Adakah al-Qur'an menunjukkan cara
ibadah Haji? Itu soalan yang selalu ditanya oleh sesetengah pihak. Lantaran,
soalan tersebut cuba dijawab di kertas ini.
Usaha mencari jawapannya bermula
dengan meneliti ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan
"Haji", dan kemudian kepada ayat-ayat lain di mana perkara-perkara
yang berkaitan dengan Haji disentuh. Ayat-ayat itu banyak.
Wajib
Daripada al-Qur'an, didapati
bahawa amalan Haji dan penyempurnaannya adalah perintah Tuhan. Terdapat tiga
ayat yang membawa perintah itu, dan mereka adalah:
“Sempurnakanlah haji dan umrah
kerana Allah” (2:196).
"Adalah kewajipan manusia
terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh buat jalannya ke
sana” (3:97).
“Dan serulah manusia kepada haji,
dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan
yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam" (22:27).
Maka, dengan itu, Haji adalah
wajib untuk disempurnakan oleh hamba-hamba-Nya yang mampu buat perjalanan ke
Rumah dan lakukan beberapa suruhan-Nya di sana.
Bila
Haji bermula pada 1 hari bulan
atau awal bulan. Bulan-bulan haji pula adalah diketahui, kata-Nya, iaitu pada
bulan-bulan haram yang empat. Ayat-ayat Allah yang berikut jelaskannya:
“Mereka tanya kamu mengenai
bulan-bulan baru. Katakanlah, ‘Mereka adalah waktu-waktu yang ditetapkan bagi
manusia, dan Haji’” (2:189).
“Haji adalah pada bulan-bulan
yang diketahui” (2:197).
“Bilangan bulan di sisi Allah
ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah pada hari Dia cipta langit dan bumi.
Empat daripadanya HARAM (hurum). Itu agama yang betul” (9:36).
Kaitan antara bulan-bulan Haji
dengan bulan-bulan haram dapat dibuktikan dengan mengumpul beberapa ayat yang
bersangkutan dengan mereka. Sila click di sini untuk melihatnya.
Bulan-bulan Haji, atau
bulan-bulan haram, adalah dari bulan Haji dan berterusan selama empat bulan
selanjutnya (9:2).
(Untuk mengetahui sedikit
sebanyak tentang catatan sejarah mengenai kalendar Islam dan kalendar yang
dipakai oleh orang-orang Jahiliah yang mengandungi 13 bulan setahun, sila click
di sini. Mungkin kerana itulah Tuhan menegaskan bahawa bilangan bulan dalam
setahun adalah dua belas. Terima kasih kepada seorang sahabat yang mengirimnya
beberapa tahun lalu.)
Hurum
Perkataan hurum yang telah
disebut adalah apa yang difahamkan umum sebagai ihram. Kalimat tersebut
sebenarnya adalah kata jamak bagi haram. Ayat-ayat yang mengandunginya ada
lima, dan mereka adalah seperti di bawah:
"... supaya kamu tidak
anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam hurum (haram /
ihram)." (5:1)
"jangan bunuh binatang buruan
sedang kamu dalam hurum (haram / ihram); sesiapa antara kamu yang bunuh dengan
sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh,
daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil antara kamu,
sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi makan
orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia rasai
keburukan daripada pekerjaannya." (5:95)
"Dihalalkan bagi kamu adalah
binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi
kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang
buruan darat selama kamu dalam hurum ( haram / ihram);" (5:96)
"Kemudian, apabila
bulan-bulan hurum ( haram) telah pergi, bunuhlah orang-orang yang sekutukan di
mana sahaja kamu dapati mereka ....." (9:5),
dan kelima, ayat 9:36, yang telah
dipetik tadi.
Maka frasa "dalam
hurum" bermaksud "dalam haram" kerana kerjakan Haji.
Ihram
Oleh kerana hurum didapati
berkaitan dengan Kaabah (5:95 tadi), dan Kaabah di situ berkaitan pula dengan
Haji, maka "dalam hurum" disimpulkan kepada "dalam keadaan
kerjakan Haji" atau dengan ringkasnya disebut di sini sebagai
"ihram", seperti yang diketahui umum.
Seseorang berada dalam keadaan
itu setelah dia tetapkan dirinya untuk kerjakan ibadah Haji. Terdapat pula
beberapa larangan sesudah menetapkan diri untuk haji, dan semasa hurum (ihram).
Larangannya adalah bercampur dengan isteri, buat fasiq, berbantahan, dan juga,
membunuh binatang buruan. Firman-Nya,
"Haji adalah pada
bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang tetapkan untuk Haji padanya, tidak
boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh buat fasiq, dan tidak boleh
berbantahan semasa dalam Haji" (2:197).
