MALAM LAILATUL QADR
Laylatul Qadar atau Malam
al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh
umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT
:
Ertinya : "Malam
Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"
(Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW
bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW,
beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan,
tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no
1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi
SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam
ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila
telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam,
mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya
kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan
Muslim)
Waktunya
Malam Al-Qadar Indah Bagi
Orang Beriman
Para ulama antaranya Syeikh
Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di
sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi
mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan
malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya
yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan
sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang
sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini
tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat
sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut
sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah
amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah
berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada
dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami
keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap
siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini
hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut pandangan yang paling
kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir,
iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia
(malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali
lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan
puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada
malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan
oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam
sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
carilah malam alqadar dengan ikhlas dan amal
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap
Tahun?
Sebahagian ulama
mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan,
manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat
ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu'
6/450).
Selain dari itu, berdasarkan
dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam
terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi
kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya,
maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911
& Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu,
tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam
(terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi
SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra
bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana
beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada
tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang
menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar
dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa
Lailatul Qadar
Allah s.w.t pernah menegur
manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa.
Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara
manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di
dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat (
Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah
s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan
bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan
dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan
dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari
dunia.
Lihat doa yang diingini Allah
s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara
mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan
di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" (
Al-Baqarah : 201 )
Di malam-malam akhir ramadhan
ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang
disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah
Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar,
apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa
" Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi
ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang
menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)
Hadiith ini menyebabkan
setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam
al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.
Bagaimanapun, pandangan yang
lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia
mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah
individu diberi rezeki dan kelebihan
oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda
menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.
Tidak perlulah untuk solat
malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu
pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut
kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau
Hanya Beberapa Saat?
Saya masih ingat, semasa saya
berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan
rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini
beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.
Rupanya, ia hanya rekaan para
pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu
berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh
Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh)
kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )
Inilah yang diterangkan oleh
Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li
Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari
Berkatnya ?
Adakah wanita sedang haid
terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah
s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih
boleh dilakukan seperti :-
1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan
Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran
oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan
moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ
Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa
memegangnya (melalui hafazan), malah
sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka
membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar
memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan
kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.
Sekian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan