ALLAH S.W.T
Berfirman :
“Dan untuk
malam, pada sebahagiannya, berjaga-jagalah(FATAHAJJAD) dengannya sebagai amalan
tambahan bagi kamu; mudah-mudahan Pemelihara kamu bangkitkan kamu kepada sebuah
medan yang terpuji.”
[ Q.S. 17 : 79
]
“Sedikit
daripada malam mereka tidur, Dan pada
waktu sebelum dinihari, mereka minta ampun,”
[ Q.S. 51 : 17-18
]
“Yang melalui
malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri.”
[ Q.S. 25 : 64
]
“Dan
sebahagian daripada malam; sujudlah kepada-Nya, dan sanjunglah Dia melintasi
malam yang panjang.”
[ Q.S. 76 : 26
]
Idiom atau simpulan bahasa Inggeris di atas, burn
the midnight oil, bermaksud, bekerja atau menelaah pelajaran sehingga larut
malam. Dengan itu, tidur pada waktu malam dikorbankan sedikit sebanyak demi
kecemerlangan kerjaya seseorang atau pelajaran bagi para pelajar. Seperti itu
juga dilakukan oleh orang yang beramal kerana Allah.
Waktu malam dibuatkan Allah untuk manusia tidur dan
rehat, dan siang untuk bangkit, dan mencari rezeki. Firman-Nya:
"Dia yang buatkan malam bagi kamu untuk
menjadi pakaian, dan tidur untuk rehat, dan siang Dia buatkan untuk
kebangkitan" (25:47).
"Daripada pengasihan-Nya, Dia buatkan untuk
kamu malam dan siang, untuk kamu berehat padanya, dan untuk mencari
pemberian-Nya, supaya kamu berterima kasih" (28:73).
Bagi orang yang bekerja pada waktu malam pula,
mereka tidur pada siang hari. Firman-Nya:
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah tidur kamu
pada waktu malam dan siang hari, dan kamu inginkan sebahagian daripada
pemberian-Nya" (30:23).
Tidur adalah suatu kerehatan. Tempoh masa tidur
untuk orang dewasa berbeza-beza. Kebanyakan daripada mereka rasa puas dengan
tidur selama tujuh hingga lapan jam pada waktu malam, sementara sedikit yang
lain tidur lebih lama daripada itu, dan sedikit lagi memadai dengan hanya
kira-kira empat jam sahaja. (Encyclopaedia Britannica).
Sebelum tidur pada waktu malam, manusia diingatkan
supaya mengingati dan menyanjung Allah dengan lakukan solat. Amalan ini
menghilangkan perbuatan jahat. Firman-Nya:
"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan
awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah
satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat" (11:114).
Solat tersebut adalah solat isyak. Setelah
menunaikannya, kebanyakan orang akan tidur hingga ke pagi. Akan tetapi, ada
juga yang berjaga malam untuk buat amalan tambahan. Mereka menuruti suruhan
Allah berbunyi:
"Dan untuk malam, pada sebahagiannya,
berjaga-jagalah dengannya sebagai amalan tambahan bagi kamu; mudah-mudahan Pemelihara
kamu bangkitkan kamu kepada sebuah medan yang terpuji" (17:79).
Orang-orang yang berjaga malam, dan sedikit
daripadanya mereka tidur, adalah mereka yang bertakwa. Allah menetapkannya
dengan ayat berbunyi:
"Sesungguhnya orang-orang bertakwa .... Sedikit
daripada malam mereka tidur" (51:15-17)
Waktu malam ada keistimewaannya. Pada waktu itulah
al-Qur'an diturunkan. Dua ayat yang menyusul jelaskannya, bermaksud:
"Kami turunkannya pada satu malam yang
diberkati; Kami selamanya memberi amaran" (44:3).
"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam
yang berkuasa" (97:1).
Kerana itu, pada waktu malam, yang suasananya sunyi
sepi, adalah amat sesuai untuk membaca al-Qur'an. Ia dibaca perlahan dengan
tiap-tiap perkataan diperhati dan direnungkan, iaitu seperti orang menalaah.
Dengan cara begini, Allah akan buatkan kandungan ayat-ayat yang berat dapat
difahami dan disemat ke dalam hati. Bacaannya pula tidak dibuat seluruh malam
tetapi hanya separuh daripadanya atau kurang lebih daripada separuh.
Firman-Nya:
"Wahai kamu yang berselimut, Berjaga-jagalah
pada waktu malam, kecuali sedikit, Separuh daripadanya, atau mengurangkan
sedikit, Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar.