“Jangan bunuh binatang buruan
sedang kamu dalam hurum/haram (ihram);” (5:95).
Maka ihram bukanlah sejenis
pakaian yang dipakai semasa Haji, seperti yang dimaklumkan oleh sesetengah
pihak. Ia adalah keadaan seseorang ketika berada dalam larangan dan kesucian
Haji.
Peribadatan
Ibadah Haji disempurnakan di
Mekah. Bukti bagi kenyataan tersebut, yang dipetik daripada al-Qur'an, boleh
didapati di sini.
Haji bermula dengan suatu
ketetapan yang dibuat. Menurut pendapat penulis masa yang paling baik untuk buat
ketetapan itu adalah ketika memulakan perjalanan dari tempat kediaman menuju ke
Rumah yang berada di Mekah.
Upacara Haji bermula dengan
berkumpul di Arafah, dan kemudian, bergerak menuju ke Rumah, melalui Masy'aril
Haram, Safa dan Marwa, dan Masjidil Haram. Mengingati Allah dengan banyak,
memohon ampun kepada-Nya, memenuhi nazar yang telah dibuat, lakukan iktikaf,
solat, tawaf, korban, dan akhirnya mencukur kepala adalah amalan-amalan yang
disebut untuk Haji.
Untuk penjelasan selanjutnya,
tetapi dengan ringkas sahaja, diturunkan ayat-ayat al-Qur’an menurut urutan
peribadatan dalam Haji dari awal hingga ke akhir:
1. Bertolak dari Arafah
Berkumpul dan bertolak dari
Arafah. Firman-Nya,
“Apabila kamu bertolak dari
Arafah ..... Kemudian bertolaklah dari mana manusia bertolak, dan mintalah
ampun kepada Allah” (2:198-199).
2. Ingat (kepada Tuhan)
“Apabila kamu bertolak dari
Arafah, ingatlah Allah di sisi Monumen Suci (Masy'aril Haram), dan ingatlah
pada-Nya oleh kerana Dia beri petunjuk kepada kamu, sedang sebelum itu kamu
adalah orang-orang yang sesat” (2:198).
(Menurut pendapat setengah pihak,
Masy'aril Haram ialah Mudzallifah.)
Ingat kepada Tuhan juga disuruh
apabila lakukan "korban" kemudian. Firman-Nya,
“Dan binatang-binatang korban
.... Maka ingatlah (sebutlah) nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan;
kemudian, apabila lambungannya rebah .....” (22:36).
3. Safa dan Marwa
Setelah sampai di Safa dan Marwa,
orang-orang yang melakukan Haji akan bertawaf antara keduanya. Namun, ia
bukanlah wajib. Firman-Nya,
“Safa dan Marwa adalah di antara
tanda-tanda Allah, maka sesiapa lakukan Haji di Rumah, atau berkunjung (umrah),
tidak salah ke atasnya untuk bertawaf antara keduanya” (2:158).
4. Masuk Masjidil Haram
Kemudian, mereka masuk ke
Masjidil Haram. Firman-Nya,
“Sesungguhnya Allah jadikan benar
visi Rasul-Nya, dengan benar: ‘Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah
hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa
rasa takut’" (48:27).
“Mereka adalah orang-orang tidak
percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian
yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).
Apabila dihalang, maka hendaklah
adakan pemberian. Firman-Nya,
“Sempurnakanlah Haji dan umrah
kerana Allah; tetapi jika kamu dihalang, maka pemberian yang mudah didapati,
dan jangan cukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban.
Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan
berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban” (2:196).
5. Solat
Solat dilakukan di medan (makam)
Ibrahim. Firman-Nya,
“Dan apabila kami buatkan Rumah
untuk jadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, ‘Ambillah bagi kamu
medan Ibrahim untuk tempat solat’" (2:125).
6. Tawaf (tatawafa)
Selain di Safa dan Marwa, tawaf
disempurnakan di Rumah Tua. Tidak pula disebut berapa kali, maka terpulanglah
mengikut keikhlasan dan kemampuan masing-masing. Firman-Nya,
“dan bertawaf di Rumah Tua”
(22:29).
7. Mengelilingi (taif)
Taif dilakukan di Rumah. Di situ
juga dilakukan amalan bertekun (iktikaf), dan amalan berdiri, tunduk, serta
sujud (seperti dalam solat). Firman-Nya,
"Bersihkan Rumah-Ku untuk
orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan
orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud" (2:125).
“Dan kamu bersihkan Rumah-Ku
untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan
orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud” (22:26).
8. Peribadatan
Korban (haiwan ternakan - 22:34)
adalah satu peribadatan dalam Haji. Firman-Nya,
“Kami tentukan bagi tiap-tiap
umat satu peribadatan yang mereka korbankan. Jangan mereka bertengkar dengan
kamu dalam urusan” (22:67).
9. Pemberian
Korban itu juga adalah apa yang
dikatakan "pemberian". Firman-Nya,
“Apabila kamu rasa aman, sesiapa
yang nikmati umrah sehingga haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang
mudah didapati, atau jika dia tidak dapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari
dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itu sepuluh, genap; demikian itu
adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram.” (2:196).
“Mereka adalah orang-orang tidak
percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian
yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).
Pemberian dibawa ke Kaabah
(5:95).
10. Korban
Yang dikorbankan adalah haiwan
ternakan, yang dimakan dan diberi kepada orang-orang fakir. Tempat korbannya
adalah di sekitar Rumah Tua. Firman-Nya,
“Supaya mereka saksikan pelbagai
manfaat kepada manusia, dan mengingati (menyebut) nama Allah pada hari-hari
yang diketahui pada haiwan ternakan yang Dia rezekikan mereka, ‘Maka makanlah
daripadanya, dan berilah makan orang-orang fakir yang sengsara’" (22:28).
“Padanya beberapa manfaat kepada
kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan; kemudian tempat korban adalah di
sekitar Rumah Tua” (22:33).
Ia juga diberi kepada pengemis
(22:36).
11. Mencukur Kepala
Kepala dicukur, rambut dipotong
pendek, sejurus sebelum masukMasjidil Haram. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Allah jadikan
benar visi Rasul-Nya, dengan benar: 'Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah
hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa
rasa takut.'" (48:27)
Amalan tersebut dilakukan juga
apabila dihalang daripada masukMasjidil Haram:
"dan jangan cukur kepala
kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu
sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau
bersedekah, atau berkorban" (2:196)
12. Rantai Leher
Firman-Nya,
“Allah buatkan Kaabah, Rumah
Suci, sebagai satu penetapan bagi manusia, dan bulan haram, dan pemberian, dan
rantai-rantai leher; itu, supaya kamu tahu bahawa Allah tahu semua yang di
dalam langit, dan semua yang di dalam bumi, dan bahawa Allah tahu segala
sesuatu” (5:97).
Menurut sesetengah pendapat,
rantai tersebut dipakai pada haiwan yang dikorbankan, untuk bezakannya dengan
haiwan lain yang bukan untuk amalan korban. Mungkin juga bermaksud rantai nama
yang dipakai manusia semasa kerjakan Haji.
13. Nazar
Firman-Nya,
“Kemudian hendaklah mereka
hilangkan kecuaian mereka dan hendaklah mereka tepati nazar mereka, dan
bertawaf di Rumah Tua” (22:29).
14. Denda kerana Memburu
Firman-Nya,
“Wahai orang-orang yang percaya,
jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram); sesiapa antara
kamu yang bunuh dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang
dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil
di antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi
makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia
rasai keburukan daripada pekerjaannya” (5:95).
15. Setelah melaksanakan
Setelah melaksanankan
peribadatan, ingatlah Allah dengan banyak dan berdoa seperti yang ditunjukkan
di dalam ayat berikut:
“Apabila kamu sudah laksanakan
peribadatan kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu ingati bapa-bapa kamu, atau
lebih ingat. Antara manusia ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan
kami di dunia’, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan di antara manusia
ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan kami di dunia, yang baik, dan
di akhirat yang baik, dan lindungilah kami daripada azab Api’"
(2:200-201).
Demikianlah mengenai Haji di
dalam al-Qur'an. Namun begitu, ia adalah hanya pendapat penulis yang tidak
terlepas daripada sebarang kebengkokan.
Walau apapun, perbezaan antara
amalan Haji di dalam al-Qur’an dengan yang lazim dilakukan oleh umat pada hari
ini, atas nama Nabi atau Rasul, adalah jelas kelihatan. Misalannya, musim Haji,
amalan melontar batu di Mina (yang sejak kebelakangan ini telah mengorbankan
banyak nyawa), tempat korban, sa'i di Safa dan Marwa, kunjungan ke Madinah, pakaian
ihram, mencium batu hitam, dan melambai Kaabah. Perkara-perkara yang
diada-adakan itu tidak disebut Allah di dalam Kitab ajaran-Nya. Mungkinkah Dia
telah terlupa? Firman-Nya:
"Kami tidak alpakan sesuatu
di dalam al-Kitab" (6:38).
Penulis Bacaan, 1999
(dikemaskini Disember 2002)