PUASA DI BULAN
RAMADHAN 2016
Masa berpuasa
ditetapkan dengan arahan Allah berbunyi,
“Dan makan dan
minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam,
pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam”
(2:187).
Maka umat Islam
berpuasa dari permulaan waktu fajar hingga masuk waktu malam. Akan tetapi
mereka yang menuruti ajaran ulama berpuasa dari waktu subuh hingga ke waktu
maghrib. Kedua-dua waktu ini dengan sebutan namanya saja menunjukkan kelainan
dengan waktu fajar dan malam seperti yang diajar oleh Tuhan.
Waktu subuh adalah
waktu sebelum fajar, sementara waktu maghrib pula adalah waktu sebelum malam.
Perkataan malam adalah “lail” dalam bahasa Arab. Dalam konteks al-Quran, waktu
malam adalah bermula pada jam selepas matahari terbenam, menurut pembahagian
jam siang dan malam.
Perkataan subuh dan
fajar ada kaitan dengan amalan solat. Daripada al-Quran, dan hadis, disebut
dengan jelas nama “solatil fajri”, atau solat fajar, bukan “solatil subhi”,
atau solat subuh, seperti yang diajar ulama. Justeru umat yang menuruti
petunjuk al-Quran memulakan puasa, setelah masuk waktu fajar, dengan solat
fajar dan mengakhirkannya dengan solat "maghrib". Selepas solat,
apabila gelap, mereka berbuka puasa.
Dengan itu, puasa bermula
pada kira-kira pukul 6.00 pagi dan berakhir kira-kira setengah jam selepas
masuk waktu WUSTA. Pada ketika matahari
terbenam sepenuhnya. Bermulanya siang pada selepas jam 7 pagi ke atas dan Bermulanya malam selepas matahari terbenam
pada jam 7 petang (Malam) ke atas.
Puasa bermaksud
menahan diri daripada makan dan minum (2:187). Larangan tambahan seperti
mengorek hidung atau telinga yang dikatakan boleh membatalkan pahala puasa
tidak dinyatakan di dalam al-Quran kerana tiada kaitan dengan makan dan minum,
atau bercakap bohong dan sebagainya yang tidak seharusnya dijauhkan semasa
dalam puasa sahaja. Lantas, puasa menurut ajaran Tuhan bebas daripada belenggu
yang dikenakan oleh ulama.
Bercampur dengan isteri
turut dilarang tetapi diharuskan pada waktu malam. Sebelum al-Quran turun ia
dilarang sama sekali sepanjang musim puasa.
Firman-Nya:
“Dihalalkan bagi
kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah
pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah tahu bahawa kamu
khianati diri-diri kamu sendiri, dan terima taubat kamu, dan maafkan kamu. Maka
sekarang campurilah mereka ….. dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun
(iktikaf) di masjid” (2:187).
Hanya orang yang sakit
atau dalam perjalanan sahaja dikecualikan daripada berpuasa (2:184 dan 2:185).
Orang yang tinggalkan puasa dihendaki berpuasa pada hari atau hari-hari lain
untuk mencukupkan bilangan hari. Bilangan hari untuk sebulan dalam kalendar
lunar ialah dua puluh sembilan atau tiga puluh.
Sekiranya dia tidak
mampu berpuasa pada hari-hari lain maka dia hendaklah menuruti ketetapan
daripada Allah yang berbunyi,
“Dan jika sesiapa
antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan daripada
hari-hari lain; dan bagi orang-orang yang tidak boleh, ditebus dengan memberi
makan seorang miskin, tetapi lebih baik baginya, yang buat kebaikan dengan
sukarela, bahawa kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu.”
(2:184).
Allah menegaskan
iaitu berpuasa adalah lebih baik daripada memberi makan kepada orang miskin
untuk orang yang tidak cukup bilangan hari puasanya. Ini ialah kerana kebaikan
yang tidak diketahui. Hanya yang diketahui dengan nyata mengenai kelebihan
berpuasa adalah daripada dapatan ahli filasafah, sains dan doktor. Pada
pendapat ramai daripada mereka, puasa adalah penting dalam kehidupan, kesihatan
dan proses penyembuhan yang diperlukan untuk mewujudkan semula kesihatan yang
baik apabila dihinggap penyakit.
Puasa adalah
satu-satunya terapi pemulihan yang semula jadi. Ia adalah unsur alam yang purba
lagi sejagat sebagai “ubat” untuk banyak masalah. Seperti haiwan dengan tingkah
laku kenaluriannya berpuasa apabila jatuh sakit. Ikan salmon perak berpuasa
berminggu-minggu lamanya ketika berenang ke hulu sungai yang jaraknya beratus
batu untuk bertelur. Ratu semut tidak makan apa-apa sehingga telurnya menetas.
Banyak jenis serangga dan haiwan berpuasa dalam hibernasi.
Hippocrates, bapa
perubatan, mensyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Katanya, “Apabila kamu
memberi makan kepada orang yang sakit, kamu memberi makan kepada penyakit.
Sebaliknya pula, jika kamu menahan makanan, penyakit itu akan menyurut.”
