Selasa, 18 Disember 2007

PERSEPOLIS ATLANTIS


Persepolis Atlantis,
Sistem EMA, 3033 Masihi.



Aiemin pantas menendang Hoslis dengan geram sementara Aizack turut menyerang dari belakang. Tendangan serentak itu membuatkan Hoslis tidak mampu berbuat apa-apa. Awazen yang berdiri tidak jauh dari situ segera menerpa. Berusaha untuk menghalang tindakan adik beradik itu. Satu tenaga dalam dilepaskannya. Sekadar menghalang momentum serangan Aiemin dan Aizack. Gelombang tenaga yang diluncurkannya tepat pada punca tenaga Aizack dan Aiemin.
Kedua adik beradik itu terpelanting.
Namun cuba untuk bangkit kembali. Pantas pula Awazen melepaskan gelombang tenaganya. Aizack terduduk dan Aiemin pula terpelanting lebih jauh dari Aizack. Awazen segera mengunci mata urat Aizack diikuti Aiemin. Dia mesti menghalang pertarungan saudara itu.
Hoslis sekadar termangu dengan tindakan anak kandungnya itu. Dia tidak sangka sampai begitu sekali kebencian adik-beradik itu kepadanya. Dia kesal dengan apa yang berlaku. Dulu dia tidak terfikirkan hal ini semasa mengabaikan Unisia. Airmatanya mengalir buat pertama kali dalam hidupnya. Diiringi sendu dia terduduk.
“Lepaskan aku! Atuk! Lepaskan aku!” Tempik Aizack dengan kemarahan pada Awazen. Hoslis yang ketika itu dikuasai perasaan kesal tersentak. Dia segera menoleh ke arah Awazen. Siapa lelaki ini? Getus hatinya.
“Ya! Atuk lepaskan kami! Lepaskan kami! Biar kami ajar manusia yang tidak bertanggung-jawab ini. Binatang! Dia sanggup membiarkan ibu kami sengsara akibat perbuatan zalimnya!” Aiemin pula bersuara keras. Anak matanya terbelalak geram ke arah Hoslis. Hoslis sekadar tunduk, memakukan pandangannya ke lantai istananya. Lagaknya bagai seorang pendekar yang tewas dalam pertempuran sengit. Putus asa dan harapan. Kesal bergayut dalam dirinya. Memintal-mintal dengan rakus. Membenamkan hatinya disayat-sayat kekesalan yang panjang.
Awazen menghampiri Hoslis. Bahu Maharaja Persepolis Atlantis itu dipegang pelahan.
“Bangun Hoslis…” katanya pelahan.
Hoslis memandang Awazen. Hatinya berdetak. Ada suatu perasaan damai melanda hatinya ketika pandangan mereka bertembung. Dia segera bangun. Pandangannya tidak lepas dari anak mata Awazen. Sejuta ketenangan menjamah hatinya kini. Perasaan kesalnya hilang entah ke mana.
“Kamu ini siapa? Mengapa anak-anak aku itu memanggil kamu ‘Atuk’. Siapa kamu?” soal Hoslis. Rasa hairannya terpapar jelas pada wajahnya yang masih dibaluti sisa-sisa kekesalan. Dahinya berkerut seribu. Rasa ingin tahu jelas terpapar pada wajahnya.
Awazen senyum. Dia menoleh ke arah dua adik beradik yang terkaku di tempat masing-masing itu. Hoslis turut sama memerhatikan Aizack dan Aiemin. Pandangannya yang berwibawa itu menatap muka Hoslis.
Satu senyuman seorang ayah ataupun seorang moyang tepatnya, terpamer pada wajahnya. Hoslis agak kelu menghadapi suasana yang cukup pelik baginya. Dia tidak sangka akan berhadapan dengan situasi yang tidak pernah dijangkanya itu. Dia memandang wajah lelaki yang lebih kurang sebaya Aiemin dan Aizack. Lelaki itu memiliki warna mata yang sama dengannya. Anak mata hijau!
Apakah mereka ada pertalian darah? Getus hati Hoslis. Seribu persoalan yang lain turut menerpa benaknya.
“Hoslis…”Hoslis tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia sekadar menatap wajah Awazen. Dia tidak sangka sampai begitu sekali tindakan adik-beradik kembar itu. Mereka sanggup membunuh kerana dendam. Kerana dendam juga anak-anaknya itu mahu menghapuskan riwayatnya.

Awazen? Siapakah dia? Siapakah Hoslis dan mengapa adik-beradik kembar Aizack dan Aiemin itu ingin membunuh Hoslis yang juga ayah kandung yang merangkap Maharaja Persepolis Atlantis? Semuan persoalan itu akan terjawab di dalam Novel Fiksyen Sains TN yang bakal diterbitkan!

CERITA SERAM

Sepertimana stesen-stesen komuter yang lain di seluruh wilayah persekutuan. Ia tidak berbeza dengan yang lain. Suasana dan persekitarannya tetap sibuk dengan aktiviti manusia. Tidak kira siang dan malam. Ia tetap sibuk. Cuma bermula jam 11 ia akan lengang dan hanya petugas komuter yang akan meronda dan bertugas.Airina melangkah cepat. Malam itu agak hening. Jalan kampung itu kelihatan lengang. Memang tiada orang langsung yang keluar malam itu. Suasana itu sedikit sebanyak menggugah keberaniannya. Namun, kerana atas desakan sahabatnya yang tinggal di Pantai Dalam untuk berjumpa dengannya malam itu juga mengatasi segalanya. Sesekali anak matanya tajam mencerun pandangan ke ceruk-ceruk yang agak gelap dan kurang disimbahi lampu jalan. Dia terus melangkah sedikit pantas. Sekolah rendah di sebelah kirinya itu kelihatan gelap dan agak suram serta sedikit menyeramkan.Dia sedar beberapa minit lagi pasti kaunter tiket akan ditutup. Dia melangkah laju. Beberapa titis hujan mengenai batang tubuhnya. Terasa dingin ditambah lagi dengan angin malam yang bertiup agak kuat. Malam itu pasti suasananya akan bertambah sejuk. Dari jauh kelihatan tangga yang disinari cahaya lampu kalimantang. Tiada langsung kenderaan di parkir di kawasan letak kereta. Lorong pejalan kaki lengang dan sunyi. Lampu jalan pula tidak memancarkan cahaya seperti kebiasaannya. Entah mengapa malam itu dirasakannnya sangat ganjil. Naluri wanitanya merasa sesuatu yang lain malam itu. Namun dia berusaha melawan. Perasaan itu dipendam jauh di lubuk hati. Dia tidak mahu perjalanannya malam itu terbantut akibat rasa pengecutnya.Sekali-sekala bunyi anjing menyalak memecah kesunyian. Betul-betul dari seberang landasan komuter. Kekadang salakan anjing itu bersahutan. Dan kadang-kadang juga berturutan dan agak keras. Dia mencongak dalam kepalanya. Ah! Malam ni malam Jumaat. Getus hatinya. Serta-merta bulu romanya meremang. Bahagian trengkuknya terasa dingin dan seram. Dia menoleh ke belakang. Mencerunkan pandangannya. Tiada sesiapa pun dibelakangnya. Dadanya berdebar keras. Dia melajukan langkah.
Apakah yang berlaku pada Airina? Apakah pula yang ada di kawasan stesen itu? Ingin tahu? Ikuti kisahnya dalam buku TN dalam tajuk Kompilasi Cerita-Cerita Seram 2007!

Kucing



Satu permulaan

Dalam kesuraman malam yang disirami cahaya lampu jalan itu seekor kucing berbulu hitam merangkak pelahan menghampiri tubuh yang sederhana sasa dan kaku di atas permukaan lopak yang berair. Kucing hitam itu dengan pelahan juga mendekatkan hidungnya pada bahagian kepala batang tubuh yang kaku itu. Dihidunya berulang kali lalu mengelilinginya seolah-olah bertawaf. Sementara mata kucing itu tetap menancapkan pandangannya pada tubuh kaku itu. Setelah beberapa kali mengelilingi tubuh lelaki itu kucing tersebut lalu berhenti dan membaringkan tubuhnya di sebelah lelaki itu sambil menopangkan dagunya dengan kedua belah kaki depannya yang terjulur kemas.Tiba-tiba satu gelombang berbentuk cahaya hitam membentuk pelahan di ruang udara betul-betul di atas tubuh lelaki yang kaku itu. Pelahan-lahan cahaya hitam itu mengembang dan bergerak ke bawah dan menyerkupi tubuh lelaki itu. Dengan spontan pula kucing itu berdiri dengan pandangan matanya yang tetap terpaku pada tubuh lelaki yang mula bereaksi itu. Dengan kehadiran cahaya hitam itu, tubuh lelaki yang kaku itu mula terangkat pelahan. Rambut panjang yang separas bahu itu menutup hampir sebahagian wajahnya yang pucat itu. Matanya tertutup rapat sementara tubuhnya yang disaluti baju lengan panjang berwarna hitam itu kelihatan dikotori oleh cecair hijau yang bercahaya suram dalam gelap. Tompokan cecair hijau itu kelihatan di merata baju hitamnya. Pelahan-lahan posisi tubuhnya berubah ke posisi berdiri namun tetap terapung-apung di udara. Kedengaran bunyi berdengung menguasai ruang malam yang semakin sepi itu. Masih dalam keadaan terapung tubuh lelaki itu kelihatan mulai hilang sedikit demi sedikit. Cahaya hitam yang semakin pekat itu menyaluti tubuh sasa lelaki itu dengan pantas.
Siapakah lelaki itu? Apa pula kaitannya dengan si kucing hitam yang menjadi saksi kejadian? Anda ingin tahu? Ikuti kisahnya dalam Novel Misteri TN di bawah tajuk- KUCING.