Rabu, 13 Januari 2016

SURAH KAHFI (GUA) ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

18:1. Segala puji bagi Allah yang turunkan kepada hamba-Nya Kitab, dan tidak buatkan padanya sebarang kebengkokan,

18:2. Yang betul, untuk beri amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk beri berita gembira kepada orang-orang mukmin yang buat kerja-kerja baik , bahawa bagi mereka upah yang baik,

18:3. Di dalamnya menetap selama-lamanya.

18:4. Dan untuk beri amaran kepada orang-orang yang berkata, "Allah ambil kepada-Nya seorang anak."

18:5. Mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, mereka dan tidak juga bapa-bapa mereka; dahsyatnya kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak kata melainkan dusta.

18:6. Boleh jadi, jika mereka tidak percayai hadis ini, kamu binasakan diri kamu dengan kesedihan kerana mereka.

18:7. Kami buatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami uji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan.

18:8. Dan sungguh Kami buatkan segala yang di atasnya debu tanah yang tandus.

18:9. Atau, kamu sangka penghuni Gua, dan Ar-Raqim, adalah antara ayat-ayat Kami yang mengagumkan?

18:10. Apabila pemuda-pemuda mencari perlindungan di dalam gua, dengan berkata, "Wahai Pemelihara kami, berikan kami pengasihan daripada Engkau, dan sediakanlah kami dengan kelurusan dalam urusan kami."

18:11. Kemudian Kami tutup telinga mereka selama berbilang tahun di dalam gua.

18:12. Kemudian Kami bangkitkan mereka supaya Kami tahu manakah antara dua golongan yang menghitung lebih tepat bagi tempoh yang lama mereka tinggal.

18:13. Kami ceritakan kepada kamu berita mereka dengan benar. Mereka adalah pemuda-pemuda yang percaya kepada Pemelihara mereka, dan Kami tambahkan mereka dalam petunjuk.

18:14. Dan Kami kuatkan hati mereka apabila mereka berdiri dan berkata, "Pemelihara kami ialah Pemelihara langit dan bumi; kami tidak seru sebarang tuhan selain daripada Dia, atau kami, jika demikian, telah mengatakan yang keterlaluan.

18:15. Mereka ini, kaum kami, mengambil untuk mereka tuhan-tuhan lain, selain daripada Dia. Sekiranya mereka datangkan kuasa yang jelas mengenai mereka! Tetapi siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah?"

18:16. "Maka apabila kamu tinggalkan mereka dan apa yang mereka sembah, melainkan Allah, carilah tempat perlindungan di dalam gua, dan Pemelihara kamu akan bukakan untuk kamu pengasihan-Nya, dan Dia sediakan kamu dengan suatu yang mudah daripada urusan kamu."

18:17. Dan kamu lihat matahari, apabila ia naik, condong dari gua mereka ke kanan, dan apabila ia membenam, meninggalkan mereka di sebelah kiri, sedang mereka berada di rekahan yang luas. Itu adalah satu daripada ayat-ayat Allah; sesiapa Allah beri petunjuk, dia dapat petunjuk yang benar, dan sesiapa Dia sesatkan, kamu tidak akan dapati baginya seorang wali untuk menunjukkan.

18:18. Kamu sangka mereka jaga, sedang mereka tidur, sementara Kami membalik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, dan anjing mereka menjulurkan lengannya di ambang. Sekiranya kamu lihat mereka, tentu kamu berpaling daripada mereka, melarikan diri, dan dipenuhi ketakutan yang amat sangat terhadap mereka.

18:19. Dan demikian Kami bangkitkan mereka supaya mereka saling bertanya antara mereka. Seorang daripada mereka berkata, "Berapa lamakah kamu tinggal?" Mereka berkata, "Kami tinggal selama sehari atau sebahagian hari." Mereka berkata, "Pemelihara kamu sangat-sangat tahu berapa lama kamu tinggal. Hantarlah salah seorang antara kamu dengan duit perak ini ke kota, dan hendaklah dia perhatikan siapa antara mereka yang mempunyai makanan yang paling suci, dan datangkan kepada kamu rezeki daripadanya; hendaklah dia bersopan santun, dan janganlah beritahu seorang pun mengenai kamu.

