Selasa, 7 Jun 2016

NABI PANDAI MENULIS DAN MEMBACA!


7:157. Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy (UMMIYA), yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang beruntung."

7:158. Katakanlah, "Wahai manusia, aku adalah Rasul Allah kepada kamu semua, yang bagi-Nya kerajaan langit dan bumi. Tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka percayalah kepada Allah, dan Rasul-Nya, Nabi yang ummiy (UMMIYI), yang percayai Allah dan kata-kata-Nya, dan ikutlah dia supaya kamu dapat petunjuk."



Makna perkataan al-Qur'an ummiy telah dikelirukan oleh para ulama palsu Islam zaman dahulu.  Mereka mengertikan kalimat tersebut kepada buta huruf. Lalu Nabi Muhammad, "Nabi yang ummiy" (7:157-158), dikatakannya tidak pandai membaca dan menulis. Ajaran mereka diterima tanpa ragu oleh hampir seluruh umat Islam sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini.

SEBENARNYA AJARAN ITU ADALAH PALSU!

Kepalsuannya dapat didedahkan dengan menggunakan sumber rujukan utama bagi bahasa Arab iaitu kitab al-Qur'an. Ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat ummiy akan buktikan bahawa ajaran mereka bukan sahaja palsu tetapi berbau fitnah yang amat besar  ke atas Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, juga satu fitnah yang besar dalam  dalam Islam.

Antara ayat yang dimaksudkan berbunyi:

"Dia yang bangkitkan pada kaum yang ummiy(UMMIYYINA) seorang Rasul di kalangan mereka untuk bacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka," (62:2).

UMMIY
Kaum yang ummiy yang disebut di dalam ayat itu adalah MERUJUK KEPADA KAUM ARAB. Orang-orang Arab pada zaman Nabi Muhammad difahamkan berada di tahap tertinggi dalam kesusasteraan dengan karya-karya sastera yang bermutu dipamer dan digantung di Kaabah. Tentu itu tidak menggambarkan orang Arab jahiliah ketika itu berada dalam keadaan buta huruf. Mereka dikatakan jahililiah hanya dalam KEPERCAYAAN DAN TAUHID, bukan dalam pelbagai bidang lain seperti Menulis dan membaca Sastera yang mereka catat dalam objek-objek tertentu seperti kertas, kain, batu dan sebagainya.

Kalimat Ummiy, menurut al-Qur'an, bermaksud orang-orang yang tidak, atau belum, diberi sebarang Kitab oleh Allah. Ia juga bermaksud kaum Arab seperti yang telah disebut dalam ayat 62 : 2.

Kaum Yahudi pula telah diberi tiga buah Kitab melalui beberapa orang Nabi mereka. Mereka dipanggil ahli Kitab. Tetapi jiran mereka, orang-orang Arab, belum diberi sebarang Kitab pun sebelum al-Qur'an diturunkan kepada Nabi Muhammad. Lantaran, orang-orang Arab dikatakan ‘UMMIY’ sebab belum menerima Kitab Allah sejak dari Zaman Nabi Ismail yang mewarisi SUHUF IBRAHIM (87 : 19, 2 : 131-133)

untuk menjelaskan lagi dipetik sebuah ayat yang menunjukkan dengan jelas perbezaan antara ahli Kitab (orang yang telah diberi Kitab) dengan kaum ummiy(UMMIYYINA) (yang belum diberi Kitab) atau buta Kitab.

Firman-Nya:

"Dan daripada ahli Kitab ada yang, jika kamu percayakan dengan satu timbunan, dia akan kembalikan kepada kamu; dan antara mereka ada yang, jika kamu percayakan dengan satu dinar, dia tidak akan kembalikan kepada kamu, kecuali kamu selalu berdiri di atas (menagih) dia. Itu kerana mereka berkata, 'Tidak ada jalan atas kami terhadap orang-orang ummiy (UMMIYYINA :  BUTA ILMU).' Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:75)

Ayat di atas menunjukkan keengganan sesetengah orang Yahudi (ahli Kitab) untuk kembalikan "hutang" kepada orang Arab, yang ummiy (yang tidak diberi Kitab, atau buta Kitab), atas sebab "tidak ada jalan" bagi mereka terhadap orang ummiy. Sikap macam itu seakan sama dengan apa yang disemat di iman sesetengah orang Islam terhadap orang yang mereka anggap kafir pada hari ini.

