitab hadis terbesar di dunia mereka, tidak terdapat keperincian dalam lakukan solat seperti yang diajar kepada umat. Yang terdapat hanyalah beberapa hadis Nabi mengenai solat yang tidak diamalkan oleh mereka yang juga tidak diajar kepada umat Islam yang menuruti mereka dengan taat.

Ahad, 21 Oktober 2012

AL-INSYIRAH 1-8 ???

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama) mu. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Rabbmulah hendaknya kamu berharap". (Al-Insyirah-As-Syarh 94 : 1-8) “Have We not expanded thee thy breast?. And removed from thee thy burden. The which did gall thy back? And raised high the esteem (in which) thou (art held)? So, verily, with every difficulty, there is relief. Verily, with every difficulty there is relief. Therefore, when thou art free (from thine immediate task), still labour hard, And to thy Lord turn (all) thy attention.” (Al-Insyirah-As-Syarh.)

Selasa, 16 Oktober 2012

HARI KEPUTERAAN KU???

SEMAKIN TUA DAN LUBANG KUBUR MELAMBAI-LAMBAI... ALHAMDULILLAH...

Rabu, 10 Oktober 2012

ZIKRULLAH???

Sudah terlalu lama agaknya aku tidak mengirim apa-apa artikel buat anda semua. Sejak ada FACEBOOK ni, aku rasa semakin sibuk berchatting dengan keluarga FB. Macam-macam tajuk dan polemik yang aku cuba sampai kepada semua. Ada yang beri respon positif dan ada yang negatif tak kurang juga yang hanya berdiri atas pagar. NAMUN demikian, aku tetap tidak akan berputus asa walaupun ada yang faham atau pun tidak apa yang aku cuba sampaikan... kerja pun sedikit terbengkalai. Tetapi bukanlah alasan untuk meninggalkan terus kerja hakiki. Aku tetap melakukannya sepertimana yang telah ditakdirkan ALLAH untuk ku... Ahamdulillah. Kali ini tiba-tiba pula aku terasa bersemangat pula setelah tinggalkan dunia BLOG buat sementara untuk meneruskan dakwah yang tertunggak selama ini. Tawajju’ pun aku dah lama tidak hadir begitu juga ziarah dan sebagainya, sejak beranak pinak ni, aku rasa masa amat mencemburui aku. Sehinggalah aku mendengar khabar bahawa BAPANDA MOGA BARITA RAJA MUHAMMAD SHUKUR Q.S. WALIQUTUB MUJADDID, telah kembali kepada Kekasihnya... ALLAH S.W.T. dan kini digantikan oleh anakandanya... AYAHANDA ALIF ABDUL MUTHALIB ARIFBILLAH Q.S. sebagai penerus Tareqah Naqsyabandiah al-Khalidiyah. Tetapi Alhamdulillah.... semuanya atas kehendak-Nya juga. Anda tentu tahu ZIKIR itu apa. Dari segi pemahaman ringkas kita berdua tahu, ia bermaksud... ‘INGAT’. Kalau digabungkan dengan ALLAH.. maka jadilah ia ZIKRULLAH. Perkataan ini selalu kita dengar dari mulut ustaz-ustazah dan juga orang-orang yang pasti mahir tentang agama. Malah ALLAH sendiri merupakan pihak pertama yang mengatakan dalam firman-Nya... "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42) "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28) NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA; "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?" Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami." Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah". (HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah). NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA; “Seafdal-afdal zikir ialah LAA ILAAHA ILLALLAH” “... sebaik-baik zikir ialah zikir dalam hati.” Oleh itu, banyak amalan Rasulullah SAW diturnkan kepada para sahabat dan seterusnya kepada kita umatnya di akhir zaman. Antaranya, SUBHANALLAH 33 KALI, ALHAMDULILLAH 33 KALI DAN ALLAHUAKBAR 33 KALI.... dan, banyak lagi zikir seperti Asmaul-Husna yang boleh diamalkan... Ketika Bapanda masih ada. Dia selalu mengamalkan zikir seperti kunyah nasi lama-lama baru dapat manisnya atau gulanya. Itulah amalan utama Bapanda ketika memimpin tareqah. Asasnya 5000 kali sehari wajib diamalkan tanpa tertinggal untuk mendapat manfaat yang hebat untuk pengamalnya. Begitu juga bila aku menyertai Tabligh dulu, ada zikir2 tertentu yang diamalkan. Namun, setelah aku mengetahui yang Tabligh itu hanyalah sekadar SYARIAT, dan Aliran Naqsyabandiah merupakann TAREQAH... maka aku tidak boleh tinggalkan salah satu darinya... aku ambil kedua-duanya.. sebab ISLAM itu terdiri dari 4 lapisan... SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT dan MAKRIFAT... BEGITULAH HAKIKATNYA ISLAM ITU... tinggal salah satu dari lapisan itu samalah seperti seperti buah yang memiliki lapisan-lapisan seperti Kulit (Syariat), Isi luar (Tareqat), Isi Dalam (Hakikat) dan Biji Benih (Makrifat)... tinggal salah satunya maka, tak sempurnalah Islam itu... bayangkan kalau buah tanpa ISI atau buah tanpa Kulit... siapa yangkan mahu makan buah tersebut??? Oleh itu, marilah sama-sama, amalkan zikir dan berguru dibawah bimbingan GURU MURSYID yang ditauliahkan oleh Allah SWT sendiri...