Jumaat, 14 Disember 2007

LAGENDA ADAMUS DAN PEDANG UNIKORN

"Adamus…”
Faizal menoleh ke arah suara itu. Susuk tubuh orang tua yang pernah muncul sebelum ini terpacul di muka pintu yang terkuak pelahan. Tangan kirinya berpegang pada tongkat hitam bermata hijau. Tongkat yang unik itu dihayun pelahan seiring dengan langkah kakinya yang semakin menghampiri Faizal.
Faizal bangkit menyambut kedatangan lelaki tua itu. “Aku… bukan Adamus wahai lelaki tua,” ujarnya pelahan.
Lelaki tua itu senyum. Rambut putih yang panjang itu dibuai-buai angin bertiup melalui pintu yang terkuak tadi. Cahaya matahari turut mengambil kesempatan menerobos masuk melaui pintu itu. Ruang pondok yang suram bertukar menjadi cerah.
“Kau adalah Adamus… Lagenda Pahlawan Adamus, ramalan dalam Kitab Kilira. Kitab lagenda puak Harseulis yang diwarisi dari Dewa Meus. Aku ini Tok Kiril.” Usai berkata-kata demikian, lelaki tua itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu, berhadapan dengan Faizal yang ketika itu berdiri seba
gai tanda hormat.
Faizal duduk sebaik sahaja lelaki tua yang memanggil dirinya itu sebagai Tok Kiril, si penjaga Kitab Kilira itu duduk.
“Adamus…” Sekali lagi nama itu disebut. Faizal angkat muka, memandang wajah lelaki tua itu. Dia cukup tidak senang dengan nama ‘pelik’ itu.
“Adamus… aku tau, kau tidak senang dengan nama itu. Aku juga tahu nama kau yang sebenar iaitu Faizal dari dunia Bumi. Aku faham perasaan kau ketika ini. Aku selalu mengembara di antara dimensi Fiara dan Dimensi Bumi. Oleh itu, banyak perkara dari dimensi Bumi aku bawa ke alam Fiara.” Tok Kiril berhenti seketika. Anak matanya yang berwarna biru itu merenung Faizal.
Faizal telan air liur. Pandangan lelaki tua itu membuat hatinya gentar.
“Namun, buat masa ini terimalah hakikat yang diri kau sekarang adalah orang yang paling penting dalam alam Fiara ini. Ketibaan kau hari ini amat ditunggu-tunggu sejak 2000 tahun yang lepas. Pahlawan Adamus yang hebat, sama seperti ramalan Dewa Meus yang tercatat dalam Kitab Kilira. Bersama kau nanti, ada 12 orang pahlawan dari pelbagai puak yang menyebelahi kebaikan. Puisi dalam kitab Kilira itu jelas menerangkan kedatangan kau di alam ini yang ditunggu oleh 12 pahlawan di meja Orakel.”
Faizal tidak bersuara. Dia mahu lelaki tua itu menghabiskan kata-kata yang pelik itu.
“Aku masih ingat lagi puisinya…”

Puisi apakah yang dimaksud itu? Siapakah Adamus? Di manakah sebenarnya Faizal berada? Apa pula yang berlaku seterusnya? ikuti kisahnya dalam 'Lagenda Adamus dan Pedang Unikorn'-karya Fantasi Sulung TN yang bakal terbit!