The Alien - Link Select

Khamis, 25 Oktober 2012

SOLAT DALAM QUR'AN???

Solat menurut al-Qur’an Solat umat Islam dikatakan telah diajar oleh Rasul. Maka ia adalah Sunnah Rasul. Para ulama tidak pernah mengakui bahawa solat adalah “Sunnah” Allah, iaitu suatu amalan yang diajar Allah melalui Kitab-Nya, al-Qur’an. Sebaliknya mereka selalu berkata "Manakah ada cara bersolat di dalam al-Qur’an!" Kertas ini menjawab soalan tersebut. Di dalam jawapan ini, segala keterangan dirujuk kepada al-Qur’an sahaja, dan keterangan yang akan dikemukakan akan menyinggung perasaan kerana bercanggah dengan amalan solat biasa umat Islam. Segala hujah yang dikemuka bukanlah untuk buktikan umat telah tersilap, tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an mengenai solat, di samping menjawab cabaran ulama tadi. Nama dan Waktu Penjelasan dimulakan dengan memperihalkan nama bagi tiap-tiap solat. Terdapat hanya tiga nama solat di dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini tunjukkan waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi: "Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114) Solat yang pada waktu tepi siang pertama ialah solat fajar, sementara solat wusta, atau solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada awal malam itu ialah solat isyak. Perkataan "wusta" ingin diperjelaskan lagi di sini. Ia bermakna "di tengah", dan menurut pendapat saya, maksudnya adalah waktu yang di tengah di antara siang dan malam, atau cahaya dan gelap. Waktu yang pendek ini dikenali umum sebagai waktu maghrib. Oleh kerana al-Qur’an menjelaskan sendiri, maka waktu solat wusta selanjutnya dijelaskan dengan sebuah ayat berbunyi: "Lakukanlah solat dari terbenam matahari hingga kegelapan malam" (17:78). Lantas, waktu solat wusta adalah dari terbenam matahari hingga kegelapan malam, iaitu di tepi siang yang kedua. Tiada kaitan Walaupun nama-nama lain yang lazim digunakan untuk solat, seperti Zuhur, Asar, Maghrib dan Subuh, tercatat di dalam al-Qur’an, namun mereka tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat. Umpamanya nama "maghrib", ia bukan sahaja bukan nama solat, tetapi juga bukan nama waktu. Ia sebenarnya adalah suatu arah, iaitu barat, seperti yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi "Kepunyaan Allah Timur dan Barat" (2:115) Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya, "Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu miliki, dan mereka di antara kamu yang belum cukup umur, meminta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat fajar, dan apabila kamu menanggalkan pakaian kamu pada waktu zuhur, dan selepas solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58) Sementara "asar" di dalam al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" dan tiada kaitan dengan solat seperti yang terdapat pada ayat yang berbunyi "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2) Bukan sahaja tidak disebut nama solat maghrib, atau solat zuhur, atau solat asar di dalam al-Qur’an, tetapi juga, turut tidak disebut adalah nama "solat subuh". Subuh dan fajar, seperti nama dan sebutan bunyinya yang berlainan, adalah dua masa atau waktu yang berlainan. Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam. Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan didapati tiada kaitan dengan solat langsung. Ditentukan Solat hendaklah dilakukan pada waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi: "Sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103) Tiada terdapat pula satu ayat pun di dalam al-Qur’an yang membolehkan solat itu dilakukan pada waktu yang bukan waktunya, seperti mengqadarkannya atau menjamakkannya. Walau dalam keadaan apapun solat hendaklah dikerjakan. Ayat yang berikut menjelaskannya: "Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah mengajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239) Seperkara lagi, daripada ayat