Selasa, 4 Januari 2011

SANDAKAN!



Sandakan merupakan salah sebuah bandar utama di Sabah dan merupakan bandar kedua terbesar di negeri tersebut. Kedudukan Sandakan di Teluk Sandakan menjadikannya sebuah pelabuhan yang baik. Sandakan berada di sebelah pantai timur pulau Borneo dan mempunyai penduduk berjumlah 479,121 orang (2009). Dari segi sejarah, bandar ini pernah menjadi pusat pentadbiran dan ibu negeri Borneo Utara semaza zaman pemerintahan British. Kawasan ini juga pernah menjadi tapak pembinaan padang terbang (airfield) tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Dari segi pelancongan, Sandakan terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi ekopelancongan di Sabah; contohnya Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Taman Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu.

Ketika awal 1870-an, pantai timur Sabah berada di bawah pemerintahan Sultan Sulu yang turut memerintah kawasan yang kini merupakan Filipina selatan. Pendudukan Eropah yang terawal di kawasan ini ditubuhkan oleh William Clarke Cowie, seorang penyeludup senjata api berbangsa Scotland dari Glasgow yang mendapat izin daripada Sultan untuk mendirikan tapak perdagangan yang kecil. Cowie menamakan penempatannya Sandakan, iaitu istilah bahasa Sulu bagi "tanah yang digadai", namun kemudiannya tempat ini dikenali sebagai "Kampung German" kerana bilangan besar orang Jerman yang bertapak di sini. Penempatan ini merupakan sebahagian daripada pajakan yang diperoleh konsul Austria-Hungary Baron von Overbeck daripada Sultan Sulu pada tahun 1878. Setelah pajakan itu dibeli oleh rakan von Overbeck yang berbangsa British, Alfred Dent, Kampong German teranap pada 15 Jun 1879. Residen British yang baru, William B. Pryer, memutuskan untuk tidak membina semula kampung itu, sebaliknya berpindah ke Buli Sim Sim pada 21 Jun 1879. Beliau menamakan penempatan baru beliau itu Elopura, yang bermaksud Beautiful City. Beberapa tahun kemudian, namanya ditukar kembali ke Sandakan. Nama Elopura masih memaksudkan salah sebuah Dewan Undangan Negeri di Sandakan.

Pada tahun 1883, pusat pentadbiran Syarikat Borneo Utara Inggeris dipindahkan dari Kudat ke Sandakan. Pada pertengahan 1930-an, eksport kayu balak Sandakan mencapai angka rekod 180,000 meter padu, menjadikannya pelabuhan pengeksport kayu balak tropika yang terbesar di dunia. Pada zaman kemuncak lambungan hasil balak, Sandakan bermegah dengan tumpuan jutawan terbesar di seluruh dunia.

Pendudukan Jepun di Sandakan ketika Perang Dunia II bermula pada 19 Januari 1942 dan bertahan sehingga sebuah briged Divisyen Ke-9 Australia membebeaskannya pada 19 Oktober 1945. Pentadbiran Jepun memulihkan nama Elopura untuk pekan ini. Antara kezaliman yang berlaku ketika Perang Dunia II ialah Kawat Kematian Sandakan, apabila askar Jepun hendak memindahkan sekitar 6,000 orang tawanan perang di Sandakan 260 km (160 batu) ke pedalaman di pekan Ranau. Tawanan-tawanan yang berjaya merempuh perjalanan ke Ranau hidup-hidup diasakkan ke dalam pondok-pondok yang kotor; kebanyakan mereka ini mati sama ada akibat penyaki disenteri atau dibunuh oleh pengawal penjara. Setelah tamatnya perang, Sandakan ranap keseluruhannya, sebahagiannya akibat pengeboman Kuasa Berikat dan sebahagian lagi oleh pihak Jepun. Oleh itu, setelah Borneo Utara menjadi Tanah Jajahan British pada tahun 1946, ibu negerinya dipindah ke Jesselton (kini Kota Kinabalu).

Sandakan masih merupakan pelabuhan kedua terpenting di Sabah, mengekori Kota Kinabalu. Pelabuhan ini penting untuk eksport kelapa sawit, tembakau, koko, kopi, gentian manila dan sagu. Sandakan juga adalah antara bandar-bandar yang paling sibuk di Malaysia Timur.

