The Alien - Link Select

Sabtu, 8 Oktober 2016

HUJAH PERTAMA ???


Hafiz Firdaus Abdulllah :
Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’anul Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang telah mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat.[1] Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya. Demikian juga, apabila dikatakan bahawa kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti bahawa al-Qur’an tidak leka atau lengah dari menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.
JAWAPAN
: Al-Qur’an BUKAN-lah Kitab Induk seperti yang didakwa oleh penulis artikel ini.  Tiada satu ayat pun yang menyatakan demikian.  Tanpa dalil dari Qur’an.  Beliau hanya berkata-kata menurut pendapat Habr-habr agama golongan Sunni, Yusuf Qardhawi.  Dakwaan seperti ini memang tidak dapat diterima tanpa penjelasan wahyu dari ALLAH.  Bagaimana pun, Qur’an menurut ALLAH :


“Ha Mim.  Demi Kitab yang jelas, Sesungguhnya, Kami membuatnya sebuah Qur'an bahasa Arab supaya kamu faham.  Dan sesungguhnya ia adalah di dalam IBU KITAB, di sisi Kami; sungguh tinggi, bijaksana.”
(Q.S. 43:1-4)

*Qur’an jelas di sini adalah berasal dalam IBU KITAB yang ada di sisi ALLAH.  Boleh saja ia digelar sebagai KITAB INDUK di sisi ALLAH.  Qur’an bukanlah Kitab Induk di sisi ALLAH seperti yang didakwa oleh penulis ini.  Tetapi ia hanya menjadi KITAB UTAMA untuk rujukan bagi Nabi Muhammad dan seluruh umatnya. Kerana tidak ada kitab selain Qur’an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad.


“…dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. ……” (6:19)

Hafiz Firdaus Abdulllah :
Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]

JAWAPAN
:  Tiada ada dalam mana-mana ayat Qur’an yang menyatakan demikian.  Malah tiada satu pun ayat yang menyebut perkataan SUNNAH NABI atau HADIS NABI  dalam mana-mana surah atau ayat dalam Qur’an.  Penulis artikel ini hanya mendakwa tanpa alasan dan dalil yang jelas dari Qur’an.  Beliau hanya bersandarkan kata-kata Habr agama -  Ibnu Qayyim.
Qur’an itu Jelas dan lengkap, terperinci dan tiada satu pun yang tertinggal melaionkan semua hal yang berkaitan dengan apa yang diwahyukanNya itu disebut dengan jelas.

“Tha Sin. Inilah ayat-ayat al-Qur'an, dan sebuah Kitab yang jelas.” (27:1)

“Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab; kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka akan dikumpulkan.” (6:38)

“Sesungguhnya Kami buatkan untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan…”(30:58)
“Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan tetapi kebanyakan manusia menolak semua, kecuali ketidakpercayaan.” (17:89)

“Apa, adakah aku akan cari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang turunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas...” (6:114)

“Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.” (6:115)

“Dan Kami telah datangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami jelaskan, berdasarkan pengetahuan, menjadi satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi kaum yang percayai.” (7:52)

“Alif Lam Ra. Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya menentukan, dan kemudian dijelaskan, daripada yang Bijaksana, Menyedari.”  (11:1)

Tetapi Qur’an itu sendiri adalah HADIS dari ALLAH yang menjadi Ucapan Rasul yang mulia. Renungkan ayat-ayat ini :

"Allah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab" (39:23).

Kitab yang dimaksudkan adalah al-Qur'an, yang diturunkan kepada Nabi Allah yang terakhir, Muhammad. Kitab tersebut diturunkan kepada baginda untuk dipanjangkan kepada seluruh manusia. Maka baginda, dengan cara lisan terutamanya, sampaikan kandungan Kitab kepada orang-orang di sekelilingnya. Justeru, seluruh kandungan kitab Hadis Allah yang diterima merupakan Hadisnya juga. Seperti maksud firman Allah berbunyi,

"Sesungguhnya ia adalah ucapan Rasul yang mulia" (69:40)

Maka tidak ada perintah dari ALLAH untuk mengikuti HADIS NABI atau SUNNAH nabi yang diriwayatkan oleh habr-Habr hadis seperti 6 imam hadis yang terkenal dalam golongan sunni.  Melainkan disuruh untuk mentaatiNya melalui Qur’an dan mentaati RasulNya melalui ajaran ALLAH dalam Qur’an yang berbentuk AL-HIKMAH yang sendirinya ada dalam Kitab Qur’an itu sendiri(17:39).
Adapun percakapan, perlakuan nabi sebagai manusia. Bukanlah termasuk dalam ajaran ALLAH dan ia tidak perlu diikuti kerana ia adalah satu fitrah kehidupan manusia. Makan minum, berak, berjimak dan bergaul sesama manusia lain boleh sahaja dipelajari secara semulajadi tanpa kitab ALLAH.  Sebelum Qur’an turun kepada nabi Muhammad, semua orang ARAB tahu makan dan minum, tahu berjimak dan bergaul serta bersyair, memerintah dan mentadbir Mekah.  Mereka berjubah, serban, berjanggut dan lain-lain budaya Arab. Abu jahal misalnya, berjanggut dna berserban, berjubah macam nabi Muhammad.   Itu hanya budaya bukan berkaitan dengan agama.
 Kalau ia adalah agama.  Maka semua manusia tak kira bangsa adalah wajib memakai serban, berjanggut dan berjubah tanpa mengira iklim dan tempat sesebuah tempat di bumi ini.