tersebut, umat diingatkan supaya lakukan solat seperti yang diajar oleh Tuhan - segala ajaran Tuhan terkandung di dalam al-Qur’an. Rakaat Cara solat di dalam al-Qur’an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali di dalam al-Qur’an, dan dengan ini ia beri peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam lakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya. Wuduk Mengenai wuduk pula (perkataan "wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini dijelaskan dengan ayat yang berikut: "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka bertayamumlah dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendaki untuk buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6) Ayat ini telah juga disebut oleh Rasul, dan baginda tidak mungkin menambah bahagian-bahagian anggota yang lain dalam wuduk kerana jika baginda buat demikian maka Allah akan membunuhnya. Firman-Nya "Sekiranya dia (Muhammad) ada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46) Kiblat Kiblat menurut al-Qur’an ialah Masjidil Haram, yang di tengahnya terletak Kaaba. Rasul sendiri telah mencari-carinya dahulu lalu Allah tunjukkan kepadanya melalui ayat yang berikut: "Kami lihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka mengerjakan." (2:144) Pakaian Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh ambil perhiasan di setiap masjid, yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya, "Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31). Berkomunikasi Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan bahagian-bahagian anggota badan yang tertentu. Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya: "Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45) Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya di dalam al-Qur’an. Solat bukan sahaja masa untuk memohon pertolongan tetapi juga suatu masa untuk mengingati-Nya. Ini dijelaskan dengan sebuah ayat lain berbunyi "Dan lakukanlah solat untuk mengingati aku." (20:14) Bahasa Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu ucapkan," (4:43) Setelah dilarang mengerjakan solat apabila segala yang diucap tidak difahami dan seseorang itu terus bersolat juga, maka apakah hukumnya? Ingin diingatkan di sini bahawa Iblis telah jadi kafir setelah mengingkari hanya satu (sahaja) perintah Allah! Suara Nada suara dalam solat tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah untuk semua solat. Firman-Nya: "Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110) Seru Solat dimulakan dengan menyeru Nama-Nya, seperti Allah, atau Ar-Rahman (Yang Pemurah) atau mana-mana nama-Nya yang indah yang diajar di dalam al-Qur’an (nama Allahu Akbar tiada di dalamnya). Firman Allah: "Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama yang paling baik.’ Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110) Ayat yang menyusulinya menetapkan apa yang harus diucap selepas seruan itu, iaitu: "Dan katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak ambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.’" (17:111) Bacaan Bacaan di dalam Solat boleh dipetik daripada mana-mana ayat yang sesuai yang berjumlah dengan banyak di dalam al-Qur’an. Pilihan adalah berdasarkan keperluan dan selera sendiri kerana solat adalah suatu alat perhubungan yang amat peribadi antara hamba dan Pemeliharanya. Sebagai contoh, ayat yang lazim diucapkan umat Islam pada permulaan solat mereka berbunyi "Inna solati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillaahi rabbil aalamiin" yang bermakna, "Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, untuk Allah, Pemelihara semesta alam". Ini sebenarnya adalah ayat 6:162 di dalam al-Qur’an. Akan tetapi, di dalam al-Qur’an ayat tersebut bermula dengan kata "qul" atau "katakanlah", iaitu "Qul inna solati wanusuki..." atau "Katakanlah, ‘Sesungguhnya solatku, dan ibadahku ...." tinggalkan kata "qul" atau "katakanlah" pada ayat ini di dalam solat adalah wajar kerana ketika itu umat bercakap dengan-Nya. Mahukah kita menyuruh Dia dengan "Katakanlah ..."? Justeru itu, pada ayat-ayat lain seperti "Qul a’udzu birabbin naas ...." (Surah 114) yang bermaksud "Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Pemelihara manusia ....’", atau "Qul huwal laahu ahad ..." (Surah 112) yang bermakna "Katakanlah, ‘Dialah Allah yang satu ...", haruslah ditinggalkan qulnya juga kerana meninggalkannya adalah amat munasabah. Akulah Allah Sesetengah pihak mendakwa bahawa solat adalah masa untuk membaca al-Qur’an. Ini tidak benar, kerana amalan mengerjakan solat dan membaca al-Qur’an adalah dua perintah Tuhan yang berlainan, seperti yang disebut di dalam ayat 73:20. Seterusnya ada juga orang yang mendakwa bahawa mana-mana ayat al-Qur’an boleh dibaca dalam solat. Ini juga tidak benar. Sebagai contoh, bolehkah dibaca ayat al-Qur’an yang berikut di dalam solat: "Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukanlah solat untuk mengingati aku." (20:14) Mahukah diucap kata-kata tersebut kepada Allah, walaupun ia ayat al-Qur’an? Laku Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud disebut berulang kali di dalam al-Qur’an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. Mungkin boleh dipersoalkan bagaimana orang-orang yang berikut, iaitu orang-orang yang telah dijanjikan Allah dengan janji yang baik, lakukan solat mereka? Firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja kebaikan, maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62) Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun semasa tunduk: “Dan Daud sangka bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia berkesesalan” (38:24). Atau semasa sujud, ambillah pengajaran daripada ayat-ayat di bawah ini: 2:58. Dan apabila Kami berkata, "Masuklah bandaraya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana sahaja kamu kehendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan katakanlah, 'Tidak membebankan'; Kami akan mengampuni kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan menambahkan kepada orang-orang yang buat baik." 7:120-121. Dan ahli-ahli sihir lemparkan diri, bersujud. Mereka berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara semua alam, 17:107-108. Katakanlah, "Percayalah kepadanya, atau tidak percayai; orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan.' 25:64-65. Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri, 32:15. Orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diperingatkan dengannya jatuh bersujud, dan mereka menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, 50:40. Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan pada hujung-hujung sujud. Akhir Seperti mana-mana seruan kepada-Nya, solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi: "Dan akhir seruan mereka, ‘Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10) Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70) Larangan Satu lagi larangan yang ketara dalam solat (selain ucapan yang tidak difahami) yang termaktub di dalam al-Qur’an ialah menyeru, atau menyebut, mana-mana nama yang selain daripada Nama-Nya. Hanya Nama Allah disebut di dalam solat. Ini difahamkan daripada ayat yang berikut berbunyi: "Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18) Penutup Banyak telah diperkatakan mengenai solat menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an di sini. Tentulah ia didapati bertentangan dengan ajaran para ulama yang menyatakan solat mereka datang dari Rasul atau sunnahnya. Walhal, di dalam kelima-lima kitab hadis terbesar di dunia mereka, tidak terdapat keperincian dalam lakukan solat seperti yang diajar kepada umat. Yang terdapat hanyalah beberapa hadis Nabi mengenai solat yang tidak diamalkan oleh mereka yang juga tidak diajar kepada umat Islam yang menuruti mereka dengan taat.

Ahad, 21 Oktober 2012

AL-INSYIRAH 1-8 ???

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama) mu. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Rabbmulah hendaknya kamu berharap". (Al-Insyirah-As-Syarh 94 : 1-8) “Have We not expanded thee thy breast?. And removed from thee thy burden. The which did gall thy back? And raised high the esteem (in which) thou (art held)? So, verily, with every difficulty, there is relief. Verily, with every difficulty there is relief. Therefore, when thou art free (from thine immediate task), still labour hard, And to thy Lord turn (all) thy attention.” (Al-Insyirah-As-Syarh.)

Selasa, 16 Oktober 2012

HARI KEPUTERAAN KU???

SEMAKIN TUA DAN LUBANG KUBUR MELAMBAI-LAMBAI... ALHAMDULILLAH...

Rabu, 10 Oktober 2012

ZIKRULLAH???

Sudah terlalu lama agaknya aku tidak mengirim apa-apa artikel buat anda semua. Sejak ada FACEBOOK ni, aku rasa semakin sibuk berchatting dengan keluarga FB. Macam-macam tajuk dan polemik yang aku cuba sampai kepada semua. Ada yang beri respon positif dan ada yang negatif tak kurang juga yang hanya berdiri atas pagar. NAMUN demikian, aku tetap tidak akan berputus asa walaupun ada yang faham atau pun tidak apa yang aku cuba sampaikan... kerja pun sedikit terbengkalai. Tetapi bukanlah alasan untuk meninggalkan terus kerja hakiki. Aku tetap melakukannya sepertimana yang telah ditakdirkan ALLAH untuk ku... Ahamdulillah. Kali ini tiba-tiba pula aku terasa bersemangat pula setelah tinggalkan dunia BLOG buat sementara untuk meneruskan dakwah yang tertunggak selama ini. Tawajju’ pun aku dah lama tidak hadir begitu juga ziarah dan sebagainya, sejak beranak pinak ni, aku rasa masa amat mencemburui aku. Sehinggalah aku mendengar khabar bahawa BAPANDA MOGA BARITA RAJA MUHAMMAD SHUKUR Q.S. WALIQUTUB MUJADDID, telah kembali kepada Kekasihnya... ALLAH S.W.T. dan kini digantikan oleh anakandanya... AYAHANDA ALIF ABDUL MUTHALIB ARIFBILLAH Q.S. sebagai penerus Tareqah Naqsyabandiah al-Khalidiyah. Tetapi Alhamdulillah.... semuanya atas kehendak-Nya juga. Anda tentu tahu ZIKIR itu apa. Dari segi pemahaman ringkas kita berdua tahu, ia bermaksud... ‘INGAT’. Kalau digabungkan dengan ALLAH.. maka jadilah ia ZIKRULLAH. Perkataan ini selalu kita dengar dari mulut ustaz-ustazah dan juga orang-orang yang pasti mahir tentang agama. Malah ALLAH sendiri merupakan pihak pertama yang mengatakan dalam firman-Nya... "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42) "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28) NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA; "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?" Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami." Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah". (HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah). NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA; “Seafdal-afdal zikir ialah LAA ILAAHA ILLALLAH” “... sebaik-baik zikir ialah zikir dalam hati.” Oleh itu, banyak amalan Rasulullah SAW diturnkan kepada para sahabat dan seterusnya kepada kita umatnya di akhir zaman. Antaranya, SUBHANALLAH 33 KALI, ALHAMDULILLAH 33 KALI DAN ALLAHUAKBAR 33 KALI.... dan, banyak lagi zikir seperti Asmaul-Husna yang boleh diamalkan... Ketika Bapanda masih ada. Dia selalu mengamalkan zikir seperti kunyah nasi lama-lama baru dapat manisnya atau gulanya. Itulah amalan utama Bapanda ketika memimpin tareqah. Asasnya 5000 kali sehari wajib diamalkan tanpa tertinggal untuk mendapat manfaat yang hebat untuk pengamalnya. Begitu juga bila aku menyertai Tabligh dulu, ada zikir2 tertentu yang diamalkan. Namun, setelah aku mengetahui yang Tabligh itu hanyalah sekadar SYARIAT, dan Aliran Naqsyabandiah merupakann TAREQAH... maka aku tidak boleh tinggalkan salah satu darinya... aku ambil kedua-duanya.. sebab ISLAM itu terdiri dari 4 lapisan... SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT dan MAKRIFAT... BEGITULAH HAKIKATNYA ISLAM ITU... tinggal salah satu dari lapisan itu samalah seperti seperti buah yang memiliki lapisan-lapisan seperti Kulit (Syariat), Isi luar (Tareqat), Isi Dalam (Hakikat) dan Biji Benih (Makrifat)... tinggal salah satunya maka, tak sempurnalah Islam itu... bayangkan kalau buah tanpa ISI atau buah tanpa Kulit... siapa yangkan mahu makan buah tersebut??? Oleh itu, marilah sama-sama, amalkan zikir dan berguru dibawah bimbingan GURU MURSYID yang ditauliahkan oleh Allah SWT sendiri...

Rabu, 3 Oktober 2012

CINTA ALLAH ???