Penyakit seperti akne
dan ekzema, tinitus (bunyi dalam telinga yang kronik), gayat, fibromialgia,
glaukoma, displasia serviks, sakit leher dan pinggang yang kronik, polimialgia
reumatika, dan banyak yang lain boleh dibantu dengan puasa dalam proses
pemulihannya. Kepekakan pun dapat dipulihkan dengan berpuasa menurut suatu
laporan doktor yang disedarnya ketika merawat penyakit lain.
Tanda-tanda ketagihan
(withdrawal symptoms) dalam penagihan dadah seperti alkohol, kokaina, nokotina
dan kafeina dapat dihilangkan dengan cepat semasa pesakit berpuasa.
Puasa dikatakan juga
boleh beri manfaat kepada keadaan kesihatan seperti demam selesema,
aterosklerosis, flu, penyakit arteri koronari, bronkitis, angina pektoris,
pening atau sakit kepala, hipertensi, sembelit, diabetes atau kencing manis,
ketakcernaan, demam, cirit-birit, alahan alam persekitaran, penyakit lelah,
gemuk, insomnia, kanser, sakit kulit, dan epilepsi.
Amalan itu juga
didapati berkesan dalam beberapa kes keletihan terutamanya apabila ia
disebabkan oleh kongesi organ dan tenaga, dan kepada ramai pesakit mental, dari
kerisauan ke skizofrenia. Kesemua ini adalah hanya beberapa kelebihan dalam
amalan puasa yang dapat dikesan.
Allah, di dalam Kitab
petunjuk-Nya, tidak menyebut mengenai bentuk ganjaran atau pahala bagi orang
yang berpuasa. Dia hanya menyebut upah yang besar. Firman-Nya,
“Lelaki yang muslim
dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin,
dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan
perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan
lelaki yang rendah hati dan perempuan yang rendah hati, dan lelaki yang
bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan
perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan
yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang
mengingat - bagi mereka, Allah sediakan ampunan dan upah yang besar” (33:35).
Tidak juga disebut
oleh Allah mengenai puasa sunat yang begitu banyak dianjurkan oleh para ulama.
Selain bulan Ramadan, yang ditetapkan Allah, mereka menganjur puasa sunat pada
bulan Rejab, Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah kecuali pada Hari Raya Haji dan
Hari Tasyrik. Tambahan seperti ini mirip kepada perbuatan paderi atau rabai
agama Kristian atau Yahudi.
Contoh puasa sunat
rekaan ulama adalah “puasa enam” pada bulan Syawal, hari Asyura, hari Isnin dan
Khamis, puasa al Bidh (puasa bulan putih) pada tarikh 13,14, dan 15 setiap
bulan, Nispu Syaaban, dan tiga hari berturut-turut pada setiap bulan dengan
bulan pertama dimulai pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin, dan bulan kedua dari
hari Selasa, Rabu dan Khamis. Kemudian bulan ketiga mulai semula seperti bulan
pertama dan seterusnya.
Antara ganjaran
pahala yang dijanjikan para ulama (yang tidak dijanjikan Allah di dalam
al-Quran) untuk puasa sunat adalah pahala puasa setahun bagi puasa enam, pahala
puasa selama-lamanya bagi puasa al Bidh, dan pahala puasa sebulan bagi puasa
pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya.
Pahala puasa bulan
Rejab banyak disebut. Contohnya ialah puasa 3 hari pada bulan itu akan
diselamatkan oleh Allah daripada bahaya dunia, seksa akhirat, penyakit gila,
fitnah syaitan dan dajjal, dan 15 hari, Allah akan hapuskan dosa-dosanya yang
telah lalu dan mengganti semua kejahatan dengan kebaikan. Ada pula ajaran lain
yang menyatakan puasa 15 hari itu seperti puasa 100,000 tahun, dan 13 hari
seperti puasa 3,000 tahun, dan 14 hari seperti puasa 10,000 tahun.
Dikatakan juga puasa
sehari pada bulan Rejab dapat syurga yang tertinggi (Firdaus) sementara
pendapat lain yang menyatakan puasa sehari adalah seperti kerjakan ibadat
seumurnya. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan 2 sayap, terbang seperti
kilat diatas titi Sirotolmustaqim pada hari Qiamat. Ini semua adalah hanya
janji ulama yang tidak bersekutu dengan Allah dalam kerajaan-Nya. Namun
janji-janji seperti inilah yang buat mereka dikasihi oleh ramai orang Melayu.
Kesemua ajaran dan
janji ulama dalam puasa bulan Ramadan dan puasa sunat yang tidak disebut di
dalam al-Quran didapati tidak juga diajar oleh Rasul-Nya. Firman-Nya:
“Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu
Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami potong urat jantungnya,
dan tiadalah seseorang daripada kamu yang dapat menghalangi dia. Sesungguhnya
ia (al-Quran) adalah Peringatan bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan),
tetapi Kami tahu bahawa antara kamu ada yang mendustakan. Sesungguhnya ia
(al-Quran) adalah satu penyesalan bagi orang-orang tidak percaya, dan
sesungguhnya ia adalah yang benar yang diyakini, maka sanjunglah nama Pemelihara
kamu, Yang Agung” (69:44-52).
SELAMAT BERPUASA…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PLEASE COMMENT!