The Alien - Link Select

Ahad, 7 Jun 2009

RASHID MAIDIN DAN RUNDINGAN BALING

Rashid Maidin atau Rashid Mydin (10 Oktober 1917 - 1 September 2006) ialah pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya.
Rashid dilahirkan di
Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Gunung Mesah terletak di tepi jalan utama antara Gopeng dengan Ipoh. Di sini ada perkampungan Melayu yang dipenuhi rumah-rumah papan dan sekarang bertukar kepada rumah batu separuh.
Isteri pertamanya, Hamidah binti Abdul Rashid, kini menetap di
Gopeng.
Rashid dilahir dalam sebuah keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah,
Gopeng, Perak pada bulan November, 1917 – tahun berlakunya Revolusi Bolshevik di Russia. Beliau adalah anak sulung daripada lapan adik-beradik. Beliau tamat pendidikan sekolah rendah sehingga darjah lima di sekolah Melayu tetapi kemudiannya mengikuti kursus bahasa Inggeris di sekolah malam dan juga belajar melalui pos.
Akhirnya, dia memiliki kemahiran yang mencukupi serta penguasaan bahasa yang baik untuk bekerja sebagai seorang juruteknik di lombong bijih timah British di kawasan
Batu Gajah dan Tanjung Tualang di Perak.
Menurutnya, sejak kecil lagi, dia tertarik dengan cerita mengenai legenda panglima Melayu seperti Datuk Maharajalela berjuang menentang penjajahan British di Perak tetapi apabila dia mula bekerja, tumpuannya hanya untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung keluarganya di
Gopeng.
Pada tahun 1939, ketika berusia 22 tahun, Rashid bertemu dengan Tu Lung Shan yang ditugaskan mencari ahli baru PKM di
Tanjung Tualang. Kumpulan pimpinan Tu ditugaskan oleh pihak parti untuk menganjurkan aktiviti di kawasan sekitar Tanjung Tualang. Pada masa itu, Tu Lung Shan baru berusia 17 tahun dan Perang Dunia Kedua sudahpun bermula di Eropah yang menyaksikan tentera Jerman menyerang Poland.
Pada mulanya, Rashid menyertai
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian diharamkan oleh kerajaan British kerana dituduh berhaluan kiri dan menentang British secara menyeluruh. Ketika berjuang dalam PKMM, Rashid pernah ditahan beberapa kali oleh kerajaan British di pusat tahanan Tanjung Beruas, Melaka serta di Larkin, Taiping, Morib dan Tanjung Beruas. Dia pernah mengetuai mogok lapar dalam pusat tahanan tersebut bersama Pak Sako. Sebagai orang tahanan, mereka dibenarkan bekerja di luar pusat tahanan. Upah yang diberi ialah 75 sen sehari.
Rashid menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun
1941 sejurus sebelum pendudukan Jepun dan menjadi ahli jawatankuasa pusat PKM bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak. Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada 30 April 1930.
Pada 18 Disember 1941, PKM telah memeterai persefahaman dengan pihak
British di Singapura untuk menubuhkan barisan bersatu untuk menghalang pergerakan Jepun ke selatan Semenanjung dan untuk melatih pemimpin PKM dan anggotanya dalam operasi khas menentang musuh.
Mengikut catatan sejarah di pihak British dan PKM, 165 anggota komunis, termasuk Tu Lung Shan dilihat menjalani latihan di Sekolah Latihan Khas 101 (STS101) di Singapura sebaik sahaja perjanjian itu dicapai sehinggalah kejatuhan pulau itu pada 15 Februari 1942.
Menurut Rashid, dia tidak menyertai
MPAJA sewaktu pendudukan Jepun kerana dia ditugaskan oleh pihak parti untuk menjalankan tugas-tugas politik, organisasi dan publisiti di sekitar Gopeng, Tanjung Tualang, Malim Nawar dan kawasan lombong di Tronoh, Seputeh serta Nalla
Rashid memilih PKM sebagai wadah perjuangan yang baru. Selepas diburu oleh pihak berkuasa Malaysia, Rashid dan gerombolannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia dengan Thailand. Di sana, Rashid berkahwin dengan seorang gadis Cina yang juga merupakan ahli PKM. Isteri Cina ini kini bernama Latifah. Chin Peng memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin Regimen ke-10 PKM di Bentong, Pahang
Rashid Maidin menetap di perkampungan yang dinamakan "Perkampungan Malaysia" di sempadan selatan Thailand. Jumlah rumah adalah sebanyak 62 buah dan penduduk di situ lebih kurang 200 orang. Orang Melayu Malaysia ada tiga kelamin manakala yang lain semuanya adalah warga Thailand.
Rumahnya dua tingkat yang diubahsuai daripada rumah asal yang hanya mempunyai satu bilik. Kiri kanan dipenuhi pokok
dokong, rambutan dan buah-buahan tempatan iaitu pemandangan yang biasa dilihat di kampung-kampung di Malaysia. Di kampung itu, beliau mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran. Pak Sako berkata Rashid Maidin kuat dan mantap pegangan agamanya.
Di bawah urusan kerajaan Malaysia, Rashid Maidin pergi ke
Mekah untuk mengerjakan fardhu haji pada tahun 1999. Sahabatnya seperjuangannya, Tuan Haji Ahmad Boestaman dan Tuan Haji Ishak Haji Mohamad telah lama meninggal dunia.
Tubuh Rashid Maidin masih tegap dan selalu berpakaian serba putih lengkap berketayap. Wajahnya awet muda dan kelihatan seperti berusia awal 50-an.
Pada
1 September 2006, pukul 9 pagi Tuan Haji Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, selatan Thailand (dirumah anak perempuannya).
Tuan Haji Rashid Maidin meninggal dunia kerana sakit tua pada umur 89 tahun. Solat jenazah dan pengkebumian telah dilakukan selepas solat Jumaat.
Rashid dikatakan mempunyai keistimewaan boleh menghilangkan diri jika diburu oleh pasukan keselamatan. Beliau juga dikatakan selalu mengunjungi adiknya di
Kampung Sungai Itik, Simpang Pulai, Perak. Rumah itu daripada papan dan bertiang tinggi. Pasukan tentera mengepung rumah itu tetapi tidak dapat menemui Rashid yang dikatakan berada di situ.