"TIDAK KU JADIKAN JIN DAN MANUSIA MELAINKAN UNTUK BERIBADAH KEPADA-KU" Banyaklah hadis-hadis dan atsar-atsar yang berkisar tentang kecintaan kepada Allah Taala yang tidak terkumpul oleh mereka yang mengumpulkannya.Dengan itu, jelaslah hal kecintaan kepada Allah Taala itu. Yang kabur adalah untuk memastikan maknanya yang sebenar. Kecintaan tidak akan terwujud kecuali setelah ma’rifah (kenal) dan idrak (tahu). Ini kerana manusia tidak akan mencintai sesuatu yang belum dikenali dan diketahuinya. Perasaan cinta timbul setelah manusia kenal dan tahu tentang sesuatu itu. Para sufi meletakkan ma’rifah (kenal) lebih tinggi daripada idrak (tahu). Dalam usaha untuk mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta, kita mestilah mengenal Allah terlebih dahulu dan seterusnya ‘faham’ akan Allah. Mereka yang sampai ke tingkat ini dinamakan ‘Arifbillah’ iaitu orang-orang yang kenal dan faham akan Allah. Malangnya manusia dari golongan ini sangat sedikit bilangannya Kebanyakan para alim ulama hari ini pun hanya berada di tingkat ‘Alimullah” iaitu orang-orang yang tahu akan Allah, namun tidak sampai ke peringkat kenal dan faham akan Allah. Tersebut dalam kitab Zabur: “Siapakah yang lebih zalim, daripada orang yang beribadah kepada-Ku kerana syurga ataupun neraka? Kalaulah Aku tidak menciptakan syurga dan neraka, apakah Aku tidak berhak untuk ditaati? Nabi Isa a.s. melewati suatu kaum yang kuat beribadah dan kurus-kurus badan mereka. Kata mereka, “ Kami takut akan neraka dan kami mengharap akan syurga.” Nabi Isa a.s. menjawab, “Yang kamu takuti itu ialah makhluk dan yang kamu harapkan itu juga makhluk.” Nabi Isa a.s. melewati pula satu kumpulan lain yang sama keadaannya seperti kumpulan pertama tadi lalu kata mereka, “Kami menyembah-Nya kerana cinta kepada-Nya dan membesarkan-Nya kerana keagungan-Nya.” Jawab Nabi Isa a.s: “Kamulah wali-wali Allah (para aulia) yang sebenarnya. Aku telah disuruh untuk tinggal bersama-sama kamu.” Kata Abu Hazim: “Aku malu untuk beribadah kepada-Nya kerana pahala dan siksa. Kalau aku berbuat demikian, aku tak ubah seperti hamba yang jahat. Kalau tidak takut, maka tidak bekerjalah. Atau seperti orang jahat yang diupah. Kalau tidak diberi upah, nescaya dia tidak bekerja.” Kelazatan yang paling agung dan paling tinggi adalah mengenal Allah Taala dan memandang kepada wajah-Nya yang Maha Mulia. Tidak ada kelazatan lain yang lebih utama daripada kelazatan ini. Apabila seseorang itu berjaya ditempatkan di syurga Allah, maka dia juga berpeluang melihat Allah pada waktu-waktu tertentu mengikut taraf dirinya di sisi Tuhan. Sesungguhnya kenikmatan memandang wajah Allah ketika di dalam syurga itu membuatkan kenikmatan dan kelazatan syurga seperti istana, taman-taman, bidadari, sungai madu, sungai arak dan sebagainya langsung tidak ada nilai. Dengan sebab itulah ibadah para sufi adalah bermatlamatkan ‘memandang wajah Allah’, bukannya setakat ingin masuk ke dalam syurga. Lumrah alam, jika kita berazam untuk mendapat nombor satu di dalam perlumbaan, kalau tidak mendapat nombor satu pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat tempat kedua atau ketiga. Tapi jika dari awal lagi kita sudah berazam untuk mendapat tempat ketiga, adalah mustahil untuk kita mendapat tempat pertama. Bahkan tempat ketiga pun belum tentu lagi. Begitu jugalah halnya dengan alam akhirat. Apabila kita bermatlamatkan untuk ‘berada di hadapan Allah memandang wajah-Nya”, kalau tidak kesampaian pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat syurga. Tapi kalau sedari awal lagi kita bermatlamatkan syurga sahaja, sudah