Jumaat, 13 Januari 2017

SOLAT MENURUT QUR'AN 2 - 2017 ???

SOLAT MENURUT QUR’AN 

Solat bermaksud HUBUNGAN, berhubung dalam bentuk yang ditentukan oleh ALLAH melalui Al-Qur'an yang penuh Hikmah dan Petunjuk yang mulia. Perkataan Solat disebut sebanyak 67 kali dalam Qur'an.

Ada 2 jenis Solat :

-  Solat mengingati ALLAH melalui Ritual (Dirikanlah Solat) - Habluminallah.
-    Solat jenis berhubung Bukan Ritual dengan Makhluk ALLAH (Lakukanlah solat-Hubungan) - Hambulumminannaas


SOLAT RITUAL

Yang dijelaskan di sini adalah jenis solat yang pertama iaitu SOLAT mengingati ALLAH dengan Ritual.


Solat umat Islam dikatakan telah diajar oleh Rasul. Maka ia adalah Sunnah Rasul. Para ulama tidak pernah mengakui bahawa solat adalah “Sunnah” Allah, iaitu suatu amalan yang diajar Allah melalui Kitab-Nya, al-Qur’an. Sebaliknya mereka selalu berkata "Manakah ada cara bersolat di dalam al-Qur’an!"

Kertas ini menjawab soalan tersebut. Di dalam jawapan ini, segala keterangan dirujuk kepada al-Qur’an sahaja, dan keterangan yang akan dikemukakan akan menyinggung perasaan kerana bercanggah dengan amalan solat biasa umat Islam. Segala hujah yang dikemuka bukanlah untuk buktikan umat telah tersilap, tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an mengenai solat, di samping menjawab cabaran ulama tadi.


NAMA DAN WAKTU SOLAT

Penjelasan dimulakan dengan memperihalkan nama bagi tiap-tiap solat. Terdapat hanya tiga nama solat di dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini menunjukkan waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi:

"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114)

Solat yang pada waktu tepi siang pertama ialah solat fajar, sementara solat wusta, atau solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada awal malam itu ialah solat isyak dalam zon Malam di mana kita berbuka puasa.

SOLAT FAJAR  bermula pada waktu Fajar.  Waktu Fajar digambar dalam ayat ini :

“….Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada FAJAR...” (2:187)---Pada waktu inilah solat Fajar didirikan.

SOLAT WUSTA - Perkataan "WUSTA" ingin dijelaskan lagi di sini. Ia bermakna "di tengah", dan menurut pendapat saya, maksudnya adalah waktu yang di tengah di antara dua solat iaitu Waktu Solat Fajar dan Waktu Solat isyak.  Waktu yang pendek ini dikenali umum sebelum Maghrib atau Akhir Asar(Petang).  Lantas, waktu solat Wusta adalah sebelum terbenam matahari, iaitu di tepi siang yang kedua.

SOLAT ISYAK bermula pada waktu fizikal matahari terbenam sepenuhnya. Yang kita kenali sebagai waktu maghrib atau Senja. Ketika matahari terbenam inilah waktu berada dalam zon malam.  Waktu berbuka puasa(2:187) dan waktu solat Isyak(17:78)

 “….Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada Fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai MALAM,...” (2:187)

"Lakukan solat dari terbenam matahari hingga kegelapan MALAM" (17:78).


NAMA SOLAT YANG TIADA KAITAN DENGAN AJARAN ALLAH

Walaupun nama-nama lain yang lazim digunakan untuk solat, seperti Solat Zuhur, Solat Asar, Solat Maghrib dan Solat Subuh, tercatat di dalam al-Qur’an, namun mereka tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat.

Umpamanya nama "MAGHRIB", ia bukan sahaja bukan nama solat, tetapi juga bukan nama waktu. Ia sebenarnya adalah suatu arah, iaitu barat, seperti yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi :

"Kepunyaan Allah Timur(Masyrik) dan Barat(Maghrib)" (2:115)

Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu miliki, dan mereka di antara kamu yang belum cukup umur, minta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat fajar, dan apabila kamu tanggalkan pakaian kamu pada WAKTU ZUHUR, dan selepas solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58)

Sementara "ASAR" di dalam al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" dan tiada kaitan dengan solat seperti yang terdapat pada ayat yang berbunyi "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2)

Bukan sahaja tidak disebut nama solat maghrib, atau solat zuhur, atau solat asar di dalam al-Qur’an, tetapi juga, turut tidak disebut adalah nama "solat subuh". Subuh dan fajar, seperti nama dan sebutan bunyinya yang berlainan, adalah dua masa atau waktu yang berlainan. Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam. Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan didapati tiada kaitan dengan solat langsung.

