Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
28:1. Tha Sin Mim.
28:2. Inilah ayat-ayat Kitab yang jelas.
28:3. Kami bacakan kamu sesuatu daripada berita Musa dan
Firaun dengan benar untuk kaum yang percayai.
28:4. Sesungguhnya Firaun meninggi di bumi, dan dia pecah
belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara
mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup
perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang buat
kerosakan.
28:5. Namun begitu, Kami hendak berbudi baik kepada
orang-orang yang dihina di bumi, dan Kami lantik mereka imam-imam, dan Kami
buat mereka pewaris-pewaris,
28:6. Dan Kami teguhkan mereka di bumi, dan Kami lihatkan
kepada Firaun, dan Haman, dan tentera mereka, apa yang mereka takuti.
28:7. Maka Kami wahyukan ibu Musa, "Susukanlah dia,
kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan jangan
takut, dan jangan juga sedih, kerana Kami akan kembalikan dia kepada kamu, dan
akan melantiknya seorang daripada para utusan."
28:8. Lalu keluarga Firaun memungutnya untuk menjadi musuh,
dan kesedihan bagi mereka; sesungguhnya Firaun, dan Haman, dan tentera mereka,
adalah antara orang-orang yang bersalah.
28:9. Berkata isteri Firaun, "Dia akan jadi satu
pendingin mata (kegembiraan) bagiku dan bagi kamu. Jangan membunuhnya;
mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita, atau kita ambil dia sebagai
anak." Dan mereka tidak sedar.
28:10. Pada paginya, hati ibu Musa jadi kosong, dan dia
hampir-hampir nampakkan dia sekiranya Kami tidak kuatkan hatinya, supaya dia
(ibu Musa) termasuk orang-orang mukmin.
28:11. Dan dia berkata kepada saudara perempuannya,
"Ikutlah dia", dan dia melihatnya dari jauh, sedang mereka tidak
sedar.
28:12. Dan Kami haramkannya sebelum itu daripada mana-mana
perempuan yang menyusukan; maka dia berkata, "Bolehkah aku tunjukkan kamu
kepada keluarga daripada seisi rumah yang akan menjaganya untuk kamu, dan
mengasuhnya?"
28:13. Maka Kami kembalikan dia kepada ibunya, supaya dia
gembira dan tidak sedih, dan supaya dia tahu bahawa janji Allah adalah benar;
tetapi kebanyakan mereka tidak tahu.
28:14. Dan apabila dia dewasa, dan dia tegap, kami beri dia
putusan, dan pengetahuan; begitulah Kami balas orang-orang buat baik.
28:15. Dan dia masuk kota sewaktu penduduknya sedang lalai,
dan dia dapati di dalamnya dua orang lelaki sedang berperang; yang satu adalah
daripada golongannya sendiri, dan yang lain, daripada musuhnya. Kemudian yang
daripada golongannya minta pertolongan kepadanya terhadap musuhnya; maka Musa
menumbuknya, dan menentukannya (matikannya), dan berkata, "Ini adalah
daripada amalan syaitan; sesungguhnya ia musuh yang menyesatkan, yang
nyata."
28:16. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, aku telah
menzalimi diriku. Ampunkanlah aku." Maka Dia ampunkannya; sesungguhnya Dialah
Yang Pengampun, Yang Pengasih.
28:17. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, dengan apa yang
Engkau rahmati aku, maka aku tidak menjadi penyokong bagi orang-orang yang
berdosa."
28:18. Pada waktu pagi, dia berada di kota, takut-takut dan
berjaga-jaga; dan tiba-tiba, orang yang minta pertolongannya kelmarin minta
pertolongan kepadanya lagi. Musa berkata kepadanya, "Sesungguhnya kamu
adalah orang yang bersalah yang nyata."
28:19. Tetapi apabila dia hendak menyerang orang yang
menjadi musuh kepada mereka berdua, orang itu berkata, "Wahai Musa, adakah
kamu hendak bunuh aku sebagaimana kamu bunuh satu jiwa kelmarin? Kamu hanya
hendak jadi penindas di bumi; kamu tidak hendak jadi daripada orang-orang yang
membetulkan."