tentulah kita tidak akan mendapatkan Tuhan. Bahkan boleh jadi terlepas pula syurga itu. Sebahagian daripada para syeikh (guru agama) telah mimpi bertemu Bisyru bin Al Harts (seorang wali Allah yang masyhur) dan bertanya kepadanya: “Apakah yang sedang dibuat oleh Abu Nasar At Tammar dan Abdul Wahhab Al Warraq?” Jawab Bisyru Al Harts, “Aku tinggalkan kedua-duanya sesaat di hadapan Allah Taala, (mereka sedang) makan dan minum (di hadapan-Nya).” “Engkau pula bagaimana?” Bisyru menjawab , “Allah Taala tahu yang kegemaran aku kepada makan dan minum adalah sangat sedikit. Oleh itu aku dibiarkan-Nya memandang kepada-Nya.” Bisyr bin Al Harts lebih dikenali dengan nama Bisyr Al Hafi yang bermaksud Bisyr Si Kaki Ayam kerana dia tidak memakai sebarang alas kaki ataupun kasut ke mana saja dia pergi. Sebelum dipilih menjadi wali Allah,Bisyru merupakan seorang pemabuk. Suatu hari, dalam keadaan mabuk dia telah terjumpa secarik kertas yang tertulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Kertas itu diambilnya lalu direnjisnya dengan minyak wangi. Kemudian disimpannya di suatu tempat yang sesuai di rumahnya. Pada malam itu Bisyr bermimpi mendengar satu suara yang berbunyi: “Kerana engkau telah mengharumkan nama-Ku, maka Aku pun akan mengharumkan nama-Mu. Kerana engkau telah menjaga nama-Ku, maka aku pun akan menjaga namamu.” (Mimpinya ini akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya terus disebut-sebut oleh orang-orang soleh sehingalah ke zaman ini). Bisyr tidak menghiraukan mimpinya itu kerana mimpi orang yang suka minum arak sepertinya mustahil benar seperti mimpi orang-orang soleh. Dengan itu dia meneruskan kehidupannya sebagai seorang yang suka berpoya-poya dan bermabuk-mabukan. Suatu hari Bisyr mengadakan pesta di rumahnya. Tiba-tiba pintu diketuk orang. Pelayan Bisyr pun membukanya. Rupa-rupanya ada seorang lelaki yang tidak dikenali. Tanya lelaki itu: “Adakah tuan rumah ini seorang hamba?” Jawab si pelayan: “Tidak, sudah tentulah dia seorang yang merdeka.” Sambung lelaki itu lagi: “Katakan kepadanya, kalau dia seorang hamba, memang tidak patut dia berbuat seperti ini.” Si pelayan pun memberitahu Bisyr akan kata-kata lelaki misteri itu kononnya Bisyr adalah seorang hamba. Bisyr amat terperanjat lalu terus mengejar lelaki tadi. Dia meminta lelaki itu mengulang balik kata-katanya. Barulah Bisyr sedar yang dia hanyalah seorang hamba, anak kepada seorang hamba dan berketurunan hamba iaitu ‘hamba kepada Allah Taala’. Ketika itu juga Bisyr menangis dan bertaubat. Ketika dia bertaubat itu dia tidak memakai apa-apa alas kaki kerana begitu terburu-buru mengejar lelaki misteri tersebut.Dengan itu dia bersumpah untuk tidak akan memakai alas kaki atau pun kasut seumur hidupnya. Mengembaralah dia dengan berkaki ayam sahaja sehingga mendapat gelaran Bisyr Al Hafi. Banyaklah karamah yang terjadi kepada diri Bisyr Al Hafi seperti pernah berjalan di atas air, bertemu Rasulullah dan Saidina Ali di dalam mimpi dan menjatuhkan perompak dengan punggungnya sahaja. Dengan sebab dia membiasakan diri berpuasa pada siang hari maka itulah Allah telah membenarkannya untuk memandang wajah Allah sentiasa berbanding dua orang soleh sebagaimana dalam mimpi di atas. Ali bin Muwaffaq berkata: “Aku bermimpi seakan-akan masuk ke dalam syurga.Aku melihat seorang lelaki duduk pada suatu hidangan. Dua orang malaikat di kiri dan kanannya sedang menyuapkannya dengan semua makanan yang lazat-lazat. Dan orang itu terus makan. Aku melihat pula seorang lelaki yang berdiri di pintu syurga sedang memerhatikan wajah semua manusia. Sebahagian