The Alien - Link Select

Rabu, 30 Disember 2015

HAJI MENURUT QUR'AN ???


Adakah al-Qur'an menunjukkan cara ibadah Haji? Itu soalan yang selalu ditanya oleh sesetengah pihak. Lantaran, soalan tersebut cuba dijawab di kertas ini.

Usaha mencari jawapannya bermula dengan meneliti ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan "Haji", dan kemudian kepada ayat-ayat lain di mana perkara-perkara yang berkaitan dengan Haji disentuh. Ayat-ayat itu banyak.


Wajib

Daripada al-Qur'an, didapati bahawa amalan Haji dan penyempurnaannya adalah perintah Tuhan. Terdapat tiga ayat yang membawa perintah itu, dan mereka adalah:

“Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah” (2:196).

"Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh buat jalannya ke sana” (3:97).

“Dan serulah manusia kepada haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam" (22:27).

Maka, dengan itu, Haji adalah wajib untuk disempurnakan oleh hamba-hamba-Nya yang mampu buat perjalanan ke Rumah dan lakukan beberapa suruhan-Nya di sana.


Bila

Haji bermula pada 1 hari bulan atau awal bulan. Bulan-bulan haji pula adalah diketahui, kata-Nya, iaitu pada bulan-bulan haram yang empat. Ayat-ayat Allah yang berikut jelaskannya:

“Mereka tanya kamu mengenai bulan-bulan baru. Katakanlah, ‘Mereka adalah waktu-waktu yang ditetapkan bagi manusia, dan Haji’” (2:189).

“Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui” (2:197).

“Bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah pada hari Dia cipta langit dan bumi. Empat daripadanya HARAM (hurum). Itu agama yang betul” (9:36).

Kaitan antara bulan-bulan Haji dengan bulan-bulan haram dapat dibuktikan dengan mengumpul beberapa ayat yang bersangkutan dengan mereka. Sila click di sini untuk melihatnya.

Bulan-bulan Haji, atau bulan-bulan haram, adalah dari bulan Haji dan berterusan selama empat bulan selanjutnya (9:2).

(Untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang catatan sejarah mengenai kalendar Islam dan kalendar yang dipakai oleh orang-orang Jahiliah yang mengandungi 13 bulan setahun, sila click di sini. Mungkin kerana itulah Tuhan menegaskan bahawa bilangan bulan dalam setahun adalah dua belas. Terima kasih kepada seorang sahabat yang mengirimnya beberapa tahun lalu.)


Hurum

Perkataan hurum yang telah disebut adalah apa yang difahamkan umum sebagai ihram. Kalimat tersebut sebenarnya adalah kata jamak bagi haram. Ayat-ayat yang mengandunginya ada lima, dan mereka adalah seperti di bawah:

"... supaya kamu tidak anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam hurum (haram / ihram)." (5:1)

"jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam hurum (haram / ihram); sesiapa antara kamu yang bunuh dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia rasai keburukan daripada pekerjaannya." (5:95)

"Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam hurum ( haram / ihram);" (5:96)

"Kemudian, apabila bulan-bulan hurum ( haram) telah pergi, bunuhlah orang-orang yang sekutukan di mana sahaja kamu dapati mereka ....." (9:5),

dan kelima, ayat 9:36, yang telah dipetik tadi.

Maka frasa "dalam hurum" bermaksud "dalam haram" kerana kerjakan Haji.


Ihram

Oleh kerana hurum didapati berkaitan dengan Kaabah (5:95 tadi), dan Kaabah di situ berkaitan pula dengan Haji, maka "dalam hurum" disimpulkan kepada "dalam keadaan kerjakan Haji" atau dengan ringkasnya disebut di sini sebagai "ihram", seperti yang diketahui umum.

Seseorang berada dalam keadaan itu setelah dia tetapkan dirinya untuk kerjakan ibadah Haji. Terdapat pula beberapa larangan sesudah menetapkan diri untuk haji, dan semasa hurum (ihram). Larangannya adalah bercampur dengan isteri, buat fasiq, berbantahan, dan juga, membunuh binatang buruan. Firman-Nya,

"Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang tetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh buat fasiq, dan tidak boleh berbantahan semasa dalam Haji" (2:197).

“Jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam hurum/haram (ihram);” (5:95).

Maka ihram bukanlah sejenis pakaian yang dipakai semasa Haji, seperti yang dimaklumkan oleh sesetengah pihak. Ia adalah keadaan seseorang ketika berada dalam larangan dan kesucian Haji.


Peribadatan

Ibadah Haji disempurnakan di Mekah. Bukti bagi kenyataan tersebut, yang dipetik daripada al-Qur'an, boleh didapati di sini.

Haji bermula dengan suatu ketetapan yang dibuat. Menurut pendapat penulis masa yang paling baik untuk buat ketetapan itu adalah ketika memulakan perjalanan dari tempat kediaman menuju ke Rumah yang berada di Mekah.

Upacara Haji bermula dengan berkumpul di Arafah, dan kemudian, bergerak menuju ke Rumah, melalui Masy'aril Haram, Safa dan Marwa, dan Masjidil Haram. Mengingati Allah dengan banyak, memohon ampun kepada-Nya, memenuhi nazar yang telah dibuat, lakukan iktikaf, solat, tawaf, korban, dan akhirnya mencukur kepala adalah amalan-amalan yang disebut untuk Haji.

Untuk penjelasan selanjutnya, tetapi dengan ringkas sahaja, diturunkan ayat-ayat al-Qur’an menurut urutan peribadatan dalam Haji dari awal hingga ke akhir:

1.  Bertolak dari Arafah

Berkumpul dan bertolak dari Arafah. Firman-Nya,

“Apabila kamu bertolak dari Arafah ..... Kemudian bertolaklah dari mana manusia bertolak, dan mintalah ampun kepada Allah” (2:198-199).

2.  Ingat (kepada Tuhan)

“Apabila kamu bertolak dari Arafah, ingatlah Allah di sisi Monumen Suci (Masy'aril Haram), dan ingatlah pada-Nya oleh kerana Dia beri petunjuk kepada kamu, sedang sebelum itu kamu adalah orang-orang yang sesat” (2:198).
(Menurut pendapat setengah pihak, Masy'aril Haram ialah Mudzallifah.)

Ingat kepada Tuhan juga disuruh apabila lakukan "korban" kemudian. Firman-Nya,

“Dan binatang-binatang korban .... Maka ingatlah (sebutlah) nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah .....” (22:36).

3.  Safa dan Marwa

Setelah sampai di Safa dan Marwa, orang-orang yang melakukan Haji akan bertawaf antara keduanya. Namun, ia bukanlah wajib. Firman-Nya,

“Safa dan Marwa adalah di antara tanda-tanda Allah, maka sesiapa lakukan Haji di Rumah, atau berkunjung (umrah), tidak salah ke atasnya untuk bertawaf antara keduanya” (2:158).

4.  Masuk Masjidil Haram

Kemudian, mereka masuk ke Masjidil Haram. Firman-Nya,

“Sesungguhnya Allah jadikan benar visi Rasul-Nya, dengan benar: ‘Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa rasa takut’" (48:27).

“Mereka adalah orang-orang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).

Apabila dihalang, maka hendaklah adakan pemberian. Firman-Nya,

“Sempurnakanlah Haji dan umrah kerana Allah; tetapi jika kamu dihalang, maka pemberian yang mudah didapati, dan jangan cukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban” (2:196).

5.  Solat

Solat dilakukan di medan (makam) Ibrahim. Firman-Nya,

“Dan apabila kami buatkan Rumah untuk jadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, ‘Ambillah bagi kamu medan Ibrahim untuk tempat solat’" (2:125).

6.  Tawaf (tatawafa)

Selain di Safa dan Marwa, tawaf disempurnakan di Rumah Tua. Tidak pula disebut berapa kali, maka terpulanglah mengikut keikhlasan dan kemampuan masing-masing. Firman-Nya,

“dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).

