Sabtu, 17 Jun 2017

LAILATUL QADAR YANG DITUNGGU DAN QUR'AN DITURUNKAN???

Peristiwa-peristiwa besar yang berkisar di sekitar Petunjuk Allah, dari Adam hingga ke Nabi terakhir, tentu banyak yang telah berlaku. Namun tidak semua diceritakan di dalam al-Qur'an, atau tidak diceritakan dengan panjang lebar. Maka apa yang diceritakan adalah apa yang manusia harus tahu sahaja.

Peristiwa penurunan al-Qur'an adalah suatu yang besar juga, yang tidak ditinggalkan sebutannya di dalam al-Kitab. Ia disebut berulang kali. Justeru ayat-ayatnya didapati agak banyak tetapi terselit di sana sini di beberapa buah halaman al-Qur'an yang mulia. Lalu ayat-ayat tersebut disusun di sini mengikut kronologinya.

Ayat pertama dapat dibaca dalam surah al-Baqarah. Ia mengisahkan al-Qur'an diturunkan pada bulan Ramadhan.  Sempena penurunan itu manusia diwajibkan berpuasa pada bulan berkenaan. 

ALLAH S.W.T berfirman :

"Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas dari Petunjuk itu, dan Pembeza. Maka hendaklah orang-orang antara kamu yang menyaksikan (hadir) pada bulan itu, berpuasa;" [Q.S.2:185]

Al-Qur'an diturunkan pada suatu malam bulan Ramadhan. Pada malam itu hamba-Nya(Nabi Muhammad SAW) yang dipilih untuk menerima Kitab tersebut telah diperjalankan dari sebuah masjid, iaitu, MASJIDIL HARAM(Tempat Sujud yang Suci), ke sebuah MASJIDIL AQSA (tempat sujud lain yang lebih jauh) yang terletak di Gua Hira', jauh daripada tempat baginda tinggal. Tujuan baginda diperjalankan ke destinasinya adalah untuk diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat Tuhannya.

ALLAH S.W.T berfirman :

"Dia disanjung, yang menjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram(Tempat Sujud yang Suci) ke MASJIDIL AQSA (Tempat Sujud yang lebih jauh) di mana sekitarannya Kami berkati, supaya Kami lihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat." [Q.S.17:1]

*Masjidil Aqsa atau Tempat Sujud yang lebih jauh bukan di Palestin, tetapi di Gua Hira' yang terletak di kawasan pergunungan, yang jauh dari Masjidil Haram.

Hal ini berlaku sepertimana juga kepada Nabi Musa yang telah diperjalankan supaya pergi ke gunung untuk menerima kitab Taurat.

Malam tersebut terus disebut di dalam al-Qur'an. Kali ini ia dipanggil malam yang diberkati. Dan frasa ayat-ayat Kami yang disebut di dalam ayat di atas diganti dengan kalimat Kitab pula.

ALLAH S.W.T berfirman:

"Demi Kitab yang jelas. Kami turunkannya pada satu malam yang diberkati; Kami selamanya beri amaran, Di dalamnya segala urusan yang bijaksana ditentukan, Sebagai satu urusan daripada Kami; Kami selamanya utus, Sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui,"
[Q.S. 44:2-6]

Al-Qur'an yang diturunkan pada malam yang diberkati itu adalah jelas dan mengandungi segala urusan yang bijaksana, yang sudah ditentukan. Di dalamnya juga terkandung amaran daripada Tuhan.

Kitab tersebut adalah wahyu yang diwahyukan, yang dibawa oleh dia yang sangat kuat. Dia tegak mengambang di horizon yang tinggi, kemudian turun mendekati Nabi, lalu wahyukan apa yang dia wahyukan. Mungkin di situlah tempat MASJIDIL AQSA @ masjid yang lebih jauh yang disebut tadi.

ALLAH S.W.T, Berfirman:

"Ini  tidak lain hanya satu wahyu yang diwahyukan, Yang mengajar dia, yang sangat dalam kekuatan, Sangat kuat ; dia tegak mengambang, Di horizon yang tinggi, Kemudian mendekati dan turun, Jarak dua ibu panah, atau lebih dekat, Kemudian mewahyukan hamba-Nya, apa yang dia wahyukan."
[Q.S.53:4-10]

Dia yang wahyukan Nabi itu adalah bukan Tuhan. Ayat-ayat bakal dipetik di sini akan jelaskannya.