Satu lagi ayat al-Qur'an dipetik untuk memantapkan lagi hujah dalam menunjukkan perbezaan tersebut, berbunyi:

"dan katakan kepada orang-orang diberi al-Kitab , dan orang-orang ummiy [UMMIYYINA :  BUTA ILMU yang tidak diberi Kitab), 'Sudahkah kamu tunduk patuh?'" (3:20)

Maka jelaslah iaitu kalimat ummiy tidak bermakna buta huruf, lantas, Nabi Muhammad bukanlah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis.  (Sila rujuk Kalimat ummiy di dalam al-Qur'an.)


Membaca

Selanjutnya, terdapat banyak ayat di dalam al-Qur'an yang mengisahkan Nabi disuruh oleh Allah supaya membaca ayat-ayat-Nya kepada orang-orang yang berada di kelilingnya. Itu menunjukkan Nabi pandai membaca. Antara ayat yang dimaksudkan adalah enam yang berikut:

"Dan kamu (Muhammad) BACAKAN  kepada mereka cerita dua orang anak Adam dengan sebenarnya ...." (5:27)

"Katakanlah, 'Marilah, aku (Muhammad) akan BACAKAN apa yang Pemelihara kamu mengharamkan kamu ....'" (6:151)

"Demikianlah Kami utus kamu (Muhammad) kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk BACAKAN mereka apa yang Kami wahyukan kamu ...." (13:30)

"Dan sebuah al-Qur'an yang Kami bahagi-bahagikan, untuk kamu (Muhammad) MEMBACAKANNYA  kepada manusia berjarak-jarak, dan Kami turunkannya dengan satu penurunan." (17:106)

"Aku (Muhammad) hanya diperintah untuk sembah Pemelihara tanah ini, yang Dia jadikannya suci; kepunyaan-Nya segala sesuatu. Dan aku diperintah supaya jadi antara orang-orang yang muslim, dan untuk BACA al-Qur'an ...." (27:91-92)

"Wahai ahli Rumah, Allah hanya hendak hilangkan kotoran daripada kamu, dan untuk bersihkan kamu, sebersih-bersihnya. Dan ingatlah apa yang DIBACAKAN di dalam rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah ...." (33:33-34).

Di sini, Nabi didapati membacakan ayat-ayat Allah kepada isteri-isterinya di rumah-rumah mereka.

Malahan, Rasul-Rasul Allah yang lain didapati pandai membaca kerana mereka ditugaskan untuk membaca ayat-ayat-Nya kepada manusia. Tugas itu adalah juga tugas Nabi Muhammad.

Dua ayat yang berikut jelaskannya:

"Kemudian orang-orang tidak percaya dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Jahanam, sehingga apabila mereka datang kepadanya, pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, 'Tidakkah Rasul-Rasul datang kepada kamu daripada kalangan kamu sendiri, dengan MEMBACAKAN  kamu ayat-ayat Pemelihara kamu, dan beri amaran kepada kamu terhadap hari pertemuan kamu ini?' Mereka berkata, 'Ia, benar ....'" (39:71)

"Dia yang bangkitkan pada kaum yang ummiy-UMMIYYINA : BUTA KITAB, seorang Rasul (Muhammad) di kalangan mereka untuk BACAKAN  ayat-ayat-Nya kepada mereka," (62:2)

Tambahan pula, adalah sukar untuk menerima hakikat bahawa seorang Nabi pilihan-Nya tidak tahu membaca walhal Dia menyuruhnya dan manusia lain supaya mengamalkan tabiat membaca, seperti firman-Nya - "Bacalah dengan nama Pemelihara kamu yang mencipta," (96:1)