Sesungguhnya Kami akan lemparkan kepada kamu ucapan yang berat. Sesungguhnya
bahagian pertama malam lebih berat dalam pijakan, dan lebih tegak dalam
ucapan" (73:1-6).
Allah menjelaskan lagi, dalam surah yang sama, apa
yang dimaksudkan dengan separuh atau kurang lebih daripada itu, dengan menyebut
kiraan satu per tiga, separuh, dan dua pertiga, daripada bahagian malam untuk
membaca al-Qur'an. Ayat di dalam surah tersebut berbunyi:
"Pemelihara kamu tahu bahawa kamu berjaga-jaga
hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan
segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah tentukan malam dan
siang. Dia tahu bahawa kamu tidak akan jumlahkannya, dan Dia terima taubat
kamu. Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia tahu bahawa
antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi,
mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah
daripadanya semudah yang dapat" (73:20).
Di samping membaca ayat-ayat Allah, amalan sujud
turut diamal oleh sebahagian daripada ahli Kitab. Mereka itu diterangkan
sebagai umat yang tegak. Firman-Nya:
"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian
daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang baca ayat-ayat Allah pada
tengah malam, dan sujud" (3:113).
Sujud disertakan dengan ucapan yang, pada hemat
penulis, adalah terbuka menurut keadaan tertentu. Pun begitu, Allah beri
beberapa contoh, seperti di bawah ini:
"Tidak membebankan" - 2:58
"Kami percaya kepada Pemelihara semua
alam" - 7:121
"Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara
kami dilakukan" - 17:108
Cara sujud, seperti dalam peribadatan solat, tidak
dikenakan menurut sesuatu regimen yang ketat. Cara Allah memang fleksibel,
menurut keikhlasan, kesanggupan dan kemampuan seseorang. Justeru, di dalam
al-Qur'an, terdapat orang-orang yang bersujud di atas dagu (17:107) dan muka
mereka (48:29).
Sujud juga disebut dengan perbuatan berdiri.
Firman-Nya:
"Yang melalui malam dengan bersujud kepada
Pemelihara mereka, dan berdiri" (25:64).
"Atau, adakah orang yang patuh pada waktu
malam, sujud dan berdiri, sedang dia takut pada akhirat, dan mengharapkan
pengasihan Pemeliharanya?" (39:9).
Takut pada akhirat dan mengharapkan pengasihan
Allah adalah perasaan dan harapan semasa sujud dan berdiri pada waktu malam.
Mungkin ini baik diterjemahkan dalam ucapan kepada-Nya. Namun, Allah beri
contoh ucapan dalam sujud dan berdiri, berbunyi:
"Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah
daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling
ngeri, Buruknya ia sebagai sebuah tempat menginap, dan sebuah tempat
tinggal" (25:65-66).
Untuk amalan membaca al-Qur'an, sujud dan berdiri,
"wuduk" tidak diperlukan. Wuduk adalah hanya untuk solat (5:6). Tidak
ada suruhan untuk berwuduk sebelum membaca al-Qur'an. Dan, sujud dan berdiri
pada waktu malam itu bukan solat. Sekiranya ia solat maka Allah akan
menyebutnya sebagai solat.
Sujud disertakan dengan lafaz menyanjung Allah.
Ayat-ayat di bawah jelaskannya:
"Dan sebahagian daripada malam; sujudlah
kepada-Nya, dan sanjunglah Dia melintasi malam yang panjang" (76:26).
"Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan
pada hujung-hujung sujud" (50:40).
Lafaz sanjungan kepada Allah tidak terbatas pada
waktu malam sahaja. Waktu-waktu lain pun diperlukan, seperti yang dinyatakan di
dalam ayat-ayat berikut:
"Maka sabarlah kamu atas apa mereka kata, dan
lafazlah sanjungan Pemelihara kamu, sebelum terbit matahari, dan sebelum
terbenamnya, dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu pada
bahagian-bahagian malam, dan pada tepi-tepi siang, supaya kamu sangat puas
hati" (20:130).
"Dan lafazlah sanjungan-Nya pada waktu malam,
dan pada pengunduran bintang-bintang" (52:49).