Berhenti sejenak untuk mengisahkan pertemuan Nabi dengannya buat kali kedua. Ceritanya begini (sambungan petikan di atas):


ALLAH S.W.T, Berfirman:
"Sesungguhnya dia telah melihatnya sekali lagi, Di sisi pohon bidara berbatasan (sidratil muntaha), Di sisinya taman (jannah) untuk menginap, Ketika sesuatu yang menutupi, menutupi pohon bidara, Penglihatannya tidak menyimpang, dan tidak juga melampaui batas. Sesungguhnya dia telah melihat satu daripada ayat-ayat Pemeliharanya yang paling besar."
[Q.S.53:13-18]

Mungkin yang dilihatnya sebagai satu daripada tanda-tanda Tuhan yang paling besar ialah kitab TULEN al-Qur'an berupa papan yang dijaga. Firman mengenainya berbunyi,

"Tidak, tetapi ia sebuah al-Qur'an yang cemerlang, Pada papan yang dijaga." 
[Q.S. 85:21-22]

Atau, baginda melihat malaikat Jbril yang membawa turun Papan al-Qur'an yang indah.

Kembali kepada perbincangan mengenai tajuk. Wahyu yang disampaikan berupa ucapan. Lantas, diandaikan iaitu Nabi telah menulis untuk menyalinnya. Ini padan dengan sebuah ayat mengandungi dakwaan orang-orang di sekeliling baginda bahawa Kitab yang dibawanya telah diimlakkan kepadanya, berbunyi:

"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia tulis, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang." [Q.S.25:5]

Wahyu yang diucapkan itu adalah ucapan Rasul yang mulia. Dia mempunyai kekuatan (disebut lagi) dan berkedudukan kukuh di sisi Allah, selain ditaati dan dipercayai. Firman-Nya,

"Sesungguhnya ia adalah ucapan Rasul yang mulia, Mempunyai kekuatan, dengan Yang mempunyai Arasy kukuh, Ditaati, dan lagi, dipercayai. Teman kamu bukanlah orang yang dirasuk. Sesungguhnya dia melihatnya di horizon yang terang. Dia tidaklah lokek dengan yang ghaib." [Q.S.81:19-24]

Nabi telah melihat Rasul(Malaikat Jibril) tersebut di horizon (disebut lagi) yang terang. Rasul menurut al-Qur'an adalah juga daripada golongan malaikat, bukan manusia sahaja.

Dalam ayat yang lain, Allah menyatakan bahawa al-Qur'an dibawa turun oleh Roh Amin -

"Sesungguhnya ia adalah satu penurunan Pemelihara semua alam, Dibawa turun oleh Roh Amin,"
[Q.S. 26:192-193]

Sementara di awal al-Qur'an, nama Jibril disebut sebagai yang turunkan al-Qur'an ke dalam hati Nabi terutamanya:

".... Jibril, maka dialah yang turunkannya ke dalam hati kamu, dengan izin Allah, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan petunjuk, dan berita gembira bagi orang-orang mukmin."
[Q.S.2:97]

Oleh itu, mungkin tidak salah menyimpulkan bahawa dia yang sangat kuat, Rasul yang mulia dan Roh Amin adalah sebenarnya MALAIKAT JIBRIL.

Sebutan mengenai malam al-Qur'an diturunkan diakhiri dengan ayat-ayat berikut:

"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam yang berkuasa.  Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa?  Malam yang berkuasa adalah lebih baik daripada seribu bulan, Padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah,  Sejahteralah ia, hingga terbit fajar." [Q.S. 97:1-5]

Malam al-Qur'an diturunkan adalah pada waktu LAILATUL QADAR atau malam yang berkuasa, dan diberkati seperti yang telah dinyatakan. Pada malam itu malaikat-malaikat dan Roh turun dengan segala perintah Tuhan.

