Khamis, 28 Februari 2013
PROFFESOR KADIRUN YAHYA???
Tariqat Naqsyabandiah Kadirun Yahya
LATARBELAKANG
• Pengasas tariqat ini ialah Prof. Dr. Haji Sayyidi Syeikh Kadirun
Yahya. Nama asal beliau ialah Mohamed Amin dan gelaran
rasminya Patuan Baleo Rahmatsah Harahap. Beliau dikenali oleh
murid-muridnya dengan gelaran “Yang Mulia Ayahanda Guru”
atau “Ayah Guru”. Beliau dilahirkan pada 20 Jun 1917 di
Pengkalanbrandan Daerah Langkat, Sumatera Timur, Indonesia.
Nama bapanya Ompung Sutan Sari Alam dan tinggal di
Pancabumi Medan, Jln. KM 4 ½, Jend. Gatot Subroto, Medan,
Kotak Pos 100, Sumatera, Indonesia.
• Dalam bidang pengajian, Prof. Dr. Haji Saidi Syeikh Kadirun
Yahya telah mempelajari banyak ilmu dan bahasa. Selain itu,
beliau juga merupakan pakar dalam Bahasa Inggeris dan Jerman di
samping turut melibatkan diri dalam mengajar ilmu-ilmu yang
dipelajarinya selama 15 hingga 28 tahun. Secara ringkas, antara
kelulusan yang dimiliki oleh beliau adalah seperti berikut:
1. H.I.S. Negeri (1924 – 1931).
2. MULO-B Negeri (1931 – 1935).
3. AMS-B Negeri (1935 – 1938).
4. Kuliah Ilmu Kebatinan (1938 – 1940).
5. Kuliah Ilmu Jiwa Amsterdam (1940 – 1942).
6. Kuliah Agama Islam (Bahagian Tasawuf/Sufi) (1947 – 1954).
7. Kuliah Ideologi dan Bahasa Inggeris (1951 – 1953).
8. M.O. Bahasa Inggeris Gedeelte 1 (1953) (Bandung).
9. Lulus Ujian Sarjana Lengkap (Drs.) dalam Ilmu Falsafah
Kerohanian dan Metaphysika (1962).
10. Drs. Dalam Ilmu Falsafah Kerohanian dan Metaphysika (1968).
11. Lulus Ujian Sarjana Lengkap (Drs.) dalam Ilmu Fizik Kimia
(1974).
• Ajaran Kadirun ini diasaskannya sejak 1952 di Medan dan mula
disebarluaskan ke Malaysia sekitar tahun 1970 an. Antara tempat
yang dikenalpasti sebagai pusat kegiatan yang utama ialah
Madrasah Darul Amin, Batu 17 ½, Rawang, Hulu Selangor dan
Surau Darul Jamil, Kampung Sungai Lang Tengah, Banting, Kuala
Langat, Selangor Darul Ehsan. Amalan ajaran tersebut dilakukan
pada setiap malam Selasa dan Juma`at di kedua-dua tempat ini.
Madrasah Darul Amin di Rawang, Selangor, dikenalpasti sebagai
markas besar mereka di negara ini. Oleh itu, segala urusan
pendaftaran dan bai`ah (pengakuan taat setia sebagai murid atau
pengikut) turut diadakan di madrasah tersebut yang dilakukan
oleh murid tua atau wakil guru kepada Kadirun Yahya. Beberapa
orang wakil Kadirun Yahya di Malaysia juga begitu aktif
menyebarkan tariqat ini. Antaranya yang dapat dikesan oleh pihak
Jabatan Agama Islam Selangor ialah Haji Mohd. Shariff Ali, Haji
Kamaruddin Haji Ibrahim dan Prof. Datuk Mohd Nor Marahakim.
• Selain itu, tariqat ini juga dipercayai telah berkembang di Malaysia
di tempat-tempat seperti berikut:
1. Kempas, Johor Bahru.
2. Kota Bharu, Kelantan.
3. Kota Kinabalu, Sabah.
4. Kuching, Sarawak.
5. Alor Setar, Kedah.
6. Kemaman, Terengganu.
7. Jerantut, Pahang.
8. Seremban, Negeri Sembilan.
CIRI-CIRI AJARAN
1. Nur Allah bergabung dengan nur Muhammad sallallahu `alayhi
wasallam.
Prof. Kadirun di dalam bukunya “Isra’ Mi`raj” dan “Sekuntum
Bunga Di Taman Firdaus” telah menyifatkan nur Ilahi itu
berdampingan dengan nur Muhammad sallallahu `alayhi wasallam.
Baginya, nur (cahaya) tersebut berfungsi sebagai wasilah atau
perantara antara manusia dengan Allah dan ditanam ke dalam diri
rohani para Rasul yang disucikan. Dan manusia menghadapkan
fokusnya kepada roh Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam.
2. Ajarannya dari Allah.
Mereka juga mendakwa kononnya tariqat ini telah diwahyukan
sendiri oleh Allah kepada Nabi Muhammad sallallahu `alayhi
wasallam sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. Melalui tariqat
ini, Allah telah menurunkan nur (cahaya) ke dalam badan Nabi
Muhammad sallallahu `alayhi wasallam. Manakala nur Muhammad
ini pula diturunkan kepada setiap lapisan salsilah di kalangan
pengamalnya hinggalah ke dalam batang tubuh Prof. Kadirun
Yahya sendiri.
3. Mengi`tiqadkan bersama guru.
Setiap pengikut mesti membayangkan wajah guru mereka semasa
beramal agar amalan segera diterima. Begitu juga adalah sudah
memadai dengan mengenali gambarnya atau orangnya. Justeru,
jika tidak mengetahui wajahnya, memadailah dengan
mengi`tiqadkan diri beserta dengannya dan berzikir serta berimam
dengannya. Dengan demikian pengikutnya akan beserta pula
berzikir dengan Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam yang kekal
berada di sisi Allah.
4. Merokok tidak masuk syurga.
Para ahli ajaran tariqat ini juga tidak dibenarkan menghisap rokok
kerana sesiapa yang merokok tidak akan masuk syurga.
5. Menunaikan haji di Medan, Indonesia.
Sebelum menunaikan haji di Makkah, pengikutnya dikehendaki
terlebih dahulu datang bersuluk di Pancabudi, Medan. Sekiranya
mereka tidak mampu ke Makkah, maka memadailah datang ke
Medan sahaja.
6. Bersuluk meninggalkan Juma`at.
Ajaran Kadirun juga mengandungi amalan suluk selama 10 hari
dengan mengamalkan zikir-zikir tertentu dan meninggalkan
Juma`at. Haji Mohd. Syarif Ali dan murid-murid tua bertindak
sebagai pembimbing. Kaum wanita dibimbing oleh murid tua di
kalangan mereka dan perlu meminta izin daripada suami atau ibu
bapa sebelum menyertainya. Hanya beberapa tempat sahaja di
Malaysia yang ada menjalankan suluk, iaitu di markas besarnya di
Rawang, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kemaman, Terengganu.
Suluk akbar dilakukan pada bulan Muharram, Ramadhan, Rabi`ul
Awwal, Zulhijjah dan Rajab. Ahlinya yang mempunyai
kesempatan sahaja yang mengamalkan suluk dan telah memasuki
tariqat ini lebih dari tiga bulan. Jumlah hari bersuluk yang
diwajibkan adalah 10 hari, walaupun melakukannya di Medan dan
boleh ditambah lagi selepas hari yang kesepuluh.
7. Roh terawang-awang di mana-mana.
Kadirun Yahya mengajarkan bahawa manusia tidak akan sampai
kepada Allah subhanahu wata`ala hingga hari qiyamat walaupun
terbang dengan sebarang alat sekalipun atau melalui apa sahaja
akal dan ma`rifat kerana kapasiti yang terbatas. Bagi Kadirun, roh
manusia itu tetap berterbangan di awangan selamanya di alam roh
yang luas tidak bertepi sehingga akhirnya roh-roh itu hancur
berantakan kerana diperdayakan oleh jin, syaitan atau iblis. Tidak
dapat diketahui ke mana perginya tetapi yang pastinya tidak
sampai kepada Allah. Kononnya untuk sampai ke sana,
memerlukan frekuensi yang tak terhingga yang hanya berada
dalam diri Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam dan dapat diwarisi
daripada Baginda.
8. Bergabung dengan roh Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam.
Untuk mendapatkan solat yang khusyu`, pengikut ajaran Kadirun
Yahya hendaklah menggabungkan dengan diri rohani Rasulullah
sallallahu `alayhi wasallam yang mempunyai frekuensi tidak
terhingga. Maka barulah rohani ikut bergetar, bertasbih dan
berzikir dengan frekuensi yang tidak terhingga dan akhirnya akan
disucikan oleh roh Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam.
9. Menyalahtafsirkan ayat-ayat Al-Qur’an.
Kadirun Yahya turut menyalahtafsirkan ayat-ayat Al-Qur’an
sebagaimana yang terdapat di dalam karangannya di samping
pengajaran yang disampaikan.
KEPUTUSAN FATWA
• Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah mengambil
maklum dan bersetuju menerima pakai keputusan fatwa
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 3 pada 15-16
November 1981 di Bilik Gerakan Negeri Terengganu yang
memutuskan bahawa:
“Tariqat Naqsyabandiah Khalidiah yang dibawa oleh
Kadirun Yahya adalah menyeleweng daripada ajaran
Islam dan mengamalkan tariqat ini adalah sesat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PLEASE COMMENT!