7.  Mengelilingi (taif)

Taif dilakukan di Rumah. Di situ juga dilakukan amalan bertekun (iktikaf), dan amalan berdiri, tunduk, serta sujud (seperti dalam solat). Firman-Nya,

"Bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud" (2:125).

“Dan kamu bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud” (22:26).

8.  Peribadatan

Korban (haiwan ternakan - 22:34) adalah satu peribadatan dalam Haji. Firman-Nya,

“Kami tentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan yang mereka korbankan. Jangan mereka bertengkar dengan kamu dalam urusan” (22:67).

9.  Pemberian

Korban itu juga adalah apa yang dikatakan "pemberian". Firman-Nya,

“Apabila kamu rasa aman, sesiapa yang nikmati umrah sehingga haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati, atau jika dia tidak dapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itu sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram.” (2:196).

“Mereka adalah orang-orang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).

Pemberian dibawa ke Kaabah (5:95).

10.  Korban

Yang dikorbankan adalah haiwan ternakan, yang dimakan dan diberi kepada orang-orang fakir. Tempat korbannya adalah di sekitar Rumah Tua. Firman-Nya,

“Supaya mereka saksikan pelbagai manfaat kepada manusia, dan mengingati (menyebut) nama Allah pada hari-hari yang diketahui pada haiwan ternakan yang Dia rezekikan mereka, ‘Maka makanlah daripadanya, dan berilah makan orang-orang fakir yang sengsara’" (22:28).

“Padanya beberapa manfaat kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan; kemudian tempat korban adalah di sekitar Rumah Tua” (22:33).

Ia juga diberi kepada pengemis (22:36).

11.  Mencukur Kepala

Kepala dicukur, rambut dipotong pendek, sejurus sebelum masukMasjidil Haram. Firman-Nya,

"Sesungguhnya Allah jadikan benar visi Rasul-Nya, dengan benar: 'Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa rasa takut.'" (48:27)

Amalan tersebut dilakukan juga apabila dihalang daripada masukMasjidil Haram:

"dan jangan cukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban" (2:196)

12.  Rantai Leher

Firman-Nya,

“Allah buatkan Kaabah, Rumah Suci, sebagai satu penetapan bagi manusia, dan bulan haram, dan pemberian, dan rantai-rantai leher; itu, supaya kamu tahu bahawa Allah tahu semua yang di dalam langit, dan semua yang di dalam bumi, dan bahawa Allah tahu segala sesuatu” (5:97).

Menurut sesetengah pendapat, rantai tersebut dipakai pada haiwan yang dikorbankan, untuk bezakannya dengan haiwan lain yang bukan untuk amalan korban. Mungkin juga bermaksud rantai nama yang dipakai manusia semasa kerjakan Haji.

13.  Nazar

Firman-Nya,

“Kemudian hendaklah mereka hilangkan kecuaian mereka dan hendaklah mereka tepati nazar mereka, dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).

14.  Denda kerana Memburu

Firman-Nya,

“Wahai orang-orang yang percaya, jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram); sesiapa antara kamu yang bunuh dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil di antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia rasai keburukan daripada pekerjaannya” (5:95).

15.  Setelah melaksanakan

Setelah melaksanankan peribadatan, ingatlah Allah dengan banyak dan berdoa seperti yang ditunjukkan di dalam ayat berikut:

“Apabila kamu sudah laksanakan peribadatan kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu ingati bapa-bapa kamu, atau lebih ingat. Antara manusia ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan kami di dunia’, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan di antara manusia ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan kami di dunia, yang baik, dan di akhirat yang baik, dan lindungilah kami daripada azab Api’" (2:200-201).


Demikianlah mengenai Haji di dalam al-Qur'an. Namun begitu, ia adalah hanya pendapat penulis yang tidak terlepas daripada sebarang kebengkokan.

