Selasa, 22 September 2015

Q.S. AN-NAHL 16 : 71-77 ???


ALLAH S.W.T
Berfirman :
Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?

Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi, dan mereka pula tidak berdaya sama sekali mendapat kuasa itu.

Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).

Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?

Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[ Q.S. AN-NAHL 16 : 71-77 ]


RASULULLAH NABI MUHAMMAD S.A.W
Bersabda :
"Memaki orang muslim adalah derhaka (fasik) dan membunuhnya kafir."
Daripada Abdullah R.A
[ H.R.S : Imam Bukhari Ra. A. : Hadis 0040 ]


“Berhati-hatilah dengan daging, kerana ia menyebabkan ketagihan seperti Arak.”
KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB  R.A


"Ingatlah ALLAH nescaya ALLAH mengingatimu dan ketenangan bersamamu. Ingatlah, apabila engkau bersama orang yang mengingati ALLAH, pasti engkau juga akan ingat ALLAH. Namun, apabila engkau bersama dengan orang yang lalai dan lupakan ALLAH, nescaya engkau juga akan lalai dan lupakan ALLAH. Tiada orang yang ingat ALLAH itu Mati, melainkan ia Hidup dan tiada orang yang lupa ALLAH itu Hidup melainkan ia MATI. Oleh itu, hati-hatilah dalam memilih sahabat yang bersamamu."

IMAM MUHAMMAD JIBRIL AL-KHAIR B.A