Hafiz Firdaus Abdulllah :
Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?
JAWAPAN
: Pendapat penulis ini adalah terlebih jahil. Mungkin beliau mengatakan bahawa Qur’an tidak cukup sempurna sehingga beliau memerlukan kitab lain yang dikarang oleh habr-habr agama golongannya utnuk melengkapkan Qur’an.  Tindakan beliau adalah lebih menghina kesempurnaan dan kebijaksanaan yang diabadikan oleh ALLAH dalam Qur’an.

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21)

Sekutu-sekutu dalam ayat ini adalah Habr-habr agama yang berani mengada-adakan sesuatu yang tidak diajar oleh ALLAH dalam wahyuNya kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan mengandalkan pendapat-pendapat Habr-habr agama seperti Yusuf Qardhawi dan Ibnu Qayyim, jelas beliau menghina kemuliaan Qur’an.  Seolah-olah Qur’an itu memang tidak cukup atau ALLAH terlupa nak sebut perkara-perkara yang diajarkan oleh habr-habr agama golongan mereka.  Ini bukan sahaja merendah-rendahkan Qur’an malah menghina ALLAH dan rasulNya.
Mengaitkan dengan dalil ‘Mee Goreng’, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya.  Hal-hal seperti ini adalah perkara yang anda boleh pelajari di luar kitab ALLAH dan sudah pasti ia adalah ilmu ALLAH jua.  Apa yang digariskan oleh ALLAH dalam Qur’an adalah jelas, yang haram dan halal adalah jelas. Terpulang kepada kita bagaimana mengaplikasikannya dalam kehidupan kita hari ini.


Hafiz Firdaus Abdulllah :
Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah 5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.

JAWAPAN
: Ayat yang disebutkan itu adalah jelas hukum dalam Qur’an.  Anda tidak perlukan hukum selain apa yang ditetapkan oleh ALLAH dalam wahyuNya ini, cukup dengan ayat-ayat ALLAH ini, anda tidak perlukan yang lain. Mungkin anda boleh menerima pakai panduan dalam Quraish Sihab, tetapi pastikan ia tidak bercanggah dengan Qur’an.  Pastikan ia selari dengan Qur’an.  Namun, ingatlah dalam firman ALLAH yang berikut :

“Itu ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?” (45:6)

Kepada penulis
saudara Hafiz Firdaus Abdulllah
Mengambil habr-Habr agama sebagai panduan selain dari Qur’an adalah kontradik dengan Qur’an (45 :6).  Tidak salah sekiranya apa yang dikatakan oleh mereka itu selari dengan Qur’an.  Itu bukan masalah.  Masalahnya apabila mereka mengajar sesuatu yang bukan dari ajaran ALLAH. Mereka menulis kitab-kitab mereka sendiri sebagai kononnya satu penjelasan kepada Qur’an tanpa menyedari mereka ini mengajar sesuatu yang berbeza dengan mesejNya dan tidak sedar berada dalam golongan yang disebutkan oleh ALLAH dalam Qur’an.
Maksud firman Allah:

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan" (42:21).

Orang-orang yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama adalah hanya para habr atau ulama agama. Mereka memakai gelaran seperti "Imam" atau "Maulana" atau "Syeikhul" dan sebagainya.  Mereka juga diangkat sebagai pemelihara atau tuhan oleh pengikut-pengikut mereka, menurut ayat yang berikut:

"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan" (9:31)

Oleh kerana ajaran manis mereka, atas nama Islam sebenar, serta kelalaian pengikut-pengikutnya, maka apabila diseru kepada Allah satu-satunya, pengikut-pengikutnya tidak percaya, tetapi jika mereka disekutukan dengan-Nya, mereka percaya pula. Tanpa sedar hari ini umat islam mengagung-agungkan ulama atau habr ini dalam menyelesaikan masalah kehidupan mereka tanpa melihat dna merujuk kepada firman ALLAH terlebih dahulu. Kata-kata  Habr adalah muktamad bagi mereka.  Namun, Alhamdulillah. Masih ada hamba ALLAH yang merenung firman ALLAH setelah bertanya kepada Habr-habr agama ini.  Dengan Qur’an sahajalah kita akan tahu sama ada ajaran habr-habr agama ini betul atau salah menurut firman ALLAH. Tanpa mereka sedari, Habr-habr ini bukan sahaja menghalang mesejNya untuk sampai kepada kita malah mereka menjadi sebab utama perlawanan umat manusia kepada ALLAH. Kerana ajaran mereka juga pengikut-pengikut melawan Allah dengan cara menolak ajaran-Nya. Sila renungkan dua ayat yang berikut:

"Itu adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai. Putusan adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar" (40:12)

"Kemudian pada Hari Kiamat, Dia aibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?'" (16:27)


ALLAH DISANJUNG

SEGALA PUJI BAGI ALLAH, PEMELIHARA SELURUH ALAM