Walau apapun, perbezaan antara amalan Haji di dalam al-Qur’an dengan yang lazim dilakukan oleh umat pada hari ini, atas nama Nabi atau Rasul, adalah jelas kelihatan. Misalannya, musim Haji, amalan melontar batu di Mina (yang sejak kebelakangan ini telah mengorbankan banyak nyawa), tempat korban, sa'i di Safa dan Marwa, kunjungan ke Madinah, pakaian ihram, mencium batu hitam, dan melambai Kaabah. Perkara-perkara yang diada-adakan itu tidak disebut Allah di dalam Kitab ajaran-Nya. Mungkinkah Dia telah terlupa? Firman-Nya:
"Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38).


Penulis Bacaan, 1999

(dikemaskini Disember 2002)

SURAH GURUH ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

13:1. Alif Lam Mim Ra. Inilah ayat-ayat Kitab; dan apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu adalah yang benar, tetapi kebanyakan manusia tidak percayai.

13:2. Allah ialah Dia yang naikkan langit tanpa tiang yang kamu dapat lihat, kemudian Dia duduk di atas Arasy. Dia tundukkan matahari dan bulan, masing-masing berlayar hingga satu tempoh yang dinyatakan. Dia mengarah urusan; Dia jelaskan ayat-ayat supaya kamu yakin akan pertemuan dengan Pemelihara kamu.

13:3. Dia yang bentangkan bumi dan letak di dalamnya gunung-gunung dan sungai-sungai, dan daripada tiap-tiap buah-buahan, Dia membuatnya dua jenis; menutupi siang dengan malam. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan.

13:4. Dan di bumi, terdapat kawasan-kawasan yang berjiran, dan kebun-kebun (jannah) anggur, dan ladang-ladang yang sudah disemai, dan palma-palma yang berpasang, dan palma-palma yang tunggal, diairi air yang satu; dan Kami lebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain dalam hasilnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang faham.

13:5. Jika kamu terhairan-hairan, sungguh yang menghairankan ialah ucapan mereka, "Apabila kami jadi tanah, adakah kami akan dibangkitkan lagi dalam ciptaan yang baru?" Mereka itulah orang-orang tidak percaya kepada Pemelihara mereka; mereka itu, pada leher mereka ada belenggu; mereka itu jadi penghuni-penghuni Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya.

13:6. Mereka minta kepada kamu supaya disegerakan keburukan sebelum yang baik, walaupun telah berlalu sebelum mereka contoh-contoh. Pemelihara kamu adalah Pengampun kepada manusia atas kezaliman mereka, dan Pemelihara kamu keras dalam balasan-Nya.

13:7. Orang-orang tidak percaya berkata, "Mengapa satu ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?" Kamu hanyalah seorang pemberi amaran, dan seorang pemberi petunjuk bagi tiap-tiap kaum.

13:8. Allah tahu apa yang tiap-tiap perempuan bawa, dan kekecutan dan pengembangan rahim-rahim; segala sesuatu di sisi-Nya ada ukurannya.

13:9. Yang Tahu yang ghaib dan yang nyata, Yang Besar, Yang Tinggi.

13:10. Sama sahaja antara kamu - dia yang rahsiakan ucapannya, dan dia yang umumkannya, dan dia yang sembunyikan diri pada malam hari, dan dia yang berjalan-jalan siang hari.

13:11. Baginya pengiring, di depannya dan di belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Allah tidak ubah apa yang di dalam satu kaum sehingga mereka ubah apa yang di dalam diri-diri mereka sendiri. Dan jika Allah hendakkan keburukan bagi satu kaum, tidaklah ada pengembaliannya; selain daripada-Nya, mereka tidak ada pelindung.

13:12. Dia yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan menumbuhkan awan yang berat.

13:13. Guruh menyanjung dengan memuji-Nya, dan para malaikat, dalam ketakutan kepada-Nya. Dia utuskan halilintar, dan menimpa dengannya sesiapa Dia hendaki; namun begitu, mereka berbantah-bantah mengenai Allah; Dia yang kuat dalam kuasa.

