Isnin, 14 Mac 2016

SALAMUN ALAIKUM ???


Allah mengajar hamba-hamba-Nya. Dia mengajar melalui al-Kitab yang diturunkan kepada Rasul. Al-Kitab mengandungi petunjuk yang lengkap kepada jalan lurus. Tiada satu pun dilupakan-Nya, baik besar mahupun kecil, termasuk amalan salam hormat sesama manusia.

"Salam hormat" dalam bahasa Melayu adalah "hayya" dalam bahasa al-Qur'an, atau Arab. Kalimat itu disebut sebanyak sepuluh kali dan didapati pada tujuh ayat Kitab tersebut. Bilangannya banyak, lantas menunjukkan salam hormat antara sesama manusia adalah penting dan berfaedah.

Buat permulaan, diturunkan di bawah ini tiga daripada ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat hayya, atau salam hormat berbunyi,

"Seruan mereka di dalamnya (syurga), 'Engkau disanjung, ya Allah', dan salam hormat mereka, 'Salam', dan akhir seruan mereka, 'Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam'" (10:10).

"bagi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik, dimasukkan ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dengan izin Pemelihara mereka; salam hormat mereka di dalamnya, 'Salam!'" (14:23).

"Salam hormat mereka, pada hari mereka temui-Nya, ialah 'Salam!' Dan Dia sediakan bagi mereka upah yang mulia'" (33:44).

Salam, atau salaam dalam lafaz Arab, adalah bunyi salam hormat di akhirat bagi orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga. Itu juga salam hormat pada hari orang-orang mukmin menemui Allah. Ia disebut "Salam" (sin lam mim) bukan "As-Salam" (alif lam sin lam mim) kerana kalimat yang kedua itu adalah nama Tuhan (59:23).

Salam bermaksud "sejahtera" atau "kesejahteraan" atau "peace" dalam bahasa Inggeris.

Salam hormat tadi, yang diguna di akhirat, didapati diguna di dunia ini juga. Ayat-ayat Allah yang menunjukkan kegunaannya adalah:

"Rasul-Rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, 'Salam!' Dia berkata, 'Salam'" (11:69).

"Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang bodoh berucap kepada mereka, mereka berkata, 'Salam'" (25:63).

Daripada ayat-ayat tersebut dapat dipelajari bahawa "Salam" diguna kepada orang-orang yang percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, seperti Nabi Ibrahim, dan juga kepada orang-orang tidak percaya, atau orang-orang bodoh.

Salam hormat yang dianjur oleh Allah, yang diberkati-Nya dan baik, harus menjadi pakaian manusia di dunia ini. Itu adalah perintah-Nya. Perintah tersebut terkandung di dalam ayat berikut:

"Apabila kamu masuk rumah, berilah salam kepada diri-diri (sesama) kamu dengan salam hormat daripada Allah, yang diberkati dan baik. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu faham" (24:61).

Sebaliknya pula, Dia murka terhadap orang-orang yang tidak menggunakan salam hormat yang telah diajar-Nya. Kemurkaan-Nya tersirat di dalam ayat berbunyi,

"Kemudian, apabila mereka datang kepada kamu, mereka beri salam hormat kepada kamu dengan yang tidak menurut salam hormat daripada Allah kepada kamu" (58:8).

Begitulah beratnya salam hormat ajaran Allah di sisi-Nya. Selain ucapan "Salam" Dia juga ajar serta menyuruh ucapkan kalimat Salamun alaikum yang bermaksud Sejahtera ke atas kamu. Suruhan tersemat pada ayat bererti,

"apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu (Muhammad), katakanlah, 'Salamun alaikum'" (6:54).

Nabi telah ucapkan Salamun alaikum, atas perintah Allah, kepada orang-orang yang percayai ayat-ayat al-Qur'an, yang datang kepadanya. Salam yang diajar kepadanya, dan kepada semua hamba-hamba-Nya di dunia ini, adalah "diberkati dan baik" (sila rujuk ayat 24:61 yang disebut tadi).

Seperti itu juga diucap dalam situasi lain, seperti tatkala menarik diri daripada orang-orang bodoh, iaitu mereka yang tidak percayai ayat-ayat al-Qur'an, yang bercakap sia-sia mengenai agama. Firman-Nya:

"Apabila mereka dengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, 'Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak inginkan orang-orang bodoh'" (28:55).

"Kum" pada "salamun alaikum" adalah untuk jamak. Kepada seorang sahaja disebut "ka", seperti Nabi Ibrahim menyebut dalam ucapan kepada bapanya berbunyi "Salamun alaika (Sejahtera ke atas kamu)." Pengajaran didapati pada ayat Allah bermaksud,

"Dia berkata, 'Salaamun alaika!' Aku akan minta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku" (19:47).

Seterusnya, salam yang diajar Tuhan menjadi tanda untuk mengenali sama ada seseorang berada dalam keadaan baik atau buruk - sama ada dia masuk syurga atau neraka. Tanda dikenali ketika dia didatangi malaikat untuk mematikannya. Kepada orang baik, malaikat-malaikat beri salam hormat menurut ajaran Tuhan. Ayat di bawah menjelaskannya:

"Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu buat'" (16:32).