28:20. Kemudian datang seorang lelaki dari bahagian kota
yang terjauh, berlari; dia berkata, "Wahai Musa, pembesar mereka sedang
bermuafakat untuk membunuh kamu. Keluarlah kamu, aku termasuk
penasihat-penasihat kamu."
28:21. Maka dia keluar darinya, takut-takut dan
berjaga-jaga; dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku daripada
kaum yang zalim."
28:22. Dan apabila dia hadapkan mukanya ke arah Madyan, dia
berkata, "Mudah-mudahan Pemeliharaku beri petunjuk kepadaku pada jalan
yang betul."
28:23. Dan apabila dia sampai di perairan Madyan, dia
dapati satu umat manusia di sana yang memberi minum, dan dia dapati, selain
daripada mereka, dua orang perempuan sedang menahan ternak mereka. Berkata,
"Apakah urusan kamu berdua?" Mereka berkata, "Kami tidak dapat
beri minum sehingga gembala-gembala halau, dan bapa kami telah lanjut usia
tuanya."
28:24. Maka dia memberi minum untuk mereka; kemudian dia
berpaling ke tempat yang teduh, dan dia berkata, "Wahai Pemeliharaku,
sesungguhnya aku fakir (memerlukan) apa-apa kebaikan yang Engkau turunkan
kepadaku."
28:25. Kemudian datang seorang daripada keduanya kepadanya,
berjalan dengan malu, dan berkata, "Bapaku seru (panggil) kamu supaya dia
balas kamu dengan upah kerana kamu beri minum untuk kami." Maka apabila
dia datang kepadanya, dan ceritakan kepadanya ceritanya, dia berkata,
"Jangan takut; kamu selamat daripada kaum yang zalim."
28:26. Berkata seorang daripada keduanya, "Ayah,
ambillah upahan dia; sesungguhnya orang yang paling baik yang anda ambil upahan
ialah yang kuat, dipercayai."
28:27. Berkata, "Aku hendak kahwinkan kamu dengan
seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada
aku selama lapan tahun. Jika kamu sempurnakan sepuluh, itu adalah daripada
kamu; aku tidak hendak beratkan kamu. Kamu akan dapati aku, jika Allah hendaki,
termasuk orang-orang salih."
28:28. Berkata, "Demikian itulah antara aku dan kamu.
Yang mana sahaja daripada dua tempoh yang aku tunaikan, ia tidak ada permusuhan
padaku; dan Allah wakil atas apa kita katakan."
28:29. Maka apabila Musa telah sempurnakan tempoh, dan dia
berpergian dengan keluarganya pada malam hari, dia melihat api di tepi gunung.
Dia berkata kepada keluarganya, "Tetaplah kamu di sini; aku lihat api.
Mudah-mudahan aku akan datangkan kepada kamu beritanya, atau berkas kayu
daripada api, supaya kamu dapat panaskan diri-diri kamu."
28:30. Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil dari
tebing sebelah kanan lembah di tempat yang lekuk yang diberkati, datang dari
pokok, "Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah, Pemelihara semua alam.
28:31. Lemparlah tongkat kamu." Dan apabila dia
melihatnya menggetar-getar seperti seekor ular, dia berpaling, berundur, dan
tidak menoleh. "Wahai Musa, tampillah ke muka, dan jangan takut;
sesungguhnya kamu aman.
28:32. Selitkanlah tangan kamu ke dalam dada kamu, dan ia
akan keluar putih tanpa keburukan; dan dakapkanlah kepada kamu tangan kamu
supaya tidak gerun. Maka inilah dua bukti daripada Pemelihara kamu kepada
Firaun, dan pembesar-pembesarnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang
fasiq."
28:33. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku
telah membunuh satu jiwa daripada mereka, dan aku takut bahawa mereka akan
bunuh aku.
28:34. Dan saudaraku Harun lebih fasih lidahnya (lisannya)
daripada aku. Utuslah dia bersama aku sebagai pembantu, dan untuk mengesahkan
aku kerana aku takut mereka akan dustakan aku."
