MAMAK CORNER
Rizal menghirup teh tarik yang berbuih panas itu dengan pelahan. Kadir di hadapannya dipandang sekilas. Sahabatnya itu senyum.
“Kenapa senyum-senyum ni?” Soal Rizal sambil mencapai suratkhabar Metro dalam pegangan Kadir.
“Takde apa-apa…”
Kadir membiarkan sahaja Rizal mengambil suratkhabar yang baru separuh dibacanya itu. Tajuk besar di dada suratkhabar tersebut jelas kelihatan.
‘WIRA MALAM BERAKSI LAGI!’
Rizal menatap seketika tajuk besar itu. Kemudian menatap pula gambar-gambar yang terpampang. Ada gambar yang kelihatan kabur. Semuanya gambar-gambar berturutan. Lembaga hitam memakai topeng pada wajah sedang bertarung dengan tiga orang lelaki. Ada perempuan muda terbaring tidak jauh dari tempat pertempuran. Kemudian dia membaca pula isi berita.
Kadir menghirup gelas minumannya. Pinggan yang berisi roti canai itu di kuis-kuis dengan garpu. Sesekali dia menjeling Rizal dan menjeling pula jam tangannya.
“Hmmm… hebat!” Gumam Rizal.
“Apa yang hebatnya?” Soal Kadir.
“Wira Malam!”
“Ooo…” mulut berbibir hitam akibat kesan rokok itu melopong.
“Dua malam lepas Wira Malam ini telah menumpaskan Geng M108 di Puchong. Malam tadi beraksi lagi…” Rizal meneruskan bacaannya pada berita lain pula. Keningnya berkerut-kerut apabila berita yang dibacanya itu agak memeningkan kepalanya.
Suasana dalam restoran mamak itu semakin sesak dengan pelanggan yang terdiri dari pelbagai bangsa. Hanya orang putih sahaja yang tidak kelihatan di situ. Melayu, Cina, India, Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan beberapa orang yang tidak dapat dipastikan bangsanya. Masing-masing sibuk menjamu selera. Tidak kurang juga yang menghisap rokok. Yang berbual-bual rancak dan bergelak ketawa pun ada.
Kadir meneguk teh tarik yang tinggal separuh itu. Anak matanya masih merenung Rizal yang asyik membaca.
“Malam ni kau datang gelanggang tak?” Soalnya, gelas yang hampir-hampir kosong itu diletakkan. Dia mencapai pula roti canai yang hampir seprauh dimakan. Mencuit sedikit dan mencecahnya dengan kuah kari yang bercampur dengan kuah dal lantas dihumbankan ke dalam mulutnya. Dia mengunyah dengan penuh berselera.
Rizal angkat muka. “ Tak pasti lagi!”
“Kenapa pula?”
Rizal hilang mood untuk meneruskan bacaannya. Dia mencapai gelas yang masih penuh dengan teh tarik itu. Dihirup pelahan dan diletakkan kembali.
“Malam ni aku ada hal nak jumpa seseorang…” jelasnya.
“Awek?”
Rizal menggeleng sambil menjuihkan bibir merahnya.
“Ya ke?” soal Kadir, tidak yakin dengan apa yang didengarnya.
Rizal angguk lagi. “Rakan chatting!”
Kadir diam seketika. “Lawa ke?”
Tak taulah aku… belum pernah jumpa lagi.”
“Ooo… Blind date la ni!?” Terka kadir, senyumannya melebar.
Rizal hanya senyum. Mengangguk pun tidak apatah lagi menggeleng kepala.
“Kau dah sudah ke?”
“Sudah apa?” Dahi Kadir berkerut. Wajah Rizal dipandang, ingin tahu.
“Kau dah habis sarapan ke?”
Kadir mengangguk akhirnya.
“Jom, kita ke pejabat.”Rizal bingkas menuju ke kaunter diikuti Kadir. Cerita tentang SOLO hilang begitu sahaja.
NOVEL SOLO AKAN BERADA DI PASARAN PADA TAHUN 2011... INSYALLAH. NANTIKAN!
I have just came across your sharing info.Basically i like your creativity idea what you expressed through this post.Take my hearty thanks.Don't forget to update it.I wait for your feed back.quran
BalasPadam