Khamis, 3 November 2011

HAMIL LAGI???

Tunggu rahim pulih sebelum hamil semula
Jawapan disediakan: Dr Suhaimi Isa, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang
bminggu@bharian.com.my
2010/11/21
Soalan:
SAYA berkahwin sejak dua tahun lalu. Baru-baru ini, saya menjalani pembedahan Caesarean tetapi bayi saya meninggal dunia kerana kelahiran pramatang. Berapa lamakah masa untuk saya merancang kehamilan sebelum dapat mengandung semula? Apakah ada sebarang risiko jika hamil sejurus habis pantang?
PUAN N Jawapan: Salam takziah di atas kematian bayi Puan N. Sememangnya setiap kandungan itu amat diinginkan apatah lagi selepas baru berumahtangga. Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh menolak takdir yang ditetapkan oleh Ilahi.

Oleh itu pertama kali puan mesti reda dengan apa yang berlaku dengan kehendak-Nya dan kita memang tidak ketahui kebaikan di sebaliknya. Apa yang saya maksudkan di sini, puan mesti bersiap sedia dari segi emosi sebelum puan boleh mengandung. Biarkan emosi dan ketidaktentuan fikiran ini berlalu dan stabil kembali.

Saya selalu menasihatkan pesakit, pastikan mental kita sudah bersedia dan kita reda dan tidak perlu mengungkit apa yang sudah berlaku. Pastikan soalan kenapa anak puan meninggal sudah terjawab dan puan berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

Dari segi perubatan, saya tidak menasihatkan untuk terus mengandung dalam waktu terdekat ini. Walaupun luka pembedahan sudah pulih, tetapi mengandung dalam waktu terdekat sebenarnya mempunyai risiko tinggi sedikit, iaitu kemungkinan rahim pecah ketika melahirkan dibandingkan selepas setahun atau dua tahun selepas pembedahan itu.
Bukan itu saja, masalah anemia iaitu haemoglobin rendah juga tinggi kerana kekurangan zat besi yang sudah digunakan ketika kandungan pertama. Anemia boleh menyebabkan kita pucat, letih dan kurang bermaya ketika hamil.

Perlu diingatkan kalau diberi pilihan, tangguhkan dulu keinginan mengandung ini selama 8 - 10 bulan, untuk memberi masa kepada rahim betul-betul pulih. Gunakan waktu ini untuk memulihkan fizikal dan mental puan terlebih dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!