Manakala, 'SOLAT JUMAAT' yang biasa dinamakan sebagai solat pengganti Solat Zohor setiap hari Jumaat di kalangan umat Sunni adalah tidak tercatat dalam mana-mana ayat Qur'an. dan ini sudah jelas bukan ajaran ALLAH.

.... TETAPI!

SOLAT PADA HARI JUMAAT" dinyatakan dalam 62:9-11, adalah solat Memuji ALLAH yang dilakukan pada waktu ZOHOR (30:18) yang khusus berlaku dan diwajibkan pada hari JUMAAT sahaja(62:9). Solat 2 rakaat ini adalah diwajib kepada semua orang secara BERJUMUAHT atau BERJEMAAH (62:10, 4:102) tidak kira lelaki atau perempuan(20:132).  Solat ini TIDAK digelar sebagai SOLAT JUMAAT.  Tetapi digelar sebagai "SOLAATI MIYYAUMIL JUMUAHT".


DITENTUKAN

Solat hendaklah dilakukan pada waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi:

"Sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103)

Tiada terdapat pula satu ayat pun di dalam al-Qur’an yang membolehkan solat itu dilakukan pada waktu yang bukan waktunya, seperti mengqadarkannya atau menjamakkannya. Walau dalam keadaan apapun solat hendaklah dikerjakan. Ayat yang berikut jelaskannya:

"Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239)

Seperkara lagi, daripada ayat tersebut, umat diingatkan supaya lakukan solat seperti yang diajar oleh Tuhan - segala ajaran Tuhan terkandung di dalam al-Qur’an.


RAKAAT

Rakaat solat tidak disebut dalam Qur’an.  Tetapi dapat dijelaskan dalam ayat ini.  Solat yang  didirikan bermula dengan berdiri, rukuk dan Sujud dilaksanakan oleh dua golongan sepertiyang dinyatakan.  Kamu itu merujuk kepada ‘Nabi’ yang berperanan sebagai Imam kepada Jemaah dua golongan.  Imam tidak menghentikan solat sebaliknya melakukan solat dua kali secara terus untuk memimpin dua golongan tersebut. Golongan pertama yang bersolat ini tamat solatnya apabila tamat sujudnya dan kemudian keluar dari tempat solat untuk memberikan peluang kepada golongan kedua yang belum solat untuk melaksanakan solat bersama nabi.  Renungkan ayat ini :

 “Apabila kamu di kalangan mereka, dan lakukan SOLAT bagi mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka BERDIRI bersama kamu, dan hendaklah mereka ambil senjata-senjata mereka. Apabila mereka SUJUD, hendaklah mereka berada di belakang kamu, dan hendaklah SEGOLONGAN lain yang belum SOLAT datang, dan SOLAT bersama kamu, dengan mengambil kewaspadaan mereka dan senjata-senjata mereka…” [4:102]


WUDUK

Mengenai wuduk pula (perkataan "wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini dijelaskan dengan ayat yang berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6)

Ayat ini telah juga disebut oleh Rasul, dan baginda tidak mungkin menambah bahagian-bahagian anggota yang lain dalam wuduk kerana jika baginda buat demikian maka Allah akan membunuhnya. Firman-Nya

"Sekiranya dia (Muhammad) mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46)


KIBLAT

Kiblat menurut al-Qur’an ialah Masjidil Haram, yang di tengahnya terletak Kaaba. Rasul sendiri telah mencari-carinya dahulu lalu Allah tunjukkan kepadanya melalui ayat yang berikut:

"Kami lihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan palingkan kamu kepada kiblat yang kamu puas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. orang-orang diberi al-Kitab tahu bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka kerjakan." (2:144)


PAKAIAN

Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh ambil perhiasan di setiap masjid, yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya,

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31).


BERHUBUNG/ BERKOMUNIKASI

Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan bahagian-bahagian anggota badan yang tertentu. Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya:

"Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45)

Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya di dalam al-Qur’an.