18:20. Jika mereka tahu mengenai kamu, mereka akan rejam kamu, atau kembalikan kamu kepada anutan mereka, kemudian kamu tidak akan beruntung selama-lamanya."

18:21. Dan begitulah Kami serempakkan mereka, supaya mereka tahu bahawa janji Allah adalah benar, dan bahawa Saat itu tidak ada keraguan padanya. Apabila mereka berbalahan antara mereka dalam urusan mereka, maka mereka berkata, "Binalah di atas mereka satu bangunan; Pemelihara mereka sangat-sangat tahu mengenai mereka." Berkata orang-orang yang menguasai atas urusan mereka, "Kami akan ambil (bina) di atas mereka sebuah masjid."

18:22. Mereka akan berkata, "Tiga, dan anjing mereka yang keempat di antara mereka." Dan mereka berkata, "Lima, dan anjing mereka yang keenam di antara mereka", dengan meneka terhadap yang ghaib. Dan mereka berkata, "Tujuh, dan anjing mereka yang kelapan di antara mereka." Katakanlah, "Pemeliharaku sangat-sangat tahu bilangan mereka, dan tiada yang ketahuinya, kecuali sedikit." Maka janganlah berdebat dengan mereka melainkan dalam perdebatan yang lahir, dan janganlah tanya seseorang pun antara mereka atas satu keputusan.

18:23. Dan janganlah berkata terhadap sesuatu, "Aku akan buat itu esok",

18:24. Tetapi hanya, "Jika Allah hendak"; dan ingatlah akan Pemelihara kamu apabila kamu lupa, dan katakan, "Mudah-mudahan Pemeliharaku beri petunjuk kepadaku pada sesuatu yang lebih dekat dengan yang lurus daripada yang ini."

18:25. Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus tahun, dan ditambah sembilan.

18:26. Katakanlah, "Allah sangat-sangat tahu berapa lama mereka tinggal. Kepunyaan-Nya keghaiban di langit dan di bumi. Betapa terangnya Dia melihat! Betapa tajamnya Dia mendengar! Mereka tidak ada wali (pelindung), selain daripada Dia, dan Dia tidak bersekutu dalam putusan-Nya dengan sesiapa pun."

18:27. Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Kitab Pemelihara kamu; tiada yang dapat tukar kata-kata-Nya. Selain daripada Dia, kamu dapati tiada perlindungan.

18:28. Dan sabarkan diri kamu dengan orang-orang yang seru Pemelihara mereka pada waktu pagi dan petang, dengan hendakkan wajah (sokongan)-Nya, dan jangan mata-mata kamu berpaling daripada mereka kerana hendakkan perhiasan kehidupan dunia; dan jangan taati orang yang hatinya Kami lalaikan daripada peringatan Kami supaya dia mengikuti keinginannya, dan urusannya melewati batas.

18:29. Katakanlah, "Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang hendak, percaya; dan hendaklah sesiapa yang hendak, tidak percaya." Sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang zalim, api, yang gejolaknya meliputi mereka; jika mereka minta pertolongan, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti leburan tembaga merah, yang melecurkan muka-muka mereka - betapa buruknya minuman, dan betapa buruknya tempat istirahat!

18:30. Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , sesungguhnya Kami tidak sia-siakan upah orang yang amalannya baik.

18:31. Mereka itu, bagi mereka Taman-Taman Adn yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; di dalamnya mereka diperhiaskan dengan gelang-gelang emas, dan mereka dipakaikan pakaian hijau daripada sutera dan broked, di dalamnya bersandar di atas sofa yang indah - betapa sangat baiknya ganjaran! Dan betapa baiknya tempat istirahat!

18:32. Dan buatlah bagi mereka satu persamaan: dua lelaki - bagi seorang daripada mereka, kami beri dua kebun anggur, dan kelilingkan keduanya dengan pohon-pohon palma, dan di antara keduanya, Kami adakan sebuah ladang yang sudah disemai.

18:33. Masing-masing daripada dua kebun itu memberikan hasilnya, dan tidak menzalimkan daripadanya sedikit pun; dan Kami pancarkan di celah-celahnya sebuah sungai.

18:34. Maka dia mempunyai buah-buahan; dan dia berkata kepada temannya, sedang dia berbual-bual dengannya, "Aku mempunyai lebih banyak harta daripada kamu, dan kumpulan yang lebih gagah."

18:35. Dan dia masuk kebunnya, dengan menzalimi dirinya sendiri; dia berkata, "Aku tidak sangka ini akan binasa selama-lamanya,

18:36. Aku tidak sangka Saat akan datang; dan jika aku benar-benar dikembalikan kepada Pemeliharaku, aku pasti akan dapati tempat balik yang lebih baik daripada ini."

18:37. Berkata temannya sedang dia berbual-bual dengannya, "Adakah kamu tidak percaya (kafir) kepada Dia yang cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian membentukkan kamu sebagai seorang lelaki?

18:38. Tetapi aku, Dia Allah, Pemeliharaku, dan aku tidak sekutukan Pemeliharaku dengan sesiapa pun.

18:39. Kenapa, apabila kamu masukkebun kamu, kamu tidak kata, 'Seperti yang Allah hendaki; tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah'? Jika kamu lihat aku lebih sedikit daripada kamu dalam harta dan anak-anak,

18:40. Namun begitu, mudah-mudahan Pemeliharaku akan beri aku yang lebih baik daripada kebun kamu, dan utuskan kepadanya hitungan (halilintar) dari langit, supaya pada waktu pagi ia jadi cerun berdebu tanah,

18:41. Atau, pada waktu pagi airnya resap supaya kamu tidak boleh dapatinya."

18:42. Dan buah-buahannya diliputi semuanya, dan pada waktu pagi dia memulas-mulas tangan-tangannya, kerana apa yang dia nafkahkan (belanjakan) padanya, dan ia roboh di atas junjung-junjungnya, dan dia berkata, "Aduhai, sekiranya aku tidak sekutukan Pemeliharaku dengan sesiapa jua!"

18:43. Dan tidaklah ada golongan untuk menolongnya, selain daripada Allah, dan dia tanpa pertolongan.

18:44. Di sana perlindungan hanyalah kepunyaan Allah, Yang Benar; Dia yang paling baik mengganjar, dan yang paling baik dalam balasan.

18:45. Dan buatlah bagi mereka persamaan kehidupan dunia: ia seperti air yang Kami turunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya; dan pada waktu pagi, ia jadi jerami yang angin menerbangkan; dan Allah mempunyai kuasa atas segala sesuatu.

18:46. Harta dan anak-anak ialah perhiasan kehidupan dunia; tetapi yang kekal, kerja-kerja baik - adalah lebih baik di sisi Pemelihara kamu dalam ganjaran, dan lebih baik diangan-angankan.

18:47. Dan pada hari Kami menjalankan gunung-gunung, dan kamu melihat bumi menjadi rata, dan Kami kumpulkan mereka, lalu Kami tidak tinggalkan sebanyak seorang pun antara mereka di belakang.

18:48. Dan mereka dikemukakan di hadapan Pemelihara mereka dalam barisan-barisan. "Kamu datang kepada Kami, sebagaimana Kami cipta kamu pada kali pertama; tidak, kamu dakwa Kami tidak buatkan kamu satu janji temu."

18:49. Dan Kitab diletakkan; dan kamu lihat orang-orang yang berdosa ketakutan pada apa yang di dalamnya, dan berkata, "Celakalah kami! Bagaimanakah dengan Kitab ini, bahawa ia tidak tinggalkan sesuatu di belakang, kecil atau besar, tetapi ia jumlahkannya?" Dan mereka dapati apa yang mereka telah buat hadir, dan Pemelihara kamu tidak menzalimkan sesiapa pun.

