ALLAH S.W.T
Berfirman :
"Oleh itu, masukilah pintu-pintu
neraka, tinggal kekalah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu)
seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur".
Dan ditanya pula kepada orang-orang yang
bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan
oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang
berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan
negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah
sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.
(Untuk
mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang
mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang
mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa,
(Iaitu)
mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci
(dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka:
"Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal
baik yang telah kamu kerjakan".
(Apakah
yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu
melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau
kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka). Demikianlah juga yang
dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu
dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menganiaya diri sendiri.
Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai
balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka
sebagai balasan bagi apa yang mereka telah ejek-ejek dahulu.
Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik:
"Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain
daripadanya sesuatupun, - (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami; - dan
tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan
perintahnya". Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang
terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah
semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain
daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?
[ Q.S. AN-NAHL 16 : 29-35 ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PLEASE COMMENT!