Ahad, 29 Ogos 2010



Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.  

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.
Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

Setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 53 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!