Rundingan Damai Baling merupakan perundingan di antara
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955.
Rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada
Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat sementara rombongan PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin
Pada bulan Jun 1955, sepucuk surat dihantar oleh Parti Komunis Malaya dan ditandatangani oleh Ng Heng. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Ng Heng sebenarnya ialah nama samaran Chin Peng.
Tawaran Chin Peng tidak dihiraukan oleh Kerajaan kerana
PKM sudah lemah. Lagipun kerajaan dengan bantuan tentera negara-negara Komanwel hampir melumpuhkan pemberontakan bersenjata komunis di dalam hutan. Rundingan dengan komunis yang mahu PKM diiktiraf sebagai sebuah parti bebas tentulah tidak wajar.
Kerajaan Perikatan berjaya dalam pilihan raya di Tanah Melayu pada bulan Julai 1955. Pada bulan September 1955, kerajaan menabur 40 juta surat tawaran pengampunan beramai-ramai ke dalam hutan melalui kapal terbang. Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada bulan Februari 1956.
Setiausaha Antarabangsa
DAP dan Ketua Bureau NGO, Ronnie Liu Tian Khiew dalam laman web DAP pada 5 Ogos 2005, mendakwa bahawa Chin Peng adalah salah satu faktor memaksa pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Tetapi ada pihak yang berpendapat bahawa cadangan Liu itu adalah kurang tepat kerana Parti Komunis Malaya sudahpun lemah dan terpaksa memohon perundingan dilakukan pada 1955. Malah, pihak kerajaan yang mengetahui kelemahan Parti Komunis Malaya menolak permintaan langsung Parti Komunis Malaya agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik.
Selain itu, sekiranya Parti Komunis Malaya memberi tekanan kepada pihak British, sudah pasti pihak British tidak akan melepaskan
Tanah Melayu untuk merdeka kerana sekiranya Tanah Melayu jatuh ketangan komunis, ini akan menjejaskan bekalan bahan mentah yang amat diperlukan British bagi membangunkan semula industri mereka selepas Perang Dunia II.

Tiada ulasan: