Khamis, 11 Jun 2009

TAUSUG ATAU SULUK?


TAUSUG DIHORMATI?
"Pengalaman menjadi pelajar di salah satu universiti di Marawi City, Mindanao menghasilkan beberapa cerita menarik tentang bagaimana pandangan kaum lain terhadap Tausug. Kaum Maranao dan Maguindanao bila mengetahui yang mereka bawa bergaduh ialah Tausug mereka akan cepat-cepat redakan keadaan samada meminta maaf atau lari sahaja.
Dikalangan kaum Mindanao saya punya pengalaman bergaduh dengan Maguindanao dengan Maranao. Tidak pula bagi kaum Iranun, kerana Iranun sangat menghormati Tausug. Iranun kiranya bertembung dengan Tausug selalu mengalah sambil berkata "Sulug anan, manga pagari' tano" (Tausug, mereka adalah saudara kita). Kerana mereka tahu, sifat Tausug tidak suka memulakan pergaduhan.
Di Pulau Luzon, Tausug dikenali sebagai Suluan atau Joloano manakala di Mindanao, Visaya, Cebu dan lain-lain tempat Tausug dikenali sebagai SULUG. Dikalangan masyarakat Filipina begitu mengenali Tausug dengan dua perkara.
Pertama: Tausug adalah kaum yang berani
Kedua: Tausug adalah manusia baik"
Ulasan: Dua perkara di atas adalah gelaran kepada sifat Tausug di mana-mana sekali pun ada juga yang menggelar Tausug sebagai "perompak dan pengganas" tetapi keseluruhan dua perkara di atas tetap diberi kepada Tausug hingga kini.
KAUM WARAY VISAYA
Di Pulau Visaya kaum yang sangat berani ialah kaum Waray. Mereka bertebaran dimerata tempat di kepulauan Filipina yang dikenali sebagai berani tetapi tidak di Sulu. Kaum Waray ditakuti di kalangan kaum beragama Kristian.
"Saya pernah menaiki kapal di Pulau Cebu, tiba-tiba terlanggar bahu seorang lelaki Waray. Beliau terus menolak saya menunjukkan kemarahan (mungkin marah dengan terlanggar bahu yang saya tidak sengaja) lalu saya pegang dan memulas tangannya. Saya katakan padanya agar jangan memulakannya kerana saya akan melawan. Dia terkejut lalu bertanya saya berasal dari mana, saya menjawab dari Sulu. Dia tanya samada saya berbangsa Sulug saya kata memang saya Sulug. Tiba-tiba berubah wajahnya dan menunjukkan sikap berbaik-baik.
Sepanjang perjalanan di dalam kapal beliau menceritakan kepada saya tentang keberanian dan kebaikan Tausug. Menurutnya, orang kampungnya yang menjadi tentera Filipina tidak mahu dihantar bertugas ke Sulu kerana takut dibunuh oleh Tausug. Sebilangan besar langsung letak jawatan bila terdengar mereka akan ditugaskan di Sulu.
Sebenarnya ia bukanlah pelik bagi saya. Kerana sebelum ini saya pernah saksikan sendiri di lapangan terbang Jolo, Sulu bagaimana sekumpulan tentera Filipina yang baru sampai di lapangan terbang Jolo meninggalkan senjata dan seragam mereka lalu naik kapal kembali ke kampung mereka sambil membebel bahawa mereka tidak dimaklumkan langsung yang mereka akan ditugaskan di Sulu".
RAHSIA KEBERANIAN
"Pada tahun 2000 saya pernah berkunjung ke Illigan (Beberapa puluh kilometer dari Cotabatu) bersama 3 orang sahabat yang juga berasal dari Jolo. Ketika kami melintasi satu kawasan yang dipenuhi oleh kaum Visaya mabuk (jumlah mereka lebih kurang 30 orang) salah seorang sahabat saya telah berselisih faham lalu berlaku pertengkaran dengan salah seorang Visaya yang ada di situ sehingga membawa kepada pergaduhan. Apa yang berlaku kami berempat telah diserang dan dibelasah sehingga lebam dan luka-luka. Oleh kerana mereka terlalu ramai dan saya pula risau salah seorang dari kami dikeroyok maka kami masing-masing bersandar bahu membahu agar tidak terpisah.
Saya berseru dalam bahasa Tausug kepada 3 sahabat "Ayaw kita niyu dumagan misan kita niyu mapusat!!" (Jangan lari walau pun kita dilanyak sampai lumat!!). Tiba-tiba mereka terkejut setelah mereka dengar kami bertutur dalam bahasa Tausug lalu beberapa orang dari mereka cabut lari. Setelah lihat yang lain lari maka yang tinggal pun lari, yang akhirnya semua lari. Oleh kerana terlalu geram kami mengejar dan sempat menangkap seorang lalu kami belasah cukup-cukup. Apa yang saya paling risau dan tidak sanggup menghadapinya ialah sekiranya kami dipanggil PENAKUT oleh mereka, sebab itu saya seru mereka jangan lari biar pun dibelasah hingga lumat, janji jangan lari.