MENULIS

Bukan sahaja didapati, di dalam al-Qur'an, yang Nabi pandai membaca, malah, baginda juga didapati pandai menulis. Kebenaran itu telah diakui sendiri oleh orang-orang tidak percaya yang tinggal bersamanya. Firman-Nya:

"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia TULIS, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.'" (25:5)

Terjemahan ayat tersebut telah menimbulkan keraguan sesetengah pihak. Betulkah ayat itu diterjemahkan? Untuk mengikis keraguan, pertama, dikemukakan sebuah tafsir kepada ayat yang sama, oleh Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus (Tafsir Quran Karim, cetakan ke-19, 1979, halaman 525) yang berbunyi:

"Mereka berkata: (Qur'an ini) kabar-kabar dongeng orang-orang dahulu kala, yang DITULISKAN oleh Muhammad dan DIBACAKAN (didiktekan) orang kepadanya pagi-pagi dan petang." (25:5)

Kedua, kalimat yang diterjemahkan kepada "menulisnya" ialah  ‘IKTATABA’. Kalimat itu penting kerana, difahamkan, mempunyai pengertian "menulis nota terutamanya apabila orang kedua sedang mengimlakkan."

Dan akhir sekali, terdapat sebuah lagi ayat yang bukan sahaja menyokong ayat 25:5 tadi bahkan mampu untuk hapuskan sama sekali keraguan terhadap Nabi yang dikatakan kini pandai membaca dan menulis, termasuk membaca dan menulis Kitab. Firman-Nya:

"Tidak sebelum ini kamu (Muhammad) baca sebarang Kitab, atau menulisnya dengan tangan kanan kamu; jika demikian, tentulah orang-orang yang ikut yang palsu menjadi ragu-ragu." (29:48)

AYAT ini menegaskan, Nabi tidak pernah membaca dan menulis sebarang Kitab sebelum menerima al-Qur'an. Bermaksud, selepas menerima al-Qur'an baginda telah membaca, dan menulis Kitab dengan tangan kanannya.  BUKANNYA tidak tahu atau tidak mahir membaca dan tidak mahir menulis. 

Malah, selama 35 tahun sebelum diangkat menjadi Rasul, adalah tidak lojik bahawa nabi tidak mempelajari penulisan dan pembacaan sejak dari itu. Bani Hasyim adalah bani terhormat dan menguasai aktiviti Mekah pada ketika itu.  Malah sejak zaman nabi Ismail lagi mereka sudah tahu menulis dan membaca Suhuf Ibrahim yang diwariskan oleh Nabi Ibrahim kepada Nabi Ismail dan kaumnya.  Malah nabi dikatakan pernaha mengetuai perdagangan ke Syam dengan arahan Khadijah yang belum menajdi isteri baginda.  Untuk menjadi seorang peniaga yang dipercayai boleh menguruskan aktiviti perniagaan, seseorang itu wajiblah tahu membaca dan mengira serta menulis.  Ia merupakan asas pengetahuan seorang peniaga Arab.  Jadi, adalah mustahil nabi tidak mahir menulis dan tidak mahir membaca!

Seterusnya, ayat itu juga tidak menunjukkan pula bahawa baginda tidak pernah membaca dan menulis sesuatu yang selain daripada Kitab sebelum menerima al-Qur'an (misalan, membaca dan menulis apa yang diperlukan dalam urusan perdagangannya).

Dengan adanya bukti-bukti yang jelas daripada Allah, maka terdedahlah fitnah yang kian lama dilakukan oleh para ulama palsu Islam ke atas Nabi Muhammad yang mereka siarkan sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau buta huruf.


Sesungguhnya mereka menghina Nabi dengan buat demikian meskipun mereka mendakyahkan iaitu merekalah orang-orang yang paling mengasihinya.  Malah hal ini menjadi satu asbab untuk mereka menyanjung malah sampai ke tahap menyekutukan ALLAH dengan Nabi Muhammad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!