18:50. Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia adalah daripada jin, dan ia lakukan kefasiqan terhadap perintah Pemeliharanya. Apa, adakah kamu ambil ia dan keturunannya untuk menjadi wali-wali (sahabat-sahabat) kamu, selain daripada Aku, sedang mereka musuh bagi kamu? Betapa buruknya pengganti bagi orang-orang zalim!

18:51. Aku tidak jadikan mereka saksi-saksi dalam ciptaan langit dan bumi, dan tidak juga dalam ciptaan diri-diri mereka sendiri; Aku tidak akan selamanya ambil orang-orang yang menyesatkan yang lain sebagai pembantu-pembantu-Ku.

18:52. Dan pada hari Dia berkata, "Panggillah sekutu-sekutu-Ku yang kamu dakwa"; kemudian mereka seru mereka, tetapi mereka tidak sahut mereka, dan Kami adakan tempat kebinasaan antara mereka.

18:53. Kemudian orang-orang yang berdosa melihat Api, dan sangka mereka akan jatuh ke dalamnya, dan mereka dapati tiada tempat untuk berpaling daripadanya.

18:54. Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan; manusia adalah sesuatu yang paling banyak membantah.

18:55. Dan tiada yang halang manusia daripada percaya apabila petunjuk datang kepada mereka, dan minta ampun kepada Pemelihara mereka, melainkan bahawa sunnah (resam) orang-orang dahulu kala akan datang kepada mereka, atau bahawa azab datang kepada mereka berhadapan muka.

18:56. Dan Kami tidak utus para utusan melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran. Namun begitu, orang-orang tidak percaya membantah dengan yang palsu supaya mereka sangkal yang benar dengannya. Mereka ambil ayat-ayat-Ku dan apa yang mereka diamarankan sebagai olok-olokan.

18:57. Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang diingatkan ayat-ayat Pemeliharanya, lalu dia berpaling daripadanya, dan melupakan apa yang tangan-tangannya dahulukan? Sesungguhnya Kami letak penudung pada hati mereka supaya mereka tidak faham, dan di dalam telinga mereka sumbatan; dan walaupun kamu seru mereka kepada petunjuk, mereka tidak akan dapat petunjuk selama-lamanya.

18:58. Tetapi Pemelihara kamu Pengampun, penuh dengan pengasihan. Jika Dia pertanggungjawabkan mereka atas apa yang mereka usahakan, tentu Dia segerakan kepada mereka azab; tetapi mereka ada satu janji temu, yang daripadanya mereka akan dapati tiada tempat lari.

18:59. Dan bandaraya-bandaraya itu, Kami musnahkan mereka apabila mereka buat zalim, dan adakan untuk kebinasaan mereka, satu janji temu.

18:60. Dan apabila Musa berkata kepada budak suruhannya, "Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai di pertemuan dua laut, walaupun aku terus berjalan dalam masa yang panjang."

18:61. Kemudian, apabila mereka sampai di pertemuan mereka, mereka lupa ikan mereka, dan ia ambil jalannya ke laut, dengan mengorek lubang.

18:62. Apabila mereka telah melewati, dia berkata kepada budak suruhannya, "Berikan kami sarapan kami; sesungguhnya kami menemu keletihan daripada perjalanan kami ini."

18:63. Berkata, "Apa pendapat kamu? Tatkala kita ambil perlindungan di batu, lalu aku lupakan ikan; dan hanya syaitanlah yang buat aku lupakannya, supaya aku tidak ingatkannya; dan ia ambil jalannya ke laut dengan cara menakjubkan."

18:64. Berkata, "Inilah yang kita cari!" Maka mereka kembali (murtad) kepada kesan-kesan jejak mereka, dengan mengikutinya.