28:35. Berkatalah Dia, "Kami akan kuatkan tangan kamu
dengan saudara kamu, dan Kami buatkan kamu satu kuasa supaya mereka tidak
sampai kepada kamu kerana ayat-ayat Kami; kamu, dan sesiapa yang ikut kamu,
adalah orang-orang yang menang."
28:36. Maka apabila Musa datang kepada mereka dengan
ayat-ayat Kami, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, "Tiadalah ini,
melainkan sihir yang diada-adakan. Kami tidak pernah dengar yang ini di
kalangan bapa-bapa kami yang dahulu."
28:37. Tetapi Musa berkata, "Pemeliharaku
sangat-sangat tahu siapa yang datang dengan petunjuk daripada-Nya, dan siapa
yang dapat tempat kediaman muktamad; sesungguhnya orang-orang zalim tidak
beruntung."
28:38. Dan Firaun berkata, "Wahai pembesar-pembesar,
aku tidak tahu bahawa kamu ada tuhan selain daripada aku! Nyalakan api untukku,
wahai Haman, pada tanah liat, dan buatkan untukku sebuah menara yang tinggi,
supaya aku dapat lihat Tuhan Musa, kerana aku sangka dia termasuk
pendusta-pendusta."
28:39. Dan dia berlaku sombong di bumi, dia dan tenteranya,
dengan cara yang salah; dan mereka sangka mereka tidak dikembalikan kepada
Kami.
28:40. Lalu Kami ambil dia dan tenteranya, dan lempar
mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang zalim.
28:41. Dan Kami lantik mereka imam-imam yang menyeru ke
Api; dan pada Hari Kiamat, mereka tidak ditolong.
28:42. Dan Kami ikut mereka di dunia ini dengan laknat, dan
pada Hari Kiamat, mereka jadi antara yang dibenci.
28:43. Dan kami beri Musa al-Kitab, setelah Kami musnahkan
generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi bukti-bukti yang nyata, dan
satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi manusia supaya mereka mengingati.
28:44. Kamu tidak berada di sebelah barat, ketika Kami
tentukan perintah kepada Musa, dan tidak juga kamu antara orang-orang yang
saksikan.
28:45. Tetapi Kami tumbuhkan generasi-generasi, dan
panjanglah umur mereka. Tidak juga kamu orang yang tinggal di kalangan penduduk
Madyan, dengan membacakan mereka ayat-ayat Kami; tetapi Kami utus utusan-utusan.
28:46. Kamu tidak berada di tepi Gunung ketika Kami
panggil; tetapi kerana satu pengasihan daripada Pemelihara kamu, supaya kamu
beri amaran kepada kaum yang kepadanya tiada pemberi amaran telah datang
sebelum kamu supaya mereka mengingati.
28:47. Supaya tidak, apabila penderitaan menimpa mereka
kerana apa yang tangan-tangan mereka sendiri dahulukan, mereka berkata,
"Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau tidak utuskan seorang Rasul
kepada kami supaya kami ikut ayat-ayat Engkau, dan jadilah kami antara
orang-orang mukmin?"
28:48. Namun begitu, apabila yang benar datang kepada
mereka daripada Kami Sendiri, mereka berkata, "Mengapa dia tidak diberi
yang serupa dengan apa yang Musa diberi?" Bukankah mereka tidak percaya
kepada apa yang Musa diberi dahulu? Mereka berkata, "Dua ahli sihir yang
saling membantu satu sama lain." Mereka berkata, "Kami tidak percaya
kepada kedua-duanya."
28:49. Katakanlah, "Datangkanlah sebuah Kitab daripada
Allah yang lebih beri petunjuk daripada keduanya (al-Qur'an dan Taurat), dan
ikutlah ia, jika kamu berkata benar."
28:50. Kemudian, jika mereka tidak sahut kamu, ketahuilah
bahawa mereka hanya ikut keinginan mereka; dan siapakah lebih sesat daripada
orang yang ikut keinginannya tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah
tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim.
28:51. Sesungguhnya Kami datangkan kepada mereka Ucapan
supaya mereka mengingati.
28:52. Orang-orang yang kepada mereka Kami beri al-Kitab
sebelum ini percayainya.