13:14. Bagi Dia seruan yang benar; dan orang-orang yang mereka seru, selain daripada Dia, tidak sahut mereka sedikit pun, tetapi ia seperti orang yang menjulurkan tangan-tangannya ke air supaya sampai ke mulutnya, dan tidaklah ia sampai kepadanya. Seruan (doa) orang-orang tidak percaya hanyalah dalam kesesatan.

13:15. Kepada Allah sujud segala di langit dan bumi, dengan rela atau benci, seperti juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.

13:16. Katakanlah, "Siapakah Pemelihara langit dan bumi?" Katakanlah, "Allah." Katakanlah, "Adakah kamu ambil untuk kamu yang lain selain daripada Dia sebagai wali (pelindung) kamu yang tidak berkuasa untuk manfaatkan atau mudaratkan diri-diri mereka sendiri?" Katakanlah, "Adakah orang yang buta dengan orang yang boleh lihat sama, atau adakah gelap dengan cahaya sama?" Atau, adakah mereka adakan bagi Allah sekutu-sekutu yang cipta seperti ciptaan-Nya supaya ciptaan itu serupa kepada mereka?" Katakanlah, "Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia Yang Satu, Yang Menakluki."

13:17. Dia turunkan dari langit air, dan wadi-wadi mengalir dengan masing-masing menurut ukurannya, dan arus membawa buih yang gelembung; dan daripada apa yang padanya mereka nyalakan api, demi inginkan perhiasan atau kesenangan, keluar dari itu buih yang serupa dengan itu. Demikianlah Allah buat yang benar dan yang palsu. Maka buihnya hilang seperti barang buangan, dan apa yang bermanfaat kepada manusia menetap di bumi. Begitulah Allah buat persamaan-persamaan-Nya.

13:18. Bagi orang-orang yang sahut Pemelihara mereka adalah yang paling baik; dan orang-orang yang tidak menyahut-Nya - sekiranya bagi mereka kesemua yang di dalam bumi, dan yang serupa dengan itu bersama itu, tentu mereka akan tebus diri mereka dengannya. Mereka itu, bagi mereka hitungan yang jahat, dan tempat menginap mereka ialah Jahanam - sebuah buaian yang buruk!

13:19. Apa, adakah orang yang tahu bahawa apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu itulah yang benar seperti orang yang buta? Hanya orang-orang empunya minda mengingati,

13:20. Yang tepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian,

13:21. Yang menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan takut kepada Pemelihara mereka, dan mereka takut akan hitungan yang jahat.

13:22. Orang-orang yang sabar, dengan inginkan Wajah Pemelihara mereka, lakukan solat, dan nafkahkan daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang tolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad,

13:23. Taman-Taman Adn yang mereka masuk, dan orang-orang yang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka, dan para malaikat masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu,

13:24. "Salamun alaikum, kerana kamu telah sabar." Sangat baiknya tempat kediaman muktamad.

13:25. Dan orang-orang yang pecahkan perjanjian setelah diikat dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan yang buat kerosakan di bumi - bagi mereka adalah laknat, dan bagi mereka, tempat kediaman yang buruk.

13:26. Allah menjulur dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa Dia hendaki. Mereka gembira dengan kehidupan dunia ini; dan kehidupan dunia ini, di samping akhirat, hanyalah kesenangan sementara.

13:27. Orang-orang tidak percaya berkata, "Mengapa satu ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?" Katakanlah, "Allah sesatkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepada-Nya semua yang berkesesalan."

13:28. Orang-orang yang percaya, hati mereka tenteram dengan Peringatan Allah - dengan Peringatan Allah, hati jadi tenteram.

13:29. Orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik ; bagi mereka kebahagiaan, dan tempat kembali yang baik.

13:30. Demikianlah Kami utus kamu kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk bacakan mereka apa yang Kami wahyukan kamu; namun begitu, mereka tidak percaya kepada Yang Pemurah. Katakanlah, "Dia Pemelihara aku; tidak ada tuhan melainkan Dia. Kepada-Nya aku tawakal, dan kepada-Nya aku bertaubat."

