Khasiat Wafak
Khotamun Nubuwwah
Menurut Mafhum
Hadis yang dipindahkan daripada
Imam Hakim Tirmizi As-Sufi Ra. A.
katanya:
Imam Hakim Tirmizi As-Sufi Ra. A.
katanya:
“Sesiapa melihat
KHOTAMUN NUBUWWAH dalam keadaan berwudhu’;
1. Pada waktu
Subuh nescaya dia dipelihara oleh ALLAH hingga ke petang.
2. Pada waktu
Maghrib terpelihara dia oleh ALLAH hingga ke pagi.
3. Ketika
berjalan atau bermusafir maka jadilah sepanjang perjalanannya berkat dan
selamat, Insya’ALLAH.
4. Sesiapa yang
mati dalam tahun tersebut, maka dimatikan dalam iman.”
Yang dimaksudkan
dengan melihat, ialah melihat ke dalam diri sendiri semasa mengamalkannya.
Tanda Khotamun
Nubuwwah pada diri Nabi Muhammad SAW menunjukkan Nabi SAW adalah
penamat/penutup segala Nabi dan Rasul. Tanda ini berada pada belikat
Rasullullah SAW.
Para Ulama
berbeza pendapat mengenai bentuknya. Yang paling masyhur tanda itu seperti telur
burung merpati, iaitu berbentuk gumpalan daging yang menonjol disebelah kiri di
bahagian atas, memancarkan cahaya, tampak berwibawa dan berbau wangi.
Antaranya
sesiapa yang menjadikan tanda Nubuwwah Nabi SAW ini sebagai perhiasan di rumah,
maka ahli rumah tersebut akan terpelihara oleh ALLAH daripada penyakit taun dan
wabak, terhindar dari kebakaran dan kecurian sepertimana sabda Nabi SAW yang
diriwayatkan oleh Saidina Ali KW ra. di dalam Kitab Mahamatnainiah, yang
bermaksud:
“Sesiapa yang
menjadikan lukisan KHOTAMUN NUBUWWAH aku perhiasan, dipelihara oleh ALLAH
baginya daripada penyakit taun dan wabak dan tidak mati melainkan mati dalam
iman dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.“
Dan di dalam
hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Annas ra. Nabi Muhammad SAW bersabda
yang bermaksud:
“Bermula rumah
yang ada lukisan KHOTAMUN NUBUWWAH aku di dalamnya, maka dipelihara oleh ALLAH
baginya daripada kebakaran dan kecurian, dan daripada setiap musuh, dan tidak
dimatikannya melainkan tempatnya di Syurga dan diluaskan oleh ALLAH kuburnya
dan diterangi olehNya dengan cahaya.“
......
Apabila
diteliti terhadap 'hadis' yang dibawa dan dinisbahkan pula kepada Imam
al-Tirmizi, maka sewajarnya dirujuk maklumat tersebut dalam Sunan al-Tirmizi.
Setelah disemak, didapati bahawa maklumat tersebut tidak terdapat dalam Sunan
al-Tirmizi. Ini bermakna ia adalah suatu tohmahan atau tersilap menisbahkan
kepada Imam al-Tirmizi. Persoalan
seterusnya ialah, dari manakah riwayat ini datang?
Sebenarnya
riwayat ini disandarkan kepada Al-Hakim
At-Tirmizi berdasarkan perkataan Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wan Nihayah:
(Telah menyebut Al-Hafiz Abul Khatib ibn Dihyat Al-Misri dalam kitabnya
At-Tanwir fi Maulid Al-Basyir An-Nazir daripada Abi Abdullah Muhammad ibn Ali
ibn Husain ibn Bisyr yang terkenal dengan gelaran Al-Hakim At-Tirmizi bahawa
beliau berkata: Adalah tanda kenabian yang berada antara dua belikat baginda
S.A.W umpama telur burung (saiznya) yang tertulis di dalamnya “Allah yang esa”
di luarnya “berhadaplah kemana kamu ingin kerana kamu pasti dibantu”) Perlu
diingat bahawa Imam al-Tirmizi bukannya al-Hakim al-Tirmizi, kedua-duanya
adalah orang yang berbeza. Imam al-Tirmizi ialah pengarang kitab hadis tersohor
iaitu Sunan al-Tirmizi , sebaliknya Hakim al-Tirmizi ialah seorang ulamak sufi.
Berbalik kepada hadis yang dibawakan oleh al-Hakim al-Tirmizi di atas, para
ulama hadis menyatakan bahawa darjat
hadis tersebut adalah Bathil, Gharib, Munkar, dan Ibn Hajar Al-Asqalani
mengatakan ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W Kesimpulannya, hadis
tersebut tidak boleh dipakai dan tidak boleh
diterima kerana ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W. Manakala hadis sahih yang datang pada
menyifatkan khatamun nubuwwah yang terdapat pada nabi hanya menyatakan bentuk
dan rupa. Tidak ada hadis yang menceritakan tulisan yang tertulis padanya.
Segala riwayat yang mencerikatan tulisan yang terdapat padanya adalah tidak
sabit daripada Nabi S.A.W. Al-Hafiz
Al-Haithami berkata: Sebahagian perawi telah
tersilap antara tanda kerasulan
(khatam nubuwwah) dengan cop yang digunakan Rasulullah untuk surat-menyurat
yang digunakan oleh nabi. Hal ini kerana cop tersebut tertulis “Muhammad
Rasulullah”.
Cop kenabian
Rasulullah yang dimaksudkan itu mungkin terjemahan harfiyah kepada Khatam
al-Nubuwwah yang juga diterjemahkan oleh sesetengah orang sebagai penutup
kenabian. Perkataan ini boleh dirujuk dalam al-Quran, surah al-Ahzab ayat 40.
Kebanyakan ahli tafsir menterjemahkan perkataan itu dengan kesudahan Nabi.
Perkataan khatam
juga dalam bahasa Arab membawa erti cincin, kerana Nabi Muhammad s.a.w
merupakan penutup bulatan kenabian. Bulatannya yang berupa cincin itu diakhiri
Nabi Muhammad s.a.w, kerana baginda adalah Nabi penutup dan terakhir. Dalam
sebuah hadis lain disebutkan juga bahawa Nabi Muhammad s.a.w bagaikan sekeping
batu-bata terakhir menyempurnakan sebuah bangunan besar. Bangunan itu ialah
bangunan nabi-nabi. (Lihat Bukhari 6/418. Muslim, bilangan 2286).
Riwayat Bukhari
dan Muslim menyatakan, pada badan baginda Rasulullah s.a.w terdapat seketul
daging sebesar telur burung merpati, di atasnya tumbuh beberapa helai rambut
hitam. Ketulan ini pernah dilihat pada masa kecilnya oleh seorang paderi
Kristian, tatkala baginda keluar ke Sham untuk berniaga bersama-sama bapa
saudaranya Abu Talib. Melihat ketulan itu, paderi Buhaira menasihati Abu Talib
agar segera membawa pulang anak saudaranya itu kerana keselamatannya dibimbangi
akan diganggu oleh orang yang mengetahui rahsia ketulan itu.
Paderi itu
menasihati demikian kerana ia pernah membaca dalam kitab-kitab suci agamanya
bahawa suatu nanti akan lahir seorang Nabi daripada bangsa Arab, pada
belakangnya ada tanda kenabian iaitu ketul daging seperti yang dilihatnya pada
belakang Nabi s.a.w yang masih kecil waktu itu.
Banyak riwayat
menyatakan bentuk rupa ketulan Khatam al-Nubuwwah itu. Ada menyatakan ukurannya
sebesar telur burung merpati, ada pula menyatakan sebesar butang kain penutup
bumbung. Warnanya juga ada berbagai-bagai riwayat seperti hitam,
kemerah-merahan dan ditumbuhi beberapa helai rambut hitam. Bahkan ada riwayat
menyebutkan hitamnya bagaikan tahi lalat. Saya berpendapat tiada percanggahan
pada semua keterangan itu, hanya kelainan orang yang melihat, menjadikan
laporan yang diterima berbeza-beza.