28:53. Dan, apabila ia dibacakan kepada mereka, mereka
berkata, "Kami percaya kepadanya; sesungguhnya ia adalah yang benar
daripada Pemelihara kami. Sesungguhnya, sebelumnya kami telah muslim."
28:54. Mereka ini diberi upah mereka dua kali kerana mereka
sabar, dan menolak kejahatan dengan yang baik, dan nafkahkan (belanjakan)
daripada apa yang Kami rezekikan mereka.
28:55. Apabila mereka dengar percakapan yang sia-sia,
mereka berpaling daripadanya, dan berkata, "Bagi kami amalan-amalan kami,
dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak inginkan orang-orang
bodoh."
28:56. Kamu tidak dapat beri petunjuk kepada siapa yang
kamu cintai, tetapi Allah beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki, dan Dia
sangat-sangat tahu orang-orang yang dapat petunjuk.
28:57. Mereka berkata, "Jika kami ikut petunjuk
bersama kamu, kami akan disambar daripada bumi." Tidakkah Kami teguhkan
bagi mereka tempat suci yang aman di mana dikumpulkan segala sesuatu
buah-buahan, sebagai rezeki daripada sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak
tahu.
28:58. Dan berapa banyaknya bandaraya yang Kami telah
musnahkan yang kehidupannya bersenang-senang dengan keangkuhan! Itu
tempat-tempat tinggal mereka, yang tidak didiami selepas mereka, kecuali
sedikit sahaja; Kami Sendiri adalah pewaris-pewaris.
28:59. Namun begitu, Pemelihara kamu tidak musnahkan
bandaraya-bandaraya sehingga Dia bangkitkan di ibu kotanya seorang Rasul untuk
bacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak musnahkan
bandaraya-bandaraya melainkan bahawa penduduknya zalim.
28:60. Apa sahaja benda yang kamu diberi adalah kesenangan
kehidupan dunia dan perhiasannya; dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih
baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu faham?
28:61. Apa, adakah orang yang Kami janjikan janji yang
baik, dan dia temuinya, sama dengan orang yang kepadanya kami beri kesenangan
kehidupan dunia, kemudian dia pada Hari Kiamat termasuk orang-orang yang
dihadapkan?
28:62. Pada hari Dia panggil mereka, dan Dia berkata,
"Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang kamu dakwa?"
28:63. Orang-orang yang ke atas mereka Ucapan telah wajar,
mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mereka inilah orang-orang yang
kami buat mereka bersalah; kami buat mereka bersalah sebagaimana kami bersalah.
Kami berlepas diri kepada Engkau; ia bukanlah kami yang mereka sembah."
28:64. Dikatakan, "Serulah sekutu-sekutu kamu!"
Dan mereka menyerunya, tetapi mereka tidak sahut mereka, dan mereka lihat azab
- sekiranya mereka dapat petunjuk!
28:65. Pada hari Dia panggil mereka, dan Dia berkata,
"Apakah sahutan yang kamu beri kepada para utusan?"
28:66. Pada hari itu, berita-berita digelapkan kepada
mereka, maka mereka tidak saling bertanya.
28:67. Tetapi bagi orang yang bertaubat, dan percaya, dan
buat kerja-kerja baik , mudah-mudahan dia termasuk orang-orang beruntung.
28:68. Pemelihara kamu cipta apa sahaja Dia hendaki, dan
Dia pilih; mereka tidak ada pilihan. Allah disanjung! Tingginya Dia daripada
apa yang mereka sekutukan!
28:69. Dan Pemelihara kamu tahu apa yang dada mereka
sembunyikan, dan apa yang mereka siarkan.
28:70. Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia.
Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan
kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
28:71. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika Allah
buatkan malam berterusan kepada kamu sampai Hari Kiamat? Apakah tuhan, selain
daripada Allah, yang datangkan sinaran kepada kamu? Tidakkah kamu dengar?"
28:72. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika Allah buatkan
siang berterusan kepada kamu sampai Hari Kiamat? Apakah tuhan, selain daripada
Allah, yang datangkan kepada kamu malam untuk berehat padanya? Tidakkah kamu
lihat?
28:73. Daripada pengasihan-Nya, Dia buatkan untuk kamu
malam dan siang, untuk kamu berehat padanya, dan untuk mencari pemberian-Nya,
supaya kamu berterima kasih."
28:74. Pada hari Dia panggil mereka, dan Dia berkata,
"Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang kamu dakwa?"
28:75. Dan Kami keluarkan daripada tiap-tiap umat seorang
saksi, dan Kami berkata, "Kemukakanlah bukti kamu!" Kemudian mereka
tahu bahawa yang benar (hak) kepunyaan Allah, dan sesatlah (hilanglah) daripada
mereka apa yang mereka ada-adakan.
28:76. Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia
jadi angkuh kepada mereka kerana Kami beri kepadanya harta-harta simpanan yang
kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang empunya
kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, "Janganlah kamu berbangga;
sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang banggakan diri.
28:77. Tetapi carilah, dengan apa yang Allah beri kamu,
tempat kediaman akhir, dan jangan lupakan bahagian kamu di dunia ini; dan buat
baik, sebagaimana Allah buat baik kepada kamu. Dan jangan cari untuk buat
kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang buat
kerosakan."
28:78. Dia berkata, "Apa yang aku diberi hanyalah
kerana pengetahuan yang ada padaku." Apa, tidakkah dia tahu bahawa Allah
telah musnahkan sebelum dia, generasi-generasi daripada orang-orang yang lebih
kuat daripada dia dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam kumpulan? Dan
orang-orang yang bersalah tidak ditanya mengenai dosa-dosa mereka.
28:79. Maka dia keluar kepada kaumnya dengan perhiasannya.
Orang-orang yang hendak kehidupan dunia berkata, "Sekiranya kita mempunyai
yang serupa dengan apa yang Karun diberi! Sesungguhnya dia seorang empunya
peruntungan yang besar."
28:80. Tetapi orang-orang, yang kepada mereka diberi
pengetahuan berkata, "Celakalah kamu! Ganjaran Allah adalah lebih baik
bagi orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik ; dan tiada yang akan
terimanya kecuali orang-orang yang sabar."
28:81. Maka Kami buatkan bumi menelannya dan tempat
tinggalnya dan tidaklah ada golongan yang menolongnya, selain daripada Allah,
dan dia tanpa pertolongan.
28:82. Dan pada waktu pagi, orang-orang yang inginkan
tempatnya kelmarin berkata, "Aduhai, Allah menjulur dan menyempitkan
rezeki-Nya kepada sesiapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah
tidak berbudi baik kepada kami, tentu Dia buatkan kami ditelan juga. Aduhai,
orang-orang tidak percaya tidak beruntung!"
28:83. Tempat kediaman akhir itu, Kami membuatnya untuk
orang-orang yang tidak hendak ketinggian diri di bumi, dan tidak juga
kerosakan. Kesudahan adalah bagi orang-orang bertakwa.
28:84. Sesiapa yang datang dengan yang baik dapat yang
lebih baik daripada itu; dan sesiapa yang datang dengan kejahatan - orang-orang
yang buat jahat tidak dibalas melainkan dengan apa mereka buat.
28:85. Dia yang tetapkan al-Qur'an kepada kamu benar-benar
akan kembalikan kamu ke tempat kembali. Katakanlah, "Pemeliharaku
sangat-sangat tahu siapa yang datang dengan petunjuk, dan siapa yang dalam
kesesatan yang nyata."
28:86. Kamu tidak harapkan bahawa Kitab dilemparkan kepada
kamu, melainkan ia sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu; maka
jangan kamu jadi penyokong orang-orang tidak percaya.
28:87. Jangan mereka halang kamu daripada ayat-ayat Allah
setelah ia diturunkan kepada kamu. Dan serulah Pemelihara kamu, dan jangan kamu
jadi daripada orang-orang yang sekutukan.
28:88. Dan jangan seru tuhan yang lain berserta Allah;
tidak ada tuhan melainkan Dia. Segala benda akan binasa, kecuali Wajah-Nya.
Bagi-Nya Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan.