ALLAH S.W.T
Berfirman :
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk
kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang
kamu tidak mengetahuinya.
Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi
panduan yang menerangkan jalan yang lurus; dan di antara jalan-jalan yang
dituju ada yang terpesong dari kebenaran; dan jika Ia kehendaki, tentulah Ia
memberi petunjuk kepada kamu semua (yang menyampaikan ke jalan yang lurus itu).
Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian
daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya
pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak:
makan padanya.
Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu
tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga
dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari
serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk
keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu
memahaminya.
Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang
berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi
kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.
Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan
daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya
benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat
pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki
dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.
[ Q.S. AN-NAHL 16 : 8-14 ]