Sumber-sumber
yang tidak sahih pula menyatakan, bentuk Khatam al-Nubuwwah itu berupa sebuah
tulisan dalam bahasa Arab yang membawa erti: Hadapkan muka anda ke mana jua
yang disukai, anda akan mendapat pertolongan. Dikatakan tulisan ini ada khawas
atau mempunyai khasiatnya, seperti jika ia ditulis pada barang-barang pakaian
seperti cincin dan sebagainya, nescaya si pemakainya terselamat daripada
sebarang gangguan. Sesetengah pengamal menulisnya pada kertas dengan khat yang
seni untuk dijadikan pelindung rumah dan melindungi penghuninya daripada
sebarang kejadian yang tidak diingini.
Soalnya, sejauh
mana kebenaran Khatam al-Nubuwwah yang berupa tulisan. Ibn Hajar dalam kitabnya
Fath al-Bari 6/563 mengulas sebagai tidak benar, sambil memperkukuhkan
kenyataan al-Qurtubi bahawa Khatam al-Nubuwwah adalah ketulan daging berwarna
merah, letaknya di bahu baginda Rasulullah di sebelah kiri, ia membesar dan
mengecil, ketika kecil ukurannya sebesar telur merpati, ketika besar ukurannya
sebesar genggam tangan.
Sehubungan itu
sila ikuti Fatwa Syeikh Atiyyah Saqar, Pengerusi Badan Fatwa Universiti al-Azhar
tatkala menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya tentang Khatam al-Nubuwwah
itu, katanya: Khatam al-Nubuwwah memang tersebut dalam hadis-hadis sahih yang
diriwayat oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain. Ia merupakan seketul daging yang
tumbuh di antara dua bahu Nabi s.a.w. Ukurannya sebesar telur merpati, atau
seperti butang kain penutup kubah atau bumbung, di atasnya tumbuh beberapa
helai rambut hitam, ia kelihatan seperti tahi lalat.
Beberapa riwayat
lain menyatakan sifat khatam ini, antaranya ada yang daif dan ada yang palsu.
Misalnya riwayat al-Hakim al-Tirmizi yang menyebutkan ia berbentuk tulisan
dalam badan Nabi s.a.w yang membawa makna: Allah Maha Esa, tiada sekutu
baginya. Hadapkan muka anda ke manapun, anda pasti diberi pertolongan. Riwayat
ini karut dan segala khawas yang dihubungkan dengannya juga tidak ada
kebenarannya dalam agama ini. (Sila lawat laman fatwa Universiti al-Azhar).
Bertolak
daripada jawapan Syeikh Atiyyah Saqar, saya ingin mengutarakan beberapa
perhatian berikut:
1. Khatam
al-Nubuwwah sebagaimana yang telah disahkan oleh hadis-hadis sahih dan
kitab-kitab suci agama langit adalah seketul daging yang tumbuh di belakang
Nabi, atau lebih tepatnya di antara dua bahu Nabi s.a.w. Ketumbuhan ini
seharusnya diterima oleh kaum bukan Islam sebagai bukti kebenaran agama ini.
Saya berpendapat
pendakwah dalam usaha mengajak kaum bukan Islam meyakini kebenaran agama ini
menonjolkan seberapa banyak bukti kebenaran Islam melalui kitab-kitab suci kaum
bukan Islam, seperti Taurat dan Injil, termasuklah tanda Khatam al-Nubuwwah.
Dakwah pada masa-masa yang akhir ini harus ditumpukan kepada kaum bukan Islam
kerana tiada jalan kesejahteraan selain kembali berteduh di bawah bumbung
Islam. Pendakwah adalah orang yang berada di barisan hadapan dalam usaha ini.
2. Isu-isu yang
karut berhubung Khatam al-Nubuwwah dan sirah Nabi s.a.w sepatutnya dibersihkan
daripada masyarakat kita. Kepercayaan terhadap tulisan yang dikatakan Khatam
al-Nubuwwah boleh memelihara manusia daripada sebarang gangguan yang tidak
diingini adalah sebahagian daripada khurafat yang sekian lama berakar umbi
dalam pemikiran Melayu yang dihubungkan dengan Islam.
Saya sering juga
mengikuti cerita penjaja ubat-ubatan tradisional di kaki-kaki lima seperti di
Wisma Yakin, Kuala Lumpur. Saya dapati banyak kaset ceramah agama dijual
bersama akar-akar kayu, batu-batu permata dan cincin yang bertulis ayat
al-Quran dan berbagai-bagai bahan yang belum disahkan kebenarannya.
Pihak penguat
kuasa DBKL selain bertanggungjawab memastikan mereka mempunyai kebenaran
menjaja barang dan tidak mencemarkan bandar raya Kuala Lumpur patut juga
bertindak terhadap penjaja barang-barang jualan yang mengandungi unsur-unsur
khurafat yang jelas menjejaskan kesucian agama Islam. Jika perlu,
pegawai-pegawai yang mempunyai pendidikan dan latar belakang agama hendaklah
diambil bertugas bagi menangani masalah pencemaran agama dan akidah itu.
Pendakwah juga
hendaklah peka dengan ceramah dan isi-isi ceramah yang dirakam. Mungkin ada isu
yang sesuai diperkatakan pada sesetengah tempat, tetapi tidak sesuai pada semua
tempat, ada yang sesuai dengan sesetengah orang, tetapi tidak dengan semua
orang. Misalnya, sebuah ceramah yang dirakam mengulas tentang ciri-ciri ulama
rakyat dan kerajaan, lalu diperincikan ciri-ciri ulama kerajaan serta menyebut
pula nama-nama tokohnya yang masih hidup.
3. Tulisan
Khatam al-Nubuwwah yang dikatakan tidak benar itu sebahagiannya berpunca
daripada riwayat al-Hakim al-Tirmizi. Tokoh ini bukan seorang yang terkenal
sebagai tokoh hadis dan pengumpul sunan al-Tirmizi. Beliau ialah seorang sufi
yang sangat terkenal dalam dunia tasaufnya. Beliau mengamalkan fahaman Wahdat
al-Wujud yang ditolak oleh ramai ulama Islam.
Riwayat yang
diterima daripada beliau berhubung rupa tulisan Khatam al-Nubuwwah yang memberi
jaminan istimewa kepada pengamalnya jelas membuktikan beliau adalah seorang
ahli agama yang sukakan amalan fada'il, sekalipun kesahihannya diragui.
Kaum sufi memang
suka dengan unsur-unsur khurafat yang sengaja diada-adakan dan dihubungkan dengan
agama. Sebaliknya mereka tidak berminat dengan ajaran Islam aliran perdana yang
berteraskan al-Quran dan hadis-hadis sahih dan didukung oleh kebanyakan ulama.
Ajaran-ajaran
kerohanian yang diharamkan oleh Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) seperti Subud, al-Arqam, dan kumpulan yang dipimpin
individu-individu tertentu pada umumnya lebih mirip kepada ajaran tasauf yang
diselewengkan daripada ajaran Islam yang sebenar, lebih berminat dengan
hadis-hadis daif dan maudu, walaupun hadis-hadis itu jelas tidak berupaya
membina Islam sebagai cara hidup yang membawa keselamatan di dunia dan akhirat.
4. Kedudukan
hadis dalam Islam masih banyak disalahfahamkan sama ada dengan sengaja atau
tidak disengajakan. Bidang kelebihan dan khawas sesuatu amalan merupakan bidang
yang paling banyak menyalahgunakan hadis.
Dalam masyarakat
Melayu muslim, masih ada yang berasa tidak bersalah kalaupun mereka mengutip
hadis-hadis palsu untuk dijadikan panduan bagi amalan mereka. Saya pernah
terbaca tulisan dalam sebuah kitab karangan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani,
di dalamnya menyatakan besarnya pahala bagi orang yang beramal dengan hadis,
sekalipun hadis itu batil (Jam' al-Fawa'id, 1311H., halaman 162).
Walaupun saya
meragui sama ada benar Syeikh Daud berpendapat begitu atau kitab itu memakai
nama Syeikh Daud sedangkan ia tiada kena mengena dengannya, namun apa yang
pasti ialah hadis-hadis palsu masih mendapat tempat di kalangan masyarakat
Melayu terutama apabila berbicara tentang isu-isu yang ada hubungan dengan
agama dan akidah. Pada masa yang sama pula, sangat lantang suara yang menolak
hadis sebagai sumber dalam agama. Kedua-dua pemikiran ini sangat keterlaluan,
ia perlu ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana.
maka gunakan akal, ilmu dan iman anda untuk memilih....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PLEASE COMMENT!