Di kalangan kaum Visaya, mereka mengenali Tausug dengan "Bangsa yang tidak takut mati" dan "Tidak akan lari walaupun keseorangan". Sahabat saya bernama Mudar pernah bersekolah di Pulau Cebu. Satu ketika beliau berselisih faham dengan pemuda Visaya dari suku kaum Waray sehingga membawa kepada pergaduhan. Beliau telah ditetak dengan sebilah parang lalu beliau tahan dengan tangannya menyebabkan tangannya terbelah dan parang sampai ke kepalanya. Bro Mudar tidak lari seinci pun atau menunjukkan wajah kesakitan malah terus merampas parang tersebut lalu mengejar waray untuk membalas. Malangnya Waray telah lari langkah seribu".
Ulasan: Ternyata keberanian Tausug ialah semata-mata berpunca dari takut MARUAH TERCALAR. Oleh kerana takut dipanggil PENAKUT sanggup melawan 30 orang musuh sekali pun tidak mampu melawannya. Situasi seperti ini tidak hanya berlaku kepada Neldy Jolo dan kawan-kawannya malah keseluruhan kaum Tausug terutama Tausug dari suku Buranun mempunyai keberanian pelik seperti ini yang disemai sejak kecil.
KEBERANIAN DISEBABKAN GENETIK?
"Saya punya seorang sahabat Tausug di Sulu yang ayahnya bernama Julhassad (namanya lebih kurang) pernah jadi tentera Filipina ketika dulu. Beliau berkata, ayahnya telah ditugaskan di Mindanao ketika itu telah ditawarkan oleh satu keluarga untuk menikahi anak perempuan mereka. Keluarga tersebut mahu Julhassad mengahwini anak mereka hanya semata-mata untuk mendapatkan anak lelaki "Tausug". Sekiranya Julhassad menceraikannya setelah itu mereka tidak kesah yang penting mereka dapat cucu lelaki "Tausug". Ternyata ia menjadi kebanggaan sekiranya mereka punya keluarga Tausug".
Ulasan: Malangnya Julhassad tidak berminat dengan tawaran tersebut. Perlulah dijelaskan, sebahagian Tausug masih memandang rendah terhadap kaum lain terutama kaum Visaya yang mereka anggap sebagai "hamba abdi" Spanyol ketika dulu. Malah Tausug masih menggelar semua kaum yang beragama Kristian samada Tagalog, Bagubo, Illonggo, Ilocano, Surigaonun, Hiligaynon atau siapa sahaja asalkan beragama Kristian semuanya "dibungkus" dengan istilah "Visaya". Hinggakan Visaya itu sendiri membawa maksud "Kafir" kepada Tausug hingga kini.
Persoalannya benarkah keberanian Tausug disebabkan Genetik? Atau keberanian tersebut telah disemai dari kecil oleh kaluarga mereka? Saya berpandangan ia disebabkan persekitaran serta budaya kebiasaan telah menjadikan mereka demikian. Tausug malu digelar penakut sebab itu sanggup mati dari menanggung malu kerana ibu bapanya senantiasa mengingatkan bahawa tiada datuk neneknya yang dayus takut pada "Visaya Kafir". Sebab itu lari dari musuh adalah simbol "kedayusan" yang akan menjangkiti generasinya yang akan datang. Keberanian inilah yang diakui oleh General Tentera Amerika Syarikat ketika dulu.
Seperti pembunuhan di Bud Bagsak (Gunung Bagsak) Sulu pada June 11, 1913 oleh tentera Amerika Syarikat yang di arah oleh General John Pershing. Beliau menghantar surat pada isterinya mengatakan:
"Perlawanan inilah yang paling menakutkan dan kejam yang pertama kali saya saksikan. Orang Moro (Yang dimaksudkan ialah Tausug Sulu) melawan seperti syaitan. Mereka memang sepenuhnya tiada ketakutan dan apabila sudah berazam untuk melawan, mereka terima kematian itu cuma sebagai satu peristiwa biasa.”
Dalam Press Release, 1,000 Tausug warriors who fought and died at Bud Dajo Battle pada March 8, 2006, Senator Aquilino Nene Q. Pimentel, Jr. berkata:
“Pahlawan-pahlawan Tausug dan ahli keluarga mereka yang menentang pencerobohan asing di Perang Gunung Dahu (Bud Dahu [Battle of Bud Dahu]) patut di iktiraf kerana keberanian dan keperwiraan mereka. Jarang kita temui di dalam sejarah, keberanian seperti yang di tunjukan oleh Tausug di Bud Dahu. Keberanian dan pengorbanan mereka mempertahankan Bud Dahu boleh di bandingkan dengan lagenda kemenangan penganut Yahudi (Jewish) menentang penjajah Roman di tahun 72 A.D, zaman Kristian di puncak kubu bernama Masada.
Semangat Tausug tidak takut akan mati (never-say-die spirit) di Bud Dahu di contohi oleh juruterbang Kamikaze Jepun yang melanggar kapal perang Amerika di perang Okinawa hingga ke penghujung Perang Dunia Kedua di Pacific. Bud Dahu berdiri megah di dalam rekod keberanian pahlawan-pahlawan dan orang-orang yang melawan demi kemerdekaan negara mereka dan ia yakni berada di tahap Masada yang tinggi dari Okinawa dan Saipan”.


Wallahualam....


UNTUK MENGETAHUI LEBIH LANJUT TENTANG BANGSAKU TAUSUG INI SILA LAYARI WEB INI : http://tausug-global.blogspot.com/