ALLAH S.W.T
Berfirman :
Dan tidaklah Kami
mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan
orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu
(wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu
tidak mengetahui.
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan
Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada
umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka
memikirkannya.
(Setelah diterangkan yang demikian) maka
adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa
aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka
didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?
Atau Ia membinasakan
mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja
masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa
Allah.
Atau Ia membinasakan
mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan
kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
Tidakkah mereka
melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar
(berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan
petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang
mereka merendah diri?
Dan bagi Allah jualah
tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk
yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak
berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).
[ Q.S. AN-NAHL 16 : 43-49 ]