Khamis, 27 Januari 2011

IMHOTEP - NABI @ PENYIHIR ZAMAN FIRAUN?



Sihir merupakan salah satu elemen yang penting dalam peradaban Mesir Kuno. Ia berakar umbi ke zaman sebelum penulisan sejarah dan pengaruhnya begitu meluas hingga menjadi akidah yang diimani oleh pemimpin dan rakyat. Ia menguasai segenap sudut kehidupan dan peraturan-peraturan di zaman tersebut. Para penyihir dianggap ‘belahan tuhan’, diberi kedudukan istimewa di samping raja, menjadi teman berbincang dan tilikan mereka dijadikan sumber rujukan dalam setiap keputusan kerajaan.

Para dukun penyihir menisbahkan kuasa sihir mereka kepada dewa-dewi, seperti kuasa menyuburkan tanah disandarkan kepada dewi kesuburan (Isis). Begitu juga sihir yang menghasilkan kejahatan disandarkan kepada dewa-dewa jahat dan ia dipanggil ‘sihir gelap’. Kemudian kuasa-kuasa sihir yang telah ‘didewakan’ tersebut dijadikan nama-nama kuil seperti Kuil Isis, Kuil Horus dan sebagainya. Ini menjadi antara punca bagaimana terhasil sekian banyaknya dewa-dewi yang menjadi sembahan dalam kepercayaan Mesir Kuno.

Demikian juga kepercayaan mereka terhadap tangkal memberi kesan yang besar dalam pembinaan tamadun. Egyptologist Mesir, Salim Hasan menulis dalam ensaiklopedianya berkenaan tangkal, “Tangkal-tangkal sihir menjadi sumber hukum dan panduan yang memandu setiap perbuatan individu dalam kehidupan bermasyarakat”.

Hal ini berlanjutan hingga akhir fasa Kerajaan Lama.

Kemudian Imhotep muncul di Kuil Ptah di Menphis membawa risalah suci dan ilmu pengetahuan yang digelar ‘Triad Perubatan-Senibina-Seni Lagu’. Beliau dianggap ‘Dukun Sihir Agung’ apabila sihir ( baca: mukjizat )nya berjaya melampaui kebolehan dukun-dukun sihir pada masa tersebut. Beliau memulakan dengan sihir perubatan yang telah menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak ditemui penawarnya. Bersama sihir tersebut, Imhotep menyampaikan seruan dakwahnya yang tak lain tak bukan, ialah seruan kepada mentauhidkan Tuhan yang esa, Tuhan segala tuhan ( dewa-dewi sembahan mereka ) yang memberikan kesembuhan dan tidak meminta balasan atas segala nikmatNya. Imhotep, dalam melakukan perawatan tidak mengenakan sebarang bayaran bahkan meminta pesakitnya supaya tidak melakukan nazar hingga penyakit mereka sembuh, agar kelak kesembuhan itu menjadi penguat iman dan syukur mereka.

Kebolehannya ini tersebar ke seluruh dinasti, rakyat datang berduyun-duyun menemui beliau hingga akhirnya ibukota Mesir dipindahkan dari On ( yang sebelumnya menerima risalah tauhid Osiris )ke Menphis. Beliau menerima pengiktirafan yang tinggi dari Maharaja Djoser yang memerintah pada zaman tersebut dan diberi ruang mentadbir negara di sisi baginda.

Kemasyhuran Imhotep tidak terbatas setakat sihir perubatan yang telah menyebabkannya didewakan olah bangsa Rom dan Greek, bahkan kebolehan beliau melampaui disiplin ilmu lain dan membuktikan bahawa beliau adalah nabi, pesuruh Allah. Seorang pengkaji telah menulis di dalam bukunya, Imhotep’s Life : “ Ketika mana kuil-kuil di Mesir hanya tertumpu kepada satu-satu sihir tertentu, Imhotep dengan kebolehannya yang pelbagai telah mengalahkan Kuil Matahari di On dan mengangkat Kuil Ptah di Menphis menjadi pusat perhimpunan dukun-dukun besar. Mereka menggelarnya sebagai ‘Dukun Agung Kuil Ptah, Pembawa Mukjizat Ilmu Pengetahuan Suci’. Mereka beriman dengan mukjizat beliau yang melampaui kebolehan mereka dalam pelbagai bidang.

Antara bidang lain yang mendapat sentuhan mukjizat Imhotep ialah senibina. Sejarawan menyifatkan Imhotep sebagai ‘Dukun Senibina’ dan ‘Bapa Pembinaan’. Ini berdasarkan kepada binaan mukjizat beliau yang menimbulkan kehairanan setiap generasi zaman-berzaman. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam pembinaan piramid pertama pada zaman Maharaja Djoser, yang mana sebelum itu kuburan raja-raja hanya dibuat daripada batu lumpur. Jika ditinjau pada pembinaan piramid, para saintis tidak dapat membongkar rahsia pembinaannya hingga ke hari ini. Bagaimanakah batu yang beratnya bertan-tan boleh dipotong, digilap dan diangkut dari gunung kemudian disusun mengikut kiraan yang tepat menjadi sebuah binaan kukuh? Semuanya menimbulkan tanda tanya lalu direkalah pelbagai teori untuk melenyapkan persoalan masing-masing.

Namun jauh dari pengetahuan umum, persoalan ini telah dijawab oleh ahli sihir Mesir Kuno seperti yang tertulis dalam sebuah skroll yang ditemui dalam kubur salah seorang dukun Kuil Ptah. Skroll yang usianya kembali ke zaman kegemilangan Kerajaan Lama itu, tercatat padanya nama ‘Dukun Sihir Agung’ dan kisah bagaimana beliau menggunakan sihirnya untuk memindahkan blok-blok batu tanpa melibatkan sebarang tenaga manusia!1. Ini cukup menjelaskan rahsia pembinaan Piramid Mesir yang selama ini menjadi teka-teki, sekaligus menyangkal teori-teori karut ciptaan saintis barat yang mendakwa piramid dibina dengan jentera kayu, gelongsor pasir mahupun buruh-buruh paksa. Catatan dalam skroll ini cukup memberitahu kepada umum bahawa segala teori barat adalah khayalan mereka semata-mata dan jauh tersasar dari hakikatnya.

Seorang saintis Swiss menulis komennya berkenaan catatan tersebut :

“ Apa yang disebut sebagai kuasa sihir itu membuktikan bahawa tamadun Mesir kuno sudah menemui tenaga janaan alam semesta. Mereka telah mengetahui perbezaan setiap pancaran, had laju dan fungsinya yang membolehkan mereka mamanipulasi medan magnet secara teknikal mahupun dengan perantaraan sihir. Secara tidak langsung ini turut membenarkan penemuan para pengkaji bahawa mereka – Tamadun Mesir Kuno- telah menemui pancaran laser dan menggunakannya dalam pembuatan alat perhiasan dan perubatan”.

Pada abad lepas, dunia industri telah memasuki fasa baru dengan penemuan uranium di pergunungan Laut Merah, yang mana penemuan ini berpandukan peta lombong dari tamadun Mesir kuno. Lokasi-lokasi ini disebut “Biakhu”, atau logam-logam terkumpul. Rahsia ini telah lama disimpan rapi oleh para dukun (@saintis) dan ia memainkan peranan penting dalam pembinaan peradaban Mesir kuno.

Ahli sejarah memberi pelbagai sanjungan kepada Imhotep. Masing-masing menggelarnya sebagai pendamping Osiris, anak Dewa Ptah, Penyihir lagu dan sebagainya. Bahkan beliau diangkat menggantikan dewa Nefertem lantas menjadi salah satu daripada triniti kepercayaan Kuil Ptah – Ptah-Sekhmet- Imhotep. Seorang pengkaji, K.Seetha, menyifatkan kemunculan Imhotep di Menphis telah meletakkannya setaraf dengan dewa-dewi, hatta ‘tuhan’ sembahan di Kuil Ptah sendiri. Kebolehannya tak lain adalah mukjizat dan kekuatan langit yang dikurniakan Allah kepada pembawa-pembawa risalah tauhid, yang menjadi menjadi pelindung para rasul dan nabi-nabi.

Maka,sihir yang menjadi senjata perisai syirik itu digunakan olah Imhotep untuk menundukkan pendewaan makhluk dan menegakkan akidah Tauhid di muka bumi.

P/S : TERINGAT CITE THE MUMMY- Imhotep digambarkan sebagai kuasa jahat yang merosakkan alam... betapa busuknya hati orang-orang kafir!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!