13:31. Sekiranya sebuah Qur'an di mana gunung-gunung diperjalankan, atau bumi dibelah dengannya, atau orang-orang yang mati yang kepada mereka dapat berkata-kata - tidak, tetapi kepunyaan Allah urusan kesemuanya. Tidakkah orang-orang yang percaya tahu bahawa, jika Allah hendak, tentu Dia beri petunjuk kepada manusia kesemuanya? Dan orang-orang tidak percaya tidak berhenti-henti ditimpa dengan suatu yang mengetukkan kerana apa yang mereka kerjakan, atau ia turun dekat dengan tempat tinggal mereka, sehingga janji Allah datang; sesungguhnya Allah tidak mungkiri janji temu.

13:32. Sesungguhnya Rasul-Rasul telah diperolok-olokkan sebelum kamu, dan Aku tangguhkan orang-orang tidak percaya; kemudian Aku ambil mereka - dan bagaimanakah dengan balasan-Ku?

13:33. Apa, Dia yang berdiri atas setiap jiwa dengan apa yang ia usahakan? Namun begitu, mereka adakan bagi Allah sekutu-sekutu. Katakanlah, "Namakan mereka! Atau, adakah kamu akan beritahu-Nya apa yang Dia tidak tahu di bumi; atau dengan ucapan yang nyata?" Tidak, tetapi dinampakkan indah bagi orang-orang tidak percaya, tipu daya mereka; dan mereka halang jalan Allah; dan sesiapa Allah sesatkan, tiadalah yang beri petunjuk kepadanya.

13:34. Bagi mereka, azab dalam kehidupan dunia; dan azab akhirat adalah lebih berat; mereka tidak ada sesiapa untuk pertahankan mereka daripada Allah.

13:35. Persamaan Taman yang dijanjikan kepada orang-orang bertakwa - di bawahnya mengalir sungai-sungai, hasilnya kekal, dan lindungannya. Itu kesudahan orang-orang bertakwa; dan kesudahan orang-orang tidak percaya, Api!

13:36. Dan orang-orang yang kepada mereka kami beri Kitab gembira dengan apa diturunkan kepada kamu; dan daripada golongan-golongan, ada yang nafi sebahagiannya. Katakanlah, "Aku hanya diperintah untuk sembah Allah, dan tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku seru, dan kepada-Nya tempat kembali."

13:37. Begitulah Kami turunkan sebagai satu kehukuman dalam bahasa Arab. Dan jika kamu ikut keinginan mereka, setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak ada wali (pelindung) terhadap Allah, dan tidak ada yang mempertahankan.

13:38. Dan Kami telah utus Rasul-Rasul sebelum kamu, dan Kami beri mereka isteri-isteri, dan keturunan; dan tiadalah bagi seseorang Rasul untuk datangkan satu ayat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap tempoh ada Kitab.

13:39. Allah hapuskan, dan Dia tetapkan apa sahaja Dia hendaki; dan di sisi-Nya ialah Ibu Kitab.

13:40. Sama ada Kami lihatkan kepada kamu sebahagian daripada apa yang Kami janjikan mereka, atau Kami matikan kamu, maka bagi kamu hanyalah untuk sampaikan, dan bagi Kami menghitungkan.

13:41. Tidakkah mereka lihat bagaimana Kami datang ke bumi dengan mengurangkan tepi-tepinya? Allah menghakimkan; tiada yang dapat menolak putusan-Nya; Dia cepat buat hitungan.

13:42. Orang-orang sebelum mereka telah buat tipu daya, tetapi bagi Allah tipu daya kesemuanya. Dia tahu apa yang tiap-tiap jiwa usahakan. Orang-orang tidak percaya pasti akan tahu untuk siapakah tempat kediaman muktamad.

13:43. Orang-orang tidak percaya berkata, "Kamu bukan seorang utusan." Katakanlah, "Cukuplah Allah sebagai saksi antara aku dan kamu, dan orang empunya pengetahuan Kitab."