Solat bukan sahaja masa untuk memohon pertolongan tetapi juga suatu masa untuk mengingati-Nya. Ini dijelaskan dengan sebuah ayat lain berbunyi

"Dan lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)


BAHASA

Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang lakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan," (4:43)

Setelah dilarang kerjakan solat apabila segala yang diucap tidak difahami dan seseorang itu terus bersolat juga, maka apakah hukumnya? Ingin diingatkan di sini bahawa Iblis telah jadi kafir setelah mengingkari hanya satu (sahaja) perintah Allah!

Oleh itu sekiranya anda seorang melayu, maka guna saja Bahasa melayu.  Begitu juga kepada bangsa lain. Bahasa mengikut Bahasa yang ibunda atau yag difahami oleh mereka.  Namun, sekiranya dia ingin menggunakan Bahasa Arab pun tiada masalah.  Yang penting difahami.


SUARA

Nada suara dalam solat tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah untuk semua solat. Firman-Nya:

"Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110)

*Sederhanakan nada suara.


SERU

Solat dimulakan dengan menyeru Nama-Nya, seperti Allah, atau Ar-Rahman (Yang Pemurah) atau mana-mana nama-Nya yang indah yang diajar di dalam al-Qur’an (nama Allahu Akbar tiada di dalamnya). Firman Allah:

"Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik.’ (17:110)

Ayat yang menyusulinya menetapkan apa yang harus diucap selepas seruan itu, iaitu:

"Dan katakan, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak ambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.’" (17:111)


BACAAN

Bacaan di dalam Solat boleh dipetik daripada mana-mana ayat yang sesuai yang berjumlah dengan banyak di dalam al-Qur’an. Pilihan adalah berdasarkan keperluan dan selera sendiri kerana solat adalah suatu alat perhubungan yang amat peribadi antara hamba dan Pemeliharanya.

Sebagai contoh, ayat yang lazim diucapkan umat Islam pada permulaan solat mereka berbunyi "Inna solati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillaahi rabbil aalamiin" yang bermakna, "Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, untuk Allah, Pemelihara semesta alam". Ini sebenarnya adalah ayat 6:162 di dalam al-Qur’an.

Akan tetapi, di dalam al-Qur’an ayat tersebut bermula dengan kata "qul" atau "katakanlah", iaitu "Qul inna solati wanusuki..." atau "Katakanlah, ‘Sesungguhnya solatku, dan ibadahku ...."

tinggalkan kata "qul" atau "katakanlah" pada ayat ini di dalam solat adalah wajar kerana ketika itu umat bercakap dengan-Nya. Mahukah kita menyuruh Dia dengan "Katakanlah ..."?

Justeru itu, pada ayat-ayat lain seperti "Qul a’udzu birabbin naas ...." (Surah 114) yang bermaksud "Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Pemelihara manusia ....’", atau "Qul huwal laahu ahad ..." (Surah 112) yang bermakna "Katakanlah, ‘Dialah Allah yang satu ...", haruslah ditinggalkan qulnya juga kerana meninggalkannya adalah amat munasabah.



AKULAH ALLAH

Sesetengah pihak mendakwa bahawa solat adalah masa untuk membaca al-Qur’an. Ini tidak benar, kerana amalan kerjakan solat dan membaca al-Qur’an adalah dua perintah Tuhan yang berlainan, seperti yang disebut di dalam ayat 73:20. Seterusnya ada juga orang yang mendakwa bahawa mana-mana ayat al-Qur’an boleh dibaca dalam solat. Ini juga tidak benar. Sebagai contoh, bolehkah dibaca ayat al-Qur’an yang berikut di dalam solat:

"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)

Mahukah diucap kata-kata tersebut kepada Allah, walaupun ia ayat al-Qur’an?


HANYA ALLAH

Solat adalah hanya untuk Allah. Lalu hanya nama-Nya harus diseru. Firman-Nya,

"Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik." (17:110)

"lakukan solat untuk mengingati Aku." (20:14)

"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun." (72:18)


LAKU / PERBUATAN SOLAT- BERDIRI, RUKUK DAN SUJUD

Berdiri, rukuk (tunduk) dan sujud disebut berulang kali di dalam al-Qur’an. Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengannya adalah keputusannya yang paling baik untuk dirinya. Begitu juga dengan bacaan bagi tiap-tiap laku, terpulanglah kepada individu untuk memilih ayat-ayat yang bermakna lagi wajar dalam solatnya. Mungkin boleh dipersoalkan bagaimana orang-orang yang berikut, iaitu orang-orang yang telah dijanjikan Allah dengan janji yang baik, lakukan solat mereka? Firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)

Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah ambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun semasa tunduk:

“Dan Daud sangka Kami mengujinya; lalu dia minta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia berkesesalan” (38:24).

Atau semasa sujud, ambillah pengajaran daripada ayat-ayat di bawah ini:

2:58. Dan apabila Kami berkata, "Masuklah bandaraya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana sahaja kamu hendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan katakan, 'Tidak membebankan'; Kami akan ampunkan kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan tambahkan kepada orang-orang buat baik."

22:26. Dan apabila Kami menempatkan untuk Ibrahim tempat Rumah, "Janganlah kamu sekutukan Aku dengan sesuatu. Dan kamu bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud.

17:107-108. Katakanlah, "Percayalah kepadanya, atau tidak percayai; orang-orang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan.'

25:64-65. Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri,

32:15. Orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diingatkan dengannya jatuh bersujud, dan mereka sanjung dengan memuji Pemelihara mereka,

50:40. Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan pada hujung-hujung sujud.

*Oleh itu kelakuan solat ritual adalah Bermula dengan Berdiri dengan Khusyuk, Rukuk dan akhirnya Sujud. 

BERDIRI DENGAN KHUSYUK (2:238, 22:26)
Postur berdiri adalah sepertimana askar berdiri.  Ini merupakan cara berdiri yang efektif dan efesyen sama ada dalam menyampaikan maklumat, laporan atau berkomunikasi dengan ketua dan menerima arahan.  Ini merupakan Bahasa badan yang terbaik dalam komunikasi.  Bacalah surah Al-Fatihah dan ayat-ayat yang sesuai untuk berkomunikasi dengan Tuhan. Seperti doa-doa dan puji-pujian kepada Tuhan.

RUKUK (22:77)
Rukuk ialah membongkok ke depan dan meletakkan genggaman tangan ke lutut. Adalah postur tubuh yang bagus dalam simbolik sembah hormat.  Dalam posisi ini, komunikasi antara dua pihak lebih kepada menyanjungi lawan bicara.  Ia sangat efektif dalam postur penghormatan dan sanjungan dalam sudut 90 darjah. Bacalah ayat Puji-pujian dan sanjungan.
* --- “Subhanaka wal hamduka- ya ‘Aliiyu, Ya Adziim”

[Engkau disanjung dan segala puji bagiMu(2:32, 1:2), Yang Tinggi(87:1), Yang Agung." (2:255)]”

SUJUD (22:77, 32:15)
Postur tubuh ini sangat efektif dalam penyembahan dan penyerahan total kepada yang disembah.  Komunikasi lebih kuat dirasakan oleh penyembah.  Tangan ditekan pada permukaan lantai padaa aras telinga.  Sepertimana sujud umat Islam yang biasa kita lihat hari ini.  Kaki dibengkokkan dalam sudut 90 darjah. Ini merupakan akhir kelakuan ritual solat.   Bangun dari sujud bermakna telah tamat solat ritual. Bacalah ayat puji-pujian dan sanjungan dan mohon ampun dalam Doa khusus.
* --- “Subhanaka wal hamduka- ya ‘Aliiyu, Ya Adziim”
[Engkau disanjung dan segala puji bagiMu(2:32, 1:2), Yang Tinggi(87:1), Yang Agung." (2:255)]”


BACAAN AKHIR SOLAT

Seperti mana-mana seruan kepada-Nya, solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi:

"Dan akhir seruan mereka, ‘Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10)

Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70)


SOLAT BERJEMAAH / BERJUMUAHT/ BERKUMPUL
Solat berjemaah atau berkumpul dilakukan dalam 3 waktu solat yang dinyatakan dalam Qur'an. 

Renungkan ayat-ayat ini :

2:43. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk.

62:9. Wahai orang-orang yang percaya, apabila dipanggil untuk solat pada hari berkumpul(Jumuaht),…



4:102. Apabila kamu di kalangan mereka, dan lakukan solat bagi mereka,…


PENUTUP 

Oleh itu, Solat adalah berjumlah 3, iaitu Solat Fajr, Solat Wusta dan Solat Isyak setiap 3 waktu, setiap hari. Dan Solat Pada Hari Jumaat, yang dikhususkan pada Hari JUMAAT di waktu Zohor secara berjemaah sekali seminggu sahaja.

