Telah terbit satu
persoalan mengenai Rasul, yang mengakibatkan sesetengah pihak disangka jadi
Rasul pada hari ini. Sangkaan lahir daripada fahaman bahawa Rasul terdiri
daripada golongan manusia dan malaikat sahaja. Dan bahawa Rasul, menurut
al-Qur'an, didapati berada di kalangan masyrakat dewasa ini. Firman Allah,
"Bagaimanakah
kamu boleh tidak percaya sedang kepada kamu ayat-ayat Allah dibacakan, dan
Rasul-Nya berada di kalangan kamu? Sesiapa berpegang teguh kepada Allah, dia
diberi petunjuk pada jalan lurus." (3:101)
Kerana Rasul
dikatakan hadir pada hari ini maka dia disangka hanya terdiri daripada
orang-orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah, yang bilangannya didapati begitu
ramai.
Sedia maklum bahawa
ayat-ayat Allah yang diturunkan, antara lain, beri petunjuk kepada manusia pada
jalan lurus. Tugas itu, apabila direnungkan tidak hanya mampu dilaksana oleh
Rasul jenis manusia kerana sebuah Kitab pun mampu buat demikian. Lalu Kitab itu
boleh juga dianggap sebagai Rasul, seperti ditunjukkan dalam kandungan
Peringatan berbunyi,
"Wahai ahli
Kitab, sungguh telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan kepada kamu
banyak perkara yang kamu sembunyikan daripada Kitab, dan banyak yang dimaafkan.
Telah datang kepada kamu daripada Allah satu cahaya, dan sebuah Kitab yang
jelas.
Allah beri petunjuk
kepada siapa ikut kepuasan hati-Nya pada jalan-jalan kesejahteraan, dan
keluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dengan izin-Nya; dan Dia beri
petunjuk kepada mereka pada jalan lurus." (5:15-16)
Rasul dikatakan telah
datang dan apa yang dikatakan telah datang di situ dijelaskan lagi dengan frasa
sebuah Kitab yang jelas. Justeru, ayat tersebut dengan jelas membawa mesej
iaitu Rasul adalah Kitab.
Penurunan Kitab ambil
masa yang lama, di antara sebuah Kitab dengan Kitab yang lain (contoh, Injil
dan al-Qur'an yang memakan masa kira-kira 600 tahun, atau al-Qur'an hingga ke
hari ini selama lebih 1400 tahun). Kerana begitu lama mungkin terdapat
orang-orang di kalangan ahli Kitab menyatakan tidak ada sebarang pemberi berita
gembira mahu pun pemberi amaran datang kepada mereka. Namun Allah sangkal
mereka dengan ayat berikut:
"Wahai ahli
Kitab, sungguh telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan kepada kamu
pada satu masa jeda antara Rasul-Rasul, supaya kamu tidak kata, 'Telah tidak
datang kepada kami sebarang pembawa berita gembira, dan tidak juga sebarang
pemberi amaran.' Sungguh, telah datang kepada kamu pembawa berita gembira, dan
pemberi amaran; Allah berkuasa atas segala sesuatu." (5:19)
Dia menyatakan bahawa
Rasul merupakan pemberi berita gembira dan pemberi amaran. Pembawa dan pemberi
tersebut boleh berbentuk sebuah Kitab. Seperti Kitab al-Qur'an, yang tidak
dinafikan berfungsi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran menurut
firman berbunyi,
"Sebuah Kitab
yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang
tahu,
pemberi berita
gembira, dan pemberi amaran, tetapi kebanyakan mereka berpaling, dan tidak
mendengar." (41:3-4)
Serupa mana-mana
Rasul jenis manusia, al-Qur'an juga dikatakan memberi berita gembira dan beri
amaran, dan kerana mesejnya masih terpelihara hingga hari ini maka mana-mana
manusia tidak perlu lagi menganggap diri mereka sebagai Rasul. Kerana Rasul boleh berbentuk sebuah Kitab,
seperti al-Qur'an, sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, maka
Rasul kita pada hari ini ialah Kitab al-Qur'an.
Oleh itu ayat ini
bermaksud…
Katakanlah,
"Taatlah kepada Allah, dan Rasul." Tetapi jika mereka berpaling, maka
sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang tidak percaya (3:32)
Dan taatlah kepada
Allah dan Rasul supaya kamu dikasihani. (3:132)
Wahai orang-orang
yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, …… (4:59)
Wahai orang-orang
yang percaya, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah berpaling
daripada-Nya, sedang kamu mendengar. (8:20)
Adalah merujuk kepada
QUR’AN itu sebagai RASUL!
Sebab itulah Allah
tidak menyebut RASULULLAH atau NABI MUHAMMAD dalam ayat-ayat yang mengandungi “Taati ALLAH dan RasulNya.” Ini kerana RASUL bukan hanya Nabi Muhammad
seorang dan Kenabian itu telah ditutup
dengan Muhammad sebagai nabi terakhir.
Tetapi Rasul masih ada iaitu kitab terakhir iaitu kitab Qu’ran.
Terdapat banyak lagi
ayat-ayat yang berkaitan dengan subjek taat kepada Allah dan taat kepada Rasul.
Perhatikan di sini,
dalam semua ayat-ayat yang berkaitan dengan ‘taat’ , Allah pilih untuk
menggunakan perkataan ‘Rasul’ tidak ‘Muhammad’.
Allah, pencipta dan
pemelihara Quran, beritahu kita bahawa kesemua dalam cakrawala adalah dalam
penguasaanNya, termasuk Quran. Surah-surah, ayat-ayat, perkataan, nombor,
susunan, pemilihan sifat-sifat kata, nama-nama, kisah-kisah, panjang pendeknya
ayat dan surah..… kesemuanya adalah dibuat dan dipilih oleh Allah, dengan
sengaja dan dengan tujuan khusus.
…... Kami tidak
alpakan sesuatu di dalam al-Kitab; ….. (6:38)
Pembaca, pemerhati
dan yang percaya kepada Quran sudah tentu memahami, dengan izin Allah bahawa
Allah yang mengajar kita Quran, dan bukannya hadith-hadith susunan manusia.
Yang Pemurah, ajar
al-Qur'an. (55:1-2)
Maka, dalam percubaan
untuk memahami sesuatu subjek dalam Quran, kita perlulah rujuk kepada Quran itu
sendiri. Oleh kerana Allah mengatakan Dia yang mengajar Quran, dan dia tidak
berkomunikasi terus dengan kita, maka Quran sajalah yang kita boleh buat bahan
rujukan untuk memahami Quran.
Kita perhatikan
bahawa Allah secara konsisten sebut dalam ayat-ayatNya “taat kepada Allah….”
dan diikuti dengan perkataan “Rasul” dan tidak “Muhammad”.
Dalam Quran Allah
menyebut nama ‘Muhammad’ hanya pada empat ayat (3:144, 33:40, 47:2 dan 48:29),
dan tiada satu pun berkaitan secara langsung dengan subjek taat. Lebih dari 25
kali Allah menyuruh kita taat kepada Rasul, tidak sekali pun Allah menyebut
“taat kepada Muhammad”
Adakah ini secara
kebetulan sahaja? Atu adakah ianya suruhan yang disengajakan?
Hanya “orang-orang
yang percaya” percaya bahawa semua dalam dunia Allah ini adalah disengajakan
dengan keinginan Allah. Tiada suatu pun dengan secara kebetulah saja. Ayat-ayat
yang digunakan pun adalah secara sengaja dengan tujuan, tidak secara kebetulan.
Katakanlah,
"Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut
itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami datangkan
pengisian semula yang serupa dengan itu." (18:109)
Sekarang, cuba kita
fahami apa Allah mengajari kita berkenaan nabi Muhammad.
Katakanlah, "Aku
hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu; diwahyukan kepadaku bahawa
Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu…..(18:110)
Allah yang Maha
Mengetahui, tahu bahawa nabi Muhammad, sebagai manusia menjalani kehidupan
hariannya sebagaimana manusia lain. Dia makan dan minum, tidur, berkeinginan,
bernafsu, berkeluarga, buat kesilapan, berperasaan takut, rungsing, sakit,
dsbnya. Muhammad adalah Rasul hanya kerana mesej yang diberikan melaluinya,
yaitu Quran. Begitu juga Rasul-Rasul lain yang diberikan kitab-kitab. Muhammad
tanpa Quran adalah seorang manusia biasa macam kita semua.
Wahai Rasul,
sampaikanlah apa-apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu kerana,
jika kamu tidak buat, tidaklah kamu sampaikan Mesej-Nya. Allah lindung kamu
daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum tidak
percaya.
(5:67)
Allah, bila
menggunakan perkataan ‘Rasul’ mahukan subjek taat jadi jelas, yaitu supaya
manusia mentaati seseorang empunya mesejNya, bukan mentaati peribadi atau
mentaati Muhammad atas perkara-perkara lain.
Taati Rasul adalah
bergantung kepada adanya mesej, yaitu Quran. Taati Rasul oleh sebab mesej yang
dia diberi, yaitu Quran. Taati Rasul bermaksud ikut mesej yang diberi
kepadanya, yaitu Quran.
Menyimpan janggut,
pakai jubah singkat atas buku lali, jilat jari selepas makan, memakai serban
dan sebagainya tidak termasuk dalam konsep taati Rasul, kerana semua itu tidak
dijelaskan dalam Quran.
Nabi Muhammad tanpa
Quran adalah manusia biasa. Walau pun dalam status Rasul, dia masih mempunyai
perwatakan, perangai dan nafsu manusia biasa. Sebagai contoh, Allah mencerikan
dalam Quran yang dia bermasam muka dengan seorang buta (80:1-11) sehingga Allah
menegurnya, ada ketika dia takutkan manusia sedangkan dia sepatutnya takut
kepada Allah (33:37) dan dia pernah mengharamkan apa yang tidak sepatutnya
(66:1).
Itu sebab tiada tiada
satu pun suruhan atau arahan supaya kita mentaati Muhammad. Kalaulah kita ambil
konsep “taat kepada Rasul” sebagai taati Muhammad sebagai manusia, sudah tentu
kita juga mesti bermasam muka kepada yang buta dan miskin. Kita mesti lakukan
lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh Muhammad sebagai manusia biasa. Sudah
tentu tidak begitu. Kita disuruh mentaati Rasul sebab mesej yang dibawanya,
Quran mewajibkan kita mentaati Rasul. Mentaati mesej ialah mentaati Rasul.
Satu contoh perbezaan
di antara mentaati Rasul (oleh sebab dia membawa Quran) dan mentaati manusia
ialah dua ayat berikut :
Wahai isteri-isteri
Nabi, sesiapa antara kamu yang lakukan kesumbangan yang nyata, baginya azab
akan digandakan dengan dua kali ganda; itu, bagi Allah, mudah.
(33:30)
Tetapi sesiapa antara
kamu yang patuh kepada Allah, dan Rasul-Nya, dan buat kerja-kerja baik , Kami
akan beri upahnya dua kali; Kami sediakan untuknya rezeki yang mulia.
(33:31)
Perhatikan di sini,
arahan kepada isteri-isteri nabi ialah supaya patuh kepada allah dan Rasul,
bukannya kepada suami atau pun Muhammad. Sekiranya Allah menyuruh mereka patuh
kepada suami (perkataan suami digunakan), sudah tentu ianya jadi satu arahan
mutlak supaya isteri-isteri patuh kepada suami, tanpa syarat atau kelonggaran.
Kita mesti ingat Allah tidak kekeringan atau kesuntukan perkataan (18:109).
Disebaliknya Allah mahukan mereka, isteri-isteri nabi patuh kepada Rasul dengan
mesej yang ada padanya.
Sebagai manusia,
Muhammad telah diberi penghormatan besar apabila dipilih untuk menjadi Rasul
Allah yang terakhir untuk sampaikan mesej yang terakhir, yaitu Quran. Budi
pekertinya dijelaskan sebagai berikut,
Sesungguhnya kamu
adalah di atas budi pekerti yang besar.
(68:4)
Pun begitu, kita
mesti ingat supaya tidak bezakan Muhammad sebagai Rasul dengan Rasul-Rasul Alah
yang lain (2:285). Yang perlu kita
memahami dan bezakan ialah di antara :
mentaatinya dengan
tunduk patuh kepada mesej (Quran)
dengan….
mentaatinya dengan
meniru apa yang dia buat sebagai manusia biasa.
Yang sedihnya, ramai
orang yang menganggap Islam itu akan lebih sempurna dengan beri penekanan silap
dan lebih kepada meniru cara hidup harian nabi Muhammad dan ulamak-ulamak pada
masa lampau. Pakai jubah, pakai serban, berus gigi pakai kayu sugi, makan
sambil berlutut dan bermacam-macam lagi, tapi unta tak nak naik, nak naik Honda
Accord. Itu semua adalah hak individu. Tetapi untuk mengatakan pakai jubah dan
simpan janggut dapat pahala adalah memandai-mandai lebih dari Allah. Allah ada
sebut janggut dalam Quran, tapi pasal Musa memegang janggut Harun, tidak pasal
galakan atau pahala menyimpan janggut.
Tidak boleh
dinafikan, kita mesti mentaati Rasul. Bagi mereka yang menerima Quran, mereka
menerima arahan daripada Allah untuk “mentaati Rasul” dengan ikut mesejnya,
Quran. Hanya Quran. Bila nabi Muhammad meninggal dunia, dia tinggalkan kepada
kita hanya satu kitab yaitu Quran.
Bila Allah beritahu
nabi Muhammad dalam Quran, Pada hari ini, Aku sempurnakan agama kamu untuk
kamu, dan Aku cukupkan rahmat-Ku ke atas kamu, dan Aku puas hati Islam sebagai
agama untuk kamu. …. (5:3) Muhammad ada hanya ada satu kitab yaitu Quran. Dia
beri kita satu definasi islam, yaitu yang ada hanya dalam Quran, bukannya
campuran-campuran palsu hasil dari ciptaan-ciptaan manusia sebgaimana yang
banyak terdapat sekarang ini.
Dalam menyuruh
manusia mentaati Allah dan Rasul, Allah tahu bahawa manusia akan mengabaikan
Quran dan sebaliknya beri tumpuan lebih kepada tulisan-tulisan ciptaan manusia.
Rasul berkata,
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai
suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PLEASE COMMENT!