18:65. Kemudian mereka dapati seorang hamba daripada hamba-hamba Kami yang kepadanya Kami beri pengasihan daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya pengetahuan daripada sisi Kami.

18:66. Musa berkata kepadanya, "Bolehkah aku ikut kamu supaya kamu ajar aku, daripada apa kamu telah diajar, putusan yang betul?"

18:67. Berkata, "Sesungguhnya kamu tidak akan boleh sabar dengan aku.

18:68. Dan bagaimanakah kamu akan sabar dengan apa yang kamu tidak meliputi dalam pengetahuan kamu?"

18:69. Berkata, "Kamu akan dapati aku, jika Allah hendaki, sabar; dan aku tidak akan tentang kamu dalam urusan."

18:70. Berkata, "Jika kamu ikut aku, maka janganlah tanya aku sesuatu sehingga aku sendiri kemukakan sebutan mengenainya kepada kamu."

18:71. Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka naik di atas kapal, dia melubanginya. Berkata, "Apa, adakah kamu melubanginya untuk tenggelamkan ahlinya? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang buruk."

18:72. Berkata, "Tidakkah aku kata bahawa kamu tidak akan boleh sabar dengan aku?"

18:73. Berkata, "Janganlah kamu pertanggungjawabkan aku kerana aku lupa, dan jangan juga paksa aku untuk buat sesuatu perkara yang amat sukar."

18:74. Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka bertemu seorang anak lelaki muda, dia membunuhnya. Berkata, "Apa, adakah kamu bunuh satu jiwa yang suci, dan bukan kerana membalas untuk jiwa yang dibunuh? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang dahsyat."

18:75. Berkata, "Tidakkah aku kata kepada kamu bahawa kamu tidak akan boleh sabar dengan aku?"

18:76. Berkata, "Jika aku tanya kamu sesuatu selepas ini, maka jangan temani aku lagi; kamu sudah cukup beri alasan kepadaku."

18:77. Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka datang kepada penduduk sebuah bandaraya, mereka minta makanan daripada penduduknya, tetapi mereka tolak mereka sebagai tetamu. Kemudian mereka dapati sebuah tembok yang hendak roboh, lalu dia tegakkannya. Berkata, "Sekiranya kamu hendak, tentu kamu ambil upah untuk itu."

18:78. Berkata, "Inilah perpisahan antara aku dan kamu. Sekarang aku akan beritahu kamu interpretasi apa yang kamu tidak boleh sabar dengannya.

18:79. Mengenai kapal, ia kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut; dan aku hendak merosakkannya kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil tiap-tiap kapal dengan paksa.

18:80. Mengenai anak lelaki muda, ibu bapanya orang mukmin; dan kami takut dia akan paksa mereka dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan.

18:81. Maka kami hendak supaya Pemelihara mereka beri mereka, dengan menukarkan yang lebih baik daripada dia, dalam zakat (kesucian), dan lebih dekat dalam kasih sayang.

18:82. Mengenai tembok, ia kepunyaan dua anak lelaki muda yang yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta simpanan kepunyaan mereka. Bapa mereka orang salih; dan Pemelihara kamu hendak supaya mereka sampai dewasa dan kemudian keluarkan harta simpanan mereka sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu. Aku tidak lakukannya daripada kemahuanku sendiri. Inilah interpretasi apa yang kamu tidak boleh sabar dengannya."

18:83. Mereka tanya kamu mengenai Zul-Karnain (yang mempunyai dua tanduk). Katakanlah, "Aku akan bacakan kamu Peringatan mengenainya."

18:84. Kami teguhkan dia di bumi, dan kami beri dia jalan bagi segala sesuatu.

18:85. Dan dia ikut satu jalan,

18:86. Sehingga apabila dia sampai di tempat terbenam matahari (barat), dia dapati ia membenam ke dalam mata air yang berlumpur, dan dia dapati di situ satu kaum. Kami berkata, "Wahai Zul-Karnain, sama ada kamu azab mereka, atau kamu ambil terhadap mereka satu jalan kebaikan."

18:87. Dia berkata, "Bagi orang buat kezaliman, dialah yang kami akan azab, kemudian dia dikembalikan kepada Pemeliharanya, dan Dia akan mengazabnya dengan azab yang dahsyat.

18:88. Tetapi orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik , maka baginya balasan yang paling baik, dan kami akan kata kepadanya daripada perintah kami, yang mudah."

18:89. Kemudian dia ikut satu jalan,

18:90. Sehingga apabila dia sampai di terbit matahari (timur), dia dapatinya terbit pada satu kaum yang Kami tidak buatkan sebarang penutup bagi mereka.

18:91. Begitulah; dan Kami meliputi pengetahuan yang ada padanya.

18:92. Kemudian dia ikut satu jalan,

18:93. Sehingga apabila dia sampai di antara dua benteng, dia dapati di bahagian sini mereka, satu kaum yang hampir tidak memahami ucapan.

18:94. Mereka berkata, "Wahai Zul-Karnain, sesungguhnya Yajuj dan Majuj buat kerosakan di bumi; maka adakah kami adakan bagi kamu satu ufti, untuk kamu buatkan satu benteng di antara kami dan mereka?"

18:95. Berkata, "Apa yang Pemeliharaku teguhkan di dalamnya adalah lebih baik; maka bantulah aku dengan kekuatan, dan aku akan buatkan satu benteng di antara kamu dan mereka.

18:96. Berikan aku jongkong-jongkong besi." Sehingga, apabila dia telah buat separas antara dua tebing yang tinggi, dia berkata, "Tiuplah!" Sehingga, apabila dia telah membuatnya api, dia berkata, "Berikan aku, supaya aku tuangkan leburan tembaga kuning di atasnya."

18:97. Maka mereka tidak boleh, sama ada untuk mendakinya, atau menebuknya.

18:98. Berkata, "Ini adalah satu pengasihan daripada Pemeliharaku. Tetapi apabila janji Pemeliharaku datang, Dia jadikannya debu; dan janji Pemeliharaku adalah benar."

18:99. Pada hari itu, Kami biarkan mereka menyerbu satu sama lain, dan trompet ditiup, dan Kami kumpulkan mereka berkumpul-kumpul.

18:100. Dan pada hari itu, Kami kemukakan Jahanam kepada orang-orang tidak percaya yang berpaling dengan jelas,

18:101. Yang mata mereka ditudung daripada Peringatan-Ku, dan mereka tidak boleh mendengar.

18:102. Apa, adakah orang-orang tidak percaya sangka mereka boleh ambil hamba-hamba-Ku sebagai wali (pelindung), selain daripada Aku? Kami sediakan Jahanam untuk sajian orang-orang tidak percaya.

18:103. Katakanlah, "Bolehkah kami beritahu kamu siapakah yang jadi yang paling rugi dalam amalan mereka?

18:104. Orang-orang yang usahanya jadi sesat di dalam kehidupan dunia sedang mereka sangka mereka buat perbuatan baik.

18:105. Mereka itulah orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Pemelihara mereka, dan pertemuan dengan-Nya; amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan pada Hari Kiamat, Kami tidak tegakkan bagi mereka sebarang timbangan.

18:106. Itu balasan mereka - Jahanam, kerana mereka tidak percaya, dan mereka ambil ayat-ayat-Ku, dan Rasul-Rasul-Ku sebagai olok-olokan.

18:107. Tetapi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik - Taman Firdaus jadi sajian mereka,

18:108. Di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan inginkan tidak berpindah keluar darinya."

18:109. Katakanlah, "Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami datangkan pengisian semula yang serupa dengan itu."


18:110. Katakanlah, "Aku hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Maka hendaklah dia yang harapkan pertemuan dengan Pemeliharanya buat amalan (kerja-kerja) kebaikan, dan dia tidak sekutukan dalam penyembahan kepada Pemeliharanya dengan sesiapa pun."