manusia dibenarkannya masuk dan sebahagian lagi ditolaknya.” Ali bin Al Muwaffaq meneruskan ceritanya: “Kemudian aku melewati kedua orang lelaki tersebut menuju ke Hadhiratul Quds (suatu tempat di kanan ‘arasy). Aku lihat di khemah Al ‘arasy ada seorang lelaki memandang ke atas, melihat kepada Allah Taala, yang tidak berkerdip matanya. Lalu aku pun bertanya kepada malaikat Ridhuan, “Siapakah ini?” Malaikat Ridhuan menjawab, “Ma’ruf Al Karkhi (seorang sufi besar). Dia beribadah kepada Allah bukan kerana takut kepada neraka-Nya dan tidak pula kerana rindu kepada syurga-Nya, tetapi kerana cinta kepada-Nya. Maka dia dibolehkan memandang kepada-Nya sampai Hari Qiamat.” Abu Sulaiman berkata: “Siapa yang pada hari ini (ketika hidup) sibuk dengan urusan dirinya sendiri, maka dia itu esok (setelah mati) akan sibuk dengan dirinya sendiri. Siapa yang hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk dengan Tuhannya.” Sufyan As Tsauri pernah bertanya kepada Rabiah binti Ismail Al Adawiyah: “Apakah hakikat iman engkau?” Jawab Rabiah , “Aku tidak beribadah kepada-Nya kerana takut akan neraka-Nya dan tidak pula kerana cinta kepada syurga-Nya. Jika aku berbuat begitu, seolah-olah aku ini seorang jahat yang diberi upah. Akan tetapi aku beribadah kepada-Nya kerana cinta dan rindu kepada-Nya. Abu Darda berkata kepada Ka’ab: “Terangkanlah kepadaku tentang ayat yang paling khusus dalam Taurat.” Ka’ab menjawab: “Allah Taala berfirman: “Lamalah sudah rindunya orang-orang baik untuk menemui-Ku. Dan sesungguhnya Aku lebih lagi tersangat rindu untuk menemui mereka.” Ka’ab meneruskan katanya: “Dan tertulis di pinggir Taurat: “Siapa yang mencari Aku, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain Aku, nescaya dia tidak akan mendapat Aku.” Lalu Abu Darda berkata, “Aku naik saksi, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata sedemikian.” Dalam berita-berita Nabi Daud a.s., Allah Taala ada berfirman: “Wahai Daud! Sampaikanlah kepada penduduk bumi-Ku, bahawa Aku mencintai siapa yang mencintaiKu. (Aku) duduk dengan siapa yang duduk-duduk denganKu. Berjinakan dengan siapa yang berjinakan dengan mengingatiKu. Teman kepada siapa yang berteman denganKu. Memilih dengan siapa yang memilih Aku. Patuh dengan siapa yang mematuhiKu. Siapa yang mencari Aku dengan kebenaran, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain daripadaKu, nescaya dia tidak akan mendapat Aku. Lemparkanlah wahai penduduk bumi, akan apa yang berada kamu di atasnya, daripada tipuannya. Marilah kepada kemulian-Ku, berteman dengan Aku dan duduk-duduk dengan Aku. Berjinak-jinaklah dengan Aku, nescaya Aku berjinak-jinak pula dengan kamu. Dan Aku bersegera mencintai kamu.” Sebahagian salaf meriwayatkan bahawa Allah Taala ada menurunkan wahyu kepada sebahagian orang-orang as siddiqin: “Sesungguhnya aku mempunyai hamba-hamba daripada hamba-hamba-Ku, yang mencintai Aku dan Aku mencintai mereka. Mereka rindu kepada-Ku dan Aku (juga) rindu kepada mereka Mereka mengingati (berzikir) kepada-Ku dan Aku ingat kepada mereka.. Mereka memandang kepada-Ku dan Aku memandang kepada mereka. Maka kalau engkau ikuti jalan mereka, nescaya Aku cinta kepada engkau. Dan jikalau engkau berpaling daripada mereka, necsaya Aku kutuk akan dikau.” Orang as siddiqin beratanya: “Wahai Tuhanku. Apakah tanda-tanda (untuk mengenali) mereka?” Allah Taala berfirman: “Mereka memelihara akan naungan di siang hari, sebagaimana penggembala yang kasih sayang memelihara kambingnya. Mereka rindu kepada terbenamnya matahari, sebagaimana rindunya burung kepada sarangnya di waktu matahari terbenam (senja).Apabila mereka diselubungi waktu malam, bercampur aduk kegelapan, dibentangkan (mereka) tikar, ditegakkan tempat tidur dan setiap kekasih bersunyi-sunyian dengan Kekasihnya. Nescaya mereka payah berdiri di atas tapak kaki mereka, (dan payah pula untuk) berbaring di atas muka mereka. Mereka bermunajah (berbicara) kepadaKu dengan firman-Ku, (mereka) bercumbu-cumbuan kepadaKu dengan kenikmatanKu.” Sememangnya para sufi ternanti-nantikan waktu malam untuk duduk-duduk bersama KekasihYang akan Kekal Selamanya dengan mereka. Dikatakan Syeikh Abdul Wahid rah.a.tidak pernah tidur malam selama empat puluh tahun. Beliau mengerjakan solat Isya’ dan solat Subuh dengan wuduk yang sama. Ini terjadi juga kepada Raja Para Wali- Syeikh Abdul Qadir Jailani. Diberitakan bahawa ada seorang alim yang pernah beribadah selama dua belas hari dengan satu wuduk sahaja. Dia juga khabarnya tidak pernah membaringkan dirinya di tempat tidur selama lima belas tahun. Imam Ahmad bin Hanbal yang mengasaskan mazhab Hambali dikatakan bersolat sunat sebanyak 300 rakaat pada setiap malam. Said bin Al Musayyab menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 50 tahun. Pendiri mazhab Hanafi pula iaitu Imam Abu Hanifah dikatakan menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 40 tahun. bayangkanlah, selama berpuluh-puluh tahun mereka menghidupkan waktu malam dengan duduk-duduk bersama Kekasih. Hanya hamba yang sudah jatuh cinta kepada Tuhannya saja yang dapat melakukan sedemikan. Nabi Daud pernah berkata: “Wahai Tuhanku. Tunjukkanlah kepadaku orang-orang yang mencintai Engkau.” Lalu Allah berfirman: “Hai Daud. Pergilah ke bukit Lebanon. Di sana ada empat belas orang manusia yang terdiri daripada para pemuda, ketua-ketua dan orang-orang tua. Apabila engkau sampai kepada mereka, sampaikanlah salamKu kepada mereka. Katakan kepada mereka yang TuhanMu menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Apakah kamu tidak mahu meminta apa-apa hajat keperluan? Sesungguhnya kamu adalah kekasih-Ku, pilihan-Ku dan wali-wali-Ku. Aku gembira kerana kegembiraanmu dan aku bersegera kepada mencintaimu. Dan Aku memandang kepada kamu pada setiap saat, sebagaimana pandangan seorang ibu yang (penuh) kasih sayang dan lemah lembut.” Maka Nabi Daud a.s. pun pergilah kepada mereka. Dilihatnya mereka sedang duduk berhampiran suatu mata air sedang bertafakur kepada kebesaran Allah Azza wa Jalla. Apabila mereka ternampak Nabi Daud, merekapun bangun untuk mengelakkan diri daripadanya. Nabi Daud a.s. pun berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu. Aku datang untuk menyampaikan risalah Tuhanmu..” Mereka pun terus menghadapkan diri mereka ke arah Nabi Daud dan memberi perhatian kepadanya. Namun begitu kepala mereka tetap tunduk ke bumi. Nabi Daud berkata lagi: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan salamNya kepada kamu”. Kemudian Nabi Daud pun menceritakan bagaimana firman Allah SWT kepada mereka. Maka mengalirlah air mata di pipi mereka. Ketua mereka berkata: “Subhanaka. Subhanaka (Maha Suci Engkau).” Seterusnya seorang demi seorang mereka meluahkan isi hati mereka kepada Allah SWT. Maka Allah Taala menurunkan wahyu kepada Nabi Daud a.s. yang berbunyi: “Katakan kepada mereka, Aku sudah mendengar perkataan kamu dan aku perkenankan kamu.” Nabi Daud lalu bertanya: “Wahai Tuhanku. Bagaimanakah mereka dapat memperolehi semua ini daripada Engkau?” Tuhan berfirman: “Dengan berbaik sangka dan mencegah diri mereka daripada dunia dan penghuninya. (Mereka) bersunyi-sunyian dengan Aku dan bermunajah kepada Ku.”