Perkataan Roh di dalam al-Qur'an membawa beberapa erti. Satu daripadanya ialah ayat-ayat Tuhan atau al-Qur'an seperti yang dijelaskan dalam ayat berbunyi :

"Begitulah Kami wahyukan kamu ROH daripada PERINTAH Kami. Kamu tidak tahu apakah al-Kitab itu, dan tidak juga keimanan; tetapi Kami membuatnya satu cahaya, yang dengannya Kami beri petunjuk kepada siapa yang Kami hendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan kamu, sesungguhnya kamu beri petunjuk pada jalan lurus,"
[Q.S 42:52]

Lantaran itu, frasa daripada ayat-ayat 97:1-5 di atas yang berbunyi "malaikat-malaikat dan Roh turun ..... dengan segala perintah," boleh diertikan kepada malaikat-malaikat dan ayat-ayat al-Qur'an turun ..... dengan segala perintah.

Suatu malam pada bulan Ramadan, lebih 1400 tahun yang lalu, ditentukan Allah jadi diberkati, berkuasa dan amat baik, lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam tersebut, ayat-ayat-Nya, atau al-Qur'an, diturunkan. Pada Malam itu penuh kesejahteraan.

Namun, kesejahteraannya berakhir apabila terbit waktu fajar pada hari itu. Akan tetapi, AL-QUR'AN atau ROH yang ditinggalkan terus jadi CAHAYA PETUNJUK bagi hamba-hamba Allah yang dihendaki-Nya ke JALAN LURUS, sampai Hari Kiamat.

MALAM BERKUASA @ LAILATUL QADAR???

Banyak hadis yang mengatakan bahawa Nabi atau sahabat pernah terjumpa Lailatul Qadar itu, banyak catatan sejarah dari hadis yang membuktikannya. Nabi merupakan orang pertama yang melalui Malam tersebut dan pada malam itu juga nabi menerima Qur'an, yang diwahyukan oleh ALLAH melalui malaikat Jibril ke dalam hati Nabi.

Keterangan Qur'an dalam Surah Al-Qadr - tentang Lailatul Qadar atau Malam yang berkuasa adalah amat jelas:

"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam yang berkuasa. Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa? Malam yang berkuasa adalah lebih baik daripada seribu bulan, Padanya malaikat-malaikat dan ROH turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah.  Sejahteralah ia, hingga terbit Fajar." (97:1-5)

Ayat 97:1 menjelaskan bahawa LAILATULQADR @ MALAM YANG BERKUASA(97:1-5) dan SATU MALAM YANG DIBERKATI(44:3) itu HANYA BERLAKU pada bulan RAMADHAN ketika Qur'an diturunkan(2:185).

MALAM YANG BERKUASA itulah yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan dimana Malaikat dan Roh juga turun dan kesejahteraan hingga terbit Fajar. WALAUPUN, Qur'an telah diturunkan dan kini telah diamalkan.  namun, MALAM QADR masih dan tetap ada pada setiap bulan Ramadhan.


Qur'an itu diturunkan kepada Nabi sekaligus pada malam bulan Ramadhan dengan satu penurunan yang beransur-ansur(76:23)pada satu malam yang berkuasa dan diberkati. Maka peristiwa penurunan Qur'an itu hanya sekali sahaja manakala Lailatul Qadar itu, wujud SEKALI setahun iaitu pada Bulan Ramadhan sahaja.

*LAILATULQADAR  adalah KATA NAMA KHAS bagi malam tersebut. Maka Malam tersebut adalah wujud walaupun tanpa penurunan Qur'an kepada nabi Muhammad. Dan, malam itu digunakan sebagai Malam platform untuk ALLAH turunkan Qur'an ke dalam hati Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril.


Oleh itu,

menunggu-nunggu kedatangan LAILATUL QADAR nyatalah amalan yang baik dan pernah diamalkan oleh Nabi dan para sahabat nabi dan sehingga kini Umat islam masih melakukannya secara tetap pada setiap bulan Ramadhan  setiap tahun tanpa meragunya dan tanpa mengabaikannya.- MALAM  KE 27 LAILATUL QADR 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PLEASE COMMENT!