Lafaz untuk menyanjung Allah adalah menurut keadaan
tertentu. Al-Qur'an beri beberapa contoh, antaranya adalah:
"Engkau disanjung! Kami tidak ada pengetahuan
melainkan apa yang Engkau ajar kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Mengetahui, Yang
Bijaksana" - 2:32 [ketika para malaikat ditanya mengenai nama-nama benda],
"Dia disanjung! Tidak, kepunyaan-Nya apa yang
di langit dan bumi, semuanya patuh kepada-Nya" - 2:116 [apabila mendengar
orang berkata Allah mempunyai anak],
"'Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku
untukku kata apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku katakannya, Engkau
ketahuinya, dengan ketahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak ketahui apa
yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib"
- 5:116 [sanjungan Nabi Isa tatkala Allah tanya adakah dia menyuruh
pengikut-pengikutnya ambil dia dan ibunya sebagai tuhan],
"Dia disanjung, di atas apa mereka
sekutukan" - 9:31 [kala disuruh mentaati habr, atau ulama agama, seperti
mentaati Allah],
"Ini jalanku. Aku seru Allah dengan
bukti-bukti yang nyata, aku dan sesiapa yang ikut aku. Kepada Allah sanjungan!
Dan aku tidak termasuk orang-orang yang sekutukan" - 12:108 [semasa
disuruh ikut jalan yang selain daripada jalan Allah yang terkandung di dalam
al-Qur'an],
"Dia disanjung! Tingginya Dia dengan
ketinggian besar daripada apa mereka kata!" - 17:43 [contoh, sewaktu mendengar
orang mengatakan Hukum Hudud Pas sebagai hukum Islam sebenar],
"Engkau disanjung! Ini fitnah yang besar"
- 24:16 [selepas mendengar orang memfitnah], dan
"Engkau disanjung! Tidaklah patut bagi kami
ambil untuk kami wali-wali (pelindung-pelindung), selain daripada Engkau"
- 25:18 [setelah mendengar orang menyuruh ambil wali selain daripada Allah].
(Sila layari halaman Kalimat sanjung di dalam
al-Qur'an selepas ini untuk mendapatkan keterangan sepenuhnya. Terima kasih.)
Lazimnya, menyanjung Allah adalah dengan sebutan
subhan Allah. Sebutan itu boleh diubah atau dipanjangkan lagi, misalnya dengan
menyelitkan doa dan lafaz taubat, seperti dicontohkan di dalam ayat-ayat di
bawah:
"... sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan
panggil Engkau Suci?" - 2:30,
"Yang mengingat Allah berdiri, dan duduk, dan
di atas lambungan mereka, dan yang memikirkan mengenai ciptaan langit dan bumi,
'Wahai Pemelihara kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Engkau
disanjung! Lindungilah kami daripada azab Api.
"Wahai Pemelihara kami, sesiapa Engkau
masukkan ke Api, maka sesungguhnya Engkau aibkannya; dan orang-orang zalim
tidak ada penolong-penolong.
"Wahai Pemelihara kami, kami mendengar seorang
pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada
Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami
atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada
kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat.
"Wahai Pemelihara kami, berilah kami apa yang
Engkau telah janjikan kami pada Rasul-Rasul Engkau, dan janganlah Engkau aibkan
kami pada Hari Kiamat; sesungguhnya Engkau tidak mungkiri janji temu." -
3:191-194,
"Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada
Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin" - 7:143,
"Engkau disanjung, ya Allah" - 10:10,
"Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara
kami dilakukan" - 17:108,
"Maka sanjunglah nama Pemelihara kamu, Yang
Agung" - 56:74, 56:96, 69:52,
"Sanjunglah nama Pemelihara kamu, Yang
Tinggi" - 87:1, dan
Contoh terakhir ialah ketika duduk di atas
kenderaan (binatang), berbunyi:
"Dia disanjung, yang tundukkan ini untuk kami,
dan kami sendiri tidak setanding dengannya Sesungguhnya kepada Pemelihara kami,
kami balik" (43:13-14).
Tidak dilupakan ialah lafaz meminta ampun dan
bertaubat dalam menyanjung Allah. Firman-Nya:
"Maka sanjunglah dengan memuji Pemelihara
kamu, dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dialah yang menerima
taubat" - 110:3
Untuk membaca al-Qur'an, sujud, berdiri, dan
menyanjung Allah, adalah tujuan utama orang-orang bertakwa kepada Allah burn
the midnight oil. Amalan-amalan waktu malam itu diusahakan dengan harapan
supaya dapat dibangkitkan ke sebuah medan terpuji di sisi Allah di akhirat
kelak. Allah disanjung!