Banyak telah diperkatakan mengenai solat menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an di sini. Tentulah ia didapati bertentangan dengan ajaran para ulama yang menyatakan solat mereka datang dari Rasul atau sunnahnya. Walhal, di dalam kelima-lima kitab hadis terbesar di dunia mereka, tidak terdapat keperincian dalam lakukan solat seperti yang diajar kepada umat. Yang terdapat hanyalah beberapa hadis Nabi mengenai solat yang tidak diamalkan oleh mereka yang juga tidak diajar kepada umat Islam yang menuruti mereka dengan taat.



Isnin, 9 Januari 2017

SURAH ORANG YANG MUKMIM @ AL-MUKMIN ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih. 
40:1. Ha Mim. 
40:2. Penurunan Kitab adalah daripada Allah, Yang Perkasa, Yang Mengetahui, 
40:3. Pengampun kesalahan, Penerima taubat, Keras dalam balasan-Nya, Yang Mewah; tidak ada tuhan melainkan Dia, dan kepada-Nya kepulangan.
40:4. Tiada, kecuali orang-orang tidak percaya mendebatkan ayat-ayat Allah; maka jangan kamu tertipu dengan ulang-alik mereka di dalam negeri. 
40:5. Kaum Nuh, sebelum mereka, telah dustakan, dan golongan-golongan selepas mereka; tiap-tiap umat bermaksud terhadap Rasul mereka, untuk mengambilnya, dan mereka membantah dengan yang palsu untuk menyangkal yang benar dengannya. Kemudian Aku ambil mereka; dan bagaimanakah dengan balasan-Ku! 
40:6. Begitulah, Kata Pemelihara kamu telah wajar ke atas orang-orang tidak percaya bahawa merekalah penghuni-penghuni Api. 
40:7. Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan percayai-Nya, dan mereka minta ampun untuk orang-orang yang percaya, "Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat, dan ikut jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim. 
40:8. Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka ke Taman Adn yang Engkau janjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
40:9. Dan lindungilah mereka daripada kejahatan-kejahatan; sesiapa Engkau lindung daripada kejahatan-kejahatan pada hari itu, kepadanya Engkau mengasihaninya; dan itulah kemenangan yang besar."
40:10. Diumumkan kepada orang-orang tidak percaya, "Sungguh, kebencian Allah adalah lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri-diri (sesama) kamu, ketika kamu diseru kepada keimanan, dan kamu tidak percaya."
40:11. Mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau matikan kami dua kali, dan dua kali Engkau hidupkan kami; dan kami akui kesalahan-kesalahan kami. Adakah sebarang jalan untuk keluar?" 
40:12. Itu adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai. Putusan adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar.
40:13. Dia yang memperlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Nya, dan turunkan kepada kamu dari langit, rezeki; namun begitu, tiada yang mengingati kecuali orang yang berkesesalan. 
40:14. Maka serulah Allah, dengan menuluskan agama kamu untuk-Nya, meskipun orang-orang tidak percaya membencinya. 
40:15. Yang naikkan darjat, Yang mempunyai Arasy, lemparkan Roh daripada perintah-Nya kepada sesiapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya, supaya dia beri amaran kepada mereka mengenai Hari Pertemuan, 
40:16. Pada hari mereka pergi, dan tiada daripada kepunyaan mereka tersembunyi daripada Allah. "Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?" "Kepunyaan Allah, Yang Satu, Yang Menakluki. 
40:17. Pada hari ini tiap-tiap jiwa dibalas dengan apa yang ia usahakan; tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah cepat buat hitungan."
40:18. Dan berilah mereka amaran mengenai Hari Yang Dekat, apabila, tercekik dengan penderitaan, hati-hati berada di kerongkongan, dan orang-orang zalim tidak ada seorang sahabat setia, dan tidak ada pengantara untuk ditaati.
40:19. Dia tahu pengkhianatan mata, dan apa yang dada sembunyikan.
40:20. Allah memutuskan dengan adil, dan orang-orang yang mereka seru, selain daripada Dia, tidak memutuskan sesuatu pun. Sesungguhnya Allah, Dia Yang Mendengar, Yang Melihat.