Bagi orang dalam keadaan buruk pula, dia tidak diberi salam, tetapi hanya kata-kata yang mengancam, sebagaimana digambarkan di dalam dua ayat berikut:

"Jika kamu dapat lihat ketika orang-orang zalim dalam sengsara kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka, 'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan kerana kamu kata yang tidak benar terhadap Allah, dan sombong terhadap ayat-ayat-Nya'" (6:93).

"Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan orang-orang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, 'Rasalah azab yang membakar,'" (8:50).

Salamun alaikum pun diucap di akhirat, kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam Taman (syurga). Tiga ayat di bawah membuktikannya:

"Dan di antara keduanya ada tabir, dan di atas Benteng adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang memanggil penghuni-penghuni Taman, 'Salamun alaikum!' Mereka belum memasukinya, dan mereka sangat menginginkannya" (7:46).

"'Salamun alaikum, kerana kamu telah sabar.' Sangat baiknya tempat kediaman muktamad" (13:24).

"Kemudian orang-orang bertakwa kepada Pemelihara mereka dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Taman, sehingga apabila mereka datang kepadanya, dan pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, 'Salamun alaikum! Kamu telah maju dengan baik; masuklah untuk tinggal selama-lamanya'" (39:73).

Salam yang diterima harus dibalas. Ia dibalas dengan salam yang serupa atau yang lebih baik. Perkara ini bukan remeh kerana Allah buat hitungan ke atasnya. Demikian itulah maksud firman Allah yang menyusul,

"Dan apabila kamu dihormati dengan salam hormat, maka berilah salam hormat yang lebih baik daripadanya, atau kembalikan ia; sesungguhnya Allah buat hitungan atas segala sesuatu" (4:86).

Sebagai contoh, pada ayat 11:69 yang telah disebut terlebih dahulu, dipelajari bahawa Nabi Ibrahim membalas dengan kata "Salam" kepada ucapan "Salam" malaikat-malaikat yang datang.

Mungkin sebutan "Salamun alaikum" adalah apa yang dimaksudkan dengan membalas salam yang lebih baik bagi "Salam" pada contoh yang baru disebut.

Sekiranya diberi salam dengan "Salamun alaika" atau "Salamun alaikum" pula, maka ia dibalas dengan yang serupa kerana, pada hemat penulis, tiada lagi yang lebih baik daripada itu, yang diajar Allah.

Ajaran Allah melalui ayat-ayat al-Qur'an dibuat-Nya jelas supaya hamba-hamba-Nya faham (ayat 24:61 tadi). Namun, timbul pula ajaran baru dengan salam yang lebih panjang setelah ditambah beberapa patah perkataan pada ajaran Allah, berbunyi,

As-salamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam yang pendek pun diajar juga, berbunyi,

As-salamu alaikum.

Ajaran baru terbit dari kitab karangan manusia zaman dahulu, seperti Bukhari, yang bukan seorang Nabi atau seorang Rasul, mahupun seorang Arab. Dia orang Parsi, dan tinggal kira-kira dua ratus tahun selepas Nabi wafat.

Contoh ajaran Bukhari diturunkan di bawah ini setelah di-copy and paste (maaf, ia dalam bahasa Inggeris) daripada CD terbitan "Islamic Computing Centre, London (1994)" yang tersurat seperti berikut:

Narrator    :  AbuHurayrah
Reference :  SAHIH AL-BUKHARI
Hadith no  :  8.246
Full_text    :  The Prophet (peace_be_upon_him) said, "Allah created Adam in His image, sixty cubits (about 30 meters) in height. When He created him, He said (to him), 'Go and greet that group of angels sitting there, and listen to what they will say in reply to you, for that will be your greeting and the greeting of your offspring.' Adam (went and) said, 'As-salamu Alaykum (Peace be upon you).' They replied, 'As-salamu Alaykum wa Rahmatullah (Peace and Allah's Mercy be on you).'  So they added 'Wa Rahmatullah.'"

The Prophet (peace_be_upon_him) added, "So, whoever will enter Paradise, will be of the shape and image of Adam. Since then the creation of Adam's (offspring) (i.e. stature of human beings) is being diminished continuously up to the present time."

Penulis tidak ingin memperbanyakkan kata atas kekeliruan yang hadir pada "Hadis Nabi" tersebut, seperti ketinggian Adam yang dikatakan 30 meter (yang mungkin setinggi atau lebih tinggi daripada haiwan dinosaur), atau penggunaan kalimat "As-Salam", atau petunjuk daripada malaikat, atau ketiadaan kata "wabarakatuh" pada tulisan Bukhari.


Akan tetapi, yang ingin dikatakan seterusnya ialah mengenai pilihan. Kini umat didatangi dua cara untuk memberi dan membalas salam. Umat kena pilih satu sahaja sebab Tuhan hanya satu. Pilihan haruslah memikirkan tentang siapa empunya syurga dan neraka. Dan bahawa umat tidak akan hidup lagi sesudah mati untuk membetulkan kesilapan dalam buat pilihan itu.