Kebelakangan ini, makin banyak perniagaan telah memindahkan operasinya dari pusat bandar gara-gara kehadiran pendatang tanpa izin di pusat bandar. Pada bulan Januari 2003, Sandakan Harbour Square, sebuah projek pembaharuan bandar, dilancarkan untuk cuba menghidupkan kembali pusat bandar sebagai pusat komersil di Sandakan. Projek ini akan menampilkan sebuah pasar pusat dan psar ikan yang baru, sebuah pusat beli-belah, dan sebilangan hotel. Projek ini akan dibina dalam tiga fasa dan dijangka siap pada tahun 2010.

Bagaimanapun, penduduk Sandakan menghadapi kesulitan bekalan elektrik dan air selama berdekad lalu. dua masalah besar ini tidak pernah pun diselesaikan meskipun sentiasa dijanjikan oleh para ahli politik atau kerajaan negeri ketika pilihanraya. Bekalan elektrik sering terputus apabila terjadinya ribut petir atau hujan lebat. Namun, sejak pertengahan tahun 2007, kadar gangguan elektrik berjaya diturunkan secara mendadak setelah siapnya Grid elektrik Barat-Timur.

Pada 26 November 2007, beberapa butir bom bersaiz besar ditemui di tapak perumahan rakyat berhampiran Taman Perumahan Airport Baru dan Kuaters 22 RAMD Kem Sri Kinabatangan. Semasa Perang Dunia II, kem tentera British di Sandakan di Jalan Army Camp Batu 7 menjadi sasaran utama serangan. Ada di antara bom-bom yang digugurkan itu tidak meletup dan terbenam di dalam tanah. Pemangku Ketua Polis Sandakan DSP Ooi Guan Siew mengarahkan kerja-kerja memusnahkan bom itu dijalankan pada 27 November 2007
Oleh sebab Sandakan nyaris ranap ketika Perang Dunia II, cuma terdapat beberapa buah bangunan pelbagai usia yang masih ada. Antara tarikan yang masih ada termasuk:

Rumah Agnes Keith, juga dikenali sebagai Newlands - rumah dua tingkat milik pengarang tempatan Agnes Newton Keith dan suami Harry (Kurator Muzium Borneo Utara) dari tahun 1930 hingga 1952. Rumah ini musnah ketika Perang Dunia II dan dibina semula di tapak yang sama. Pn. Keith menulis beberapa buah buku tentang Sabah dan penduduknya, termasuk Land Below the Wind, Three Came Home, dan White Man Returns. Baru-baru ini rumah ini menikmati pemulihan setelah bertahun-tahun dibiarkan.
English Tea House [1] - terletak di tapak Muzium Agnes Keith, sebuah restoran di lereng bukit atas Sandakan yang menyajikan hidangan Inggeris dan Asia tradisional. Alamat: 2002 Jalan Istana - tel: 6089 222544
Taman Peringatan Sandakan - dibina di tapak khemah tawanan perang Taman Rimba.
Tanah Perkuburan Jepun - menempatkan tapak peringatan kepada korban perang Jepun di Borneo.
Gereja St Michael's and All Angels - gereja granit ini dibina pada tahun 1897 dan merupakan salah sebuah daripada bilangan kecil bangunan sebelum perang yang masih ada di Sandakan. Gereja ini diiktiraf sebagai sebuah tapak warisan dunia sejak tahun 2005.
Tokong Buddha Puu Jih Shih - tokong merah dan emas yang siap pada tahun 1987 ini menghadap pusat bandar.
Tokong Sam Sing Kung Temple - binaan yang siap pada tahun 1887 ini merupakan binaan yang tertua di Sandakan.
Masjid Sandakan - binaan yang siap pada tahun 1988 ini terletak berhampiran dengan teluk dan Kampung Buli Sim Sim.
Kampung Buli Sim Sim - kampung perikanan berkaki bajang di tapak asal pekan Sandakan.
Pasar Sandakan - antara pasar yang terbesar dan tersibuk di Sabah.
Taman Buaya - terletak 12 km (7.5 batu) dari Sandakan, menempatkan lebih 2,000 ekor reptilia ini dalam kolam konkrit.
Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary - tempat pemerhatian kera Bekantan untuk para pelancong yang hendak mendekati spesis kera ini di habitat semulajadinya.

begitulah sedikit sebanyak tentang SANDAKAN,SABAH. lain kali kita berkenalan dengan bahagian timur yang lain seperti bahagian Tawau... tapi itu di lain hari...
bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!