40:21. Apa, tidakkah mereka mengembara di bumi dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka? Mereka lebih kuat daripada mereka sendiri dalam kekuatan, dan mereka tinggalkan bekas-bekas yang lebih kukuh di bumi; namun begitu, Allah ambil mereka dengan kesalahan-kesalahan mereka, dan mereka tidak ada sesiapa untuk pertahankan mereka daripada Allah.
40:22. Itu adalah kerana Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas; tetapi mereka tidak percaya, maka Allah ambil mereka. Sesungguhnya Dia Kuat, keras dalam balasan-Nya.
40:23. Dan Kami utus Musa dengan ayat-ayat Kami, dan satu kuasa yang nyata, 
40:24. Kepada Firaun, dan Haman, dan Karun; mereka berkata, "Seorang ahli sihir yang dusta!"
40:25. Dan apabila dia datangkan kepada mereka yang benar daripada Kami, mereka berkata, "Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang percaya bersama dia, dan biarkan hidup perempuan-perempuan mereka." Tetapi muslihat orang-orang tidak percaya adalah dalam kesesatan. 
40:26. Dan Firaun berkata, "Biarlah aku bunuh Musa, dan hendaklah dia menyeru Pemeliharanya. Aku takut bahawa dia akan tukarkan agama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di bumi."
40:27. Dan Musa berkata, "Aku berlindung pada Pemeliharaku, dan Pemelihara kamu, daripada setiap orang yang sombong, dan tidak percayai Hari Perhitungan." 
40:28. Kemudian berkata seorang lelaki yang mukmin daripada keluarga Firaun yang sembunyikan keimanannya, "Apa, adakah kamu akan bunuh seorang lelaki kerana dia berkata, 'Pemeliharaku ialah Allah' walaupun dia datangkan kepada kamu bukti-bukti yang jelas daripada Pemelihara kamu? Jika dia seorang pendusta, kedustaannya adalah terhadapnya; tetapi jika dia benar, maka sebahagian daripada apa dia janjikan kamu akan menimpa kamu. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada orang yang membazir (berlebihan), dan pendusta.
40:29. Wahai kaumku, hari ini kerajaan kepunyaan kamu, yang berkuasa di bumi. Tetapi siapakah yang menolong kita terhadap bencana Allah, jika ia datang kepada kita?" Firaun berkata, "Aku hanya lihatkan kepada kamu apa yang aku lihatkan; aku hanya beri petunjuk kepada kamu pada jalan lurus." 
40:30. Kemudian berkata orang yang percaya, "Wahai kaumku, aku takut untuk kamu akan yang serupa dengan hari golongan-golongan, 
40:31. Seperti keadaan kaum Nuh, dan Ad, dan Tsamud, dan orang-orang yang sesudah mereka; dan Allah tidak hendak zalimkan hamba-hamba-Nya. 
40:32. Wahai kaumku, aku takut untuk kamu akan Hari Panggil-Memanggil, 
40:33. Pada hari kamu berpaling, berundur, dengan tanpa yang melindungi kamu daripada Allah; dan sesiapa Allah sesatkan, tidak ada baginya yang beri petunjuk. 
40:34. Yusof telah datang kepada kamu dahulu dengan bukti-bukti yang jelas, namun begitu, kamu berterusan dalam keraguan mengenai apa yang dia datangkan kepada kamu, sehingga, apabila dia sudah mati, kamu berkata, 'Allah tidak akan bangkitkan seorang Rasul selepas dia.' Begitulah Allah sesatkan orang yang membazir (berlebihan), dan yang ragu-ragu." 
40:35. Orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah, tanpa sebarang kuasa yang datang kepada mereka, amatlah besar kebencian di sisi Allah, dan di sisi orang-orang yang percaya; demikianlah Allah tutup setiap hati yang sombong, bongkak. 
40:36. Firaun berkata, "Wahai Haman, binalah untukku sebuah menara yang tinggi supaya aku sampai di tali-tali,
40:37. Tali-tali langit, dan lihat Tuhan Musa; kerana aku sangka dia seorang pendusta." Maka kejahatan daripada amalan-amalannya dinampakkan indah bagi Firaun, dan dia dihalang daripada jalan, dan muslihat Firaun hanyalah dalam kebinasaan. 
40:38. Kemudian berkata orang yang percaya, "Wahai kaumku, ikutlah aku, dan aku akan beri petunjuk kepada kamu pada jalan lurus. 
40:39. Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang berlalu; sesungguhnya akhiratlah tempat kediaman yang stabil. 
40:40. Sesiapa buat jahat, ia tidak dibalas melainkan dengan yang serupa dengannya, tetapi sesiapa buat satu kerja baik , lelaki atau perempuan, dan dia mukmin - mereka itu akan masuk Taman, di dalamnya diberi rezeki tanpa hitungan. 
40:41. Wahai kaumku, bagaimanakah dengan aku, bahawa aku seru kamu kepada keselamatan, dan kamu seru aku ke Api? 
40:42. Kamu seru aku supaya aku tidak percaya kepada Allah, dan untuk sekutukan-Nya dengan apa yang aku tiada pengetahuan, sedang aku seru kamu kepada Yang Perkasa, Yang Pengampun. 
40:43. Tidak syaklah bahawa kamu seru aku kepada yang tiada seruan untuknya, di dunia dan tidak juga di akhirat, dan kepada Allah kita kembali, dan bahawa orang-orang yang membazir (berlebihan) adalah penghuni-penghuni Api. 
40:44. Kamu akan ingat apa yang aku kata kepada kamu. Aku menyerahkan urusanku kepada Allah; sesungguhnya Allah lihat hamba-hamba-Nya." 
40:45. Maka Allah melindunginya daripada kejahatan tipu daya mereka, dan meliputi keluarga Firaun, azab yang jahat, 
40:46. Api, yang kepadanya mereka dikemukakan pagi dan petang; dan pada hari apabila Saat datang, "Masukkanlah keluarga Firaun ke dalam azab yang paling keras!" 
40:47. Dan apabila mereka berdebat-debatan di dalam Api, dan orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang sombong, "Sesungguhnya kami pengikut-pengikut kamu; adakah kamu berguna kepada kami terhadap mana-mana bahagian daripada Api?"
40:48. Orang-orang yang sombong berkata, "Kita semua di dalamnya; sesungguhnya Allah telah memutuskan antara hamba-hamba-Nya."
40:49. Dan orang-orang yang di dalam Api berkata kepada penjaga-penjaga Jahanam, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk meringankan bagi kami sehari daripada azab!" 
40:50. Mereka berkata, "Tidakkah Rasul-Rasul kamu mendatangkankepada kamu bukti-bukti yang jelas?" Mereka berkata, "Ia, benar." Mereka berkata, “Maka serulah.” Tetapi seruan orang-orang tidak percaya hanyalah dalam kesesatan. 
40:51. Sesungguhnya Kami akan tolong Rasul-Rasul Kami dan orang-orang yang percaya, di dalam kehidupan dunia, dan pada hari apabila saksi-saksi bangkit,
40:52. Pada hari apabila alasan-alasan mereka tidak bermanfaat kepada orang-orang zalim, dan bagi mereka laknat, dan bagi mereka, tempat tinggal yang jahat.
40:53. Dan Kami beri Musa petunjuk, dan Kami wariskan Bani Israil, Kitab, 
40:54. Untuk satu petunjuk, dan satu peringatan, bagi orang-orang empunya minda. 
40:55. Maka sabarlah kamu; sesungguhnya janji Allah benar, dan mintalah ampun atas kesalahan kamu, dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu pada waktu petang dan awal pagi. 
40:56. Orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah tanpa sebarang kuasa yang datang kepada mereka, di dalam dada mereka hanyalah kebanggaan yang mereka tidak akan capai. Maka kamu berlindunglah pada Allah; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat. 
40:57. Sungguh, ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. 
40:58. Tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang boleh melihat, orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik dengan orang yang buat jahat. Sedikit sekali kamu mengingati. 
40:59. Saat pasti datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak percayai.
40:60. Pemelihara kamu berkata, "Serulah kepada-Ku, dan Aku akan sahut kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong daripada menyembah Aku akan masuk Jahanam dalam keadaan hina."
40:61. Allah yang buatkan untuk kamu malam, untuk berehat padanya, dan siang, untuk melihat. Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (berterima kasih). 
40:62. Demikianlah itulah Allah, Pemelihara kamu, Pencipta segala sesuatu; tidak ada tuhan melainkan Dia. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan? 
40:63. Begitulah dipalingkan orang-orang yang sangkal ayat-ayat Allah. 
40:64. Allah yang buatkan untuk kamu, bumi, sebuah tempat yang tetap, dan langit, bangunan; dan Dia membentuk kamu, dan membentuk kamu dengan baik, dan rezekikan kamu dengan benda-benda yang baik. Demikianlah itulah Allah, Pemelihara kamu, maka berkatnya Allah, Pemelihara semua alam. 
40:65. Dia Yang Hidup; tidak ada tuhan melainkan Dia. Maka serulah Dia, dengan menuluskan agama untuk-Nya. Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.
40:66. Katakanlah, "Aku dilarang sembah orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepadaku daripada Pemeliharaku; dan aku diperintah supaya tunduk patuh kepada Pemelihara semua alam." 
40:67. Dia yang cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian Dia keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian supaya kamu sampai dewasa, supaya kemudian kamu jadi tua, dan antara kamu ada yang mati sebelum itu, dan supaya kamu sampai tempoh yang dinyatakan, supaya kamu faham.
40:68. Dia yang menghidupkan dan mematikan; apabila Dia tentukan sesuatu perkara, Dia hanya berkata padanya, "Jadilah", dan jadilah ia. 
40:69. Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah, bagaimana mereka dipalingkan? 
40:70. Orang-orang yang dustakan Kitab, dan apa yang dengannya Kami utus Rasul-Rasul Kami - kelak mereka akan tahu! 
40:71. Apabila belenggu dan rantai berada pada leher mereka, dan mereka diheret, 
40:72. Ke dalam air yang mendidih, kemudian di dalam Api mereka dibakar, 
40:73. Kemudian dikatakan kepada mereka, "Di manakah mereka yang kamu sekutukan, 
40:74. Selain daripada Allah?" Mereka berkata, "Mereka sudah sesat (hilang) daripada kami; tidak, tetapi tiadalah sama sekali yang kami seru dahulu." Begitulah Allah sesatkan orang-orang tidak percaya. 
40:75. "Itu adalah kerana kamu gembira di bumi tanpa patut, dan kamu sangat girang. 
40:76. Masuklah pintu-pintu Jahanam, untuk tinggal di dalamnya selama-lamanya." Buruknya tempat tinggal orang-orang yang sombong! 
40:77. Maka sabarlah kamu; sesungguhnya janji Allah benar. Sama ada Kami lihatkan kepada kamu sebahagian daripada apa yang Kami janjikan mereka, atau Kami matikan kamu, maka kepada Kami, mereka akan dikembalikan. 
40:78. Kami telah utus Rasul-Rasul sebelum kamu; antara mereka, Kami ceritakan kepada kamu, dan antara mereka, Kami tidak ceritakan kepada kamu. Tiadalah bagi seseorang Rasul untuk datangkan satu ayat melainkan dengan izin Allah. Apabila perintah Allah datang, dengan adil perkara diputuskan; kemudian rugilah di sana orang-orang yang ikut yang palsu. 
40:79. Allah yang buatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi, dan daripada sebahagiannya, kamu makan. 
40:80. Manfaat lain juga kamu dapati pada mereka; dan supaya kamu mencapai satu hajat yang di dalam dada kamu, dan di atas mereka dan di atas kapal, kamu dibawa. 
40:81. Dan Dia perlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Nya; maka ayat-ayat Allah yang manakah kamu nafikan? 
40:82. Apa, tidakkah mereka mengembara di bumi dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka? Mereka adalah lebih ramai daripada mereka sendiri, dan lebih dalam kekuatan, dan mereka tinggalkan bekas-bekas yang lebih kukuh di bumi; namun begitu, apa yang mereka usahakan tidak berguna bagi mereka. 
40:83. Maka apabila Rasul-Rasul mereka datang kepada mereka, dengan bukti-bukti yang jelas, mereka gembira dengan pengetahuan yang mereka ada, dan mereka diliputi oleh apa yang mereka olok-olokkan. 
40:84. Kemudian, apabila mereka lihat bencana Kami, mereka berkata, "Kami percaya kepada Allah satu-satunya, dan kami tidak percaya kepada apa yang kami telah sekutukan dengan-Nya." 
40:85. Tetapi iman mereka, apabila mereka melihat bencana Kami, tidak bermanfaat kepada mereka - sunnah (resam) Allah, seperti yang telah berlalu pada hamba-hamba-Nya; maka rugilah orang-orang tidak percaya di sana.